RAFFA


BAB 23

PERBUALAN mereka terhenti sebaik Qistina menghampiri. Air muka Qistina biasa-biasa saja. Namun, hatinya itu siapa yang tahu? Tak mungkin dia boleh melupakan kata-kata itu semalam. 

Dia pandang muka Raffa pun nak tak nak saja. Ah, dia sudah malas.

"Hai, Qis," tegur Zafrul dengan senyuman. 

Qistina balas dengan sekali anggukan. Raffa langsung buat tidak endah. Lagak Raffa yang hanya memeluk tubuh itu dia perhati dengan ekor matanya.

Ada sebab kenapa dia mahu bertemu Raffa. Boleh jadi ini mungkin bukanlah yang terakhir. Mereka pun sudah menghabiskan peperiksaan akhir bagi semester ini. 

Tinggal projek terakhir saja lagi yang harus mereka selesaikan. Disebabkan itulah mereka perlu berada di kampus sehinggalah ke final presentation. Selepas ini tidak mungkin mereka akan berjumpa lagi. 

"Awak sihat?"

"Alhamdulillah, ermm... Awak? Sihat tak?" Qistina tersenyum seraya membalas pandangan Zafrul.

Zafrul terpanar. Mulutnya separa terbuka. Sempat dia menoleh kepada Raffa yang berpura-pura dengan lagak tenang itu sambil terus membetulkan duduknya. Dia yang tadinya menyandar ke kerusi, lalu duduk tegak. 

Dia menyengih. 

Meraup rambutnya itu ke belakang dengan hanya sebelah tangan. Seakan sukar mahu percaya saja. Belum pernah lagi Qistina bertanyakan dirinya. Siap bertanya khabar lagi. Tidak berkelip dia memerhati senyuman yang cukup manis itu. 

"Err... sihat. Macam yang awak tengok saya sekarang... Eh, Qis. Buat apa berdiri? Duduklah lepak minum-minum sekali. Saya belanja awak. Nak?" beria-ia Zafrul mempelawa.

"Sekali-sekala apa salahnya, kan?"

Raffa menjeling. Dia mendengus. 

Namun, Zafrul buat tidak peduli, terus bangun dari kerusinya dan menarik kerusi yang kosong bersebelahannya itu. 

Zafrul kenyit mata kanan kepada Qistina sampaikan tersipu-sipu Qistina dibuatnya.

Raffa memerhati gaya mereka dalam diam tak diam.

"Alah, kau tak payahlah nak pelawa dia, Zafrul. Buang masa aje." Katanya dengan kerlingan sekilas.

Rautnya cukup sinis. Masih tidak memandang muka Qistina yang berubah. 

Benar-benar menyentap tangkai hati Qistina. 

Jika tidak difikirkan ada hal mustahak yang dia perlu cakap, tak mungkin dia berada di samping mereka. Apatah lagi hendak pandang muka Raffa. 

Kalau Raffa boleh bersikap selamba dengan buat dia begitu, dia pula? 

Apa? Raffa fikir dia sama seperti perempuan lain yang Raffa kenali? Tidak kuasa dia hendak terhegeh-hegeh dengan lelaki berlagak seperti Raffa. 

Dia sudah nekad. Dia harus melupakan Raffa... membuang segala kenangan mereka itu jauh-jauh daripada fikirannya.

"Biarlah, bro. Kau tak suka... pergilah jauh-jauh. Dah, tak payah duduk sini. Biarkan aku nak berdating dengan Qis." Zafrul berkata selamba.

Raffa tersentak.

Qistina melirik dengan senyuman. 

Raffa perasan dengan lirikan itu, lalu buat-buat tak nampak. Ekor matanya tertancap kepada wajah polos itu. Genggaman sebelah tangannya di bawah meja itu erat tanpa sedar. 

Qistina segera melarikan pandangannya sebaik ditenung Zafrul. Sebaliknya, dia melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan Zafrul. 

Raffa bengang. 

Dia fikirkan tadi yang mustahil Qistina mahu menerima pelawaan Zafrul itu. Sama sekali tidak menyangka. Dia melawan pandangan Qistina dengan tajam. Giliran Qistina pula yang buat tak endah dengannya.

"Thanks, Zafrul." Ucap Qistina.

"Most welcome." Zafrul senyum.

Qistina menyedari cara Raffa memandangnya menerusi ekor mata. Dia memang sengaja pun. Menahan senyum dalam hati. Macamlah dia tidak nampak gelagat Raffa itu. Padan muka.

"Qis, awak nak minum apa? Cakaplah." Tanya Zafrul.

Qistina geleng perlahan.

"Tak apalah, Zafrul. Saya cuma nak kasi ni aje dekat Raf. Ermm... Raf, ambillah report ni. Nanti awak semak balik mana-mana yang perlu ditambah dalam report tu. Kalau boleh, sebelum nak submit dekat prof masa presentation nanti." Katanya.

Dia mengeluarkan laporan daripada dalam beg galasnya itu. Kemudian menyerahkan ia kepada Raffa. Raffa tidak memandang laporan yang diletakkan di atas meja itu. Hanya bereaksi biasa.

Qistina menarik nafas perlahan. Dia menunduk sejenak sebelum bersuara. Pegangan pada beg galasnya itu dieratkan.

"Saya balik dulu." Katanya.

Dahi Zafrul berkerut sebaik melihat Qistina yang sudah bangun daripada kerusi.

"Eh, Qis. Takkanlah sekejap sangat? Jomlah kita borak lama sikit." Zafrul berkata seraya menahan.

Belum sempat Qistina nak membalas, suara Raffa terlebih dulu memotong percakapannya.

"Perempuan muka tak malu. Tak puas lagi Qis kejar aku, dia terhegeh-hegeh pula dengan kau. Hei, Zafrul... Kau tak nampak ke?" Raffa senyum sinis sambil memeluk tubuh dengan sepasang matanya itu tepat memandang Qistina.

Qistina terkedu.

Membalas pandangan itu tajam. Mukanya bertukar merah padam. Api kemarahannya naik mendadak saat mendengar kata-kata itu. 

Apa... tidak cukup lagi ke dengan kata hinaan itu semalam? Apa lagi yang Raffa mahukan? Dia benar-benar tidak faham. Raffa seperti sengaja menyakiti perasaannya. Kalau boleh Raffa benar-benar mahu menghancurkan sekeping hatinya itu agaknya. 

"Sengaja jadikan report ni sebagai alasan. Yang sebenarnya Qis masih lagi tak puas hati. Sebab aku reject dia semalam. Aku dah cakap yang aku tak pernah sukakan dia. Qis tak percayakan aku. Itu yang dia ke mari sebab nak cari aku. Tak pun, dia datang dekat kau semata-mata nakkan kau pula yang gantikan tempat aku. Supaya dapat puaskan hati dia." Pedas sindiran itu. 

"Perempuan murahan."

Raffa langsung tidak tunjukkan rasa bersalah. Meletus tawa kecil dari bibirnya. Tidak menyedari yang Qistina benar-benar tersinggung dengan kata-katanya. Terlalu terluka.

Zafrul sukar mahu mempercayainya. Benarkah? Dia bersilih ganti memandang mereka. Baik Raffa mahu pun Qistina.

"Betul ke ni, bro?" tanyanya.

Qistina benar-benar malu. Dia menggeleng dengan pandangan berkaca. Raffa sengaja nak memalukan dirinya di depan Zafrul pula. Dengan sengaja menuduhnya begitu. Tak pasal-pasal Zafrul jadi curiga dengannya.

"Ini ke tandanya awak berterima kasih lepas apa yang saya dah buat... dengan tolong awak tu semua, hmm? Bukannya saya nak mengungkit dengan kebaikan yang saya dah buat. Itu semua tak penting pun." Qistina menyindir secukup rasa.

"Saya memang ikhlas niat nak bantu awak supaya lulus dalam subjek prof. Ada ke saya buka cerita soal hati depan awak? Tak pernah pun, kan. Yang awak nak lebih-lebih perasan tu kenapa? Sejak bila... Saya beritahu yang saya sukakan awak? Macam-macam awak kata saya ya. Awak tu yang lagi nak main-mainkan saya. Awak fikir yang saya akan maafkan?"

Qistina meluahkan rasa kecewanya. Dia cukup berani melawan pandangan itu. Air mukanya garang. Berombak dadanya.

Raffa terpanar.

"Perempuan yang awak maksudkan ni dah tak nak tengok muka awak tu lagi! Tak sabar dah saya nak habiskan sem ni supaya kita dah tak jumpa lagi. Sampai bila-bila. Sebab... saya ada maruah yang perlu dijaga." Ucap Qistina lantang.

Raffa terkesima. 

"Mark my words!" sempat Qistina berpusing kepada Raffa sebelum melangkah pergi meninggalkan kawasan itu.

_

ENTAH pukul berapa agaknya ketika ini. Mungkin sudah berjam-jam Raffa berendam di dalam kolam renang ini. Dia sudah tidak ambil peduli lagi. 

Dia lebih memikirkan kata-kata Qistina siang tadi. Terus-terusan menghantui fikirannya itu. Kepala jadi berat seolah-olah ada batu besar yang menghempap ketika ini. Tiada lagi senyuman yang sering menghiasi wajah ayu itu. 

Bukankah ini yang dia mahukan? Tidakkah dia rasa puas setelah apa yang dia lakukan terhadap Qistina?

Kenapa dia rasa sunyi? Terlalu sunyi. Ah, rumah agam ini sememangnya sudah terbiasa sunyi begini. Tidak ada apa yang pelik pun. 

"Raf." 

Teguran itu menyentakkan Raffa yang jauh mengelamun.

Dia memerhati sekujur tubuh Zafrul yang sedang tercegat di tepi kolam renang dengan ekor matanya. Entah bila agaknya Zafrul sampai ke rumahnya?

"Kenapa kau buat Qis macam tu?" Zafrul terus menyoal. 

Dia bermuka serius. 

Raffa mengerutkan dahinya. 

"Kau datang ke sini semata-mata nak tanya itu aje?" soalnya tanpa memandang Zafrul yang tercegat di depannya.

Terbit pula keluhannya itu. Pandangannya kembali tertancap ke depan. Kedua-dua tangannya itu dibiar menyandar pada tepi kolam. Memejam sejenak matanya. Dia tahu yang Zafrul kian menghampirinya.

Zafrul duduk mencangkung dengan sepasang mata tepat memandang muka Raffa. Tidak berperasaan langsung. Dia menggeleng kepala. Tidak faham dengan kerenah Raffa yang adakalanya sukar diduga.

"Kau ni sebenarnya sukakan Qis ke tak? Hmm? Hari tu masa aku cuba nak rapat dengan Qis, kau macam tak bagi. Beria-ia macam nak halang aku. Habis sekarang? Memang saja nak kasi aku can ke apa?" duga Zafrul.

Dia beriak sinis.

Raffa tersentak. Tajam dia memerhati raut Zafrul yang seolah-olah tengah mengejeknya itu. 

"Kau gelakkan aku ke apa?"

Meledak tawa besar.

"Kau jadi macam ni sebabkan Zack ke? Baik kau terus terang aje dengan aku," soal Zafrul dengan riak serius sambil memeluk tubuh.

"Dia cari kau balik?" duganya.

"Aku..." Raffa separuh berbisik. Meraup mukanya yang kebasahan itu dengan sebelah tangan.

"Dah terlanjur. Terlibat dengan benda ni semua... Bukan senang aku nak mengelak. Aku rasa yang mustahil once aku dah involve dengan Zack... orang-orang dia tu tengah perhatikan aku setiap masa... Mustahil untuk aku belot. Kau pun kenal Zack tu macam mana." Akuinya.

Zafrul tersentak. "Maksudnya, Zack ugut kau?"

Raffa tak menjawab. Namun, Zafrul seperti boleh mengagak apa yang disampaikan oleh kawannya itu. Serius dia memikirkannya. Bibirnya mengukir senyuman sinis.

"Bukan ke selama ni... mereka tu yang goyang dengan kau? Lagi takutkan kau daripada Zack lagi adalah. Kan?" duga Zafrul.

"Alih-alih kau pula yang kena ugut? Berani betul Zack. Aku dapat rasalah, kan. Zack tahu apa kelemahan kau. Iaitu, Qis. Dan dia gunakan kelemahan kau tu untuk ugut kau pula supaya ikut cakap dia." Dia meneka.

Senyap.

"Aku tak nak disebabkan aku, Qis pula yang susah..." Raffa akhirnya bersuara sambil tarik nafas, lalu menyandar sedikit kepalanya itu ke belakang. Penumbuknya dikepal. 

Dia berusaha menenangkan dirinya. Dia terpaksa meluahkannya kerana dirinya sudah cukup berserabut setiap kali memikirkan soal itu. 

Lebih baik dia bertindak menjauhkan diri daripada Qistina. Paling penting Qistina tidak diapa-apakan oleh Zack dan orang-orang kepercayaan mereka. Dia hanya mahukan Qistina tetap selamat... tanpanya. 

Zafrul mengeluh. Mulai memahaminya sebaik nama Qistina meniti dari bibir Raffa. Secara terang-terangan pula Raffa mengakuinya. 

"Susahlah macam ni. Kan aku dah pernah cakap dulu. Zack bukannya orang biasa. He's somebody. Bapak dia pun sama. Cuma sekarang aje bapak dia dah masuk penjara sebab kes pukul orang dulu. Kau dah silap pilih kawan bro. Zack bukan mainan kau. Tak layak pun bergelar kawan! Dia banyak kali cuba hasut kau. Atas dasar kawanlah kononnya, huh! Aku takkan sesekali percayakan Zack. Aku cuma tak sangka... Kau lagi sanggup percayakan dia." Keluh Zafrul.

"Zack tu cuma nak pergunakan kau aje."

Raffa diam membisu. 

Hal lama itu kembali bermain dalam fikirannya. Bersilih ganti pula dengan dendamnya terhadap Dato' Izham. Motifnya yang paling utama.

Inilah sebabnya dia harus mendengar dan menuruti apa saja yang dikehendaki oleh Zack. Sehingga sanggup melukakan perasaan Qistina. 

Dia... tiada pilihan.

"Aku tak boleh hentikan rancangan tu." Ucapnya serius. Penuh makna tersirat. 

Zafrul menoleh. 

"Sebabkan aku kenal Zacklah, aku terpaksa cari alasan nak mengelak daripada Qis." Akui Raffa.

"Bro, jangan marah aku pula bila aku nak kembali dekat dengan Qis. Salah kaulah. Siapa suruh kau buat Qis macam tu." Sengaja dia berkata.

Raffa tersentak.

"So... Aku menanglah. Kan?" Zafrul angkat kening sebelah bersama senyuman kecil. 

Dia cepat-cepat angkat punggung sebaik Raffa memerhati mukanya itu dengan pandangan lain macam. Ketara yang Raffa sebenarnya tengah menahan cemburu. Benarlah sangkaannya selama ini.

Meletus tawanya. Melucukan tatkala melihat raut Raffa begitu. 

Zafrul tersenyum puas

*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.

Post a Comment

0 Comments