Teaser Bab 1
"CIK nak ke mana?"

Raihana berpusing. Dia yang sedang leka melayan lagu tangkap leleh nyanyian Siti Nordiana sambil melihat pemandangan dari luar tingkap shinkansen itu agak terkejut dengan teguran daripada seorang lelaki tak dikenali. Terus ditarik earphonenya.

"Saya nak ke Tokyo. Encik?"

Lelaki yang duduk di sebelahnya tersenyum. Menawan. Raihana tersipu sedikit. Emm, boleh tahan lelaki di sebelahnya ini. Nampak wajah kemelayuannya dengan berkumis nipis.

"Samalah. Saya dari Osaka tadi, berhenti dekat Narita Airport sebab nak jumpa kawan. Dia kerja di sana."

"I see," balas Raihana.

"Memang encik kerja dekat sini ke?" tanya Raihana ingin tahu.

Lelaki itu memandangnya. "Harraz Danial."

Raihana membalas pandangan lelaki itu dengan dahi berkerut. Matanya beralih pada huluran tangan lelaki itu. Dia turut tersenyum lalu menyambutnya. Genggaman itu cukup kemas.

Raihana terasa seperti ada cas elektrik yang mengalir deras ke seluruh sarafnya. Namun, dia cuba berlagak tenang.

"Panggil Harraz."

"Sara Raihana."

"Nak panggil apa?" Senyuman Harraz kian melebar.

Dap, dup, dap. Jantung Raihana berdegup.

"Hana." Dia senyum kekok.

"Hmm, Hana ya."

Suara garau lelaki itu menerjah deria pendengarannya. Husky voice. Raihana menyembunyikan senyuman. Dah kenapa pulak aku ni? Boleh berdebar semacam.

"Hana tanya apa tadi?"

"Ha?" Raihana agak tergamam.

Harraz memandang mukanya.

"Sorry, saya tak ingat Hana tanya apa sebab... terlampau terpegun tengok ada gadis cantik yang duduk kat sebelah saya." Harraz berkata selamba setelah Raihana membisu agak lama.

Mak kau! Terkejut Raihana mendengarnya. Apa dia silap dengar ke ni? Isy, merahnya muka aku. Malunya. Kenapa dia cakap macam tu ya?

"Takpe." Perlahan suaranya.

Harraz berdeham. "Hana pula buat apa datang sini? Sebab kerja ke?"

Raihana menoleh semula pada lelaki itu. Senyuman masih mekar di bibir Harraz yang merah menandakan dia tidak merokok. Harraz nampak seperti berminat hendak meneruskan perbualan dengannya. Raihana tak naklah perasan atau syok sendiri.

Dia fikir mungkin Harraz bosan agaknya duduk lama sangat dalam shinkansen tanpa berbuat apa-apa. Lagipun nampak macam hanya mereka berdua saja Melayu di situ. Bila dah jumpa rakyat senegara, biasalah kan. Ambil peluang nak berborak.

"Ha'ah. Saya kerja di Osaka sebelum ni. Lepas tu saya berhenti sebab nak sambung studi."

Raihana beralih daripada memandang Harraz. Matanya dihalakan ke luar tingkap. Tidak mahu lelaki itu perasan dia menipu. Yang sebenarnya, dia bukannya sengaja menipu lelaki yang baru dikenalinya itu. Ada tujuan dia ke Tokyo dan tidak terus pulang ke Malaysia.

Raihana menyesal kerana memilih negara ini. Kenapa dia tidak lari ke Indonesia saja? Atau Thailand? Ataupun kalau mahu hidup mewah lagi, apa kata dia lari ke New York?

Tinggalkan segalanya. Tinggalkan segala yang dia pernah gagal dulu. Mulakan hidup baru, Hana, hasut dirinya sendiri.

Raihana melihat skrin iPhone berkali-kali. Riaknya begitu resah. Kenapa Shida ni? Tak balas pula WhatsApp aku dari tadi. Hisy, pelik betul. Dia dah mula berfikir yang bukan-bukan. Mustahil Shida hendak menipunya.

Okey, aku tahu. Menipu adalah benda yang salah. Salah di sisi undang-undang dan agama. Tapi, macam mana kau nak hidup kalau kau tak pandai buat benda ni?

Alasan yang sama bermain-main berulang kali dalam mindanya. Another excuse. Setiap kali Raihana rasa bersalah kerana menipu kedua-dua orang tuanya, mesti ayat itu yang dia ulang. Sampaikan dah jadi pita perakam dalam mindanya. Sekurang-kurangnya, hatinya lebih tenteram.

Cuma satu saja masalahnya sekarang. Raihana baru saja menyemak jumlah akaun dalam simpanan banknya. Makin hari makin susut. Bagaimana dia hendak tenteram kalau macam ini?

iPhonenya berbunyi tanda WhatsApp masuk. Raihana melihatnya cepat-cepat. Disangkanya Shida. Rupanya Izzat. Pedih hatinya bila menyebut nama lelaki itu.

Menyesal pula Raihana kerana mengaktifkan nombor telefonnya itu kepada data roaming postpaid yang jauh lebih murah. Menyesal pula tidak menukar nombor telefonnya. Kalau tidak pasti Izzat tidak dapat menelefonnya lagi.

Ah, tak guna dikenang lagi. Kerana peristiwa pahit itu juga dia membuat keputusan untuk lari ke sini. Harraz yang tadinya menegur ramah kini mendiamkan diri.

Raihana tenung raut lelaki itu. Nampak kemelayuannya dengan kulit sederhana cerah dan berkumis nipis. Hidungnya agak mancung. Nampak maskulin.

Rambut hitam pekatnya disisir kemas ke belakang dengan sedikit anak rambut berjuntai di dahi. Kemas dan bergaya. Berkasut but coklat jenama Dr. Cardin dan berjaket hitam.

Setiap perlakuan lelaki itu diperhatinya dengan ekor mata. Raihana berhati-hati bimbang disedari atau tertangkap nanti. Dia juga yang malu. Boleh tahanlah, walaupun Raihana sudah pernah jumpa lelaki lain yang jauh lebih kacak.

Nak dibandingkan dengan Izzat huh, jauh bezanya. Handsome lagi lelaki di sebelah ini. Raihana jadi benci bila menyebut nama bekas tunangnya itu. Sebab tu bila dah benci, dia jadi benci akan segalanya tentang diri Izzat sekali.

"Dekat Tokyo nanti Hana tinggal kat mana?"

"Hmm, tak pasti lagi," jawab Raihana.

Dia tidak mahu Harraz tahu. Lagipun dia harus lebih berhati-hati di tempat orang. Takkanlah semua maklumat peribadi nak disampaikan kepada orang yang tak dikenali?

"Saya punya apartmen dekat Shinjuku. Mana tahu kut tempat tinggal kita dekat-dekat situ aje." Harraz bersuara tanpa ditanya.

"Nak keluar lepak-lepak ke, minum-minum pun boleh jugak. Apa contact number awak?"

Lelaki itu senyum nakal. Dikenyitkan mata kanannya kepada gadis manis itu.

Raihana tersipu, tak tahu nak bereaksi bagaimana lagi. Dia memasukkan pasportnya ke dalam tas tangan tanpa sedar rupanya pasport itu terjatuh di tempat duduknya tadi. Destinasi yang dituju telah hampir tiba.

Raihana tidak menunggu lama. Dia terus bangun daripada duduknya dan berlalu ke pintu keluar shinkansen. Harraz yang perasan terus mengambil pasport milik Raihana.

"Hana!" Dia memanggil gadis itu, namun hampa.

Kelibat gadis itu sudah tiada.
Bersambung...