RAFFA




BAB 14

SELURUH tetamu yang hadir telah pun menyaksikan upacara persandingan di antara pasangan mempelai itu. Majlis resepsi itu diraikan dengan cukup meriah dan besar-besaran. 

Perlahan-lahan, dia menapak kepada jendela. Menghampiri isterinya yang berdiri di situ sambil tengah memerhati pemandangan di luar bilik tidur mereka dengan senyuman. Di luar malam begitu pekat.

Namun, mereka masih belum lagi melelapkan mata.

Seluruh tubuh isterinya direnung. Segenap inci. Tak lepas sepasang matanya memandang wanita cantik yang kini sudah sah menjadi miliknya beberapa jam yang lalu. Seakan sukar dia nak percaya. 

Terasa bagaikan mimpi yang mereka sudah selamat diijab kabulkan. Impian untuk hidup bersama hingga ke akhirnya, tercapai jua. Sedangkan terlalu banyak halangan yang mereka terpaksa lalui dalam perhubungan. 

Menyebabkan dia kadangkala memikirkan yang ianya adalah mustahil... mustahil baginya memiliki Qistina.

Dia kian mendekati, selangkah demi selangkah. 

Pandangannya tertancap kepada pemain piring hitam di meja, lalu memasangkan ia... memainkan irama lagu berentak romantis. Menaikkan lagi mood yang hangat itu. Sungguh! Malam ini cukup istimewa buat mereka.

Qistina tersenyum sebaik menyedari pelukan erat dan hangat yang melingkari pinggangnya yang ramping itu. Dia membiarkan saja walaupun debarannya itu kuat. Rambut ikalnya yang panjang melepasi bahu itu dialih oleh Raffa ke belakang dengan lembut. 

Agak lama mereka berkeadaan begitu sambil Raffa terus terbuai dek harumnya wangian syampu dari rambut Qistina. Sesekali, dia mencium rambut isterinya dengan mata yang terpejam sejenak seraya mengemaskan lagi pelukan.

"Apa yang sayang tengah fikirkan tu?" tanya Raffa senafas sambil membelai rambut isterinya.

Hembusan nafas itu cukup hangat seakan membelai pipi kanan Qistina.  Membiarkan jari-jemari mereka bertaut. 

"Tengok pemandangan dekat luar ni, abang. Takde fikir apa pun." Jawabnya malu-malu.

Raffa melebarkan senyuman, merapatkan muka ke telinga isterinya. 

"Bukan sebab fikirkan abang?" duganya.

Qistina menunduk. Raffa memaut dagu itu, mengangkatnya perlahan-lahan agar pandangan mereka saling bertemu. Dia tidak puas memandang isterinya. 

"Betul tak? Sayang fikirkan pasal... kita... Pasal abang..." Raffa meleretkan ayat. 

"Me too, honey. Abang pun fikirkan pasal sayang setiap masa. Lebih lagi malam ni... Malam kita, kan sayang?" Dia berbisik sambil memainkan jari-jemari runcing itu dengan jari-jemari kasarnya.

Muka Qistina panas membahang. Bibir bawahnya diketap.

"Abang," dia lemparkan jelingan manja.

"Salah ke apa abang teka?" Raffa gelak nakal, lalu mengucup pipi isterinya.

"Betul ke abang selalu fikir pasal sayang?" Qistina mengerling.

"Hmm..." Raffa pegang dagunya, buat-buat berfikir. Dia senyum nakal. 

"Memang ya pun. Dan... abang dah tak sabar-sabar lagi nak jadikan sayang milik abang sepenuhnya. Abang juga nak sayang memiliki abang. You're my honey." Bisiknya. 

Qistina bagai hilang kata-kata. Kata-kata romantis itu membuatkan dia makin malu hendak menatap muka Raffa. 

Tak pernah dia menyangka Raffa boleh bertukar menjadi seromantis ini dalam sekelip mata sebaik mereka mendirikan rumah tangga. Selama ini Raffa tidak pernah pun begini... setakat yang dia kenali Raffa. Sejak mereka masih lagi bergelar pelajar. Sehinggalah masing-masing semakin meningkat dewasa. 

Mungkin inilah dia sisi Raffa yang selama ini tersembunyi. Sengaja tidak ditunjukkan di depan sesiapa pun melainkan dirinya. Qistina menyedari yang dia terlalu istimewa buat Raffa. 

Perlahan-lahan dia menoleh, lalu berdiri menghadap suaminya. Pelukan masih tidak dilepaskan. Tubuh tegap tanpa berbaju dan cuma bertrack suit begitu pun sudah cukup menggetarkan hati wanitanya. Matanya jatuh ke hidung mancung Raffa. Terpaku dia menatap wajah tampan itu. 

Sepasang matanya itu redup. Dia membelai kedua-dua pipi Raffa sambil membiarkan pandangan mereka bertaut. Bibir merahnya bergerak mahu berkata sesuatu. Mahu diluahkan segala yang terpendam itu.

"You're my honey, too." Balasnya.

Masing-masing membiarkan rasa bahagia itu bertamu dalam hati.

"You're cute. Abang suka tengok sayang senyum. Cute sangat," Raffa memuji seraya mencuit hidung Qistina.

Qistina balas dengan senyuman manis. 

Raffa menatap raut itu dengan serius, menarik kedua-dua tangan Qistina jatuh ke bawah. Qistina terpaku.

Perlahan-lahan dia mendekatkan muka ke leher jenjang itu. Bibirnya mula menyentuh kulit halus isterinya. Menjalar ke sekitarnya. Haruman pewangi itu membuatkan dia makin lupa... sukar mengawal dirinya. Ditambah lagi dengan lagu yang dipasang itu. 

"Abang takkan lepaskan sayang abang ni sampai bila-bila." Ucap Raffa penuh makna. 

Qistina terpegun setelah mendengarnya. Mereka kembali bertatapan. 

"Please be mine," Raffa separuh berbisik.

Qistina membalas renungan itu. Menatap senyuman menawan Raffa, lalu memeluk erat leher suaminya. 

Sejenak, dia memejam matanya sebaik wajahnya itu dihampiri suaminya...

_

QISTINA terjaga dari lenanya bersama degupan kencang. Dadanya masih lagi berdebar-debar meskipun dia sudah tersedar. Dia melingas ke sekeliling biliknya. Katil bersebelahannya itu kosong. Menandakan yang teman sebiliknya sudah pergi ke kelas.

Qistina beristighfar seraya meraup berkali-kali mukanya. 

Entah macam mana entah mimpi seperti itu boleh pula berlaku? Memejam matanya sejenak. Menekup pula muka yang kemerahan. Arghhh!

Qistina sukar mahu percaya dengan mimpi yang baru dialaminya. 

Kenapalah dia boleh bermimpikan Raffa? Haih, pelik bin ajaib. Padahal sebelum tidur dia langsung tidak memikirkan apa-apa. Hanya kata-kata itu yang masih bermain dalam fikirannya. 

Tapi... takkanlah hanya disebabkan itu saja? Hatinya jadi tertanya-tanya.

She's cute... ayat itu cukup melekat dalam fikirannya tanpa mampu dia lupakan. Dengan suara garau itu. Deep voice

Itulah yang dia sibuk fikirkan sejak ke rumah keluarga Raffa lagi. Kenapalah Raffa boleh cakap dia macam itu di depan Zafrul? Masalahnya sekarang sukar pula dia nak membuangnya dari fikiran.

Keluhannya terbit. 

Qistina memandang pula jam di dinding. Sudah menginjak ke pukul 8.15 pagi. Dia mengalih pandangannya kepada jadual kelas yang dilekat pada meja studi. Kedua-dua keningnya itu hampir bercantum. Seperti ada yang tidak kena. 

Mula memikirkan sesuatu. Kenapalah dia boleh tidak dengar langsung alarm di telefon bimbitnya itu?

Sudah masuk hari ketiga Qistina datang bulan menyebabkan dia tidak bangun untuk bersolat subuh seperti selalunya. Semalam dia stay up lewat sampai ke pagi kerana menyiapkan tugasan yang mahu dihantar kepada pensyarah pagi ini.

Wait... 

Kalau dia kena hantar assignment pagi ini bermakna... yang sepatutnya dia perlu bersiap sekarang.

Qistina membulatkan sepasang matanya itu. Cepat-cepat mengalih pandangannya semula ke arah jam. Berderau darahnya.

Ya Allah... aku ada kelas dalam sekejap lagi rupanya! Dia tepuk dahinya.

Ini semuanya gara-gara mimpi itu...

Qistina lekas menarik selimutnya. Membiarkan ia jatuh ke bawah. Dia mulai kelam-kabut. Segalanya jadi tidak kena. Kelasnya itu patut bermula pada pukul 8.30 pagi.

Tinggal lagi berapa minit saja dia harus bersiap? Dengan baju kurung yang tak bergosoknya. Ah, pedulikan. Pakai sajalah baju berlengan panjang yang biasa itu dengan berseluar jean. Mana yang sempat sajalah. Mujurlah tudungnya itu tidak perlu bergosok. 

Kemudian dia mencapai alat mandi dan bergegas ke bilik mandi. Berbedak pun ala kadar saja.

Qistina tahu yang selepas ini dia perlu menapak pula ke kelasnya. Boleh tahan juga jarak antara kolej dengan bangunan fakultinya itu. Akan memakan masa lagi. Haih! Malang betul nasibnya hari ini. 

Harap-harap... pensyarahnya itu tidak mengamuklah nanti. 

Tak putus-putus Qistina berdoa.

_

BUAT pertama kalinya dalam sejarah, Qistina datang lambat ke kelas. Segan mula menguasai kerana menyedari yang dia telah menjadi perhatian banyak pasang mata ketika ini sebaik menguak pintu dewan kuliah dari luar. 

Mungkin juga kerana dialah yang paling lewat sekali tiba ke kelas. 

Sedangkan yang lain-lain sudah lama leka dengan sesi kuliah seperti yang dijadualkan pada hari tersebut. 

Masing-masing kehairanan. Tertanya-tanya apakah sebabnya Qistina lambat masuk ke kelas? 

Qistina terus meminta maaf dengan pensyarahnya itu. Mujurlah Prof Dr. Wardah tidak banyak soal. Seperti memahami pula. 

Qistina berlalu ke tempat duduk di tengah-tengah dewan memandangkan bahagian depan sudah pun diduduki oleh pelajar lain. 

Matanya berlaga dengan anak mata hitam pekat Raffa yang duduk di belakang. Cepat-cepat dia melarikan pandangannya ke tempat lain. Tiba-tiba boleh pula berdebar-debar. Mukanya bertukar kemerahan. Ingatannya terarah kepada mimpi itu. Haisy... tak sanggup dia nak pandang muka Raffa lagi. 

Dia benar-benar sudah gila gamaknya? 

Untuk hari ini dan esok, lebih baiklah dia cuba mengelak daripada Raffa. Sampailah dia benar-benar boleh melupakan mimpi yang tidak sepatutnya itu.

Raffa cuma bermuka biasa, mengalih semula pandangannya kepada pensyarah mereka yang tengah sibuk mengajar di depan. Dia kembali fokus. 

Sebaik Qistina duduk, senyap-senyap Raffa mengalih pandangannya itu semula. Membiarkan matanya terpaku kepada gadis itu sambil jari-jemari kasarnya bermain dengan pen. 

Setiap gelagat Qistina diperhatinya dengan tenungan nakal. 

Dia turut tertanya-tanya seperti kebanyakan mereka. Tahu yang Qistina belum pernah lambat setiap kali menghadiri kuliah. 

Raffa mula dihambat curiga.

*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.

Post a Comment

0 Comments