RAFFA


BAB 24

QISTINA perasan ada kehadiran seseorang yang muncul di depannya. Seolah-olah sedang menantinya. Dia lekas menyedarkan dirinya. 

Ah... kau jangan nak perasanlah, Qistina!

Mana mungkin... tak mungkin dia tunggu kau.

Seperti biasa Qistina pergi ke studio yang terletak di bangunan fakultinya itu. Dia kini fokus bagi menyiapkan tugasan projeknya. 

Namun, Qistina sama sekali tidak menyangka yang mereka akan bertembung juga hari ini. Puas dia mengelak sejak kejadian lalu.

"Qis..."

Dia berpura-pura tidak mendengar panggilan itu. Mempercepatkan ayunan langkahnya.

Entah apa lagi yang Raffa mahukan agaknya? Pergelangan tangannya dipaut pula menyebabkan langkahnya itu terhenti. 

Berkerut dahi Qistina. 

"Lepaskan tangan saya ni," dia menekan satu per satu ayatnya seraya memandang tajam muka Raffa.

Raffa akhirnya meleraikan pegangan itu perlahan-lahan. Terbit keluhannya. Dia meraup mukanya itu dengan sebelah tangan. Gayanya ketara menampakkan yang kali ini dia tidak mampu lagi bertenang. Ketenangan itu sudah lama hapus lenyap semenjak dia mengeluarkan kata-kata kesat itu.

Tapi... tiada langsung kata-kata yang keluar daripada mulut Raffa. Hanya terus-terusan memandang Qistina dengan agak lama.

Qistina lekas melarikan anak matanya ke tempat lain. Tak sanggup lagi dia nak membiarkan wajahnya ditatap Raffa. 

Cukuplah... sekali dulu dia bertindak membiarkan rasa itu menguasai segenap hati. Dia sudah puas terluka dengan ucapan Raffa yang langsung tidak patut.

Lambat-lambat dia membuka mulut. 

"Awak nak apa lagi? Tak puas lagi ke awak hina saya... Kata saya macam-macam?" Nadanya itu berkecil hati.

"Masa presentation nanti kita buat biasa-biasa aje. Jangan risau. Saya takkan campur adukkan hal peribadi dengan waktu belajar." Katanya tanpa langsung menatap muka Raffa.

"Aku nak minta maaf." Ucap Raffa tulus.

"Aku tahu yang aku salah... Tak patut cakap kau macam tu. Aku betul-betul minta maaf."

Qistina terpanar.

Raffa memandang muka Qistina. Hampir dua minggu dia tidak mendengar suara itu. Barulah kali ini dia berpeluang untuk bercakap dengan Qistina setelah cuba memberi ruang buat mereka.

Qistina senyum pahit. Dia angkat mukanya itu, memandang Raffa yang berwajah keruh. 

"Baik, saya maafkan." Katanya sebelum berpusing, lalu mengayun langkah kakinya itu.

Raffa tersentak. Segera menahan Qistina yang mahu berlalu pergi. Tubuh tinggi dan tegapnya itu menghalang Qistina. 

Qistina mematikan langkahnya.

"Macam tu aje?" tanya Raffa dengan sepasang mata tepat memandang Qistina. 

Dia inginkan kepastian. Qistina macam tiada apa saja?

"Habis? Nak macam mana?" Qistina angkat kedua-dua keningnya. 

"Awak dengar saya cakap apa tadi, kan. Saya dah maafkan. Sekarang, biarkan saya pergi." Katanya seraya memandang muka Raffa bersilih ganti dengan lengannya yang tengah dipaut Raffa itu. 

"Kita buat hal sendiri. Saya pun dah tolong awak macam apa yang awak dah cakap tu. Tugas saya hanya bantu awak dalam subjek prof. Dah takde apa-apa lagi antara kita. Kan? That's it. Am I right?" 

Raffa mengeluh. 

Qistina seperti sengaja memulang paku buah keras. Tapi, memanglah layak Qistina nak marah sekalipun. Atau pun berkecil hati. Pautan itu akhirnya dia terpaksa lepaskan. Dia menatap sepasang anak mata Qistina. Kali ini lebih lama berbanding tadi dengan raut serius. Menarik nafasnya itu. Dia bersedia mahu meluahkannya. Tentang segala-galanya... tanpa ada apa-apa lagi yang dipendamnya.

"Kan aku dah cakap dulu. Yang aku takkan lepaskan kau atau... tinggalkan kau." Raffa bersuara serak.

Qistina terpaku. 

Qistina menggenggam erat sebelah tangannya itu dengan rasa tidak percaya. Benarkah apa yang Raffa ucapkan itu? Bagaimana kalau Raffa main-main lagi? 

Dia... takut. Takut mahu percaya sekali lagi. Takut yang dia bakal dilukai nanti.

"I'm so lonely. Aku... Tak pernah rasa macam ni. Mama dan papa lebih fikirkan pasal kerja berbanding diri aku daripada dulu sampai sekarang. Aku dah buat satu benda bodoh. Nope. Sebenarnya bukan satu..." geleng Raffa dengan muka berserabut.

Qistina mengerutkan dahi cuba memahami. Raffa kembali menarik nafasnya.

"Tapi... terlalu banyak benda bodoh dan tak patut aku buat semata-mata nak tunjukkan depan mama dan papa aku yang mereka tu salah! Mereka bersalah sebab dah banyak kali abaikan perasaan aku! Ya. Aku susah nak terima yang mama dan papa aku dah bercerai. Yang keluarga aku dah hancur! Aku tak pernah rasa bahagia walau sekelumit pun. Sampaikan aku tak sedar yang aku dah buat benda yang sama dekat kau. Aku lepaskan segala-galanya. Rasa marah aku tu... Dengan sengaja cakap kau benda yang bukan-bukan. Aku fikir yang aku boleh tenang tanpa kau, Qis... dengan..." luah Raffa, mencari sepasang mata bundar itu. 

Perlahan-lahan dia mendekati.

"Menjauhkan diri daripada kau." Raffa separuh berbisik. 

Qistina tersentak. Hembusan nafas hangat itu cukup hampir. Kata-kata itu menyebabkan Qistina tersedar. Mula memahaminya.

"Tanggapan aku tu silap. Aku tak pernah tenang tanpa kau. Not until I've met you.

Raffa menyambung kata setelah beberapa ketika. Qistina bermuka kemerahan. Sesaat... dua saat... dia cuba membalas renungan itu. Gagal! Debaran itu sama seperti sebelumnya. 

Qistina menggeleng perlahan. 

"Lupa ke apa yang awak pernah cakap dekat saya? Awak kata saya ni perempuan murahan. Tak... Saya tak layak." gelengnya berulang kali. Supaya Raffa sedar diri semula.

Raffa terkedu.

"Let go of me," Qistina bersuara lirih.

"Qis... Please dengar dulu."

"Apa tujuan awak dekati saya semula? Kalau sekadar nak main-mainkan saya, tolong lupakan saya. Saya dah susah nak percaya balik lepas apa yang awak dah buat. Dulu, saya ingat lagi apa yang awak pernah kata. Awak serius cakap yang awak tak pernah nak main-mainkan saya. Alih-alih awak tuduh saya dengan memalukan saya di depan Zafrul! Awak buat saya ni macam takde harga diri. Awak fikir mudah ke untuk saya terima?" Luah Qistina. Dia seperti keliru pun ada. 

Dia sudah tawar hati mahu percaya. Terlalu pedih kata-kata itu sehingga sukar dia nak melupakan. Raffa pujuklah macam mana pun. Payah dia nak meletakkan kepercayaan itu kembali.

Raffa menunduk sejenak, genggamannya dikuatkan. 

"Aku betul-betul maksudkan kata aku. Aku tak main-main, Qis. Aku memang sukakan kau daripada dulu lagi."

Pengakuan Raffa itu mengejutkan Qistina. Raut Qistina terus bertukar. 

Masing-masing menyepi sejenak. 

Raffa akhirnya membuka mulut bersama panahan redupnya itu. 

"Aku nampak Zafrul cuba nak rapat dengan kau daripada awal sem. Dan, lelaki lain pun. Cuba nak dekat juga dengan kau. Aku mengaku, okey. Aku sedar semua tu. Tapi, sengaja buat-buat tak nampak. Aku sengaja tak bercakap dengan kau... Sebab aku tak tahu cara macam mana nak berdepan dengan kau. Kau... Tak sama macam perempuan lain yang aku kenal. Kadang-kadang aku rasa kau macam boleh baca fikiran aku ni. Tahu apa yang aku rasa. Walaupun aku dah cuba banyak kali untuk lupakan kau, Qis. Aku tetap tak boleh bencikan kau." Raffa berkata tulus. 

Qistina cukup tergamam sebaik mendengarnya. Hatinya itu berbunga tanpa dipinta. Mahu saja disimpan rapi kata-kata itu. Tetapi... dia masih sedar diri. Mereka tetap daripada dua dunia yang berbeza. 

"Saya tak sama macam perempuan lain... Kalau awak tahu, mesti awak akan menyesal sebab luahkan dekat saya."  Qistina menunduk, lalu ketap bibir bawahnya. 

Raffa kurang memahami. Dahinya itu berkerut.

"Apa dia yang kau cuba sorokkan daripada aku? Beritahu aku sekarang." Kata Raffa dengan raut serius.

Tangan kasarnya bersulamkan jari-jemari halus Qistina. Menarik Qistina agar lebih ke depan. Qistina kelihatan cemas. Raffa hanya membiarkan beberapa pasang mata pelajar lain yang lalu-lalang terhala kepada mereka. 

Muka Qistina bertukar merah padam sebaik menjadi perhatian yang lain-lainnya. Menyedari yang tak mungkin Raffa akan lepaskan dia lagi. Raffa cukup berani. Berani tunjukkan apa yang diinginkan. 

"Raf, lepaskan saya. Lupakan segalanya," rayunya.

"No. I won't. Terus terang dengan aku dulu. Baru aku lepaskan tangan kau ni. Please, Qis... hmm?" pujuk Raffa.

Qistina diam membisu.

"Apa maksud kau dengan kata yang aku akan menyesal? Tak... Aku takkan menyesal sebab luahkan apa yang aku rasa dekat kau. Takde apa pun yang akan ubah perasaan aku ni." Ucap Raffa penuh yakin.

Qistina pejam mata sejenak. Dia berusaha menghadam segala kata-kata itu. Berusaha mencari kekuatan untuk berterus terang.

Raffa menanti.

"Betul awak yakin dan takkan menyesal?" tanya Qistina lambat-lambat tanpa memandang wajah itu.

Raffa mengangguk dengan pandangannya terpaku ke muka itu.

Satu per satu ayat itu terkeluar daripada mulut Qistina, meluncur laju tanpa ditahan lagi. 

"Saya anak luar nikah."

_

DIA sudah boleh mengagak sejak daripada awal lagi. Sepatutnya begitu. Tak mungkin Raffa boleh menerima hakikat itu. Bahkan mana-mana lelaki pun. Yang dia ini kotor dan bukanlah daripada keturunan yang baik-baik. 

Raffa akhirnya sudah tahu rahsia besar yang selama ini dipendamnya. Yang selama ini disimpan baik tanpa pengetahuan sesiapa pun melainkan keluarga angkatnya saja yang tahu.

Puas Qistina memujuk hatinya... puas dia menangis sendirian. Di depan Raffa dia berpura-pura kuat. Senyap-senyap... dia sebenarnya menaruh harapan. 

Tak mungkin, Qistina... mustahil! Mereka tetap tak boleh bersama sampai bila-bila pun. Raffa tak mungkin sanggup menerima dirinya.

Masih ingat lagi dengan kata-kata Raffa itu. Janji Raffa yang lelaki itu tidak ambil peduli dengan apa kata orang lain terhadap dirinya. Tetap mahu bersama dengannya. Tetapi... Raffa jugalah yang bertindak menyakitkan hatinya. Malah jauh lebih menyakitkan berbanding kata hinaan Alisya dulu.

Dia sanggup mengaku di depan Raffa yang dia anak luar nikah kerana ingin lari daripada bayangan Raffa buat selamanya. Supaya Raffa tidak mencarinya lagi selepas ini. Agar masing-masing boleh move on. Jika inilah yang paling terbaik. Caranya untuk dia teruskan hidup seperti biasa. Melupakan segala-galanya dan bermula semula...

Dua minggu mereka tidak bertegur sapa dan Raffa kembali meluahkan sesuatu yang mengejutkannya. Ditambah lagi dengan dua minggu mereka tidak bersua muka langsung. 

Raffa terus menghilangkan diri sebaik dia berterus terang. 

Semalam... dia ada terserempak dengan Raffa daripada kejauhan. Dia lihat Raffa seolah-olah perasan yang dia berada berhampiran. Namun, Raffa tidak menegurnya. Bertindak menjauhkan diri sekali lagi. 

Qistina tersenyum pahit. 

Bukankah dia sudah boleh menjangkakan Raffa pastinya akan bereaksi begitu? Kenapa hatinya sangat-sangat kecewa? Semakin dalam kelukaan yang dirasainya? 

Berbanding kata hinaan Raffa sebelumnya. Dirasakan itu jauh lebih baik berbanding Raffa yang cuba menjauhkan dirinya sebaik tahu dia siapa. 

Cumanya... satu saja.

Raffa tidak membuka cerita langsung perihal itu kepada sesiapa. Kerana dia lihat kawan-kawan sekelas mereka apatah lagi para pensyarah hanya bersikap biasa-biasa saja dengannya. Langsung dia tidak mendengar apa-apa cerita yang tidak enak berkaitan dirinya daripada sesiapa pun. 

Sedikit-sebanyak ianya melegakan hati Qistina.

Mengapa dia masih sukar melupakan luahan Raffa? Jauh di sudut hatinya, Qistina yakin yang Raffa benar-benar tulus saat mengucapkannya.

Kau harus kuat! Hati membisikkan kata itu. Berulang kali. Tanpa jemu.

Ya, dia kena terus bersemangat dan berusaha melupakan Raffa. Berusaha melupakan apa yang berlaku. Sekurang-kurangnya dia berjaya tunaikan janjinya itu dengan Prof. Rahmat supaya membantu Raffa dalam subjek itu. 

Itulah perkara terbaik yang pernah dilakukannya sepanjang dia berada di kampus. 

Mereka bakal menamatkan pengajian. Yakin yang dia tidak akan berjumpa Raffa lagi... juga rakan sepengajiannya... mereka akan membawa haluan masing-masing. Hal seperti ini pastinya akan dilupakan dan akan tinggal sejarah.

Ayunan langkahnya itu semakin laju. 

Qistina jadi bersemangat semula, menuju ke pintu masuk perpustakaan. Dia membelok pula ke satu selekoh bangunan seraya mengeratkan pegangan pada beg galas bahunya itu.

Qistina tersentak sebaik lengannya itu direntap seseorang. Dia nyaris nak terjerit. Degupan jantungnya berlagu kencang. Belakang tubuhnya ditolak rapat ke dinding tanpa ada sesiapa pun yang lalu-lalang.

Dengan siapa dia nak meminta pertolongan? Mungkinkah ada orang yang mahu menculiknya? Arghh... apa yang kau mengarut ni, Qistina? Ada ke sesiapa yang nak menculik pelajar miskin sepertinya di kawasan kampus ini? Lainlah kalau dia ini kaya-raya ke... logiklah juga.

Sepasang matanya itu membulat sebaik menyedari redup pandangan yang tepat memanah mukanya... tanpa dia sendiri menyangka kemunculan seseorang itu. Sepasang mata yang amat dikenali. Bibirnya bergerak sedikit. Ingin berkata sesuatu. Lidahnya kelu. 

Mereka kini berdepan antara satu sama lain. Tanpa sebarang kata. Hanya saling memandang bersama debaran itu. 

Dia akhirnya pasrah... 

-TAMAT SIRI PERTAMA

*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.

Post a Comment

0 Comments