RAFFA
BAB 9
"TAK mahal ke makan dekat sini?" Qistina menoleh.
Mereka sudah pun menghabiskan hidangan masing-masing. Raffa mengangkat kedua-dua bahunya tanpa berkata apa. Baginya dia sudah terbiasa makan di tempat sebegini.
Raffa meletakkan sudu dan garfu ke pinggan yang sudah kosong. Terasa kenyang betul perutnya.
"Kau rasa?" tanyanya.
"Mahal juga bila tengok harga makanan dekat sini, kan? First time saya makan dekat sini."
Qistina meluahkan. Dia memandang ke segenap restoran itu. Pelanggan pun boleh tahan ramai juga.
"Really?"
Raffa menganggap ia biasa-biasa saja. Biasalah, kafe hipster. Apa yang mahalnya?
Qistina belum lihat lagi setiap kali dia keluar makan berdua dengan kakaknya. Mahu terbeliak mata Qistina agaknya. Kakaknya itu jenis yang high taste berbanding dirinya.
Tak pun setiap kali papanya itu mempelawa mereka sekeluarga makan di luar. Selalunya di hotel mewah bertaraf lebih dari lima bintang. Belum kira lagi percutian mereka di luar negara.
Tak usah cakaplah makan mereka itu bagaimana?
Mamanya tidak memasak. Di rumah pula, lebih mengharapkan orang gaji yang tolong sediakan hidangan untuk mereka.
Tapi, Raffa malas hendak bercerita sangat. Untuk apa? Dia tidak berapa suka bercerita tentang gaya hidup mewah keluarganya itu kepada orang lain. Biarlah orang itu ada kaitan rapat sekalipun dengannya.
Dia tidak seperti Zafrul. Zafrul itu lainlah. Lebih suka berkongsi cerita dengan sesiapa pun yang Zafrul suka.
Sebab itulah semasa Qistina mengatakan yang gadis itu cuma makan megi, dia seperti susah nak terima. Takkanlah hari-hari Qistina makan megi? Kurang nutrisi.
Bagaimana Qistina pergi ke kelas dengan sanggup berikat perut? Patutlah dia lihat badan Qistina kurus saja. Kecil molek orangnya.
Terasa mahu saja Raffa bertanya. Tetapi... tidak terluah. Dia akhirnya membiarkan persoalan itu begitu saja.
Raffa memandang Qistina yang tengah mengeluarkan dompet dari dalam tote bagnya itu.
"Nak buat apa?" dia bertanya bersama kerutan di dahinya.
"Ermm... Nak pergi bayarlah. Nak buat apa lagi?" balas Qistina.
"Tak payah."
Raffa menahan.
Qistina duduk semula di kerusinya. Dia serba salah. "Ermm... Raf."
"Takkanlah awak nak belanja semua ni?"
"Kenapa? Tak boleh ke?"
Itu pula yang keluar dari mulut Raffa.
Qistina terdiam. Banyaknya duit Raffa? Nak dibandingkan dengan dia. Hatinya tertanya-tanya. Malas hendak bertanya siapa sebenarnya keluarga Raffa. Dia menyimpan semula dompetnya itu. Lambat-lambat, dia membuka mulut.
"Terima kasih." Ucapnya.
"Hmm."
"Itu... Kereta awak ke?" Qistina ingin tahu.
"Yup."
"Oh..."
"Kau macam nak cakap sesuatu aje." Kata Raffa.
Macamlah dia tak perasan. Qistina seperti teragak-agak.
"Ermm... Takde apalah." Geleng Qistina.
"Cakap ajelah." Raffa mendesak.
"Cantik..."
Raffa mengerutkan dahi. "Apa yang cantik?"
"Kereta awak."
Qistina memandang Raffa yang tersenyum lebar. Dia balas dengan jelingan.
"Salah ke soalan saya?"
"Taklah. Aku rasa, kau nak tanya benda lain. Kan?"
Qistina tergamam. Macam tahu-tahu saja.
Raffa memesan pula minuman kegemarannya dengan seorang waiter. Dia siap memesan dua minuman buat mereka.
"Tapi, tak dinafikan yang makanan dekat sini sedap-sedap." Qistina memuji.
Raffa jongket keningnya.
"Kalau try western food dia, lagi sedap." Katanya.
"Yake?"
"Bolehlah kalau nak cuba. Lain kali ajelah kut."
Qistina terpanar. Genggamannya dikuatkan. Ada ke lain kali antara mereka selepas ini? Mungkin? Entah.
Raffa menahan senyum. Dia nampak Qistina cukup berselera makan tadi. Setiap perlakuan Qistina... gayanya itu... semuanya menarik perhatian Raffa. Diam tak diam.
Qistina tak menyedari langsung yang dirinya itu tengah diperhatikan.
Tak lama kemudian, seorang pelayan membawa minuman yang dipesan itu.
Qistina menyisip perlahan-lahan minumannya. Sepasang matanya membulat. Raffa tersenyum melihat gelagatnya.
"Sedap, kan? Betul tak aku cakap? Kau kena try juga." Kata Raffa.
Qistina angguk berkali-kali.
"Sedap." Balasnya.
Raffa tertawa kecil.
"Ikutkan, sebelum ni pernah ke awak pelawa kawan-kawan kita ke rumah famili awak?" Qistina ingin tahu.
Raffa terdiam.
"Kau maksudkan kawan perempuan?"
"Hmm." Angguk Qistina.
"Selain Alisya... Takde dah. Lagipun parents dia berkawan baik dengan parents aku. Dah lama kenal. Kalau orang lain yang kerap datang tu Zafrul lah." Akui Raffa.
"Zafrul memang suka lepak lama-lama."
"Hmm, yake..."
Qistina tahu baik Alisya mahupun Zafrul, kedua-duanya itu memang rapat dengan Raffa.
"Kau tak pernah cerita pun pasal keluarga kau, kan?" soal Raffa.
Dia memeluk tubuh sambil menyandar di kerusi dengan mata tertancap tepat kepada Qistina.
"Tentang parents kau... Atau, ada adik-beradik lain ke?" Raffa seolah-olah berminat ingin tahu.
Qistina mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Raffa perasan air muka Qistina terus bertukar lain. Atau... dia cuma bermain dengan perasaan?
Dia berdeham.
"That's fine. Kalau kau tak mahu cerita pun takpe. Kita..." Raffa meleretkan ayat dengan panahan tajamnya.
"Bukanlah rapat sangat pun, kan." Ucapnya senafas.
Qistina menunduk. Dia mengacau minumannya itu dengan sudu kecil. Lambat-lambat, dia membuka mulut.
"Ikutkan saya ni cuma anak angkat. Tinggal sekali dengan mak dan adik angkat sejak saya masih kecil. Ayah dan mak kandung saya pula..." Qistina diam sejenak.
Raffa menanti.
"Mereka dah lama meninggal dunia... Atau, boleh dikatakan yang... saya tak pernah pun berjumpa mereka sejak lahir." Katanya perlahan.
Raffa terkesima.
Namun, dia tidak menyampuk apa-apa. Terus-terusan memerhati Qistina. Qistina beralih memandang ke luar. Membawa kedua-dua tangannya ke dalam genggaman. Ada sesuatu yang dia tengah fikirkan. Hal itulah yang seringkali bermain dalam benaknya. Hal yang sekian lama cuba dilupakan.
Dia rasa benci dengan dirinya setiap kali mengingatinya. Cerita itu yang membuatnya jadi benci. Kerana ianya bukanlah seperti kisah dongeng fairy tale yang menjadi idaman dia di waktu kecilnya. Sebaik... dia mendapat tahu siapa kedua-dua orang tuanya.
"Mungkin aku tak patut tanya kau macam tu." Raffa bersuara.
Qistina cuba senyum, walaupun seperti dipaksa.
Raffa menghela nafas, mencapai cawannya itu dan menyisip perlahan-lahan minumannya.
"Sekurang-kurangnya famili kau sekarang ambil berat juga pasal kau, kan? Takdelah mereka biarkan kau macam tu aje. Betul tak apa yang aku rasa ni?" duga Raffa.
Perlahan-lahan bibir merah Qistina mengukir senyuman. Lantas, Qistina balas dengan anggukan.
"Saya sayangkan mak dan adik saya tu, macam darah daging sendiri. Kami bukanlah daripada keluarga yang senang. Jauh sekali kaya-raya. Sebab tulah saya belajar bersungguh-sungguh. Supaya saya boleh tanggung mereka bila dah bekerja nanti." Qistina meluahkan.
Dia perasan raut Raffa yang serius ketika itu. Tak pasti apa yang Raffa tengah fikirkan.
“Kau tak rasa realiti hidup yang sebenarnya macam mana, Qis. Tak mudah sebenarnya. Kita memang boleh rancang macam-macam, tapi... Nak bina impian macam apa yang kau cakap tu… Bukannya mudah.” Raffa berkata sinis.
Dia menggeleng perlahan bersama genggaman yang dieratkan.
Qistina tergamam.
Apa yang diucapkan Raffa itu berbeza benar dengan kata-kata Zafrul. Zafrul pula begitu yakin dengan jalan hidupnya sebaik menamatkan pengajian nanti.
Dia pun tidak menyangka, Raffa berfikiran begitu.
Bukankah Raffa juga dalam kategori anak orang berada sepertimana Zafrul? Kenapa Raffa boleh kata begitu?
“Aku faham kesusahan yang kau alami tu. Alangkah bagusnya... Kalau semua orang belajar untuk lebih menghargai apa yang mereka ada sekarang. Berbanding dengan orang yang ada segalanya… tapi, langsung tak hargai apa yang mereka ada. Tak bersyukur.” Raffa berkata penuh makna.
“Aku benci dengan orang yang macam tu.”
Satu per satu ayat itu terbit dari mulut Raffa. Mukanya itu serius.
Qistina tidak berani nak bertentang mata dengan Raffa ketika ini. Dia menarik nafas, terasa sesuatu... dia bungkam tanpa kata.
"Awak maksudkan yang... Saya ni tak bersyukur ke?"
Dia berkecil hati.
"Saya cuma luahkan apa yang saya rasa."
Agak terasa dengan kata-kata itu. Salahkah dia hendak meluahkan apa yang dirasainya? Bukanlah bermakna dia mahu komplen ke atau apa tentang masalah hidupnya.
Sebaliknya dia rasa bersyukur kerana masih ada orang yang benar-benar menyayangi dirinya.
Raffa memaksudkan siapa agaknya? Mungkinkah benar yang Raffa sedang tujukan ayat itu tadi kepadanya?
Raffa tak membalas.
Qistina mendiamkan diri, masih memikirkan kata itu.
Dia benar-benar keliru.
Thanks for reading.
Post a Comment
0 Comments