RAFFA




BAB 6

"QIS." Raffa memanggil.

Qistina berpura-pura tak mendengar panggilan itu, terus saja menapak laju meninggalkan dewan kuliah. 

Dia langsung tak mengendahkan Raffa yang tengah mengejarnya.

Raffa terpaksa melajukan langkahnya itu supaya dapat menyaingi Qistina. Dia tahu Qistina tidak berpuas hati dengannya perihal tadi.

Qistina mematikan langkah sebaik tubuh tegap Raffa menahannya. 

Raffa menyengih seraya meletakkan sebelah tangannya pada dinding, sengaja dia menghalang. Berdiri betul-betul menghadap Qistina. 

Qistina tersedar yang dia tidak boleh lari daripada Raffa lagi.

"Marah aku ke?" Raffa jongket kening.

Qistina mendongak, lalu membalas pandangan Raffa itu. Dia menjeling. 

"Apa ingat saya tak nampak ke? Puas awak dengan Zafrul gelakkan saya dalam kelas tadi. Awak kan yang tulis macam tu dekat assignment saya? Awak sengaja, kan. Nak memalukan saya depan Prof Rahmat." Katanya dengan muka merah padam.

"Baik awak mengaku cepat. Saya tahu yang itu kerja awak. Awak tulis tu masa nak pulangkan balik assignment dekat saya. Kan?"

"Eh, bila pula?" Raffa berpura-pura. Dalam hatinya itu sedaya upaya menahan gelak. Padahal dia sudah pun terkantoi. Ah, biarlah. Dia peduli apa?

"Yang masa awak jatuh dari motosikal tulah." Qistina jegilkan mata.

Raffa tak membalas.

"Kenapa awak buat macam tu? Apa yang awak nak ni sebenarnya?" soal Qistina bertalu-talu. Geram betul dia sebaik melihat Raffa yang hanya bersikap selamba itu. 

"Aku memang sengaja pun. Kau pun tahu apa sebabnya, kan?" Raffa menjawab dengan panahan tajamnya.

Qistina tergamam.

"Sebab... Yang awak accident tu ke? Awak masih nak salahkan saya pasal hal tu ke?" tanyanya.

Tak mungkin Raffa boleh berdendam dengannya sampai begitu sekali? Qistina benar-benar tidak faham. Dia membuka mulut lambat-lambat.

"Bukan ke saya dah banyak kali minta maaf dengan awak?" Dia memandang muka Raffa.

Raffa mendengus, mengalih pandangannya ke tempat lain. Masing-masing masih tercegat di tepi koridor. Statik gaya mereka. Namun, Qistina dapat merasakan ketegangan situasi di antara mereka ketika itu. 

"Ada benda lain lagi yang aku tak suka... Dan, penyebab kenapa aku macam ni," ucap Raffa tanpa memandang muka Qistina. Rautnya begitu serius.

Qistina tertanya-tanya. "Maksud awak?"

"Aku tak setuju bila prof minta kita bekerjasama dalam final project tu." Akui Raffa. Rahangnya itu bergerak sambil Qistina memerhati gelagatnya.

Qistina melepaskan keluhan. Dia meraup mukanya itu dengan kedua-dua tangan. Haih, berat juga masalah mereka. 

Tapi, apa yang dia boleh lakukan? Nak tak nak pun, mereka harus bekerjasama juga. Perlahan-lahan bibir merahnya mengukir senyuman. 

Raffa memandang penuh tanda tanya. Entah apa yang melucukan agaknya. Kata-katanya tadi ke?

"Kenapa kau senyum?" soal Raffa.

Mereka bertentang mata untuk beberapa saat.

Raffa memandang wajah polos milik Qistina. Mengambil peluang yang ada dengan meneroka segenap inci wajah itu tanpa rasa jemu. Putih dan agak kemerahan. Tanpa sebarang jerawat. 

Sepasang matanya jatuh pula ke bibir mungil itu... bibir yang merah semula jadi hanya dicalit dengan lip balm. Seulas bibir yang mampu menggugah hati mana-mana lelaki. Tak mampu dinafikan. Alis yang tebal dan elok terletak. Juga tanpa sebarang mekap. Belum pernah sekali pun dia melihat Qistina mengenakan apa-apa mekap setiap kali mereka berjumpa di kelas.

Buat pertama kalinya Raffa melihat Qistina dengan jarak sedekat ini. Sebelumnya dia hanya pandang dari kejauhan. Atau pun, buat-buat tak pandang langsung.

Sejak dari hari pertama mereka bersua muka semasa menghadiri sesi suai kenal dengan pelajar senior lagi, dia sudah nampak Qistina ketika itu. Cuma jarang sangat mereka bertegur sapa. Melainkan hal yang betul-betul penting apabila melibatkan pelajaran saja. Dia juga tidak faham kenapa ramai mengatakan yang Qistina itu sombong dan kedekut ilmu. 

Raffa turut perasankan sesuatu... Qistina selalu saja bersendirian. Lone ranger bak kata Zafrul. Heh, itu ke sebabnya mereka boleh sesuka hati menuduh? Kerana... dia juga kadangkala lebih memilih untuk bersendirian. Tanpa ditemani kawannya. Terutamanya ketika dia ada salah faham dengan papa atau pun mamanya. 

Dia turut terpengaruh dengan kawan-kawannya. Disebabkan itulah dia lebih banyak menjauhkan diri daripada Qistina. Meletakkan jurang yang besar antara mereka. Mereka sebaya. Tetapi, tidak betul-betul mengenali antara satu sama lain.

"Raf?" Berulang kali Qistina memanggil. 

Raffa terus-terusan memerhati. Qistina cepat-cepat melarikan pandangannya ke arah lain. Tiba-tiba saja dia rasa berdebar semacam. Dia melingas. Memerhati ke sekeliling mereka yang tiada sesiapa pun. 

Entah berapa lama agaknya mereka begitu. 

"Raf... Kalau dah takde apa-apa lagi... Ermm, saya nak balik dulu. Assalamualaikum." Qistina benar-benar tidak selesa.

Rasa tak sedap hati sebaik menyedari yang mereka hanya berdua-duaan di situ sedangkan kawan-kawan yang lain sudah lama pulang ke kolej masing-masing. Ada juga yang ke kafe berhampiran. 

"Qis, wait..." Raffa menahan.

Dia memaut lengan Qistina. Qistina yang baru saja menuruni satu anak tangga begitu terkejut. Lekas dia meleraikan pegangan itu.

"Isy, tak payahlah pegang-pegang. Hmm, apa dia?" Qistina angkat kedua-dua keningnya.

"Sorry." Raffa mengangkat kedua-dua tangan dengan sengihan.

Masing-masing terdiam.

"Yang pasal tadi... Saya rasa, lebih baik kita ikut aje cakap Prof Rahmat." Ucap Qistina. Dia memikirkan perihal tadi.

Raffa tak bersuara.

"Saya cuba tolong awak ya? Mana yang termampu. Saya akan tolong, Insha-Allah." Qistina senyum.

Raffa memandang senyuman itu. Dia memeluk tubuh dengan sepasang mata tertancap ke muka Qistina.

"Baik, tapi... Aku malas nak buat group discussion dekat sini."

Qistina memandang Raffa dengan kedua-dua kening yang hampir bercantum.

"Habis tu? Nak buat dekat mana?" tanyanya.

"Dekat mana nanti, biar aku sendiri yang tentukan. Boleh jadi dekat luar. Atau pun di rumah aku sendiri." Putus Raffa.

Qistina terdiam. "Hmm..." Dia mengemam bibir.

"Okey. Apa sebabnya awak tak nak kita buat group discussion dekat fakulti?"

Raffa mendekati. Selangkah demi selangkah sehingga jarak mereka begitu hampir. Qistina menguatkan pegangannya pada buku rujukan.

"Boringlah. Kau tak bosan ke? Masuk kelas hari-hari. Buat assignment... project tu semua. Aku tak sama macam kau. Cepat rasa bosan bila terpaksa hadap benda sama hari-hari. Asyik belajar aje. Kau tu... lainlah." Raffa berkata.

"Bolehlah hari-hari bertapa dekat library. Kau fikir semua orang ni sama ke?" sambungnya.

Terbeliak mata Qistina sebaik mendengarnya. Mulutnya separuh terbuka. Dia menjeling. 

Selamba betul mulut Raffa bila bercakap. Boleh pula Raffa kata dia suka bertapa di perpustakaan? Atas bawah dia pandang Raffa dengan panahan tajamnya.

"Takkanlah nak studi dekat shopping mall? Tak pun, pusat karaoke. Itu tak jadi belajar namanya. Mestilah orang akan studi dekat library. Betul tak?" Qistina menjawab bersama kerlingan sekilas.

Raffa ketawa kecil. Tak tahan mendengar ayat selamba badak itu. 

"Habis, dah tau bosan... Kenapa awak sambung belajar juga?" Qistina menjeling.

Hujung bibir Raffa mengukir senyuman herot. 

"Papa aku yang beria-ia. Nakkan aku sambung juga. Ikutkan dia lagi nak hantar aku pergi sambung belajar dekat overseas. Aku aje yang malas." Jawabnya.

Qistina terdiam. 

"Awak pun tak boleh nak samakan saya macam awak tau. Bila saya kata yang saya lebih suka buat kerja group dekat sini," Qistina juih mulut.

Raffa senyum sinis. Dia memasukkan kedua-dua tangannya itu ke dalam poket jean.

"Satu lagi... Aku ada kerja lain nak buat dekat rumah. Sebab tulah aku nak kita buat group discussion dekat situ." Ujarnya.

"Oh..." Qistina baru faham.

"Hmm. Kalau macam tu, saya gerak balik kolej dululah. Apa-apa hal pun, kita bincang balik kemudian ya." Katanya seraya melirik jam di pergelangan tangannya itu. 

Dia sudah merancang hendak membasuh bajunya yang bertimbun itu dalam bakul. Selepas itu dia mahu menyiapkan pula assignmentnya. 

Qistina mahu cepat sampai ke biliknya. Baginya masa itu yang lebih penting. Tidak mahu jadualnya itu terganggu.

"Yang kau macam nak cepat aje ni apahal?" 

Suara Raffa menembusi gegendang telinganya. Qistina menoleh. Membalas pandangan itu. 

"Saya ada banyak kerja lagi nak buat." Dia beralasan.

"Tak nak lunch dulu?" Raffa bertanya.

Qistina menggeleng-geleng. 

"Makan tu... nanti ajelah. Saya ada banyak stok megi dekat bilik. Kalau tak sempat, makan megi ajelah." Jawab Qistina selamba.

"What?" Raffa mengerutkan dahi. 

Hai, kenyang ke dia? Namun, tidak pula Raffa menyuarakannya.

"Kau takde duit ke?" Tiba-tiba Raffa menyoal.

Qistina terkesima. Dia mendiamkan diri sebaik ditanya begitu. 

Raffa sabar menanti.

"Kalau nak... Aku boleh tolong tapaukan nasi dengan lauk untuk kau. Lepas tu kau makan ajelah dekat bilik. Kau biasa makan dekat kafe uptown tu, kan?" Ucap Raffa tanpa berfikir apa.

"Takpe. Terima kasih ajelah. Lagipun saya nak cepat." Qistina tersenyum kecil.

Malas dia hendak menyusahkan sesiapa. Bukannya dia tidak ada duit. Simpanannya itu masih lagi ada. Maklumlah masih lagi di awal semester. Cumanya dia mahu lebih berjimat cermat. 

Raffa menggeleng tidak faham. 

Ada sajalah kerjanya. Perangai best student macam ini agaknya? Tak pandai sangat mahu bersosial... Membosankan. Itulah yang bermain dalam fikiran Raffa ketika ini. 

Dia memerhati belakang Qistina sambil bercekak pinggang sebelum tiba-tiba... Qistina hampir terjatuh akibat tergelincir kerana tapak kasutnya yang haus. 

Raffa membulatkan mata.

Qistina terjerit kecil. 

Ada tangan yang memaut pinggangnya daripada hampir terjatuh. Rupanya itu Raffa. Muka mereka sangat rapat sehingga Qistina dapat merasai hembusan nafas Raffa di pipinya itu. 

Jantungnya berlagu kencang. Pandangan mereka bertaut seketika. Masing-masing bagaikan terpaku.

Qistina menolak perlahan-lahan dada Raffa bersama debaran yang tak putus-putus. Dia bermuka kemerahan. Tindakan itu spontan dan di luar jangkaan. Dia benar-benar tidak menyangka.

Raffa meleraikan pautannya itu. Barulah dia membuka mulut.

"Careful. Okay?" ucapnya. 

Qistina hanya menunduk dengan bibir diketap kuat. 

Raffa berlalu pergi tanpa menunggu lebih lama. Genggaman sebelah tangannya dikuatkan sambil dia laju menuruni satu per satu tangga ke ground floor. 

Qistina menghela nafas setelah kelibat Raffa sudah tiada. Dia memegang dada seraya menyandar ke dinding. Debaran itu masih belum hilang. 

Kenapa ini pula yang berlaku?

*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.

Post a Comment

0 Comments