Benar Kucinta Dia
Bab 3
RAYSA mengerling
Melisa yang bulat matanya mendengar ceritanya tadi.
Raysa terus melangkah keluar dari dewan
kuliah sambil diekori Melisa. Melisa mempercepatkan langkahnya supaya dapat
menyaingi kawan baiknya itu.
Sekali-sekala mereka ditegur oleh
beberapa rakan sekuliah, namun hanya Melisa saja yang membalas teguran mereka.
“Apa jadi, Ray?”
“Mamat tak guna tu kena buang kerja.”
“Biar betul, Ray?”
“Kau ingat aku saja suka-suka reka
cerita? Tak kuasa aku nak buang masa aku cerita pasal mamat sial tu. Hei,
banyak lagi benda aku nak kena fikirlah.” Raysa meninggikan suara.
Melisa memang tak boleh bila temannya
itu sudah mengamuk. Tahi telinganya lama-lama boleh cair menahan
sumpah seranah Raysa.
“Aku cuma kesian dekat mamat tu. Fareez
kan nama dia? Aku dengar pak cik tu cakap semalam.”
“Entahlah weh. Manalah
aku nak ingat nama dia.”
“Tapi serius wei, kau tak nampak ke
muka dia semalam? Aku tak pernah jumpa lelaki yang sangat cool and steady aje walaupun kau dah simbah air dekat muka
dia. Aku rasa macam... eh, seriuslah? Wujud lagi ke lelaki macam tu kat
Malaysia ni? Kalau lelaki lain, dah lama dah kau kena lempang tau Ray.”
Raysa hanya melirikkan matanya ke atas.
Mereka terus berjalan melepasi
perpustakaan.
“Sebab aku buat macam tulah yang dia
datang mengamuk kat aku. Aku ingatkan perogol bersiri mana nak rogol aku. Huh,
dia fikir aku takut agaknya dengan dia,” kata Raysa penuh lagak.
“Selamba aje kau ni. Kalau aku jadi
kaulah, Ray, mahu pengsan aku agaknya.”
Peristiwa semalam masih membuatnya
seram sejuk. Tapi dia sengaja berlagak selamba. Raysa malas nak berterus terang dia
sebenarnya takut dengan gertakan Fareez semalam. Nanti Melisa ketawakan dia pula. Daripada
ceritanya, bukan main lagi. Kononnya dia ini berani. Perempuan macam
dia, tidak akan sesekali tunduk kepada sesiapa.
Siapa yang tidak kenal Raysa? Hampir satu
fakulti mengenalinya. Seorang anak orang kenamaan yang
sangat berlagak dan punya gaya tersendiri.
Bukannya Raysa tidak tahu segelintir
kawan-kawannya hanya mahu menumpang populariti dan harta kemewahan yang
dia ada. Yang berkawan sebab mahu berseronok pun ada.
Raysa juga sedar Melisa mungkin tidak
seikhlas mana pun berkawan dengannya. Tapi hendak buat macam mana. Dia telah
banyak kali cuba mengelak daripada gadis itu. Namun, kedegilan Melisa yang mahu mendekatinya
dan cuba berkawan dengannya makin lama makin melenturkan
egonya itu. Raysa akhirnya mengalah. Mereka kini sudah menjadi best buddies.
“Aku peduli apa! Biar padan dengan muka
dia. Baru dia sedar diri dia tu siapa. Dahlah miskin. Harap
muka aje... ermm... bolehlah bagi aku. Sedap sikit mata aku ni pandang.”
Melisa tersengih.
“Kau nak kata yang Fareez tu handsome, kan? Hah, betul tak cakap aku
semalam? Memang mamat tu handsome gila kau tau tak? Dah macam muka
pelakon dah aku tengok. Macam kacukan pun ada. Tinggi pulak tu,” puji Melisa.
“Huh!” Raysa merengus.
Tak kuasa dia hendak bercerita lagi
pasal mamat biadab itu. Handsome tak handsome, ada aku kisah?
“Apa kata kita pergi ke kedai makan
semalam tu nak tak, Ray? Aku macam nak jumpa lagilah dengan mamat tu.”
“Yang kau macam gila bayang ni dah kenapa?”
Atas bawah mata Raysa memandang Melisa,
tidak percaya.
“Betullah, Ray. Aku macam rasa ada satu
tarikan pulak dekat mamat tu. Jomlah, Ray. Kau boleh ambil peluang ni untuk
minta maaf kat dia.”
“Kau sebenarnya nak kata aku salahlah
ye?”
Raysa menjegilkan mata.
“Bukan itu maksud aku,
Ray. Kau janganlah salah faham. Yelah, yelah... kau betul. Mamat tu yang
salah.”
Melisa terpaksa
memaniskan muka. Geram juga dia dengan sikap Raysa. Sudah buat salah, tapi tak
mahu mengaku pula!
“Jomlah, Ray. Kita minum lagi dekat
kedai tu.”
“Kau gila ke apa? Aku dah teruk maki
mamat tu semalam. Lepas tu dia datang mengamuk kat aku, kau dengan suka hatinya
ajak aku minum lagi sekali dekat situ? Takde maknanyalah! Nanti dia ingat aku
yang gila. Masih terhegeh-hegeh minum kat situ.”
Melisa angkat kedua-dua tangan,
mengalah.
“Hah, yelah. Kita
lepak tempat lainlah lepas ni. Aku ikut kau aje.”
“Tahu pun kau takut dengan aku ya,
Mel?”
Melisa mencebik.
“Tak pun, kita pergi shopping nak? Kau temankan aku, Mel.”
Raysa menarik tangan Melisa.
Mereka menghampiri Honda Civic Raysa. Raysa menekan kunci keretanya
dan terus masuk ke dalam kenderaan itu. Enjin kereta dihidupkan.
Melisa meletakkan beg galasnya serta
dua buah buku di kerusi belakang sebelum ke kerusi penumpang sebelah Raysa.
Raysa turut mencampakkan beg tangannya
ke belakang. Sempat dia membetulkan rambutnya yang panjang paras bahu. Dia
mencapai lipstik merah yang sengaja disimpan dalam dashboard kereta. Dicalitkan ke bibirnya yang sudah merah merekah.
Bukan apa, senang baginya
nak membetulkan semula mekap di wajah polosnya. Siap ada cermin sekali disimpan
di situ.
“Kau nak shopping apa, Ray?”
“Aku nak beli baju baru. Nak tukar
beberapa helai dress aku yang dah
buruk tu.”
“Oh...” Melisa menggaru kepala.
“Aku boleh temankan kau ajelah ye, Ray.
Aku nak shopping, err... kau faham
ajelah. Aku nak mintak duit dekat abah aku macam segan pula. Minggu lepas aku
dah mintak dah. Abang aku pulak tak gaji lagi.”
Raysa mendiamkan diri. Dia tidak
berkata apa-apa sehingga kereta yang dipandunya itu keluar dari pekarangan
fakulti mereka.
“Kalau kau rasa berkenan dengan
mana-mana baju nanti, kau guna aje duit aku, Mel,” jawab Raysa akhirnya.
Matanya masih terhala ke jalan tar. Mereka sudah
melepasi pondok pengawal yang menjaga pintu masuk utama kampus.
Melisa tersenyum kecil. Dia memandang
temannya itu.
“Thanks,
Ray. Ni yang aku sayang sangat dekat
kau.”
“Eii... Kau jangan cakap
macam tu boleh tak? Geli telinga aku ni dengar!”
Melisa tergelak besar.
“Aku memang betul-betul sayangkan kau,
Ray.”
Memang dia ikhlas berkawan dengan Raysa
selama ini. Cuma Raysa sahaja yang buat tidak tahu. Raysa fikir dia cuma
berkawan kerana duit semata-mata.
Padahal tidak sedikit pun terniat di
hatinya untuk mengambil kesempatan. Melisa juga bebas menjadi dirinya sendiri kerana Raysa
juga menunjukkan siapa dirinya yang sebenar.
Tanpa disedari, senyuman kecil terukir
jua di hujung bibir Raysa.
Post a Comment
0 Comments