14

MALAM itu aku sukar melelapkan mata. Di luar pula hujan turun dengan begitu lebatnya mencurah-curah membasahi bumi. Fikiranku masih melayang mengingati sesuatu yang sejak petang tadi lagi membuat aku terganggu. Puas aku berusaha melenyapkan bayangan wajah Hazim namun masih juga gagal. Aku bingung dengan situasi yang aku alami sekarang. 

Apakah maksud semua ini? Aku sendiri tidak mengerti.
Aku melekapkan telapak tangan ke dahi. Panasnya. Aku demam ke? Mungkin aku terlalu banyak berfikir. Pasal kerja... pasal mama... dan juga pasal... Hazim. Ah, kenapa nama dia juga yang aku seru?

Jiwa aku saat ini benar-benar kacau. Ke dia dah guna-gunakan aku supaya asyik selalu ingat kat dia? Manalah tahu orang yang berfikiran kolot seperti dia tergamak melakukan benda karut itu demi memenuhi kepuasan sendiri. Aku cukup yakin dan pasti sekali yang aku memang amat benci padanya. Jadi kenapa aku harus memikirkan dirinya sepanjang masa?

Telingaku menangkap bunyi sesuatu dari tingkat bawah. Lama aku mengamati bunyi itu. seperti bunyi sesuatu yang terjatuh dengan kuat. Aku tidak pasti apakah benda itu. Suasana menjadi hening seketika. Aku bergegas ke muka pintu lalu menuruni satu-persatu anak tangga ke tingkat bawah. Papa dah balik ke?
“Papa?”
Tiada sahutan.
Aku memanggil papa sekali lagi. Masih tetap sunyi dan sepi. Dahiku berkerut seribu. Pelik. Kalau papa dah balik mesti dia bagi salam dulu. Ruang tamu pun kosong. Tiada langsung kelibat papa di situ. Aku menjenguk melalui celah langsir. Pandanganku menembusi ke arah luar rumah melalui sliding door. Gelap gelita dan sunyi. Betul-betul menyeramkan tanpa ada sesiapa yang lalu-lalang. Aku memandang ke arah jam antik papa yang terletak di sudut kiri paling hujung ruang tamu. Patutlah sunyi je. Dah pukul 1 pagi rupanya. Tetapi nak kata dah lewat sangat pun tak jugak.
Isy... apa kena pulak aku ni? papa kan tengah outstation sekarang ni. Macam mana aku boleh lupa pulak ni.
Aku melabuhkan punggung di atas sofa. Membuka televisyen dan mencari siaran di Astro. Mana tahu dengan cara ini aku boleh mengantuk ke. Hm... masih juga gagal untuk melelapkan mata. Bosan betul.
Kata-kata Abang Zafri siang tadi bergema tiba-tiba ke sanubariku. 
‘Walaupun dia tak menunjukkan perasaan sebenarnya secara terang-terangan tapi abang tahu yang dia memang sukakan Meem...’
Kenapa? Kenapa hal ni jugak yang aku ingat? Kenapa susah sangat aku nak lupa? Kenapa?!! Mengingati Hazim membuatkan aku bertambah benci dan sakit hati. Walaupun aku sedar dia tidak pernah berkata sesuatu yang tidak elok padaku tetapi aku tetap tidak menyukainya. Semuanya disebabkan emaknya itu. kalaulah emaknya melayani aku dengan baik tidaklah aku sebenci ini. Lelaki itu memang selalu menyusahkan aku. Setiap saat dan ketika.
Berderau darahku bila tiba-tiba ia berbunyi lagi. Kali ini kedengaran jelas dari arah dapur. Keadaan yang gelap gelita tanpa lampu dipasang menyukarkan pandanganku. Jantungku berdegup kencang. Bunyi apa tu?
Hatiku tertanya-tanya. Aku terlalu ingin tahu bunyi apakah itu sehingga tanpa sedar kaki ini menapak satu-persatu menuju ke dapur. Alangkah terperanjatnya aku bila terpandang bayang-bayang satu lembaga yang berdiri betul-betul pada tingkap yang tertutup. Walaupun kurang jelas dan cahaya yang samar-samar aku dapat melihat dengan jelas bayangan itu.
Ya ALLAH... bantulah aku. Janganlah berlaku apa-apa yang tidak elok padaku. Aku mohon pada-MU...
Hendak menjerit meminta tolong suara ini terasa seperti tersekat di kerongkong. Aku tidak mampu bersuara. Kaki ini juga bagai digam pada lantai marmar. Langsung terpaku di situ tanpa aku mampu berbuat apa-apa. Peluh sudah membasahi dahiku. Aku mulai seram sejuk.
Mataku masih terpaku pada bayangan itu sebelum ia bergerak ke arah kanan dan lesap entah ke mana. Tubuhku benar-benar menggigil ketakutan. Aku menjadi takut yang teramat. Dalam hati aku menyeru nama Tuhan berulang kali walaupun bacaan ayat Qursi habis berterabur dan entah apa-apa yang aku baca.
Ya ALLAH, apakah yang harus aku lakukan? Telefon papa? Polis? Nak minta tolong pada siapa?
Prangg!!!
Bunyi kaca pecah. Sekaligus kelibat lembaga hitam itu melintasi tingkap. Aku tersentak. Kali ini aku mencari kekuatan untuk melarikan diri dan bersembunyi di satu tempat tersorok. Di bawah meja. Ya, di situ mungkin lebih selamat!
Aku hanya terbayangkan bayangan itu mungkin pencuri atau penyamun yang cuba memecah masuk ke dalam rumahku. Pada mulanya aku berfikir mungkin hantu tetapi mustahil. Aku tahu bayangan lembaga itu ialah manusia. Bukannya hantu atau jin. Air mata ku merembes keluar dengan laju. Aku menutup mulut agar bunyi esakan tidak kedengaran. Aku sangat takut. Tidak pernah seumur hidupku mengalami ketakutan sebegini.
Pelbagai benda buruk bermain di fikiranku. Bagaimana kalau penyamun-penyamun itu berjaya memasuki ke dalam rumahku? Dan terjumpa aku yang sedang menyorok di bawah meja ini? Bagaimana dan apakah yang harus aku lakukan untuk menyelamatkan diri?
Menjerit sekuat mungkin?
Kalau tidak sempat macam mana? Seandainya salah seorang antara mereka menghunuskan pisau tajam ke leherku. Mustahil... matilah aku kali ini!
Atau... berlari dan menguncikan diri di dalam bilik?
Kalau mereka mengepung aku bagaimana? Kemudian mengikat kedua belah tangan lalu aku diheret ke atas katil dan di... diiii..... dirogol?!
Tidak! Tidak! Tidak!!
Aku menggeleng berulang kali sambil menekup wajah dengan kedua tapak tangan. Aku sudah hilang arah. Panik menguasai diriku.
Dan saat genting itulah tiba-tiba aku terdengar ketukan yang bertalu-talu di muka pintu utama kediaman. Mula-mula perlahan kemudian semakin kuat. Aku menggeleng lagi. Tidak, aku tidak akan membuka pintu itu. Tidak akan sesekali. Tangisanku semakin kuat. Aku berlari ke arah telefon. Dengan tangan yang menggigil ketakutan, aku cuba mendail nombor papa.
Ah... aku sudah lupa. Kenapa aku boleh terlupa nombor papa di saat-saat genting ini? Barangkali akibat terlalu panik aku gagal mengingati nombor yang sepenting itu. Papa... baliklah papa. Meem takut. Tolong Meem papa!
“Meem! Buka pintu ni!”
Suara seorang lelaki memanggil namaku berulang kali. Aku terpaku di situ. Mimpi apakah ini? Mimpi ataukah realiti? Tidak mungkin aku bermimpi kerana suaranya cukup jelas menampar gegendang telinga.
“Meem!” suara garau itu bagai menyentak tangkai hatiku. Macam suara Hazim?
Aku segera membuka pintu. Jelas kelihatan di hadapanku ini sekujur tubuh Hazim yang tercegat di muka pintu. Kenapa dia mahu berjumpa denganku di waktu sebegini? Pakaian dan mukanya sedikit basah akibat terkena air hujan yang masih lagi turun dengan lebatnya di luar. Kilat dan petir sabung-menyabung dengan menggila.
“Meem...”
Aku masih terkaku. Pandangan kami bertaut dengan agak lama. Anehnya, kali ini tiada pula rasa hendak marah bila terpandangkan raut wajahnya itu. Tetapi aku tidak mampu bersuara. Mata aku tidak lepas-lepas dari memandangnya.
“Shameem!!” tinggi nada suara Hazim.
Dia mencengkam erat kedua belah bahuku lalu digoyangkan berulang kali. Aku yang seperti baru tersedar kehadirannya di situ terus menghamburkan air mata. Aku menangis teresak-esak. Diriku seolah-olah dipukau dan Hazim telah menyedarkan aku dari sihir itu. Aku hampir rebah ke pangkuannya. Sedaya-upaya aku cuba mengawal diri dan beristighfar.
“Are you alright?”
Aku menggeleng berulang kali.
“Meem, kenapa dengan awak ni?”
Tangisanku semakin lantang.
“Ada... ada orang... cuba nak... pp...pe... pecah masuk dalam rumah... nnn...ni tadi...”
Aku tergagap. Jiwaku semakin kacau dan tidak keruan. Hazim mengintai ke dalam rumah lalu menapak masuk dengan hati-hati.
“Kat mana nampak orang tu tadi?” soalnya curiga.
“Dekat belakang dapur.”
“Patutlah, dia tak dapat masuk rumah sebelah rupanya dia terus tuju ke sini.” Rungutnya perlahan.
Aku tergamam. Hazim tahu ke apa yang berlaku tadi? barulah aku perasan ada sebatang besi di tangan kanannya. Dia menggengamnya kemas. Dengan teragak-agak aku mengekori langkahnya.
“Isy, gelapnya. Kenapa awak tak bukak je lampu ni?”
Hazim tercari-cari arah suis lampu. Aku mengekorinya dari belakang. Fikiranku berbolak-balik. Tidak keruan rasanya. Aku mula rasa tidak sedap hati tetapi tetap berasa lega dengan kehadiran Hazim di situ. Aku sedar yang aku harus melupakan rasa benci dan sakit hatiku pada Hazim buat sementara waktu kerana dalam masa yang sama dia telah menolongku. Dalam saat genting sebegini aku sudah tidak mampu untuk berfikir apa-apa lagi.
“Mana suis lampu?” tanya Hazim.
“Kat situ.”
Aku menunjukkan arah suis tersebut walaupun aku sendiri tahu yang dia tidak mungkin nampak dalam keadaan gelap begini.
Hazim hampir terlanggar meja yang terdapat di tengah ruang tamu. Dia mengaduh kesakitan. Mungkin dia tidak perasan agaknya ada meja di situ. Sukar untuk aku melihatnya dengan jelas kerana keadaan yang gelap gelita. Hanya remang cahaya dari lampu tiang di luar sahaja yang menembusi melalui tingkap dan pintu utama yang sedikit terbuka tadi. Aku teraba-raba perabot yang ada berdekatan denganku.
“Kena bukak lampu dulu. Lepas tu...”
Tanpa sempat Hazim menghabiskan ayatnya, aku terjerit kecil. Rupa-rupanya kakiku telah tersadung karpet sehingga tubuhku hampir terjatuh. Tanpa dapat dikawal, aku menarik hujung baju lengan pendek Hazim hingga terkoyak. Segalanya berlaku dengan amat pantas dan tanpa dapat dikawal lagi. Aku benar-benar malu dengan kejadian tidak diduga itu!
“Meem, awak tak apa-apa ke?”
Dalam masa yang sama kami terdengar suara orang memberi salam dari luar. Hazim segera meluru ke pintu.
Aku menuju ke suis utama dan membuka lampu. Dalam sekelip mata sahaja ruang tamu yang gelap itu bertukar dengan cahaya terang-benderang. Aku melepaskan keluhan perlahan. Mujurlah tiada apa-apa yang berlaku.
“Meem...”
Tiba-tiba Hazim bersuara tanpa sedikitpun menoleh ke arahku. Dan senyumanku terus mati saat mataku tertancap pada beberapa orang lelaki yang sudah berada di depan pintu dengan riak wajah yang sukar ditafsirkan. Kesemuanya bersongkok dan ada juga yang berkopiah. Sekali tengok sahaja aku sudah dapat menduga apakah yang akan bakal berlaku seterusnya.
Aku terus terpaku di situ.
**********
“SIAPA dia ni?”
“Jiran saya encik,” jawab Hazim jujur.
Lelaki yang menyoal tadi itu merenungku tajam. Mungkin dalam lingkungan 50-an barangkali. Entah apa agaknya yang difikirkan. Aku teragak-agak menghampiri Hazim. Kami berpandangan. Aku pula seperti orang bingung tidak mengerti.
“Oh, jiran ye. Rumah kamu kat mana?”
“Sebelah ni aje.”
“Ada sape lagi kat dalam rumah ni?”
Hazim terdiam seketika.
“Kami berdua je.”
“Habis tu, buat apa kamu ada kat sini? Berdua-duaan dalam waktu macam ni?” keras lelaki itu menyoal.
“Sebenarnya...”
“Tadi rumah saya dimasuki pencuri encik. Ada orang cuba nak pecah masuk. Saya pun tak jangka yang dia nak datang ke mari,” aku memotong cakap Hazim. Ingin menerangkan kedudukan sebenar apabila Hazim kelihatan teragak-agak. Mungkin dia juga bingung dengan apa yang berlaku saat ini.
Mereka tersenyum sinis. Seolah-olah tidak mempercayai kata-kataku tadi. Aku mengerutkan dahi. Dadaku berdebar. Namun aku berusaha untuk kelihatan tenang di hadapan mereka. Aku tidak mahu kelihatan bersalah kerana sememangnya aku tidak bersalah!
“Boleh percaya ke cakap kamu ni? apa buktinya yang cerita kamu tu benar?”
“Memang betul encik. Takkan saya nak tipu pulak? Saya tak reka cerita. Tadi memang saya ada dengar bunyi bising kat belakang dapur. Lepas tu saya ternampak ada lembaga hitam melintas di tingkap dapur tu. Keadaan dia macam cuba nak pecah masuk ke dalam rumah saya ni. Percayalah encik. Saya tak bohong. Hazim, awak sendiri pun tau kan?”
“Saya pun tak pasti lah...” jawab Hazim dengan riak muka yang tenang.
Hazim, apa yang awak cakap ni?
Aku begitu terkejut dengan reaksinya yang benar-benar menjengkelkan itu. Mengapa dia boleh setenang ini dalam pada aku berusaha meyakinkan mereka semua bahawa kami berdua tidak bersalah? Kami tidak buat apa-apa. Tidak jelas lagikah dengan penjelasanku tadi? Aku seperti hendak menangis.
“Tengok, pasangan awak sendiri pun tak berapa pasti dengan cerita awak tu. Kamu ni memang hebat mengada-adakan cerita ya? Kamu fikir dengan cara ni boleh menutup kesalahan kamu berdua hm?” tegas ustaz yang berkopiah putih itu.
Lidahku jadi kelu.
“Hazim, diorang tak percaya dengan cerita saya Hazim... Hazim, tolong bagitau mereka hal yang sebenarnya tadi. Tolonglah Hazim. Saya rayu sangat-sangat pada awak!”
Air mataku sudah merembes keluar. Mengalir membasahi pipi. Aku menggoyangkan lengannya. Namun Hazim seperti tidak punya perasaan. Dia menunduk ke lantai seperti orang bersalah. Tidak pernah aku lihat Hazim seperti itu selama aku mengenalinya. Gaya sebegitu semakin menambah syak di hati mereka yang memandangnya. Bukan ini yang aku inginkan.
“Macam mana kami nak percaya? Cuba kamu lihat keadaan kamu berdua. Dalam keadaan yang mencurigakan ini sape-sape pun takkan percaya dengan cerita rekaan kamu tu. Dengan baju lelaki ni yang koyak, basah lagi, dalam keadaan gelap pulak tu. Lagi satu yang peliknya, macam mana kamu yang takde apa-apa hubungan boleh berada di rumah ni dalam waktu begini?”
Tuduhan itu bagaikan halilintar buatku. Aku menahan esakan. Sesungguhnya, saat ini aku merasa sangat benci untuk menatap muka lelaki yang berdiri di sebelahku. Rasa mahu sahaja aku menumbuk wajah tidak berperasaan itu. Tiada langsung kata-kata yang keluar dari mulutnya untuk mempertahankan maruah kami berdua yang benar-benar tidak bersalah ini. Terasa harga diriku dipijak-pijak. Diperlakukan seperti tidak bermaruah.
“Tolonglah encik... kami tak buat apa-apa pun. Percayalah!” aku meraung.
“Dah, dah. Jangan nak menangis pulak. Dah buat salah baru sekarang nak menyesal. Apa nak jadilah dengan budak-budak muda sekarang. Tak fikir langsung dengan dosa dan pahala. Dah terang-terang duduk berduaan dengan yang bukan mahram tu haram hukumnya. Walaupun cerita kamu tadi tu mungkin ada benarnya, tapi kamu tetap bersalah dalam hal ni. Ia bukanlah alasan untuk kamu berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahram kamu. Masih banyak lagi cara lain nak selesaikan masalah. Kenapa tidak dari tadi lagi kamu telefon polis aje. Kan senang cerita.
Ustaz itu menggeleng kesal.
“Saya tak bersalah encik!”
“Sekarang ni jugak saya nak mintak kamu berdua hubungi ibu bapa atau penjaga masing-masing. Kalau boleh perkara ni perlu diselesaikan secepat yang mungkin,” tegasnya.
Kata-kata terakhir lelaki berjambang tersebut sudah cukup membuatkan pandanganku jadi berpinar-pinar. Tubuhku jadi lemah longlai tidak bermaya. Aku sudah tidak mampu berdiri lagi. Raunganku semakin kuat. Akhirnya tubuhku rebah di situ.