Bab 19

Keindahan Pulau Langkawi menyaksikan dirinya yang sedang dilanda kesedihan yang tidak bertepian. Entah mengapa perkahwinan yang diidamkan bersama jejaka pujaan hati selama ini tidak menampakkan sinar kebahagiaan. Kelesuan yang terpancar pada riak wajahnya tidak langsung menggambarkan yang dia seronok dengan percutian bulan madu bersama suaminya. Entah di manakah silapnya. Dia pun tidak tahu.

Kakinya berjalan menyelusuri tepian Pantai Cenang nan indah yang terletak tidak jauh dari Pekan Kuah kira-kira 25km di sebelah barat. Tetapi agak jauh dari hotel mereka di Awana Porto Malai Resort. Angin yang damai berhembus mengusik pipi makin membuatkan hati Nurin Hanani sedikit terusik. Dia keseorangan ketika ini. Tanpa Zarith di sisi.

Ya,tanpa suaminya di sisi. Yang sepatutnya menemani dirinya siang dan malam. Yang sepatutnya ada di sampingnya setiap masa dan detik waktu. Seperti pasangan suami isteri lainnya yang menikmati musim bulan madu dengan indahnya dan menjadi satu kenangan manis seumur hidup.

Dia berjalan dan terus berjalan tanpa henti. Tidak dihiraukan orang sekeliling. Pandangannya terpaku pada sepasang suami isteri barangkali,begitu romantis sekali berpegangan tangan dan berjalan berduaan di tepi pantai. Sama-sama menikmati keindahan alam petang itu. Hatinya sebak.

Hidup bersama Zarith membuatnya makin keliru dengan sikap suaminya itu. Dirinya tidak pernah dilayani sebagai seorang isteri selayaknya.

Walaupun di rumah mereka sebilik tetapi sebenarnya mereka tidak tidur sebantal. Zarith lebih senang tidur di ruang tamu. Kadang kala di bilik tetamu. Suaminya akan masuk ke kamar tidur mereka jika hendak mandi ataupun menyalin pakaian sahaja. Dia merasakan Zarith seolah-olah jijik dengan dirinya.

Layanan pula sangat dingin sekali. Walhal sebelum ini bukan main lagi lelaki itu bermain kata. Apakah ertinya perkahwinan ini?

Dia makin tidak faham.                                                                                    
Di mana Zarith ketika ini?
Dia tidak pasti.

Sebenarnya sejak mereka sampai ke pulau itu semalam lagi suaminya itu seolah-olah tidak mahu duduk berduaan dengannya. Hanya berehat tidak sampai dua jam di bilik hotel yang telah ditempah kemudian terus lesap entah ke mana.

Dia sampaikan tidak berasa yang Zarith setuju dengan idea bulan madu ini. Suaminya itu seperti terpaksa sahaja mengikut kemahuannya. Adakah dia terlalu memaksa?

Jika sibuk sekali pun dia tidak memaksa. Tidak terlintas langsung di hatinya memaksa Zarith mengikut keinginannya untuk bercuti dan menghabiskan masa di Pulau Langkawi.

Akhirnya dia juga yang sendiri. Seolah-olah hanya dia sahaja yang bercuti. Tanpa ada sesiapa pun di sisi. Kecuali ketika waktu hendak makan barulah dia akan bersama dengan Zarith. Selebihnya dia akan ke hulu dan Zarith akan ke hilir. Seperti orang yang sedang bermusuh pula.

Dia melihat jam di pergelangan tangan. Masa yang berlalu begitu lambat dirasakan. Dia sudah bosan berada lama-lama di situ. Hendak pulang ke hotel pun buat apa?

Duduk termangu keseorangan dan melamun. Lagilah bosan. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk pulang ke hotel semula. Memandangkan waktu maghrib telah hampir tiba. Dia perlu bersolat dan mandi lagi. Mungkin Zarith juga sudah ada di bilik ketika ini. Jika tiada pun dia akan kembali mengulang hobinya yang baru…mengelamun seorang diri.

**********

“Kenapa tak makan? Main kuis aje dari tadi Zarith tengok?”

Suaminya itu menegur dengan riak wajah selamba. Sedangkan hatinya sudah tiada keinginan untuk menjamu selera malam itu. Garfu di tangan dimain-mainkan. Mee goreng yang dipesan tadi masih banyak lagi seperti tidak terusik langsung. Dia memandang nasi goreng Pattaya di pinggan Zarith. Sudah hampir hendak licin.

“Hani takde selera nak makan.”                                        

Zarith meletakkan sudu dan garfunya. Dia mencapai sehelai tisu dan mengesat mulutnya.

“Kenapa? Hani sakit ke?”
Nurin Hanani geleng kepala.
“Dah tu?”
Dia masih menyepikan diri. Suaminya itu tiba-tiba sahaja mahu mengambil perhatian pula kali ini. Sebelum ini dirinya tidak diendahkan. Pelik sahaja dia.
“Hani tak lapar pun.”
Zarith mengeluh. Entah keluhan mengapa dia pun tidak tahu.
“Dari pagi tadi lagi makan sikit aje. Patutlah badan tu makin kurus aje Zarith tengok. Kurus kering. Macam tak cukup makan aje.”

Dia berkerut. Kurus kering? Sedikit terasa dengan kata sindiran Zarith. Sampai hati Zarith berkata sedemikian. Tetapi dia malas hendak menjawab.

“Esok kita pergi naik cable car nak tak?”ajak Zarith. Lelaki itu tersenyum pula.

Nurin Hanani terkedu. Buat pertama kalinya Zarith tersenyum padanya sejak dari hari pertama mereka menikah dahulu. Seakan tidak percaya sahaja. Nampak gaya macam hendak memujuk sahaja.

“Bb…betul ke bang?”

Zarith mengangguk sambil mengukir senyuman manis. Dia berasa sungguh bahagia dan…teruja!

“Em,nak.”
“Tapi dengan satu syarat.”
Zarith kembali serius. Dahinya berkerut. Ada syarat jugak ke?
“Apa dia bang?”
“Hani kena habiskan mee dalam pinggan tu dulu. Barulah kita boleh pergi esok. Kalau tak…Zarith pergi sorang-sorang.”
“Ala,mana aci macam ni…”dia tidak puas hati. Ditarik muncung empat belas.
“Aci dekat estet,”Zarith sengaja mengusiknya.
Makin kelat wajahnya. Tetapi Zarith masih selamba.
“Hurm,okey…Hani cuba habiskan ye,”dia mengalah.
Mee goreng yang ada di dalam pinggan disuap perlahan dan masuk ke dalam mulut. Tiba-tiba sahaja seleranya datang balik.
Zarith tersenyum puas.

Jauh di sudut hatinya terasa bahagia sekali dengan layanan baik suaminya malam ini. Entah angin apalah yang melanda sehingga mood yang sebelum ini tidak elok kembali mesra pula. Dia merindukan saat-saat kenangan bersama lelaki itu satu ketika dahulu yang gemar mengusiknya. Tetapi kini perubahan Zarith benar-benar sukar untuk dijangka.

**********

Pemandangan dari atas kereta kabel yang menyaksikan hutan hujan tropika sungguh mengujakan. Ianya merentasi Gunung Mat Cincang yang merupakan puncak kedua tertinggi di Pulau Langkawi. Dia berasa sungguh kagum menyaksikan semua ciptaan kebesaran Ilahi. Alam nan terbentang luas dengan pemandangan lautan yang biru memberikan ketenangan di hatinya. Walaupun agak gementar dan gayat juga namun ketika bersama Zarith suasana itu dirasakan sangat romantis sekali. Dia berasa selamat berada di sisi Zarith.
Dia hendak tergelak sahaja apabila kereta kabel yang dinaiki mereka sewaktu bertembung dengan kereta kabel lainnya,ada pula yang melambai-lambaikan tangan ke arah mereka. Walaupun tidak dikenali tetapi Zarith sekadar membalasnya sahaja. Sama-sama merasai keseronokan ketika itu.

Sewaktu hampir hendak sampai ke stesen yang seterusnya, dia terpaku pada sebuah pemandangan menarik di bawah. Kelihatan satu kawasan air sungai yang mengalir deras di bawahnya. Kelihatan sangat kecil sekali apabila dipandang dari atas.

“Eh,bang. Tengok tu. Tu kan Telaga Tujuh. Betul tak bang?”

Zarith mengangguk sambil tersenyum. Terasa geli hati juga melihat gelagat isterinya yang begitu teruja sekali.
Inilah pertama kali dia merasakan keindahan berbulan madu bersama suaminya. Walaupun dia tidak pasti adakah ini sesaat cuma. Namun layanan Zarith hari itu benar-benar membuatnya diulit bahagia.
Mereka tiba di stesen yang terakhir dan paling tinggi sekali. Hembusan angin membuatkan dirinya berasa sejuk pula. Tambahan pula mereka berada di tempat yang tinggi. Dia berasa gayat melihatkan suasana dari atas itu.

“Abang best kan bila kita dah sampai kat atas ni?”

Tiada sebarang respons. Dia hairan.

‘Zarith? eh,mana Zarith?’

Dia tercari-cari. Tiba-tiba terasa tangannya dipegang erat dari belakang. Dia menoleh. Zarith sedang tersenyum manis ke arahnya. Dia membalas dengan hati yang penuh debaran. Sentuhan itu membuatnya makin terasa diri seperti disayangi. Terasa seperti ada cas-cas elektrik yang mengalir dalam diri.
Bahunya dipaut mesra. Lain benar layanan suaminya itu. Dia memang senang sekali dengan suasana romantis antara mereka berdua. Tetapi dia jadi hairan.

Sebelum ini dia sedar yang Zarith kadang kala terpaksa melayaninya dan menurut kemahuannya tanpa sebarang perasaan. Hendak mendengar ungkapan cinta pun tidak pernah. Sampaikan dia berasa Zarith seperti terpaksa menikah dengannya tanpa sebarang perasaan. Tetapi tidak elok baginya menaruh prasangka yang bukan-bukan terhadap suami sendiri. Cepat-cepat dinyahkan segala prasangka itu dan berdoa agar kebahagiaan yang sedang dinikmati ini tidak diragut pergi.

“Hani…”bisik Zarith lembut di telinganya.

Masih menggenggam erat tangan isterinya. Seolah-olah terasa sayang untuk dilepaskan. Nurin Hanani membalas genggaman tangannya itu.

“Ya bang.”

“Hani suka tak duduk sini?”

Nurin Hanani mengangguk. “Suka sangat. Cantik dapat tengok pemandangan ni. Suasana ni…buat kita rasa tenang aje. Abang pulak macam mana?”

“Zarith pun suka. Rasa tenang. Kalau boleh nak duduk sini lama-lama pun takpe.”

Satu yang dia tidak faham. Mengapa suaminya tidak membahasakan diri sebagai ‘abang’ seperti dia memanggilnya kini. Hanya nama sahaja yang digunakan seperti kawan pula. Tetapi berat mulutnya untuk bertanya. Tidak mahu suasana baik itu menjadi ‘spoil’ pula tiba-tiba dengan pertanyaannya nanti.

Mereka berdua menyepikan diri seketika. Sama-sama merenungi alam ciptaan Ilahi. Betapa agung dan besarnya kebesaran Tuhan. Jika sebelum ini Zarith yang pernah tinggal lama di luar negara sudah puas menyaksikan pemandangan cantik dan indah di negara orang serta beberapa negara Eropah lainnya. Sehingga dia sudah puas menikmati dinginnya musim salji,kehangatan musim panas,keindahan suasana musim luruh dan warna-warni musim bunga yang beraneka rupa itu.

Kini dia menikmati pula keindahan alam di negara sendiri. Tempat kelahirannya sendiri. Yang tidak kurang cantiknya juga. Begitulah uniknya negara ini. Lama dia mengelamun.

“Hm…sejuknya,”

Tercetus kata-kata dari bibir isterinya. Nurin Hanani menggosok-gosok tangan. Zarith memerhatikan sahaja. Terasa ingin dipeluk sahaja isterinya itu. Ingin sekali menghadiahkan satu kehangatan agar isterinya tidak sejuk lagi dengan hembusan bayu yang dingin itu.

Namun keinginan itu segera dimatikan. Dia menyedari yang kadang kala ketika duduk berduaan bersama isterinya bukan tidak ada keinginan itu. Tetapi hatinya sendiri yang ego untuk mengakuinya. Dia juga insan yang normal seperti lelaki lain. Jika diikutkan lama-kelamaan hatinya boleh cair dengan Nurin Hanani jika dibiarkan perasaan sayang yang mulai singgah di hati.

‘Aku sayang dia ke?’

Dia menjadi gelisah. Cuba menafikan.

‘Kau ego Zarith. Terlalu keras hati. Kau sebenarnya dah lama jatuh hati pada Nurin Hanani. Sejak kau bertemu dengannya sewaktu kau kemalangan lagi. Cuma kau aje yang tak mahu mengakui. Kau takut Zarith. kau takut untuk mengakui yang kau mencintai Nurin Hanani sebenarnya. Isteri kau sendiri.’

‘Aku tak mencintainya. Aku takde langsung perasaan padanya…’

Dia masih cuba menafikan kata hatinya sendiri tadi.

‘Habis tu apa maksud semua ini? Kalau kau betul-betul takde perasaan dengan isteri kau,mengapa kau layan dia seperti sekarang ni? sedangkan kau sendiri tahu yang kau memang rela hati nak bawa dia ke mari. Bukan sebab terpaksa. Masih tak mahu mengakui nya lagi?’

Hatinya mengejek lagi.

‘Tidak. aku tak mungkin jatuh cinta. Semua perempuan sama aje! Tak setia macam mummy! Kejam!’

‘Heh,betul ke ni? kalau kau tak mengaku sekarang pun takpe…sebab lambat laun nanti kau terpaksa jugak terima hakikat yang kau sebenarnya memang dah jatuh cinta Zarith. Kau tak rasa tercabar ke dengan Zarul? Adik kau tu…’

Jantungnya berdegup kencang. Sekencang angin taufan. Benar ke Zarul menyukai Nurin Hanani selama ini?

‘Ya,memang kau tak tau Zarith apa yang sedang berlaku. Tak mustahil andai satu hari nanti adik kau akan rampas Nurin Hanani dari tangan kau. Kau tak rasa tercabar ke kalah dengan adik kau sendiri? Kau tak takut ke akan kehilangan isteri kau nanti?’

‘Ah,tak mungkin!!’

Dia berperang dengan perasaan sendiri.

Segala persoalan yang bermain di jiwa makin membuatnya tertekan sekali. Dia meraup wajah. Satu keluhan berat dilepaskan. Tanpa disedari,satu sentuhan lembut menyapa pipinya. Dia mendongak dan memandang wajah ayu dan lembut isterinya yang sedang mengukir senyuman manis. Dia terpana.

“Abang ni kenapa? Macam ada masalah aje?”

Zarith menggeleng lemah. Perlahan dia menolak tangan isterinya.

“Jom kita balik…”

Nurin Hanani terkejut dengan perubahan wajah Zarith. Baru sebentar tadi dia dapat melihat lelaki itu tersenyum bahagia. Sangkaannya benar. Semua yang dinikmati ini hanya sementara. Hatinya terguris lagi. Namun dia tetap tidak berani membantah. Kakinya melangkah perlahan mengekori langkah Zarith dan berlalu dari situ.

Bab 20

Perubahan sikap Zarith yang begitu ketara makin membuatnya semakin tidak mengerti. Dia mula mengesyaki sesuatu. Seperti ada yang tidak kena dengan perkahwinan ini. Usia perkahwinan mereka baru sahaja hampir mencecah tiga minggu lebih. Inai di jari pun masih merah lagi. Tetapi sikap suaminya amat berlainan sekali. Tidak seperti sewaktu dia mula-mula mengenali suaminya itu. Memang dia akui. Mereka tidak pernah bercinta pun sebelum ini.

Perasaan sayang di hatinya mula wujud ketika Zarith telah menyelamatkan dirinya dari perbuatan jahat Shahrul satu ketika dahulu. Yang hampir sahaja meragut kesuciannya. Lalu dari benci bertukar menjadi sayang.

Dia menaruh harapan yang tinggi untuk bersama lelaki itu. Dan tanpa disangka rupanya Zarith telah melamar dirinya secara senyap-senyap. Ternyata doanya telah dimakbulkan Allah S.W.T.

Mereka bersatu dalam ikatan pernikahan yang sememangnya halal. Yang selama ini didambakan. Dia berasa sungguh bahagia pada mulanya. Menyangka mereka akan menikmati alam percintaan selepas berkahwin dan melayari bahtera rumahtangga bersama.

Sehidup dan semati.          

Terus berkekalan hingga ke akhir hayat. Sangkanya impian itu sangat mudah untuk dicapai. Seperti yang diharapkan. Tetapi angan-angan itu tidak selalunya menjadi kenyataan. Dan dia terpaksa menelan segala kepahitan itu kerana dia sendiri yang meminta begitu.

Dia memandang jarum jam yang dirasakan begitu lambat bergerak. Tepat pukul 12 tengah malam. Jiwanya resah gelisah. Berulang kali dia memandang jam di dinding. Sampai naik jemu dibuatnya. Tetapi suami yang dinanti sejak dari pagi tadi masih belum kunjung tiba. Masuk hari ini sudah dua kali Zarith pulang lambat. Sebelum ini tidak pernah pun dia begitu.

‘Kenapa dia ni tak balik-balik lagi?’getus hatinya.

Nurin Hanani cuba memberi tumpuan pada novel yang dibacanya yang bertajuk ‘Jangan Miringkan Sejadahmu’. Sebuah novel berkisar konflik sepasang suami isteri yang telah bercerai tetapi mereka ingin disatukan semula. Walaupun sang suami telah menceraikan sang isteri dengan talak tiga,namun perasaan sayang antara mereka masih lagi wujud.

Persoalannya sekarang,adakah mereka dapat kembali hidup bersama seperti sediakala? Sedangkan sudah menjadi satu ketentuan sekiranya isteri yang dicerai dengan talak tiga tidak mungkin dapat dirujuk oleh suaminya melainkan jika isteri tersebut bernikah dengan lelaki lain.

Hukum agama yang telah ditetapkan tidak mungkin dapat diubah walau dengan apa jua cara sekalipun. Itulah akibatnya jika terlalu mengikutkan emosi. Hal cerai pun boleh dibuat main.

Entah mengapa dia berasa takut memikirkan hal tersebut.

Dia sebolehnya tidak mahu perkara itu terjadi padanya. Minta-minta dielakkan dari sebarang perkara yang bisa menghancurkan rumahtangga yang baru dibina bersama Zarith. Sekadar masalah kecil itu mungkin perkara biasa dan menjadi asam garam dalam hidup berumah tangga.

Walaupun pada hakikatnya dia sendiri tidak tahu mengapa Zarith berubah sikap sedemikian rupa. Tetapi dia berazam untuk menanyakan hal itu apabila suaminya sudah pulang ke rumah mereka nanti. Mungkin kah dia yang bersalah?terlanjur bicara tanpa disedari nya. Siapa yang tahu kan.

Dumm!!!

Bunyi hempasan pintu yang agak kuat di tingkat bawah begitu memeranjatkan. Jantungnya berdegup kencang. Tidak normal seperti tadi. Zarith sudah balik ke? tetapi mengapa dia tidak mendengar langsung bunyi enjin kereta suaminya itu? Barangkali akibat terlalu khusyuk membaca novel tadi. Sehingga tidak sedar kepulangan Zarith. Lalu dia meletakkan buku tersebut di atas katil. Perlahan-lahan dia bangkit dari pembaringan.

Dia menuju ke meja solek. Membetulkan rambutnya yang panjang mengurai melebihi paras bahu. Dibiarkan lepas bebas dengan pin rambut berwarna pink yang disepitkan. Tidak mahu kelihatan serabai di hadapan Zarith nanti. Dia melirik ke arah pakaian tidurnya yang juga berwarna merah jambu. Siap ada gambar Hello Kitty lagi. Kelihatan agak kebudak-budakan.

Dia tersenyum geli hati. Ah,lantak lah! Cepat-cepat dia menuruni anak tangga. Tidak sabar bertemu suaminya yang dikasihi itu.

Sewaktu melintasi ruang tamu,anak matanya terpandangkan sesusuk tubuh sasa milik suaminya yang berada di bahagian dapur. Zarith membuka peti sejuk lalu mencapai sebotol jus oren. Dia menuangkan air itu ke dalam gelas dan meneguknya.

“Abang baru balik?”

Suara Nurin Hanani lembut menyapa telinganya. Dia melemparkan senyuman manis buat suaminya. Zarith mengerling melalui ekor matanya. Dia meletakkan gelas kosong di atas meja. Dia ingin berlalu dari situ sambil merungkaikan ikatan tali leher nya.

“Hm…”

Zarith menjawab hambar. Langsung tidak membalas senyuman isterinya. Sebaliknya dia terus berlalu pergi tanpa memandang wajah Nurin Hanani yang tergamam melihat reaksinya itu. Senyuman wanita itu terus mati.
“Abang dah makan ke?”

“Dah,”jawab Zarith.

“Hurm,Hani ingatkan nak makan malam dengan abang. Penat aje Hani tunggu abang balik. Tak tau pulak yang abang dah makan,”dia buat-buat merajuk.

Tetapi hampa sekali Zarith langsung tidak layan. Sebaliknya suaminya itu terus mendaki satu persatu anak tangga. Dia menguap beberapa kali. Nurin Hanani memandang dengan perasaan berbaur. Dia mengekori Zarith dan masuk ke bilik mereka yang terletak di tingkat atas. Zarith sedang berbaring di atas katil. Perlahan dihampiri suaminya itu.

“Abang…err,abang ada masalah ke ni?beritahu lah Hani. Manalah tau Hani boleh tolong ke. Sejak dua tiga hari ni Hani tengok abang lain aje. Macam ada masalah aje,”dia memberanikan diri untuk bertanya.
Zarith merengus kasar. Matanya yang sedari tadi dipejamkan terus dibuka. Mencerlung tajam ke arah Nurin Hanani.

“Jangan kacau aku boleh tak?!!”

Nurin Hanani terkesima. Dia memandang Zarith dengan rasa tidak percaya. Tidak pernah sekalipun Zarith mengherdiknya begitu. Apa salahnya sehingga dimarahi sebegitu rupa?

“Abang…Hani ada salah ke bang?”

“Aku kata jangan kacau aku kan?kau ni tak faham bahasa melayu ke hah?kau tau tak aku tengah sakit kepala sekarang ni fikirkan kerja kat ofis yang bertimbun-timbun tu. Dengan kerja projek lagi sana sini. Meeting dengan klien aku lagi yang macam-macam kerenah tu. Balik rumah aku terpaksa menghadap muka kau dan dengar kau membebel 24 jam. Bosan betul,huh!”

Zarith mula bengang. Amarahnya membuak di hati. Wajah lembut isterinya langsung tidak mencairkan hati. Tidak berbekas langsung. Dia malah terus bangkit dari katil. Membuka kemeja lengan panjangnya menampakkan susuk tubuhnya yang gagah. Dia mencapai tuala yang tersangkut di penyidai lalu menuju ke kamar mandi.

Nurin Hanani sebak. Sampai hati Zarith berkata sebegitu terhadapnya. Dia hanya bertanya sahaja. Tidak ada niat pun hendak membebel.

Dia faham kesibukan Zarith sebagai pengarah di Aras Hijau Holdings. Sangat menuntut komitmen yang bukannya sedikit. Semenjak syarikat di bidang pembinaan milik ayah mertuanya,Encik Idham telah pun diambil alih oleh Zarith,jarang suaminya hendak lekat di rumah.

Tetapi dia mengerti dan memahami. Cuma sebelum ini Zarith tidaklah begitu. Layanan yang diberikan juga amat baik dan romantis. Tidak seperti sekarang. Bahasa yang digunakan juga agak kasar. Siap ber’aku’ dan ber’kau’ lagi. Dia makin tidak faham.

Perlahan dia juga bangkit dari katil. Lemah terasa tubuhnya. Seperti hendak demam. Dia menuju ke almari pakaian dan membukanya. Mencapai sehelai kemeja berjalur berwarna turquoise milik Zarith yang tersangkut pada hanger. Dia ingin menggosoknya supaya senang jika suaminya hendak ke tempat kerja esok harinya.
Kira-kira lima belas minit kemudian,barulah Zarith keluar dari kamar mandi dengan hanya bertuala separas lutut sahaja. Tidak semena pandangan mereka bertaut. Cepat-cepat Nurin Hanani mengalih pandangan ke baju kemeja yang digosoknya. Berdebar dia melihat keadaan suaminya itu. Jantungnya berdegup kencang.

‘Apa kenalah dengan aku ni?sedangkan aku ni dah berkahwin dengannya sudah tiga minggu…’bicara hatinya sendirian.

Dia mencuri pandang suaminya melalui ekor mata. Zarith masih leka menyarungkan T shirt berwarna hijau muda dan memakai seluar pendek jenama Camel separas lutut. Rambutnya yang basah dilapkan dengan tuala. Setelah itu dia menuju ke katil dan merebahkan tubuhnya di situ. Tidak sekali pun memandang wajah isterinya. Menegur pun tidak.

Nurin Hanani mengetap bibir. Terasa ingin menegur sesuatu tetapi dalam masa yang sama berasa serba salah pula. Bimbang akan dimarahi Zarith seperti tadi. Suaminya itu kelihatan bad mood sahaja. Tidak berani rasanya.

“Err,aa…ab…bang dah…err,dah solat ke?”

Dia bersuara dengan teragak-agak. Tangannya masih ligat menggosok baju. Dia memandang Zarith yang berwajah selamba.

 “Apa dia?”tanya lelaki itu pula. Masih kasar seperti tadi.

“Abang dah solat ke?”

Lelaki itu mengeluh. “Belum.”

Nurin Hanani terdiam. Adakah dia perlu menegur atau…membiarkan sahaja?tetapi sebagai seorang isteri dia merasakan berhak untuk menegur suami yang masih belum menunaikan tanggungjawab sebagai hambaNya itu. Lagipun tiada yang salah pun.

“Err,abang…apa kata abang sembahyang dulu okey?kalau lepas tu abang nak tidur pun tidurlah,”dia bersuara lembut.

Tiba-tiba lelaki itu bangkit dari pembaringannya. Dia merengus kasar.

 “Yang kau nak sibuk hal aku ni kenapa hah?! sebelum ni takde pulak kau nak tegur aku macam-macam. Alih-alih sekarang ni pandai aje kau nak suruh aku buat itulah,inilah. Kau tak nampak ke yang aku ni tengah penat. P.E.N.A.T. Penat…kau faham tak?!! Ke kau nak aku cakap Inggeris dengan kau? Lepas ni aku tau lah nak sembahyang. Tak payah nak ajar aku!”

Sekali lagi dirinya diherdik kasar. Sekali lagi dirinya dimarahi hanya semata-mata ingin menyuruh suaminya menunaikan solat. Hatinya berasa sungguh hiba. Tanpa dapat ditahan,perlahan air matanya mengalir. Menuruni laju membasahi pipi yang gebu itu. Tersentuh hatinya. Hiba.

“Tengok tu,sikit-sikit nak nangis. Aku menyampah betul. Perempuan memang macam ni agaknya. Pantang cakap sikit nak menangis. Suka betul menyusahkan orang lelaki.”

Nurin Hanani sudah tidak sanggup mendengar kata-kata Zarith yang begitu menusuk hati. Adakah Zarith begitu membenci dirinya? Tidak kah lelaki itu sayang padanya seperti mana dia menyayangi suaminya dengan sepenuh hati? Jika tidak,apakah ertinya perkahwinan yang baru dibina ini?

Dia merasa seperti telah ditipu oleh Zarith. Ditipu dengan sikap kepura-puraan Zarith sebelum ini.
Zarith berasa sungguh bosan. Dia tertekan yang amat sangat. Terasa beban dan tanggungjawab yang dipikul kali ini benar-benar mencabar kesabarannya sebagai seorang lelaki yang sentiasa dahagakan kebebasan dalam hidup.

Dia kini bergelar suami. Istilah baru dalam kamus kehidupannya. Bukan lagi lelaki bujang ataupun yang selalu dibanggakan selama ini…single but available. Dia kini kepunyaan mutlak Nurin Hanani sebagai isterinya yang sah di sisi agama.

Kehidupan sosialnya juga berubah dalam sekelip mata sebaik mendirikan rumahtangga. Hidupnya seharian dipenuhi dengan tanggungjawab. Sedangkan sebelum ini dia bebas melakukan apa sahaja yang disukai.
Kini dia tidak dapat lagi menikmati hidup yang bebas dan bersosial di kelab-kelab malam yang eksklusif di mana dia selalu melepak bersama teman-teman akrabnya. Apatah lagi meluangkan waktu dengan teman wanitanya seperti sewaktu dia berada di Amerika Syarikat dahulu.

Dia terkenangkan Maya yang telah ditinggalkan dahulu. Terbayang suara manjanya…lirikan mata yang menggoda…dan saat-saat mereka bersama suatu ketika dahulu. Dia berasa rindu sungguh dengan semua itu. Terasa menyesal pula kerana telah meminta hubungan itu putus dahulu.

Melihatkan air mata yang masih menitis pada wajah Nurin Hanani membuatkan jiwanya makin tertekan. Salahnya juga kerana beria menginginkan perkahwinan ini terjadi hanya semata-mata terlalu terdesak sedangkan dirinya tidak bersedia serba serbi. Keadaan telah memaksa dirinya melamar Nurin Hanani.
Semuanya kerana ugutan papa. Tidak menyangka langsung yang wanita itu mencintainya selama ini. Tidak terfikir langsung yang wanita itu akan jatuh cinta padanya. Sangkanya permainan yang dicipta ini tidak mendatangkan hasil. Nyata percaturannya silap. Rupanya dalam diam Nurin Hanani menaruh harapan untuk bersamanya. Ah,silap nya juga…

Fikirannya jadi makin berserabut. Dia bangun dan mencapai kunci kereta di atas meja solek. Malas hendak menghadap wajah isterinya yang sedang berduka. Malas hendak menadah telinga mendengar tangisan itu. Tidak kuasa dia hendak memujuk.

 ‘Lantak engkau lah nak menangis ke…apa ke...Aku peduli apa?’

“Aku nak keluar,”ringkas sahaja dia berkata.

Dia segera berlalu meninggalkan Nurin Hanani yang sudah terjelopok di atas katil. Pintu dihempas dengan kuat.  Dia mengesat butir-butir mutiara jernih yang mengalir itu. Dia tidak mengharap pun pujukan Zarith. Sedangkan dia tahu suaminya itu sudah jauh berubah.

Suaminya itu tidak pernah mengungkapkan kata cinta pun selama ini. Dia sudah dapat menghidu bahawa ada rencana tersirat di sebalik perkahwinan ini. Seolah-olah lelaki itu terpaksa mengahwininya.
Hanya dia yang perasan sendiri. Sedangkan tiada langsung cinta di hati Zarith. ‘Oh Tuhan,aku kah yang bersalah?’ hatinya berbisik lagi.