SURAT BUAT BABAH

 

amyraaimi.blogspot.com


Assalamualaikum WBT,

Setiap dari kita pasti memiliki kisah tersendiri dan kenangan yang tak mungkin dapat dilupakan bersama kedua-dua ibu bapa bukan?

Penulisan kali ini berkisarkan tentang inspirasi yang ingin aku kongsikan kepada semua dari sebuah kisah benar yang aku ambil serba sedikit berkaitan hidupku. Yang bertajuk, Surat Buat Babah. Lebih kepada bertemakan kekeluargaan. Walaupun ianya bakal diolah dan tidaklah semuanya benar-benar tepat mengikuti kisah hidup yang aku lalui, tetap juga ianya berkait rapat dengan diriku dan ayah. Aku berniat cerita ini mahu didedikasi khusus buat arwah ayah tercinta. Walaupun ayah sudah tiada, tidak sempat membaca kisah ini... manfaat kebaikannya aku hadiahkan teristimewa untuk ayah. Semoga Allah izinkan manuskrip ini disiapkan sepenuhnya tidak kira berapa lama pun masa, andai ianya memakan masa bertahun sekali pun. Kisah ini ditulis benar-benar dari lubuk hati yang penuh kasih dan kerinduan.

Ini bukanlah idea yang tiba-tiba saja tercetus.

Jika diikutkan aku sekian lama mahu menulis sebuah memoir / biografi, sekurang-kurangnya, sebuah buku yang berkaitan dengan kisah seseorang yang paling rapat dengan diriku. Ayah sememangnya tahu yang aku suka menulis sehingga berjaya terbitkan buku. Pernah satu masa, ayah mengutarakan cadangan supaya aku cuba-cuba menulis buku biografi pasal keluarga atau buku berbahasa Inggeris. Ayah ingin aku menyambung semula pengajian dalam English Studies yang tergendala. Aku saja yang masih menangguhkan nak sambung belajar disebabkan kekangan masa. Insha-Allah. Aku berdoa satu hari nanti aku beroleh rezeki dan diberi kekuatan oleh-Nya untuk melaksanakan impian itu. Bukan untuk ayah saja, tetapi untuk manfaat kebaikan diriku juga kerana ilmu merupakan salah satu bekalan amalan yang kekal untuk dibawa bersama kita sebaik pergi meninggalkan dunia ini. 

Mengenang ayahku, ada terlalu banyak kisah menarik, suka dan duka yang akan dikenang sampai bila-bila. Semoga rohnya dicucuri rahmat-Nya serta dimasukkan ke dalam golongan hamba-hamba-Nya yang beriman. Al-Fatihah.

Buat sesiapa yang kehilangan insan tersayang, semoga satu masa nanti Dia akan menemukan semula dengan yang dikasihi di alam akhirat. Teruskan berdoa semoga syurgalah tempat kita semua... akhir perjalanan kita yang kekal selamanya. Hanya kekuatan doa saja yang kita, sebagai umat Nabi SAW akhir zaman ini ada. Insha-Allah. 

'If your parents are alive, be grateful at the opportunity to earn Jannah by serving them.' -Nouman Ali Khan


Wallahu'alam.

Thanks for reading.


Post a Comment

0 Comments