Hey, Mr. Bad Guy Special


Suara rengekan Hazif Ikhwan yang sedari tadi lagi mengganggu kerja rumah yang dilakukan Nurin Hanani pagi itu. Dia menghentikan tugasannya di dapur lalu segera  mendapatkan anak lelakinya yang berusia dua tahun itu. Puas dia memujuk anak kecilnya itu. Namun tangisan Hazif Ikhwan semakin lantang. Makin memeningkan kepalanya.

“Hazif menangis lagi ke?”

Dia berpaling sebaik terdengar suara Zarith menegurnya. Suaminya itu sedang duduk beristirehat di atas sofa dengan berpakaian T-shirt ringkas dan berseluar separas lutut. Baru sahaja sudah mencuci kereta di pekarangan rumah sebentar tadi.

“Ha’ah bang. Hazif ni tak sihat agaknya. Badan dia panas sikit. Kita bawak pergi klinik lah ye bang,” jawab Nurin Hanani lembut.

Dia mendukung Hazif Ikhwan yang masih menangis. Cuba memujuknya. Risau benar dia dibuatnya. Nurin Hanani melabuhkan punggung di sebelah Zarith yang kelihatan tenang itu.

“Hazif ni kenapa? Meh sini dekat papa…”

Zarith mengambil Hazif Ikhwan dari dukungan isterinya.

“Abang, apa kata lepas sarapan nanti kita pergi klinik nak? Hani risaulah dengan Hazif ni.”

Zarith membisu seribu bahasa. Langsung tidak memandang wajah isterinya itu. Sebaliknya dia masih membelai rambut Hazif Ikhwan yang sudah pun terdiam di pangkuannya itu.

“Abang, dengar tak ni?”

Nurin Hanani bertanya lagi sambil memegang erat lengan Zarith.

“Dengar sayang…Hani bawak Hazif pergi sendiri boleh? Abang tak dapat nak hantarkan.”

“Kenapa?”

“Hmm…abang nak keluar kejap lagi. Jumpa kawan.”

“Jumpa Rizman ke?” duga Nurin Hanani.

Zarith lekas menggeleng.

“Dah tu? Jumpa siapa?”

“Kawan abang dari U.S nak datang sini jenguk abang kejap. Dah lama tak jumpa dia. Lagipun dia stay sini sampai esok aje. Hani pergi bawak Hazif ke klinik ye. Tak payah tunggu abang.”

Nurin Hanani mengerutkan dahinya. Sakit hatinya mendengar alasan yang diberikan Zarith. Baginya tidak munasabah langsung!

“Abang ni, lagi pentingkan kawan abang dari anak sendiri tau!” bentak Nurin Hanani tiba-tiba.

Zarith tersentak.

“Lah, sayang…kenapa cakap macam tu?”

Zarith cuba memegang tangan isterinya namun ditepis kasar. Nurin Hanani kelihatan marah benar. Dia bingkas dari duduknya lalu terus meninggalkan Zarith yang masih memangku Hazif Ikhwan di ruang tamu.

**********

Masuk hari ini sudah seminggu Nurin Hanani tidak bertegur sapa dengannya. Setakat cakap benda yang penting sahaja. Hendak lebih-lebih ataupun bergurau senda seperti selalu pun jangan haraplah. Zarith makin pening kepala memikirkannya.

Bukan dia tidak pernah memujuk. Malah sudah berkali-kali dipujuk isterinya itu sehinggalah dia akhirnya sudah berputus asa. Rajuk Nurin Hanani makin berpanjangan. Seolah-olah besar sangat kesalahannya. Padahal hanya hal hari itu sahaja semasa dia tidak dapat menghantarkan isteri dan anaknya ke klinik. Namun dia sedar akan kesalahannya itu dan sudah pun meminta maaf dengan isterinya. Tetapi tidak langsung diendahkan.

“Hani, abang ada benda nak cakap sikit ni. Kita masuk bilik kejap.”

“Hmm…Hani nak tolong mummy kat dapur. Esok ajelah…”

Jawab isterinya dengan nada acuh tak acuh. Ketika itu mereka berada di rumah Encik Idham memandangkan hari itu merupakan hujung minggu. Angelica masih asyik melayani kerenah Hazif Ikhwan dengan keletahnya yang mencuit hati.

Dahi Zarith berkerut seribu dengan jawapan Nurin Hanani. Dia benar-benar hampa. Terasa kesabarannya kini benar-benar diuji. Dia makin tidak faham dengan sikap isterinya itu. Semakin hari semakin sensitif. Padahal dulu tidak pun begitu.

“Hani, janganlah macam ni. Abang cuma nak bincang aje elok-elok dengan Hani. Nak tunggu bila lagi?”

“Boleh tak jangan paksa-paksa Hani? Hani tak sukalah!”

Suara Nurin Hanani ditinggikan sedikit. Zarith benar-benar terkejut. Selama ini Nurin Hanani begitu lembut dengannya. Terus sahaja berubah sikap tiba-tiba menjadi agak kasar.

“Hani, Hani ni kenapa sebenarnya? Abang takde niat pun nak paksa sayang tau,” Zarith masih cuba memujuk.

“Huh!”

Nurin Hanani menjuihkan mulut. Dia memeluk tubuhnya dan memalingkan muka ke arah lain.

“Sayang…”

Belum pun sempat Zarith hendak menghabiskan ayatnya, suara Angelica mengganggu perbualan mereka berdua.

“Kenapa dengan kamu berdua ni Zarith? Hani? Mummy tengok lain macam aje.”

“Eh, takde apa-apa mummy.”

Lekas-lekas Nurin Hanani menjawab. Tidak mahu perbalahan yang berlaku antara mereka dihidu oleh mertuanya itu.

“Yeke, kalau macam tu takpelah. Hani, mummy nak ke dapur kejap ni. Hani pergilah rehat kat bilik. Tak payah tolong mummy. Nampak macam letih aje tu.”

Angelica terus berlalu ke dapur tanpa menunggu jawapan dari menantunya itu. Nurin Hanani mahu mengekori langkah ibu mertuanya, namun tangannya terus ditarik Zarith.

“Apa ni bang?” marah Nurin Hanani.

“Hani, dengar tak mummy cakap apa tadi? Tolong dengar cakap abang kali ni boleh tak?”

Zarith bersuara tegas. Dia sudah malas hendak  terlalu berlembut sangat dengan isterinya itu. Terlalu berlembut pun susah juga. Kepalanya terasa bagai dipijak-pijak sahaja. dia perlu juga menjaga egonya sebagai seorang suami. Walaupun dia amat menyayangi Nurin Hanani dan mencintai sepenuh hati.

Lebih-lebih lagi semenjak mereka telah memiliki cahaya mata dua tahun yang lalu. Kehadiran Hazif Ikhwan membuatkan kasih sayang antara mereka semakin bertambah mekar. Namun kebahagiaan yang dikecapi bagaikan diragut pergi semenjak Nurin Hanani berubah sikap secara mendadak sekali sejak beberapa hari ini. Kerap kali berlaku salah faham antara mereka walaupun hanya perkara kecil dan remeh-temeh sahaja.

“Lepaslah! Sakit tau tak?”

Tiba-tiba Nurin Hanani merentap kuat tangannya. Dia terus berlalu meninggalkan Zarith yang tergamam dengan reaksinya. Hazif Ikhwan yang sudah terlena di atas sofa didukung dengan penuh hati-hati. Entah bila agaknya anaknya itu tertidur. Tadi bukan main lagi leka bermain dengan neneknya.

Nurin Hanani terus membawa Hazif Ikhwan naik ke bilik mereka yang berada di tingkat atas. Sedikit pun tidak menghiraukan pandangan suaminya itu.

Zarith melepaskan keluhan berat.

‘Hani…kenapa dengan sayang ni?’ bisiknya sendirian.

Tidak lama kemudian dia juga turut mengekori langkah isterinya lalu mendaki tangga menuju ke tingkat atas.
Usai menunaikan solat fardhu Isya’ Zarith duduk di hujung katil. Dia memandang ke arah Nurin Hanani yang khusyuk membaca novel bertajuk Andai Itu Takdirnya sambil berbaring. Fikirannya ligat berputar memikirkan ayat apa yang sesuai untuk diungkapkan. Dia mahu terus memujuk isterinya itu. Tetapi tidak tahu bagaimana lagi hendak memujuk. Dia benar-benar sudah mati akal.

“Hani…”

Nurin Hanani mengerling sekilas. Kemudian pandangannya kembali menatap pada helaian muka surat novel yang dibacanya. Panggilan suaminya itu tidak disahut.

“Hani, kenapa ni? apa salah abang sampai kita jadi macam ni?”

Zarith bersuara sayu. Cuba memancing simpati dari isterinya itu.

Terdengar keluhan perlahan yang keluar dari mulut isterinya. Nurin Hanani menutup novel yang dibaca sedari tadi lagi. Lantas diletakkan di atas meja kecil yang berada di sebelah katil. Dia menguap perlahan.

“Hani dah mengantuk ni. Kita bincang esok ajelah ye bang.”

“Hani, boleh tak jangan buat abang macam ni? abang ni suami Hani tau tak. Bukannya tunggul kayu yang boleh dibuat main sesuka hati!” tinggi suara Zarith. Dia betul-betul sudah hilang sabar.

“Lah, yang abang nak marah tiba-tiba ni kenapa? Hani kan cakap dah mengantuk tadi. Bukannya ada apa-apa pun. Abang ni suka sangat nak mengamuk tak tentu pasal tau!”

“Oh, jadi sekarang Hani nak salahkan abang pulak lah ye?”

“Mana ada Hani nak salahkan abang. Abang yang suka fikir Hani bukan-bukan…”

“Hani ni kenapa ye suka sangat nak tuduh abang macam-macam? Padahal abang nak ajak Hani bincang elok-elok. Takkan hal ni kita nak biarkan melarat aje.”

“Abang yang mulakan dulu. Kalau tak kita takkan jadi macam ni!”

Zarith terdiam. Begitu juga dengan Nurin Hanani. Masing-masing membisu seribu bahasa dengan wajah masam mencuka.

“Abang mengaku abang salah. Abang mintak maaf okey?”

“Huh, cakap memang senang…”

Dia mula panas hati. Kata-kata Nurin Hanani seolah-olah mencabar kesabarannya selama ini. Apa masih tidak cukup lagikah kemaafan yang dipinta sebelum ini?

“Apa lagi yang Hani tak puas hati ni hm? Cuba bagitau abang.”

“Abang tu kan sibuk sepanjang masa. Mana lah nak ada masa dengan Hani. Dengan Hazif pun abang dah jarang luangkan masa. Masa Hazif demam hari tu pun abang lebih pentingkan nak jumpa kawan dari anak abang sendiri. Hani sakit hati tau tak dengan sikap abang. Hani ingatkan abang dah berubah, rupanya tak. Kat luar bukan main ligat lagi. Jangan-jangan bukan kawan yang nak jumpa abang. Mesti abang berhubung dengan Maya lagi kan?”

“Apa yang Hani mengarut ni? Hani dah tak percayakan abang lagi ke?” soal Zarith dengan reaksi terkejut.

“Hani tak pasti tentang tu. Hani cuma nak abang tau apa yang Hani rasa…”

“Stop it! Semua tu mengarut Hani. Kalau Hani dah tak percayakan abang lagi terpulanglah. Hati abang sakit tau tak bila dengar tuduhan Hani semua tu. Tak cukup lagi ke dengan kasih sayang dan kesetiaan abang pada Hani selama ni? apa lagi yang Hani nak sebenarnya ni?!”

“Hani…”

Nurin Hanani tertunduk. Terasa air matanya ingin menitis. Dia merasa berdosa kerana telah menyakiti hati suaminya sendiri. Sedangkan dia bukannya tidak tahu perasaan Zarith yang tulus mencintainya selama ini. Dia seolah-olah sengaja mahu menyakiti hati Zarith dengan berkata begitu. Entah apa kenalah dengan dirinya kini. Dia pun tidak faham.

“Abang betul-betul kecewa dengan Hani. Sudah lah. Kalau Hani rasa abang ni masih penting lagi dalam hidup Hani, abang mintak tolong jangan layan abang macam ni. Abang pun ada perasaan jugak…”

Suara Zarith lirih. Seperti sudah berjauh hati. Tanpa menunggu lama, dia terus berlalu dari situ meninggalkan isterinya keseorangan. Nurin Hanani ingin memanggil suaminya namun suaranya seperti tidak mahu keluar. Perlahan air mata kekesalan menitis ke pipinya. Semuanya berpunca dengan sikapnya sendiri. Sedangkan Zarith telah banyak mengalah dengannya.

Mereka tidak pernah bergaduh seteruk ini sebelum ini. Nurin Hanani juga tidak tahu di mana Zarith hendak tidur malam ini.

**********

Malam itu dia sukar melelapkan mata. Nurin Hanani mengalihkan tubuhnya ke kanan. Kosong. Tiada Zarith di situ. Dia mengeluh perlahan.

Biasanya tidur malamnya pasti ditemani suaminya itu. Pelukan erat Zarith menenangkan jiwanya yang kesunyian. Teringat pada gurauan suaminya yang mencuit hati. Zarith gemar mengusik. Tapi kini tiada lagi. Dia benar-benar ditinggalkan keseorangan.

Air matanya menitis lagi. Dia berasa sungguh kecewa. Kecewa dengan sikapnya sendiri. Jika bukan kerana kata-kata kasarnya pasti Zarith tidak akan berjauh hati dengannya.

Fikirannya jauh melayang. Masih terimbas lagi kisah pertemuan pertama mereka kira-kira tiga tahun yang lalu. Dia seharusnya bersyukur kerana hubungan mereka masih lagi berkekalan sehingga ke saat ini.

Malah diberikan rezeki cahaya mata sebagai lambang kasih antara mereka berdua. Peristiwa pahit sewaktu dia keguguran anak pertamanya dahulu terus dilupakan demi mengecapi kebahagiaan bersama keluarga yang dibina bersama kini.

Makin lama mutiara yang mengalir semakin banyak menuruni pipinya. Dia terasa ingin segera bangun dan mencari Zarith. Seterusnya meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya yang mengguris hati. Dia menyesal kini.

Tiba-tiba terdengar pintu dikuak dari luar. Cahaya samar-samar menerobos masuk ke dalam bilik. Nurin Hanani cepat-cepat memejamkan mata. Dia seperti sudah dapat mengagak siapakah gerangan yang memasuki kamar itu. Seketika kemudian pintu ditutup kembali.

Hatinya berdebar sewaktu terasa seseorang sedang berbaring di sebelahnya. Lantas pinggangnya dirangkul erat. Nurin Hanani hanya membiarkan.

“Hani…”

Kedengaran suara garau milik Zarith menyapa telinganya. Matanya masih lagi dipejamkan. Dia kembali tenang. Kerinduannya sudah terubat dengan pelukan yang erat itu. Hatinya menjadi tenang mendengar suara lelaki itu.

“Abang tau Hani tak tidur lagi kan?”

Pelukannya semakin dikemaskan. Nurin Hanani membuka matanya perlahan-lahan. Dia mendongak memandang wajah Zarith. Mereka bertatapan lama.

“Abang mintak maaf dah biarkan Hani tidur sorang-sorang…”

Nurin Hanani menggeleng perlahan.

“Abang tak salah. Hani yang salah,” dia berkata sayu.

“Husy, sayang…”

“Hani mintak maaf…”

Hatinya menjadi sebak. Air mata menitis kembali. Zarith semakin hairan.

“Eh, kenapa menangis ni sayang?”

Cepat-cepat dia menyeka air mata yang mengalir di pipi isterinya itu.

“Hani pun tak tau kenapa Hani jadi macam ni,” gumam Nurin Hanani.

“Hani, dah lah tu. Abang tak nak tengok sayang menangis lagi macam ni. It’s okay sweetheart. Hal yang dulu tu biarlah. Takde apa pun. Kita lupakan jelah okey?” pujuk Zarith.

“Betul ke abang dah maafkan Hani?”

“Betul sayang. Abang pun nak mintak maaf okey? Abang pun ada salah jugak kat Hani…”

Nurin Hanani kembali tenang. Dia mengangguk perlahan. Dan Zarith sudah pun mengukir senyuman. Dikucup dahi isterinya itu. Sekurang-kurangnya dia berasa lega kerana perbalahan antara mereka tidak  berpanjangan seperti sebelum ini.

**********

“Macam mana keputusannya?” tanya Zarith dengan tidak sabar.

Briefcase dan baju kot hitamnya diletakkan di atas sofa. Belum sempat pun dia duduk setelah pulang dari ofis serta menghilangkan penat lelahnya itu setelah seharian di pejabat.

Nurin Hanani menggeleng kepala. Faham benar dengan perangai suaminya itu. Zarith bukannya jenis yang boleh hendak tunggu lama-lama kalau nak tau sesuatu perkara. Kalau boleh dia mahu tahu hari itu juga. Jangan haraplah hendak tangguh ke hari seterusnya.

“Abang ni, kot ye pun duduklah dulu. Hani pergi ambikkan air ye bang.”

“Eh, tak payah. Abang nak tau sekarang jugak. Abang asyik main agak je dari kat ofis tadi. Kali ni abang nak pastikan betul ke tak.”

“Hmm…yelah, Hani nak bagitau lah ni…”

“Eh, kejap. Hazif mana?”

Meliar dia memandang ke sekeliling ruang tamu rumahnya. Hazif Ikhwan tiada di situ.

“Ada dengan mummy sekarang ni. Tadi Rul datang ambik Hazif kejap. Mummy dengan papa beria sangat suruh Hazif datang rumah. Lagipun Hani memang tunggu abang balik dulu sebab Hani memang nak ke sana pun sebenarnya.”

“Aii…baru aje dua hari lepas kita bawak Hazif jumpa mummy dengan papa. Takkan tak terubat lagi rindu?” soal Zarith hairan. Terus lupa dia pada persoalan yang bermain di benaknya sedari tadi.

Nurin Hanani tergelak kecil.

“Ala, biarlah bang. Hazif tu kan satu-satunya cucu diorang. Nak tunggu Rul lambat lagi. Dia pun baru sangat bertunang dengan Liyana tu. Sementara ni biarlah diorang layan Hazif tu puas-puas bang. ”

Zarith mengangguk tanda bersetuju. Zarul sudah pun menjalinkan ikatan pertunangan dengan pilihan hatinya sendiri iaitu Liyana. Hujung tahun ini mereka pula yang bakal mengakhiri zaman bujang ke jinjang pelamin.

“Ha, apa dia yang abang nak tanya Hani tadi? Pasal keputusan tu macam mana sayang?”

Nurin Hanani terus mengukir senyuman manis.

“Tadi masa Hani pergi check kat klinik, doktor tu cakap Hani mengandung bang. For almost two weeks…”

“Hah? Yeke sayang?!”

Zarith benar-benar teruja. Rasa macam tidak percaya pun ada. Melihatkan senyuman dan anggukan isterinya meyakinkan dirinya. Memang benar agakannya sebelum ini.

“Betul bang. Takkan Hani nak tipu pulak.”

“Syukur Alhamdulillah, abang gembira sangat. Lepas ni boleh lah kita buat pengumuman kat keluarga kita nanti ye sayang.”

Nurin Hanani mengangguk lagi sambil membalas senyuman suaminya itu. Mereka bakal pula menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi. Patutlah dia asyik berasa tidak sedap badan sahaja sejak kebelakangan ini. Perubahan sikapnya juga amat mendadak. Teringat pula akan perbalahan hebat yang melanda dirinya dan Zarith sebelum ini. Mujurlah masalah antara mereka dapat segera diselesaikan.

“Hmm…patutlah Hani tiba-tiba aje nak moody dengan abang baru-baru ni. Sensitif pulak tu. Ada makna rupanya…” ujar Zarith sambil tersenyum.

“Ala, Hani merajuk pun, abang kan pandai pujuk.”

Dia memeluk lengan Zarith dengan erat. Ingin bermanja dengan suaminya itu. Zarith terus tertawa mendengar kata-kata isterinya itu. Rambut Nurin Hanani dibelainya lembut.

“Nak pujuk pun bukan main susah lagi. Abang ni dah tak expert dah bab pujuk-memujuk ni. Dulu-dulu tu yelah. Em, masa ramai girlfriend dulu…” usik Zarith nakal.

“Abang!”

Dia mengaduh kesakitan sebaik sahaja satu cubitan hinggap di lengannya.

“Ala, janganlah marah sayang. Abang gurau jelah. Tak lama nanti Hazif nak dapat adik kan. Silap hari bulan kali ni dapat baby girl pulak.”

“Hani pun harap macam tu bang. Lepas ni kita pergi rumah papa ye bang.”

“Okey, tunggu abang nak bersiap dulu ye sayang.”

Zarith mencuit hidung isterinya. Mereka saling berbalas senyuman. Dia berasa sungguh bahagia mendengar berita kehamilan isterinya itu. Segala masalah yang berlaku terus sahaja dilupakan. Dia sudah malas hendak memikirkan hal yang berlaku sebelum ini. Walaupun sudah menjadi asam garam hidup suami isteri pasti ada pasang surutnya. Dia tidak peduli tentang semua itu. Yang penting dia kini bahagia. Bahagia mengukir impian hidup bersama isteri yang amat dicintai dan anak-anak mereka…


*Edisi special ‘Hey Mr. Bad Guy’ versi cerpen pula…mengimbas semula sewaktu mula2 menulis karya pertama 'Hey Mr. Bad Guy' pada tahun lepas (mula pada Oktober 2010). Terasa rindu pada watak Zarith, Nurin Hanani, Zarul, Angelica dan Encik Idham Shah J enjoy reading dis special n3…^_^

Post a Comment

0 Comments