RAFFA
MALAM ini Raffa menerima pelawaan Zack. Dia sudah merangka pertemuan mereka di sebuah emper milik Zack.
Mahu melupakan rasa serabutnya... melupakan Qistina. Dia jadi begitu pun mungkin kerana fikirannya yang terlalu berserabut memikirkan dirinya yang kian berubah sejak rapat dengan Qistina.
Alih-alih muncul seorang gadis tak dikenali di depan matanya. Siap tahu lagi namanya. Zack seakan berjaya menghidu sesuatu. Hal yang sedaya upaya dia cuba sembunyikan itu.
Zack menepuk bahu Raffa dengan senyuman penuh makna.
"Like what you see?"
Raffa memerhati raut gadis yang baru dikenalinya itu. Huluran tangan itu langsung tak bersambut. Tanpa membalas senyuman itu pun. Muka gadis itu berubah sedikit, menjatuhkan tangannya itu perlahan-lahan. Dia menjeling Raffa.
Zack turut perasan perlakuan Raffa. Rahangnya bergerak bersama pandangan sukar ditafsirkan.
Seketika kemudian barulah Raffa perasan yang itu bukannya Qistina seperti sangkaannya mula-mula. Gara-gara terlalu memikirkan Qistinalah dia jadi begitu. Benar-benar merentap ketenangan hatinya itu.
"Apa tujuan kau perkenalkan aku kepada dia?" soalnya. Sepasang matanya tertancap kepada gadis itu.
Zack memandang Raffa tajam.
Perlahan-lahan bibir Raffa mengukir senyuman sinis.
"Dia tetap tak sama..." kata itu terhenti.
Zack menanti. Raffa nampak teragak-agak sama ada hendak meluahkannya atau pun tidak. Nampak sangat yang Raffa tidak ingin langsung dia tahu perihal Qistina.
"Camelia atau mana-mana perempuan pun tetap tak sama macam Qis. Sebab... Qis tu istimewa. Kau maksudkan macam tu. Kan." Duganya.
Raffa sudah boleh mengagak. Dia tidak terkejut pun saat Zack menyebut nama Qistina di depannya. Kerana dia tahu... lambat-laun Zack pasti akan mendapat tahu juga perihal Qistina walau dia soroklah macam mana sekalipun.
Ini juga tujuan sebenar Zack mempelawanya ke emper ini. Pasti ada sesuatu yang mahu dikatakan Zack kepadanya. Zack meletak gelas minumannya di atas meja. Dia berdiri bersebelahan Raffa dengan muka bertukar serius.
"Jangan ingat aku tak perhati setiap tindak tanduk kau, Raf. Aku dah arahkan orang-orang aku untuk sentiasa ikut kau. Mereka intip kau dekat kampus. Aku tak nak kau..." atas bawah Zack memandang Raffa yang langsung tak bereaksi apa-apa. Nadanya mula bertukar dingin.
"Buat-buat lupa dengan kerja kau tu. Lain yang aku suruh, lain pula yang kau buat. Dengan sibukkan diri bercinta dengan entah mana-mana perempuan. Sampai terlupa dengan janji kau tu. Jangan ingat yang kita ni baik... Aku tak boleh nak apa-apakan kau. Faham."
Raffa memandang pistol yang sengaja Zack tunjukkan ada terselit di poket seluarnya dengan ekor mata. Zack mencapai pistol itu. Bebola matanya bergerak pula kepada tatu yang terlukis di lengan Zack.
Dia merasakan sesuatu... Zack berkemungkinan curiga. Sehingga cuba mengugutnya pula. Itu saja yang hatinya yakin dan pasti.
"Aku takkan lupa," katanya.
Zack terdiam seraya mengerling kepada Camelia... gadis yang baru saja mengenali Raffa. Dia telah meminta Camelia menggoda Raffa. Namun, tidaklah semudah yang dia sangkakan. Raffa takkan sebegitu mudah tergoda dengan mana-mana perempuan begitu saja. Gaya Raffa tadi pun seakan tunjukkan yang Raffa langsung tak berminat. Raffa benar-benar terlupa apa tujuan sebenar mereka itu. Dia sudah malas hendak berpura-pura lagi.
"Kan aku dah cakap. Yang aku takde apa-apa pun dengan dia."
"Habis? Yang kau sampai bawa Qis ke rumah kau tu apahal? Kalau tak serius... Takkanlah..." Zack meleretkan kata.
Raffa mendiamkan diri. Dia akhirnya berjaya menghidu sesuatu. Senyuman sinis terlukis di bibirnya. Memegang dagunya sejenak.
"Wow... You're in love." Ucap Zack satu per satu bersama tenungan tajamnya. Memainkan pistol di tangannya sambil Raffa tajam memerhati.
"Seriously bro..." Zack mendekatkan muka ke telinga Raffa. Cukup rapat. Meletak pistolnya itu rapat ke dada Raffa.
Saat itu degupan jantung Raffa seakan terhenti sejenak.
"Are you in love with that girl? How lucky she is."
Turun naik nafas Raffa. Mengepal penumbuknya itu sekuat hati sehingga menampakkan urat-urat hijau.
"That's impossible." Raffa separuh berbisik.
Namun, kata-katanya itu tidak mampu meyakinkan hati Zack. Zack hanya tertawa. Sama sekali tidak mempercayai jawapan itu. Dengan orang lain mungkin Raffa boleh menipu. Tapi... bukan dia. Bukan seminggu, dua dia mengenali Raffa.
"Raf..." dia tarik nafas perlahan. Menghembusnya kuat.
Perlahan-lahan dia menapak. Mengelilingi tubuh tegap itu bersama tenungan tajamnya. Tak lepas dia memandang Raffa yang kaku. Pandangan yang dipenuhi dengan curiga yang menebal.
"Aku sengaja kenalkan Camelia dengan kau. Cantik... Seksi... Lebih kuranglah... ada iras macam Qis. Pandai tak aku pilih? Sesuailah dengan kau, Raf. Dapatlah kau berseronok malam ni. Kalau betullah... Kau perlukan perempuan sekarang ni." Zack ketawa kecil. Berniat cuba menghasut fikiran Raffa. Manalah tahu? Raffa termakan dengan pujukannya itu.
"Supaya kau dapat lupakan Qis. Aku nak kau berhubung dengan Camelia aje lepas ni. Kau kena fokus dengan kerja kau lepas ni. Tak mahu ada orang lain yang ganggu fikiran kau tu. Kacau tau tak bro?" ucap Zack seraya meletak hujung pistol itu ke kepalanya pula buat sejenak, seumpama itu cuma barang mainan saja baginya.
Raffa membalas pandangan itu dengan ekor matanya. Zack memerhati rahangnya yang bergerak itu. Bibirnya bergerak sedikit.
"Aku tak perlukan mana-mana perempuan untuk fokus dengan apa yang aku buat." Balasnya penuh yakin. Apa? Zack fikir dia takut dengan gertakan itu? Sama sekali tidak... Zack yang tersilap menilai dia lagi adalah.
Zack tertawa kecil. Tanpa diduga, dia merentap kolar baju Raffa bersama rengusan. Kasar bunyinya.
"Kalau macam tu... Dengar cakap aku dan buat kerja kau tu elok-elok. Tak boleh ke? Aku nakkan maklumat pasal Dato' Izham tu secepat mungkin. As soon as possible!Sebab mak kau rapat dengan dato' tu. Lagilah senang kerja kita. Bukannya hari-hari aku dengar cerita daripada orang-orang aku pasal kau dengan Qis. Dah macam layan drama cinta dekat TV dah. Aku dah muak dengar cerita yang sama! Setahu aku... Kau tak pernah lembab bila buat kerja." Nada Zack meninggi bersama raut bengisnya.
"Aku dah penat tunggu! Kau ingat aku nak ambil tahu sangat pasal awek kau tu? Hah? Macam mana kalau kau terbuka cerita dekat Qis nanti? Kalau dia tahu pasal kita... Berani kau nak buka mulut, hmm? Perempuan tu pernah tanya pasal apa kerja kau, kan? Apa kau nak jawab?" Zack sengaja menduga.
Raffa seperti terperangkap. Dia tak menjawab. Menyedari panahan tajam itu terhala ke mukanya.
"Kau pun tahu aku tak pernah bercerita dengan sesiapa pun. Keluarga aku pun langsung tak tahu. Heh... Kita dah pernah discuss pasal ni. Kan? Kau pun... Bukannya baru sekarang kau kenal aku. Dah bertahun-tahun." ucap Raffa. Dia berlagak tenang.
"Apa yang buatkan kau tak puas hati sangat?" soalnya.
Zack tak ambil peduli. Semakin bengang dengan balasan yang keluar daripada mulut Raffa itu.
"Aku sekarang tengah bercakap pasal Qis. Awek kau tu! Bukannya hal keluarga kau. Itu aku tak nak ambil tahu."
"Kau pula macamlah takde awek? Hmm? Macam mana dengan Lisa? Sejauh mana kau percayakan dia?" duga Raffa bersama hembusan nafasnya. Dia melirik sekilas ke arah Lisa yang tengah memerhati mereka ketika ini.
Zack tergamam.
Raffa bermuka sinis.
"Now, let go of me." Dia menjatuhkan pautan Zack itu dengan kasar.
Memeluk tubuh seraya menghadap Zack. Turun naik nafas Zack. Raffa berani mencabar dia nampaknya seperti kebiasaannya. Selama ini memanglah dia mengenali Raffa... diri Raffa sememangnya begitu. Cukup berani. Cumanya sekarang ini bukanlah masa yang sesuai buat Raffa untuk sengaja mempersoalkan tindakannya itu. Raffa dilihat semakin hilang fokus. Belum pernah sekalipun dia lihat Raffa begitu. Itulah sebabnya dia jadi bengang. Kesabarannya itu kian tipis.
"Kau tak tahu apa yang aku boleh buat, Raf... Dekat Qis." Zack bernada perlahan.
Raffa menoleh bersama raut yang bertukar. Dahinya berkerut.
"Kau ugut aku ke?" soal Raffa tiba-tiba. Dia pandang riak sinis itu.
"Hah? Kau ugut aku ke?!" teriak Raffa seraya menolak kasar dada Zack.
Zack ketawa besar.
"Kalau perempuan yang nama Qis ni dah sampai kacau pelan kita... Kacau rancangan aku dekat Dato' Izham tu... Dan, segala-galanya yang kita dah rancang... Aku takkan teragak-agak untuk hapuskan perempuan tu! Sekarang pun aku boleh buat kalau ini yang kau nak!" Kembang kempis hidung Zack bersama api kemarahannya yang tak mungkin padam begitu saja. Telunjuknya itu rapat ke dada Raffa.
Riak Raffa terus bertukar. Turun naik nafasnya jadi tak sekata.
"Segala maklumat pasal Qis ada dekat tangan aku sekarang. Nak kata apa, hmm? Kau sengaja buat-buat tak sukakan dia, kan? Macam takde apa-apa. Berpura-pura di depan aku... Yang kononnya kau tak nak aku tahu pasal hubungan kau dengan Qis. Aku tak bodoh, Raf..." Zack menggeleng-geleng bersama riak sinis seraya menunjukkan telefon pintarnya di depan Raffa.
"Sayangnya... Kau tak boleh tipu aku. Orang aku ni sendiri yang bagi tahu sejak awal lagi." Sambungnya.
Ekor matanya itu memandang orang-orang kepercayaannya. Sengaja dia mahu mengugut Raffa. Dia tahu... inilah satu-satunya kelemahan Raffa. Dan dia juga tahu Raffa berpura-pura menyorokkan perihal Qistina daripada pengetahuannya. Dia menyelit pistol itu di celah poket seluarnya. Jauh tersembunyi daripada pandangan Raffa.
Zack sekali lagi memaut kasar kolar baju Raffa itu.
Raffa terus merentap pautan itu. Tangan Zack jatuh ke sisi semula. Laju saja dia merampas pistol daripada poket jean Zack tanpa sempat Zack bertindak, lalu menolak sekuat tenaga tubuh Zack.
"Bos..." salah seorang di antara mereka cuba bersuara.
Zack angkat sebelah tangannya tanpa memandang mereka. Tanda isyarat, berlagak seperti tiada apa. Terus-terusan memandang pistol yang sudah beralih di tangan Raffa itu. Tahu yang Raffa tidak mungkin mengapa-apakan dirinya.
Namun, dia tetap berjaga-jaga kerana... Raffa terlalu licik. Begitu tangkas.
Raffa membalas pandangan itu dengan cukup berani. Menggenggam kuat pistol di tangannya itu sehingga menampakkan urat-urat hijaunya yang mula timbul.
"Don't. Touch. Her." Ucapnya satu per satu. Tenungan Raffa tepat ke muka Zack dengan air muka yang bengis.
"Don't you dare touch her..."
Bergema suaranya di segenap ruang emper tersebut mengakibatkan suasana bertukar sepi. Ketegangan itu mula terasa.
Semua pasang mata terpaku kepada mereka saat ini. Zack benar-benar mengujinya. Kemarahannya itu naik mendadak.
"Kau cuba sentuh dia... Walaupun kulit dia... Damn it!" Raffa meneriak.
Dia mula tak tentu arah... berjalan mundar-mandir di depan mereka. Bagai hilang kata-kata.
"Kau tahu apa aku boleh buat, kan." Raffa berkata yakin. Menarik nafasnya, lalu cuba menenangkan diri. Dia pejam mata sesaat. Sebelum kembali memandang Zack. Perlahan-lahan dia mengangkat pistol itu tepat kepada Zack. Mukanya itu bak tiada perasaan.
Zack memerhati dengan raut sinis. Menyedari beberapa orang kepercayaannya itu mula bertindak menghampiri Raffa dari arah belakang. Mereka turut berjaga-jaga dengan sepucuk pistol di tangan masing-masing.
"Kau takkan berani apa-apakan dia, Zack. Aku tahu kau big boss kepada mereka. Habis? Kau dah lupa... Aku ni siapa?" Raffa berkata dengan penuh lagaknya seraya mendepangkan kedua-dua tangannya itu. Sebelah tangannya lagi menggenggam kemas pistol itu.
Raffa ketawa kecil. "Aku pun bos mereka." Ucapnya, menekan satu per satu ayatnya.
"Kau takkan boleh buat apa-apa pun." Raffa seakan mengejek seraya mencampak pistol tersebut kepada Zack semula.
Zack menyambutnya dengan hanya sebelah tangan. Hujung bibirnya mengukir senyuman herot. Membalas pandangan itu.
"Are you sure about that?" duganya, lalu mengangkat pistol itu tepat ke muka Raffa.
Macam sengaja pun ada.
Raffa bermuka tenang. Suasana menyepi beberapa saat. Namun, dia tetap mahu berkata sesuatu supaya Zack tahu yang dia benar-benar serius. Memaksudkan kata-katanya itu.
"Kau cuba nak apa-apakan dia... Buat sesuatu dekat dia... Kau tahulah apa aku nak buat. Kau tahu kan dia siapa? Aku maksudkan... Qis. No one dare to hurt her including you! Jangan cuba nak tunjuk berani pula di depan aku. Macamlah kau tak kenal aku..." ucap Raffa berani.
Tanpa sedikit pun ada rasa gentar di hatinya. Dia senyum sinis. Membawa perlahan-lahan hujung pistol itu supaya lebih rapat ke dadanya.
Muka Zack berubah. Menyimpan semula pistol di tangannya itu ke dalam poket jean. Kedengaran rengusannya yang kuat.
Dia menguatkan penumbuknya. Sepasang matanya beralih memandang orang-orang kepercayaannya itu yang berada di sekeliling mereka. Dia bercekak pinggang dengan kedua-dua tangan.
"Raf... Ikutkan malam ni aku takde mood nak cari pasal dengan kau. Malas nak campur hal peribadi kau tu. Tapi... satu aje yang aku nak ingatkan.
"Aku takkan biarkan kau dengan mana-mana perempuan yang boleh sampai ganggu rancangan aku. Lepas ni aku tak nak dengar apa-apa cerita lagi pasal Qis. Aku maafkan kau. Untuk kali ni aje. Biar ini jadi yang terakhir! No one will ever come into my way. Always remember that." Zack berkata seraya memberi amaran.
Raffa benar-benar telah mengganggu moodnya itu. Semuanya gara-gara perempuan!
"Dengar cakap aku atau... Aku sendiri yang akan buat sesuatu. Aku bagi kau pilihan. Buat masa sekarang... Aku boleh jamin takkan sentuh dia. Melainkan kau yang sengaja cari nahas dengan aku. Ingat, Raf. Kau yang pilih jalan ni sebab fikir yang aku dah pernah tolong kau, kan. Sebab fikir kau dah terhutang budi dengan aku. Heh, macamlah aku tak tahu." Kata Zack berbaur ugutan.
"Ingat. Kau yang setuju ikut aku dulu."
Zack berpusing.
"By the way, thanks for ruining this party tonight."
Sindiran tajam itu terus-terusan menghasut fikiran Raffa.
Zack berlalu meninggalkan ruang itu sambil diekori Lisa dan beberapa orang kepercayaannya. Raffa berdiri dengan panahan tajamnya itu. Memandang kelibat mereka sehingga lesap daripada pandangan matanya itu.
Reaksinya itu beku. Begitulah... hatinya ketika ini.
Post a Comment
0 Comments