BAB 20

“MAMA,” Raffa separuh berbisik.

“Raf ada kelas ke hari ni?” tanya Puan Adelia dengan suara yang ceria. 

Kedengaran suara Puan Adelia di hujung talian sebaik Raffa menjawab panggilan itu. Mengeratkan pegangan pada telefon pintarnya. Entah kenapa agaknya mamanya itu boleh menelefonnya pada hari ini. 

Selalunya mamanya itu sibuk saja memanjang.

“Hmm," Raffa jawab perlahan.  

Dia meletakkan pen berdakwat hitam di atas kertas sambil diperhatikan Qistina. Perbincangan mereka terganggu sejenak.

Dia mengerling Qistina sekilas. Rahangnya itu bergerak. Dia memusing badannya ke sebelah kiri sambil berdeham sejenak. Menyandar sebelah tangannya ke atas kerusi. Gayanya itu seperti tidak mahu langsung Qistina mendengar perbualan mereka.  

Qistina yang duduk menghadap Raffa malas hendak mengganggu perbualan itu, dia buat-buat khusyuk seraya meneruskan kerjanya yang tergendala. 

"Mama minta maaf call Raf time macam ni. Raf tengah sibuk ya?" Puan Adelia serba salah. 

Raffa diam sejenak. 

"Qis ada ke dekat situ?" Puan Adelia tiba-tiba bertanya. 

Raffa sama sekali tidak menyangka dengan pertanyaan mamanya itu. Nampak sangat yang mamanya itu sudah menyukai Qistina. Tidak pasal-pasal...  

Dia memerhati gelagat Qistina dengan ekor mata. "Hmm... Ada." 

"Selalu ke kau orang studi berdua? Nanti kenalkanlah mama lagi dengan bakal menantu mama tu ya." Puan Adelia bernada mengusik pun ada, tertawa halus di hujung talian. 

Raffa menggeleng perlahan. Sudah mulalah mamanya itu. Kalau bab begitu mamanya memang agak sporting

"Mama nak apa?" Dia bertanya tanpa menjawab pertanyaan yang mamanya itu ajukan. 

Dia rasa tak selesa... mamanya pasti salah faham. Memikirkan yang dia ada hubungan istimewa dengan Qistina. Jika tidak, mamanya tak mungkin bertanya lebih-lebih. Nak-nak, Qistina ada bersamanya ketika ini. 

"Mama ingat nak ajak Raf keluar petang ni. Mama datang rumah lepas tu terus ambil Raf. Hmm, sayang? Mama rindu sangat dengan anak mama ni." Luah Puan Adelia. 

"Bagilah mama peluang kali ni aje, Raf." 

Berharap sangat yang mood anaknya itu okey. Lambat-laun terpujuklah hati Raffa supaya menerimanya kembali seperti dulu. Terdengar bunyi hembusan nafas di hujung talian.

"Ajak ajelah Kak Tasha. Raf takde masa hari ni." Ucap Raffa malas. 

Qistina yang sejak tadi memasang telinga, terus angkat mukanya. Dia memandang raut Raffa yang agak tegang. Ada sesuatu yang sedang bermain dalam fikirannya ketika ini. Sedikit-sebanyak dia boleh menangkap apa maksud di sebalik kata-kata Raffa.

"Raf..." Puan Adelia cuba bersuara.

"Nanti-nanti ajelah. Raf call mama balik." Raffa lekas memintas. 

Dia terus mematikan talian. Tiada lagi kedengaran suara mamanya itu. Tanpa sebarang reaksi, Raffa mencampak telefon pintarnya itu ke meja. 

Mukanya itu berserabut.

Sebaik mamanya itu menelefonnya, dia tiba-tiba saja teringatkan Dato' Izham. Mungkinkah mamanya benar-benar serius dengan Dato' Izham... lelaki berpengaruh itu? Masing-masing mula rapat sejak perpisahan di antara kedua-dua orang tuanya. 

Bermakna... boleh dikatakan masih baru lagi. Tak sampai setahun, mamanya itu sudah mendapat pengganti papanya. 

Raffa beriak sinis. Mengepal penumbuknya. Dia berdendam dengan Dato' Izham. Punca mamanya boleh berpisah dengan papanya. 

Baginya... Dato' Izham bertanggungjawab di atas segalanya. Dia terkenangkan kata-kata Zack. Zack mahukan dia membalas balik perbuatan Dato' Izham yang sengaja melanggar bapa Zack sehingga terbunuh dalam satu kemalangan ngeri. Itulah sebabnya kenapa Zack bertindak mengupahnya. Zack tahu dia lebih licik dalam merencana sesuatu.

Secara kebetulan dia juga turut mendendami Dato' Izham. Sebab itulah dia sudah merangka sesuatu. Dia mahu mengenakan Dato' Izham habis-habisan. 

"Raf?" bertalu-talu Qistina memanggil namanya.

Raffa seakan baru tersedar daripada mimpi saja gayanya. Benar-benar memelikkan. Qistina memandang genggaman kemas pada sebelah tangan Raffa. 

Qistina kehairanan. 

Sudah beberapa kali dia menyedari perubahan Raffa yang cukup ketara. Entah mengelamun fikirkan apa agaknya? Qistina merasakan yang dia perlu meluahkan juga. Jika tidak, dia semakin dilanda tanda tanya. Selalu sangat dia melihat Raffa berkeadaan begini. 

Qistina menutup laptop, mengemas helaian nota yang berselerakan di atas meja. Dia memandang muka Raffa yang nampak begitu serius. Sebelum matanya itu beralih ke sekeliling studio yang cuma tinggal dua, tiga orang pelajar saja yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan tugasan projek.

Raffa membalas pandangan itu. 

Qistina senyum nipis seraya menggenggam kemas kedua-dua tangannya di meja. Dia menarik nafas sebelum bersuara.

"Awak kenapa? Saya tengok lain macam aje sejak dua menjak ni. Mama awak... ermm, ada cakap apa-apa ke?" dia bergaya mengambil berat.

Raffa cuma menggeleng. "Kita teruskan bincang pasal tadi." Katanya. Cuba mengalih perhatian Qistina ke arah benda lain. 

Namun, dia lihat Qistina tetap berdegil ingin tahu juga.

"Tak, tolong jawab soalan saya ni. Saya tahu apa masalah awak, Raf. Tak perlu awak nak sorokkan apa-apa lagi." Balas Qistina.

Raffa angkat mukanya, lalu membalas pandangan itu. Sengaja dia pandang muka Qistina lama-lama. 

"Dah tahu... Kenapa tanya? Supaya hati kau tu puas?" Raffa jongket kening sebelahnya.

Riak Qistina bertukar. "Bukan macam tu..." gumamnya. 

Sudah mulalah dengan lagak Raffa itu. Dia menjeling.

"Tak boleh ke bila saya tanya tu, jawab elok-elok?" dia juihkan mulut. 

"Habis, kau ingat aku ni main-main?" Raffa bernada menyindir.

Mereka berlawan pandangan. 

Seperti biasalah, Qistinalah yang terpaksa beralah. Bebola matanya itu bergerak ke tempat lain tanpa mampu melawan panahan tajam itu lebih lama.

"Kau pun sama macam mereka, kan. Mesti fikir yang aku ni suka main-main. Termasuklah papa aku. Dia tak pernah anggap aku serius." 

"Fine. Tak nak cakap pun takpe. Macamlah kita ni kisah sangat pasal dia." Qistina bernada tak puas hati.

Qistina cepat-cepat mencapai beg galasnya itu. Dia cukup menyampah dengan Raffa. Ada saja yang tidak kena. Namun, hati dia pula yang boleh tiba-tiba saja mahu mengambil tahu perihal Raffa. 

Tak mampu dia nak melawan kata hati sendiri yang masih juga hendak menyibuk. Walaupun puas dia melawannya. Berpura-pura yang dia tidak ambil kisah langsung pun. Itulah yang membuatkan kenapa dia bertambah geram dengan dirinya itu.

Raffa menyedari perubahan Qistina. 

Segera dia menahan Qistina dengan menarik lengan yang berlapik dengan baju lengan panjang itu. Tubuh Qistina terdorong ke belakang. Hampir hendak terduduk di atas pangkuan Raffa. 

Mujurlah dia tak sempat nak menjerit. Kalau tidak... sudah jadi benda lain pula. Pastinya yang lain-lainnya akan berfikir yang bukan-bukan.

Qistina merasakan degupan jantungnya itu yang berlagu kencang. Dia segera meleraikan pautan itu. Meliar sepasang matanya ke sekeliling mereka. Mujurlah tiada sesiapa pun yang perasan dengan tindakan drastik Raffa yang bertindak menariknya tadi.

"Hisy, awak ni... Kuatnya tarik saya. Nasib baik tak jatuh tau." Qistina jegilkan mata.

Raffa senyum herot. 

"Aku minta maaf. Tak bermaksud pun yang aku nak rahsiakan apa-apa daripada kau." Ucapnya.

"Dan, aku tak maksudkan pun dengan kata-kata tadi. Yang aku nak salahkan kau... Tak sama sekali."

"Betul awak tak main-main?" soal Qistina.

"Main-main?" ulang Raffa bersama kerutannya. Kurang memahami.

Qistina terdiam. Perlahan-lahan, menghenyak punggungnya ke kerusi semula. Dia menunduk seraya merenung lantai. Bermain dengan jari-jemarinya sambil diperhatikan Raffa.

"Pasal hari tu, masa kita minum-minum dekat kafe dengan Zafrul dan Alisya... awak tak main-main ke?" dia buat-buat tanya.

Raffa mengerutkan dahinya. "Kau anggap aku macam tu ke?"

Qistina tak menjawab. Helaan nafas kedengaran. Raffa memandang sepasang anak mata coklat jernih itu dalam-dalam. Pandangannya itu jatuh pula ke bibir merah itu... seakan ada kuasa yang menariknya untuk terus memandang tanpa jemu. Merasai sesuatu yang payah nak diungkap dengan kata.

Dia melarikan pandangannya itu setelah beberapa saat. Dia tarik nafas perlahan.

"Aku serius dengan apa yang aku cakap dekat kau selama ni. Puas hati?" Raffa angkat kening sebelah.

Qistina mengangkat mukanya, lalu membalas pandangan itu. Dia berasa lega... bermakna apa yang Zafrul ucapkan itu tidak semestinya betul belaka. Raffa bertindak dengan berterus terang kepadanya. Tiada apa lagi yang dia perlu was-was.

Raffa mencari sepasang mata bundar itu. Dia melepaskan keluhan.

"Ada sesiapa yang hasut kau pasal aku ke?" dia pasang serkap jarang.

Qistina terpaku. Lekas dia menggeleng. 

"Takde apa." Senyumnya.

Hal dia dengan Zafrul itu biarkanlah. Hanya dia saja yang tahu. Raffa tidak membalas langsung. Hanya memandang saja senyuman yang dilemparkan itu.

"Saya cuma pelik. Awak macam tengah pendam sesuatu aje. Selalu sangat macam tu." Ucap Qistina.

"Zack..." ucap Raffa dengan nada perlahan.

"Zack?" ulang Qistina. Mengundang tanda tanya di hatinya. 

Bibir Raffa bergerak sedikit seakan cuba menyampaikan sesuatu. Bolehkah dia percayakan Qistina? 

Bagaimana sekiranya Qistina tahu dan bertindak menjauhkan diri daripadanya? 

Dia benar-benar keliru. 

Berat mulutnya hendak berterus terang mengenai apakah pekerjaan yang sering dia lakukan. Yang pernah Qistina tanyakan kepadanya satu ketika dulu. 

Fikirannya itu terganggu.

"Raf? Siapa Zack?" Qistina menyoal bertalu-talu.

Dia tidak sedap hati sebaik memandang muka Raffa yang keruh. Benarlah kata hatinya itu. Raffa tengah memendam sesuatu tanpa pengetahuannya.

"Apa kaitan dia dengan mama awak?" sepasang mata Qistina mengecil.

"Tak. Cuma... Dia kawan aku." Jawab Raffa ringkas.

Qistina menanti.

"Hmm, pasal mama aku tu... Nantilah aku fikirkan. Aku rasa ada betulnya juga cakap kau dulu. Lebih baik aku cuba terima..." Raffa meleretkan kata. Malas nak membuka topik perihal Zack lagi.

"Cuba belajar untuk terima. Take it slowly." Sambungnya. 

Raffa kembali tenang. Qistina tersenyum sebaik mendengarnya. Dia angguk perlahan.

"Betul tu. Apa kata awak dengar dulu penjelasan mama awak. Cubalah bagi mama awak peluang ya? Itu kan mama awak sendiri. Bukannya orang lain." pujuk Qistina. 

Raffa cuma mendiamkan diri. Perlahan-lahan dia mendekatkan diri kepada Qistina bersama pandangan terpaku ke muka itu. Hujung bibirnya terlukis senyuman kecil.

"What have you done to me?" Raffa separuh berbisik.

Qistina terpanar. Membiarkan pandangan mereka bertaut agak lama. Sebelum akhirnya dia melarikan sepasang matanya ke tempat lain.

_

"ASSALAMUALAIKUM, Raf?" suara Puan Adelia kedengaran.

Raffa menarik nafasnya. Menjatuhkan rokok yang berada di celah jari-jemarinya itu ke bawah. 

Dia sudah berkira-kira mahu menghubungi mamanya sebaik saja habis kelas. Sebelah tangannya itu memeluk tubuh sambil menyandar pada dinding di sebuah bangunan. 

Dia kini berada di luar kampus. Baru saja habis perbincangan dengan Qistina kira-kira setengah jam yang lalu. 

"Waalaikumussalam. Ermm, mama..." dia bernada kekok. Pautan pada telefon pintarnya itu kemas.

"Boleh ke Raf nak jumpa mama?" tanyanya.

"Eh, mestilah boleh, sayang. Raf kan anak mama." Balas Puan Adelia seakan sukar nak percaya. 

Hatinya itu dilanda sebak. Anaknya itu sendiri yang akhirnya menghubunginya setelah sekian lama perhubungan mereka anak beranak tidak berapa baik. 

"Lagi dua jam mama datang jemput Raf ya. Sekarang tak boleh lagi sebab mama nak kena attend meeting ni dalam lagi sepuluh minit." Beritahu Puan Adelia. Suaranya agak termengah, gayanya itu tengah sibuk saja.

"Mama ada dekat office?" tanya Raffa. 

"Ha'ah. Kejap lagi baru mama balik." Jawab mamanya itu.

"Nanti jangan lupa sampaikan salam mama pada Qis ya?" 

"Mama..." Raffa tak pasti apa perlu dia balas.

"Raf takde apa-apa pun dengan dia. Kitorang kawan aje. Mama janganlah fikir yang bukan-bukan." Dia berkata tidak selesa. 

"Eleh, macamlah mama tak nampak cara Raf pandang dia hari tu. Nak tipu mamalah kononnya..." 

"Raf sukakan dia ya?" usik mamanya lagi.

Lidah Raffa terkelu. Seperti boleh membayangkan senyuman mamanya itu bagaimana. Ternyata, mamanya itu lebih tahu. 

Daripada nada itu, dia seperti boleh mengagak yang mamanya itu cukup gembira sebaik menerima panggilan telefon daripadanya. 

Sedikit-sebanyak kekerasan hatinya itu berjaya dilenturkan sedikit demi sedikit oleh kata pujukan Qistina. Dia sendiri pun tidak pernah menyangka dirinya akan jadi begitu.

"Raf okey tak tunggu mama?" tanya Puan Adelia.

Raffa menghembus asap rokok sebaik menyedutnya dalam-dalam. Kalaulah mamanya itu nampak perbuatannya itu, pastinya teruk dia kena bebel. 

Hmm... dia bukan ambil peduli pun. Tidak sama sekali. Dia kembali menyedut rokoknya itu. Sekurang-kurangnya dengan cara itu mampu membuat hatinya sedikit lega. 

Barulah dia membuka mulut.

"Hmm, okey." Balasnya. 

Tanpa sempat dia mematikan panggilan itu, suara mamanya itu kedengaran.

"Raf, mama nak minta maaf sekali lagi. Kalau Raf masih lagi berkecil hati dengan mama. Pasal papa... mama..." kata itu terhenti.

Raffa tak bersuara. 

"Mama sedar salah mama. Mama dah tak nak salahkan sesiapa dalam hal ni. Baik Raf atau Tasha... Even papa sekalipun. Tak bersalah apa-apa," Puan Adelia berkata kesal.

Terlalu menyesali dengan masa yang telah pun berlalu itu. Terlalu banyak yang mahu diluahkannya. Cumanya lebih baiklah dia berjumpa Raffa sendiri. 

"Walaupun dulunya, mama selalu menyalahkan papa. Selalu anggap papa tu sibuk, lagi pentingkan kerja berbanding mama. Mama cuma nak Raf tahu yang walau macam mana sekalipun... Mama tetap sayangkan Raf. Raf penting sangat dalam hidup mama." Luah mamanya.

Hati Raffa terasa sesuatu. Namun, dia tetap memilih untuk berdiam diri. Hanya fikirannya itu saja yang terus-terusan cuba menghasut. 

Alangkah bagusnya seandainya dia mampu melupakan kelukaan itu. Dan alangkah indahnya jika mamanya itu mampu mengembalikan semula masa lalu mereka. 

Semudah itukah? Tidak...

Dia masih lagi memikirkan perihal Dato' Izham. Juga kata-kata Zack yang sukar dilupakan. Dia dan Zack... sama saja. Tiada bezanya. Dia yang bertindak memilih jalan gelap itu. Hatinya seakan kosong. Ada ketikanya dia seperti terlupa yang dia masih mempunyai keluarga. Keluarga?

Masing-masing terlalu sibuk. Selalunya begitu. Tanpa memikirkan langsung perasaannya. 

Dia memberontak pun tiada sesiapa yang ambil peduli melainkan... Qistina. Hatinya menyebut nama itu perlahan. Mengingati seraut wajah cantik itu seimbas lalu. Wajah yang selalu menemani tidur malamnya. Menemani kesepian hatinya itu. 

Siapakah lagi yang selama ini mampu membuatnya jadi begitu?

Mampukah Qistina mengubah dirinya supaya menjauhkan diri daripada kegiatan gelap yang selama ini dilakukannya? Mungkin ya atau pun mungkin tidak. Segala-galanya dirasakan sudah terlambat. Yakin yang tiada seorang pun mampu mengubah dirinya.

Lama-kelamaan suara Puan Adelia kedengaran sayup-sayup dan terus menghilang. Entah bila talian itu mati. Bersilih ganti dengan suara jahat yang menghasut itu.

Perlahan-lahan dia menjatuhkan tangan yang masih memegang telefon pintarnya itu ke sisinya. Fikirannya itu berkecamuk.


*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.