RAFFA
BAB 16
LELAKI berbaju serba hitam itu berdiri menyandar di keretanya sambil menyilang kaki dengan rokok di celah jari-jemari.
Bibir terlukis senyuman sinis.
Dia tajam memerhati perlakuan beberapa orang kepercayaannya yang sibuk membelasah seseorang sehingga hampir pengsan. Cecair merah pekat menyembur keluar daripada mulut bekas orang suruhannya itu akibat perutnya disepak terajang tanpa henti. Lelaki itu akhirnya rebah ke tanah. Tak mampu lagi hendak melawan. Apatah lagi bergerak walaupun hanya sejengkal cuma. Seluruh tubuhnya lemah tak berdaya.
Mereka masih tercegat sambil memeluk tubuh di sekelilingnya tanpa langsung berganjak. Kawasan kilang di situ begitu sunyi dan sepi. Kegiatan mereka langsung tiada sesiapa pun yang menyedarinya. Boleh dikatakan selamat. Mereka hanya menanti setiap patah kata yang keluar sebagai arahan. Arahan yang tidak harus dibuat main-main oleh mereka.
Semuanya telah diupah untuk menyiasat latar belakang sang pembelot itu. Yang selama ini dia selidiki selama berminggu lamanya itu, secara terang-terangan telah mengkhianati kepercayaan yang selama ini dia berikan.
Mujurlah dia mendapat tahu perihal itu terlebih dulu. Sebelum segalanya terlambat.
"Bos, nak kasi setel terus ke?" soal salah seorang di antara mereka.
Dia tak terus menjawab. Menghela nafasnya dengan pandangan terpaku lama kepada lelaki yang teruk dibelasah di depannya.
Rokok di celah jarinya itu disedut dalam-dalam, lalu menghembusnya ke udara. Mata terpejam sejenak seakan memikirkan sesuatu. Rokok itu dia campakkan ke tanah. Memijak ia dengan kasut hitam berkilatnya dengan riak muka biasa.
Namun, masih lagi ketara raut bengisnya.
Dia terlalu marah. Sehinggakan sukar nak diungkap dengan kata-kata. Tergamak bekas orang suruhannya itu mengkhianatinya.
Dia sukar mahu menerima hakikat itu. Pantang baginya apabila ada seseorang yang sengaja menipunya. Benda lain mungkin boleh dia pertimbangkan lagi. Menipu bukanlah mainannya. Tapi, maruah baginya.
Sebelah tangannya menyeluk poket jean. Langkahnya itu kemas, tidak terlalu laju atau pun terlalu perlahan. Auranya cukup dirasai oleh mereka yang ada bersama. Menggerunkan walaupun usianya jauh berbeza dan cukup muda.
Selangkah demi selangkah dia mendekati sambil diperhati oleh mereka. Sebaik kian mendekati, perlahan-lahan dia duduk mencangkung seraya menghadap bekas orang suruhannya itu. Seluruh muka yang habis lebam-lebam itu dia pandang dengan raut cukup sinis. Dia melipat kedua-dua hujung lengan kemeja berwarna hitam sehingga ke paras lengan tanpa sedikit pun pandangannya itu berganjak.
Bekas orang suruhannya itu cuma menunduk. Menghembus nafasnya berat. Mukanya itu pucat lesi.
"Syahir..." Dia menyebut nama itu senafas, lalu menarik rambut Syahir. Mencengkamnya kasar sehingga kepala Syahir terdorong ke belakang.
Syahir menyeringai kesakitan.
"Tolong, jangan apa-apakan aku... Aku menyesal." Syahir separuh merayu.
"Kenapa nak menyesal? Hmm? Bukan ke... Ini pilihan kau sendiri?" Dia menduga.
"Dasar penipu."
Cengkaman pada rambut Syahir semakin kuat. "Arghhh..." teriak Syahir.
"Tak... Mereka yang paksa aku. Orang-orang Dato' tu sendiri. Bukan aku yang nak belot!" Syahir menjawab berani.
Merah padam mukanya dengan nafas turun naik. Kesabarannya hilang entah ke mana. Buk!
Tumbukan padu hinggap ke muka itu menyebabkan kepala Syahir terteleng ke kanan. Tak cukup dengan itu, sekali lagi rambut Syahir dicengkam kuat.
Hujung bibir Syahir berdarah. Dia mengesat kesan darah dengan belakang tangan, lalu tertawa kecil. Membiarkan kolar bajunya direntap.
"Beritahu aku. Siapa dia orang-orang Dato' yang berani hasut kau? Aku akan cari sampai ke lubang cacing. Dan kau... Aku takkan lepaskan kau! Sial!" Dia menjerkah.
Syahir diam membisu. Dia tertunduk lemah.
"Tak guna. Berapa duit yang mereka dah bagi dekat kau, hah?" satu sepakan tepat hinggap ke rusuk kiri Syahir.
Syahir menahan dengan kedua-dua tangannya sepakan bertalu-talu itu. Asakan tumbukan demi tumbukan pula bertubi-tubi di mukanya. Kudratnya hampir tiada.
Lelaki ini begitu kuat. Skillful. Mahir berlawan. Sampaikan nak mati Syahir dikerjakannya. Itu tidak Syahir nafikan. Dia menyedarinya sejak dulu lagi. Tak mampu dia melawan sama sekali. Dia boleh mati jika terus-terusan bertindak melawan mereka.
Syahir angkat sebelah tangan memberikan isyarat. Dia beralah. Dia kini benar-benar lemah. Pandangannya mulai kabur.
Perlakuan itu akhirnya terhenti.
"Damn!"
Teriakan itu bergema. Lelaki berbaju serba hitam itu meraup rambutnya ke belakang. Sebahagian tubuhnya dibasahi peluh yang merenik hebat. Begitu juga di dahinya. Sebelah tangannya mencekak pinggang. Dadanya berombak bersama nafas yang turun naik.
Nafas ditarik dengan raut muka kembali tenang. Namun, api kemarahan itu masih belum padam.
"Kau..." Telunjuknya itu lurus. Pandangannya tertancap semula ke muka Syahir.
"Jawab soalan aku ni kalau... Kau tak nak mati."
Muka Syahir bertukar.
"Berapa yang mereka dah bayar kau?" Dia menekan satu per satu ayat.
"Ti... Tiga... ribu." Syahir bernada lemah.
"What?"
Tawanya meledak kuat. Seakan sukar dia mahu percaya yang hanya jumlah itu saja ditawarkan. Sedangkan dia boleh mengupah orang kepercayaannya itu dengan jumlah yang jauh lebih besar dari itu. Dia lebih daripada mampu.
"Tiga ribu? Hei, aku boleh bagi kau lebih daripada tu, tahu tak? Bodoh!" Dia menunjal dahi Syahir.
"Disebabkan kau dah khianati aku, aku terpaksa buat sesuatu. Aku takkan maafkan kau."
Dia memberikan isyarat kepada salah seorang di antara mereka. Dua lelaki menghampiri. Membiarkan Syahir dibawa pergi memasuki ke dalam sebuah kereta bersama yang lain-lain. Kereta itu lesap sebaik berlalu meninggalkan kilang itu.
Zack yang sejak tadi lagi memandang dari kejauhan, terus menghampiri dalam kepekatan gelap malam. Dia bertepuk tangan dengan senyuman lebar. Gayanya itu cukup berpuas hati.
"Woah... What a scene. Marvelous. Aku bangga dengan kau."
Zack menepuk bahu lelaki berbaju serba hitam itu dengan senyuman.
"Thanks. Kau dah tolong aku." Ucap Zack.
Dia tak membalas. Rautnya begitu serius. Dia menyeluk poket seluarnya, lalu mengeluarkan sebatang lagi rokok. Zack pula sibuk memerhati.
"Kau memang hebat. Kerja kau cepat. Boleh tahu yang ini semua kerja Syahir. Aku macam dah boleh agak." Zack menggerit gigi.
Zack cukup marah setiap kali memikirkannya. Sisi gelap mereka nyaris lagi nak terbongkar. Gara-gara Syahir yang belot. Hampir saja diketahui oleh orang kenamaan tersebut.
Zack cuma mahukan satu saja. Yang penting dendamnya terhadap Dato' itu terbalas. Ada sesuatu yang Dato' itu lakukan sehingga menyebabkan Zack sukar mahu memaafkan perbuatan itu.
"Kerja aku dah selesai. Ingat. Jangan cari aku lagi dalam masa terdekat ni." Dia bersuara seraya meletak rokok di bibirnya. Menyalakan ia dengan api lighter.
Asap berkepul-kepul dengan api yang menyala sebaik dia hembus dengan mata terpejam sejenak. Malam ini... pastinya dia tidak lena lagi. Dia yakin itu. Samalah juga seperti malam-malam sebelumnya. Setiap lenanya itu pasti ditemani mimpi gelap. Kemelut yang melanda hidupnya sejak kebelakangan ini menjadikan dia sudah tidak kenal apa itu makna ketenangan. Dirasakan semakin parah.
Genggaman sebelah tangannya dikuatkan. Menampakkan urat hijau jantan yang terpamer jelas. Bahunya itu ditepuk-tepuk.
Zack menggeleng perlahan.
"Raf," Dia senyum meleret.
Ada sesuatu yang ingin diucapkan. Raffa perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya... perbuatan mereka itu tertangkap.
"Aku janji takkan cari kau dalam masa terdekat ni. Aku tahu kau tengah sibuk. Itu... Aku berani jamin. Tapi, ada satu benda lagi yang aku nak minta tolong dengan kau." Ucapnya penuh makna, lalu dia tunjukkan gambar seseorang yang dilihat dalam media sosial melalui telefon pintarnya.
Raffa gelak kecil, menghembus sekali lagi asap rokok. Menjongket sebelah keningnya. Bebola matanya bergerak kepada apa yang Zack tunjukkan itu.
Riaknya itu bertukar. Lekas dia kawal sehabis baik setelah melihat gambar seseorang itu. Raut lelaki itu jelas. Cukup dikenalinya. Lelaki yang Zack maksudkan itulah telah meranapkan kebahagiaan keluarganya. Penyebab tidur malamnya jadi tidak lena. Api dendam bagai menyala-nyala.
Raffa membalas pandangan itu tajam.
Zack menyedari perubahan Raffa. Muka serius itu dipandang. Dia berdeham.
"Kau kenal dia?" soalnya curiga.
Raffa tak menjawab.
Zack merapatkan dirinya, lalu membisikkan sesuatu. Rapat di telinga Raffa.
"Ini kerja kau lepas ni." Ucapnya.
"Apa kata balik ni kau rehat dulu. For now... Aku takkan kacau kau. Tunggu sampai aku contact kau balik. Macam biasa, aku perlukan kau, Raf." Sambung Zack, lalu senyum sinis.
Dia terus beredar meninggalkan Raffa bersendirian.
Raffa diam membisu. Rahangnya itu bergerak sambil mula merencana sesuatu.
_
"RAF?" bertalu-talu Qistina memanggil dengan riak hairan.
Dia menggawang sebelah tangannya. Tapi, Raffa masih tidak bereaksi apa-apa.
Raffa tersedar. Dia mengerling sekilas.
"Hmm."
"Awak okey?" tanya Qistina.
Raffa tak menjawab. Hanya memandang buku rujukan di tangan. Berpura-pura biasa.
Mereka studi bersama-sama di perpustakaan. Menyiapkan tugasan Prof Rahmat. Buat masa ini mereka perlu mencari sebanyak mungkin rujukan. Masa yang ada tinggal lagi dua hari untuk presentation dan submit laporan bagi tugasan berkumpulan.
Qistina perasan Raffa banyak senyap. Dia jadi tertanya-tanya. Malas mahu bertanya lebih-lebih.
Dia pun malas nak push Raffa sangat. Terus menutup buku notanya beserta laptop. Menyimpan barangnya itu ke dalam beg galas bahu.
Dia senyum nipis.
Raffa menoleh. Pelik sebaik melihat Qistina yang sibuk mengemas barangnya. Dia melirik kepada jam di pergelangan tangannya. Hai, awal pula hari ini? Mereka berbincang tadi pun tak lama.
"Kau nak ke mana? Satu lagi. Apasal dalam berapa hari ni kau asyik nak mengelak aje?" soalnya.
Suara garau itu menghentikan perbuatan Qistina. Serta-merta Qistina teringatkan mimpi lamanya itu. Mukanya panas berbahang tiba-tiba. Dia lekas mengawal riak. Mana mungkin dia berterus terang di depan Raffa. Pasti dia akan ditertawakan. Paling tidak pun Raffa pasti akan mengejeknya sebaik mendapat tahu perihal mimpi itu.
“Ermm… Mana ada.”
Raffa pandang dengan ekor mata. "Macamlah aku tak perasan. Yang masa kau lambat masuk kelas tu."
Qistina melarikan pandangan sebaik direnung begitu. Raffa tidak pula berkata apa-apa perihal itu. Mengatanya pun tidak. Tidak seperti sesetengah kawan mereka yang sampai ke hari ini lebih suka menghukum atas kesilapannya itu.
Qistina memikirkan sesuatu. Dia berpusing, meletakkan sebelah tangannya ke meja.
"Awak okey ke?" Dia melontarkan juga pertanyaan itu. Hanya memandang sisi muka Raffa dengan ekor matanya.
Raffa berlagak biasa. Dia senyum senget.
"Aku okey." Jawabnya.
Qistina menggeleng.
"Kalau betul awak okey... Kenapa dengan tangan tu?" Dia memuncungkan bibirnya kepada genggaman tangan kanan Raffa. Ada kesan lebam kebiruan yang sangat ketara.
Raffa tersentak. Segera menjauhkan sebelah tangannya itu daripada pandangan Qistina.
"Jatuh motosikal semalam." Dia beralasan.
Qistina mengerutkan dahi. "Awak jatuh motosikal lagi?" tanyanya seakan hairan.
Raffa cuma angguk. Qistina terdiam. Entahkan betul ke tidak agaknya? Dia pandang curiga. Langsung tak berkata apa.
"Saya nak balik dululah ya." Dia meminta diri.
“Qis…” Raffa menahan. Rautnya nampak berserabut. Dia mahu bertanyakan sesuatu.
"Hubungan kau dengan keluarga angkat kau macam mana? Boleh aku tahu?"
Qistina tersenyum.
"Memang rapatlah. Macam ada pertalian darah. Ermm... Kenapa awak tanya?"
Raffa membiarkan sepasang matanya tertancap lama ke wajah itu. Lembut dan begitu menenangkannya. Seolah-olah ada satu kuasa yang mampu menghilangkan keresahan di hatinya. Belum pernah dia rasakan begini. Selama ini... belum pernah lagi dia berkongsi apa-apa cerita melibatkan hal keluarganya dengan sesiapa pun.
Dengan Qistina saja yang dia boleh percaya. Tahu yang Qistina bukanlah jenis suka bercerita hal peribadi kepada orang lain. Nafasnya ditarik perlahan.
"Kau rasa, orang yang ada segalanya ni bahagia ke?" Dia akhirnya bersuara.
Qistina terdiam. Perasan yang Raffa sudah dua kali mempersoalkan hal yang sama. Entahlah, dia merasakan Raffa seperti tengah menyembunyikan sesuatu. Tak pasti sama ada hal itu besar atau pun kecil. Rumit atau pun bukan.
Tapi, sejak melihat perhubungan Raffa dengan Puan Adelia yang tidak berapa nak baik itu, dia yakin yang Raffa sedang dilanda masalah berat.
"Saya faham. Awak gagal dalam subjek prof sebab ada masalah dengan mama awak, kan?" duganya.
"Mana kau tahu?"
Raffa memandang Qistina tajam. Qistina cuma angkat kedua-dua bahunya.
"Saya cuma rasa aje. Tapi, saya nasihatkan lebih baik awak cuba memaafkan mama awak."
"Kau fikir senang?"
"Ya, saya tahu... Tak mudah, kan. Sekurang-kurangnya, hati awak tenang. Lebih relax. Awak tak nak ke rasa bahagia?" sengaja Qistina berkata. Dia menjeling sekilas.
"Soalan yang awak tanya tadi tu... saya dah pun jawab. Tak semestinya orang yang ada segalanya tu bahagia. Tapi, bahagia kan boleh dicari. Kita aje yang perlu memilih. Sama ada nak bahagia atau pun tidak," ujarnya.
Raffa terpanar.
Qistina ketap bibir. Tanpa Raffa sedari, merenung mukanya itu cukup lama. Segan menguasai dirinya tiba-tiba. Dia melarikan sepasang mata bundarnya itu.
"Qis..." suara Raffa seakan berbisik.
Lambat-lambat, Qistina menoleh. Membalas pandangan Raffa.
"Thanks."
Qistina terkesima.
Thanks for reading.
Post a Comment
0 Comments