RAFFA
BAB 10
“RAF?” tegur seseorang.
Raffa menoleh.
Agak terkejut sebaik menyedari kehadiran wanita itu. Di sisi wanita itu ada seorang lelaki yang berpakaian kemas dengan gaya korporat.
Berubah mukanya.
Qistina turut sama memandang wanita yang begitu anggun bergaya sedang tercegat di depan mereka.
Dia tertanya-tanya.
Mahu bertanya kepada Raffa, tapi, dia lihat Raffa macam tidak suka dengan kehadiran wanita tersebut. Begitu juga lelaki yang langsung tidak dikenali itu.
“Eh, Raf buat apa dekat sini?” Senyum wanita itu sambil membetulkan rambut beralunnya yang panjang paras bahu itu.
Sempat dia menyelit rambut ikalnya ke belakang telinga sambil sibuk memerhati Raffa dan Qistina.
Lembut gaya percakapannya.
Haruman pewanginya bagaikan membuai diri Qistina yang begitu leka memandang. Wanita itu sangat cantik. Berkulit putih licin tanpa langsung ada kedut. Masih kelihatan muda dan bijak bergaya. Blaus merah hati yang digayakan oleh wanita itu dipadankan pula dengan tas tangan kulit.
Qistina memerhati dengan rasa penuh kagum. Berlainan pula dengan Raffa ketika ini. Raffa benar-benar tidak boleh menerima kehadiran mereka yang langsung tidak diinginkannya. Penumbuknya dikepal.
Raffa memalingkan muka ke tempat lain bersama rengusan kasar. Rautnya itu tegang.
“Raf…”
Wanita itu bersuara seraya mengangkat kedua-dua keningnya. Lengan Raffa disentuh. Begitu juga dengan sebelah bahu Raffa.
Raffa hanya membiarkan tanpa langsung membalas pandangan mereka.
"Mama." Perlahan nadanya.
Qistina tersentak.
Rupanya itu mama Raffa. Dia sama sekali tidak menyangka... seakan sukar nak percaya. Serupa macam adik dengan kakak saja. Mudanya mama Raffa.
Wanita itu tersenyum seraya mengalih pandangan kepada lelaki di sebelahnya.
“Rasanya you belum proper kenal lagi dengan anak I ni, kan? You boleh panggil dia, Raf.” Senyum Puan Adelia.
Lembut suara itu menerjah gegendang telinga mereka. Hati Raffa bengkak. Dia melirik sekilas.
“Oh, inilah dia Raf yang you selalu cerita tu ya? Wah, handsomenya. Ada iras macam muka youlah, Lia. Ini mesti mengikut mama dia, kan.” Dato’ Izham membalas ramah.
“Ha’ah, I ada beritahu you, kan.”
Puan Adelia gelak seraya menampar lembut lengan Dato’ Izham sambil tajam diperhati Raffa.
“Yang anak sulung you tu?” tanya Dato’ Izham.
“Natasha.” Puan Adelia mengangkat kening sebelah.
“Ya, ya… I ingat lagi. Natasha namanya. Dia dah kahwin, kan?”
Puan Adelia mengiyakan. Mereka berbalas senyuman mesra.
Meluat Raffa melihat gelagat mereka. Puan Adelia beralih memandang Raffa yang langsung tak bersuara. Dia senyum kekok. Memahami cara pandangan anaknya itu.
“Raf, ini mama nak kenalkan dengan Raf. Ermm… kawan mama. Kami baru aje kenal. Boleh panggil, Uncle Iz.”
“Hai, Raf. Selamat berkenalan.” Ucap Dato’ Izham seraya menghulurkan tangannya itu.
Raffa hanya memandang huluran itu tanpa bersambut.
Dia semakin panas hati. Merasakan mamanya itu seperti tengah mempermainkan perasaannya sebagai anak ketika itu. Ini semua ibarat mimpi buruk buatnya.
Tidak habis lagi pasal hal kedua-dua orang tuanya yang baru lepas bercerai. Ketika dia tengah sibuk menghadapi peperiksaan akhir di semester lepas. Dia sampai hilang fokus. Terus hilang minatnya nak belajar.
Sekarang? Mamanya itu sibuk mahu memperkenalkan dia dengan teman lelaki baru mamanya pula.
Raffa beraut sinis.
Senyuman mereka terus mati sebaik menyedari reaksi Raffa itu. Perlahan-lahan, Dato’ Izham menjatuhkan tangannya. Dia senyum hambar. Puan Adelia serba salah.
“Iz, I minta maaf ya.” Ucap Puan Adelia.
“Raf mungkin tak berapa sihat agaknya. Hmm, sayang? Raf? Raf okey tak ni?” tegur Puan Adelia.
Raffa tak membalas. Bertindak menjauhkan muka sebaik mamanya itu mahu menyentuh dahinya.
Qistina hanya mampu memandang mereka bersilih ganti. Dia tidak sedap hati sebaik melihat cara Raffa melayani mereka. Raffa tunjukkan betul rasa tidak sukanya itu secara depan-depan. Tiada langsung senyuman menghiasi wajah itu. Tidak seperti mula-mula mereka berbual tadi.
Kini dia mulai faham. Mula nampak diri Raffa itu bagaimana.
Qistina menunduk, lalu memandang dasar meja.
Puan Adelia beralih memandang Qistina.
“Ini siapa?” senyumnya.
Raffa mendengus.
Belum sempat Qistina nak bersuara, Raffa terus berdiri dari kerusinya. Dia berlalu kepada Qistina, terus menarik pergelangan tangan Qistina.
“Qis, jom.” Ucapnya.
Dia mahu lekas berlalu dari situ.
Qistina terpinga-pinga. Dia turut bangun sebaik ditarik Raffa.
“Err, Raf…” Qistina cuba bersuara.
Dia memerhati pautan di pergelangan tangannya itu. Mengerling Puan Adelia sekilas. Puan Adelia bermuka hampa.
Qistina bersalah.
“Raf balik dulu.”
“Nanti dulu, Raf. Mama faham… Raf tak selesa, kan?” Puan Adelia cepat-cepat menahan.
Mereka menghentikan langkah. Raffa melepaskan pautan di pergelangan tangan Qistina dengan perlahan-lahan.
Puan Adelia mendekati anaknya. Mula dihambat rasa bersalah kerana bertindak memperkenalkan Dato’ Izham kepada anaknya.
Tapi, salahkah dia bertindak begitu? Mungkin masanya itu yang tidak kena agaknya.
“That’s okay, Lia. I takde apalah.” Dato’ Izham memujuk.
Ketara benar yang Raffa tidak menyukainya. Dia bagaikan memahami. Muka Puan Adelia dipandang simpati.
“Raf…” Puan Adelia tidak berputus asa, bertindak memaut lengan anaknya. Dia ingin memujuk anaknya.
Raffa menepis pegangan mamanya. Puan Adelia tergamam. Dia membalas pandangan itu.
“Mama jangan cuba-cuba nak paksa Raf supaya terima lelaki ni. Dia bukannya papa untuk Raf hormati.” Raffa meninggi suara.
“He’s just a stranger to me. Atau, mana-mana lelaki sekalipun yang mama cuba nak kenalkan lepas ni. Jangan harap untuk Raf terima dan suka. Mark my words.”
"Raf, tolonglah jangan macam ni..." pujuk Puan Adelia dengan mata berkaca.
"Sampai bila Raf nak benci mama?" sebak suaranya itu.
Qistina ketap bibir bawahnya. Sepasang matanya bertukar merah. Mulai bergenang. Tersentuh hatinya sebaik mendengar ucapan begitu keluar dari mulut seorang ibu. Manalah dia tahan?
Tetapi... Raffa masih tetap lagi bersikap begitu. Seperti tiada perasaan.
"Sampai mama kembalikan semula bahagia Raf... Sama macam dulu." Raffa bernada dingin.
Puan Adelia tersentak.
"Mama sedar tak yang mama ni pentingkan diri. Mama cuma sibuk fikirkan bahagia mama aje. Mama pernah tak tanya apa yang Raf atau Kak Tasha rasa? Papa pulak macam mana? Ada mama fikir?" Raffa jongket keningnya.
Puan Adelia menunduk memandang lantai. Dia tahan sebaknya.
Qistina terkejut. Dahinya berkerut. Dia nampak Raffa bersikap kurang ajar dengan mamanya… dengan orang yang jauh lebih tua dari mereka. Dia pun tidak pernah meninggi suara di depan Mak Eda atau pun sesiapa.
Namun, dia tidak berani nak menyampuk apa-apa. Hanya memerhati saja perlakuan mereka.
“Qis, kita balik.” Kata Raffa sambil matanya tertancap tepat ke muka Puan Adelia. Beku rautnya.
Puan Adelia bagai hilang kata-kata. Dia berbalas pandangan dengan Qistina.
Qistina senyum pahit.
"Balik dulu ya, auntie." Katanya lembut, lebih kepada mahu menghormati wanita itu.
Puan Adelia angguk perlahan.
Tak menunggu lama, Qistina mengekori langkah Raffa dari belakang.
Mereka berlalu pergi sambil diperhati Puan Adelia dengan hati kecewa. Namun, dia tetap takkan menyalahkan anaknya. Ada sebab mengapa Raffa berubah jadi begitu.
_
“KENAPA awak buat mama awak macam tu?” tanya Qistina.
Tajam dia memerhati Raffa yang masih membisu.
Baginya tidak patut Raffa bersikap begitu, terlalu berkasar dengan Puan Adelia. Dia tidak menyangka sama sekali betapa kerasnya hati Raffa.
"Yang kau pulak melebih-lebih sampai nak menangis tu kenapa? Kau takde kaitan pun." Raffa pelik.
Qistina mengesat hujung mata dengan jari telunjuknya. Melarikan pandangannya. Hati dia memang sensitif. Itulah yang payahnya.
"Ya, memanglah saya takde kaitan."
"Dah tu?"
Senyap.
Qistina sudah tahu perihal kedua-dua orang tua Raffa yang baru lepas bercerai. Dia mendesak Raffa supaya berterus terang. Mulanya Qistina hairan mengapa Puan Adelia boleh bersama dengan lelaki lain. Bukannya dengan papa Raffa.
Sekarang barulah dia faham situasi sebenar. Namun, dia tak dapat menipu yang dia sebenarnya tengah bersimpati dengan nasib Raffa.
Dia mengerling Raffa yang masih membisu di kerusi pemandu.
“Raf, awak okey tak ni?” tanyanya. Gayanya mengambil berat.
Hembusan nafas kedengaran. Raffa memandang ke luar tingkap kereta. Genggamannya dikuatkan.
“Kau tak faham,” luah Raffa.
Pandangannya itu dihantar jauh ke depan. Fikirannya berserabut. Dia terpaksa menceritakan segala-galanya. Walaupun terasa sukar untuk dia membuka mulut berkaitan hal lama itu. Selama ini belum pernah lagi dia bercerita dengan sesiapa.
Hanya Zafrul dan Alisya saja yang tahu... soal perhubungan dia dengan mamanya yang tidak berapa nak baik itu.
Tak pasal-pasal Qistina boleh tahu juga… satu lagi rahsianya itu.
“Apa yang saya tak faham? Bukannya saya tak nampak tadi. Awak cakap kasar dengan mama awak. Saya faham apa yang awak alami. Cumanya tak berapa setujulah yang masa awak pergi tengking mama awak. Awak tak kesian ke dengan mama awak?”
Qistina meluahkan.
“Macam mana pun dia tetap mama awak, Raf. Dialah yang dah lahirkan dan membesarkan awak.” Ucapnya dengan nada lembut.
Dia mahu menyedarkan Raffa tentang sesuatu.
Raffa bermuka sinis.
“Mungkin… Kau nampak salah aku. Kau tak tahu apa yang perempuan tu dah buat sebelum ni. Apa yang dia dah buat dekat papa aku? Kau tahu ke?” dia berkata keras. Tajam pandangannya.
Qistina terkesima.
Masing-masing menyepi sejenak.
“Sesiapa pun takkan faham. Cuma tahu menyibuk aje,” Raffa kembali bersuara.
Qistina menjeling.
“Oh, saya ni menyibuk? Dah tu? Kenapa awak bawa saya keluar dan pergi ke tempat tu hari ni? Kan saya ajak awak studi sama-sama.” Qistina membalas geram.
Tahu nak salahkan dia saja. Padahal dia bertanya elok-elok kan tadi. Cuba menasihati sebaik mungkin. Dia tetap tidak bersetuju dengan tindakan Raffa.
Raffa diam membisu.
“Aku hantar kau balik.” Katanya.
Terus dia menghidupkan enjin keretanya. Mereka berlalu meninggalkan kawasan itu.
Tiada satu ayat pun yang keluar dari mulutnya sehinggalah dia menghantar Qistina betul-betul di depan kolej.
Qistina mencapai begnya itu, mahu membuka pintu kereta. Dia berpusing, lalu memandang Raffa. Raffa buat tak tahu saja. Pandang muka dia pun tidak.
Dia pamer senyuman hambar.
“Terima kasih ya tolong hantarkan saya,” ucapnya.
Belum apa-apa, suara Raffa segera menahan.
“Qis… Wait.”
Raffa memikirkan sesuatu. Agak lama barulah dia bersuara.
“Thanks for…” katanya itu terhenti.
Dia meraup muka dengan kedua-dua tangan sebaik menjatuhkan pegangannya dari stereng kereta.
Raffa menghembus nafas. Dia cuba mencari kekuatan demi untuk menyuarakannya. Mahu meluahkan juga. Kalau tidak pastinya… dia akan menyesal apabila muncul hari esok.
“Terima kasih sebab temankan aku hari ni.” Suaranya sedikit serak.
Qistina terpanar.
Senyum terlukis di hujung bibirnya tanpa disedari. Dia terus membuka pintu kereta, lalu berpusing. Menutup semula pintu itu. Memandang sisi muka Raffa yang beku.
“Assalamualaikum.”
Gemersik suara itu, halus menembusi deria pendengaran Raffa.
Raffa menjawab salam itu dalam hati. Tak menunggu lama, dia menekan pedal minyak setelah menukar gear.
Kereta mewah itu lesap dari pandangan mata Qistina.
Thanks for reading.
Post a Comment
0 Comments