RAFFA




BAB 15

SEJAK tadi Alisya menahan gelak. Tak habis lagi dia mengata Qistina yang boleh terlewat ke kelas. 

"Tak sangka, kan? Selama hari ni kita semua tertipu dengan Qis. Best studentlah kononnya... Aku tak puas hati betul dengan Dr. Wardah. Dia tak marah pun bila Qis yang lambat. Cuba kalau budak lain? Hisy... tak adil, kan?"

Senyap. Alisya menoleh.

"Eh, yang kau senyap aje ni kenapa?" tanyanya.

Dia kehairanan sebaik melihat Zafrul diam membisu. Langsung tak berkata apa, hanya melihat telefon pintarnya itu. Alisya mengerutkan dahi. Pelik betul.

Selalunya Zafrul dengan perangainya yang gila-gila itu akan turut mengata sama. Ada saja gosip hangat antara mereka. Lebih lagi perihal Qistina. Mereka sama-sama tidak menyukai Qistina. Terutamanya sejak Raffa sama kumpulan dengan Qistina di semester akhir ini. Lagilah sukar Alisya nak menerimanya.

"Zaf, okey tak ni?" tanyanya lagi.

"Aku okey. Kau janganlah risau, hmm?" Zafrul bersuara. 

Keluhannya terbit. Sebelah tangannya naik meraup muka. Alisya memerhati dengan raut curiga.

Alisya menggeleng-geleng. "Tak. Aku tak percaya. Dah berapa hari aku perasan kau macam ni. Kau okey ke dengan Raf? Dah lama aku tak nampak kau orang lepak sama-sama. Kau asyik nak dengan aku aje sekarang," tegurnya.

Zafrul tersentak. Dia berdeham.

"Aku..." dia mencari ayat yang lebih sesuai. 

Ah, apakah alasan yang harus diberikan di depan Alisya? Dia tak mahu Alisya mengesyaki sesuatu nanti.

"Okey aje dengan Raf. Cumanya... Aku tengok Raf macam busy aje sejak dua menjak ni." Keluhnya. 

"Hmm, yake?" 

Zafrul mengalih pandangannya ke tempat lain. Alisha masih tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Sengaja dia malas nak membuka cerita perihal apa yang berlaku di antara mereka dengan Qistina di depan fakulti tempoh hari. Dia berasa curiga dengan Raffa. 

Gaya Raffa apabila bersama Qistina... ketika Raffa bertindak banyak kali cuba menghalangnya daripada rapat dengan Qistina... tentang segala-galanya yang berkaitan dengan Raffa dan Qistina, dia nampak di depan mata. 

Masakan matanya itu menipu? Tak mungkin. Dia yakin Raffa sebenarnya turut menaruh hati terhadap Qistina. Bukan hanya dia seorang saja yang menyukai Qistina. 

Masalahnya mereka berjumpa dalam kelas hari-hari sejak di semester pertama lagi. Mengapa baru sekarang Raffa mahu tunjukkan perasaannya itu terhadap Qistina? 

Raffa tidak boleh menafikan sama sekali tindakannya itu. Ya, ianya mungkin berlaku di luar kawalan Raffa. Dia lebih tahu kerana dia sudah mengenali Raffa sejak sekian lamanya. 

Belum pernah walau sekalipun, Raffa tunjukkan sifat mengambil beratnya terhadap seorang gadis. 

Siap menuduh dia mengganggu Qistina itu apa? Sampai sekarang Zafrul masih susah menerimanya. Dia kini anggap Raffa sebagai pesaing hebat.

Alisya menyiku lengan Zafrul bersama sengihan. 

"Kita dah lama tak keluar sama-sama dengan Raf, kan?" ucapnya.

Zafrul menoleh, lalu mengangguk. 

"Kenapa tiba-tiba ni?"

"Aku ingat nak ajak kau orang keluar masa weekend nanti. Nak tak? Jomlah lepak minum dekat tempat biasa kita hang out." Ajak Alisya.

Zafrul terdiam sejenak. Seakan memikirkan sesuatu. Dia belum bersedia nak menghadap Raffa buat masa sekarang. Semuanya... gara-gara Qistina punya pasal.

"Ermm... minggu ni tak dapatlah. Sorry," Gelengnya.

Berkerut dahi Alisya. Dia bermuka tak puas hati.

"Lah, kenapa pula?"

"Aku ada hal. Busy sikit." Zafrul beralasan.

"Alah, kau ni. Busylah sangat. Takkanlah keluar dengan aku sekejap pun tak boleh?" Alisya mencebik.

Dia memasamkan muka. Zafrul mengerling dengan ekor mata. Faham sangat yang Alisya tengah merajuk. Alih-alih senyap saja. 

Zafrul menyengih. 

"Okey, fine. Aku on aje." Dia beralah.

"Dahlah... Tak payahlah merajuk lagi. Hmm?" pujuknya.

"Serius?" Alisya angkat kening.

Zafrul mengiakan. Bibir merah Alisya terlukis segaris senyuman. 

_

"RAF," tegur Dato' Ghaffar sebaik melihat anak terunanya lalu di ruang tamu itu. 

Raffa menghentikan langkahnya.

Dato' Ghaffar mengambil peluang mahu berbual dengan Raffa sementelah dia tengah ada masa sekarang. Hari ini tidaklah sesibuk seperti kebiasaannya. Beberapa urusan penting di syarikat yang tertangguh telah pun diselesaikan sejak semalam.

"Ada sesuatu yang papa nak tanya." 

"Hmm. Apa dia papa?"

"Mama ada beritahu papa pasal Raf ada bawa balik seorang perempuan. Qistina ya namanya?" Dato' Ghaffar ingin tahu.

Belum pernah Raffa mempelawa mana-mana perempuan ke rumah keluarganya. Inilah yang pertama. 

Raffa berpusing menghadap papanya. Genggaman sebelah tangannya dieratkan.

Dia mengiakan. 

"Sajalah papa nak tahu." Dato' Ghaffar duduk menyilang kaki di kusyen empuk itu. 

"Yang mama nak menyibuk tu kenapa?" ucap Raffa sinis.

Dato' Ghaffar memandang anaknya. "Apa maksud Raf?"

Raffa beriak jengkel. Dia memeluk tubuh.

"Papa tahu tak? Mama pun boleh selamba aje bawa balik boyfriend baru. Dia tu... kawan baik papa sendiri, kan. Papa betul ke tak kisah?" duganya.

Dato' Ghaffar tergamam. Tak pasti apa yang perlu dikatakan. Dia sudah banyak kali menerangkan soal perpisahan itu kepada anak-anaknya. Raffa saja yang masih susah hendak menerimanya. 

Raffa tidak seperti kakaknya. Natasha pula lebih memahami dan bersikap matang. Di dalam perkahwinan ada pasang surutnya. Adakalanya, perpisahan mungkin jalan terbaik sekiranya jalan penyelesaian itu tiada. 

"Papa tak mahu paksa mama. Ini semuanya untuk kebaikan mama, Raf. Papa pula terlalu sibuk..." Dato' Ghaffar berterus terang.

Raffa memandang papanya tajam. 

"Sibuk? Mama pula? Dahagakan bahagia dan papa... Tak mampu berikan bahagia tu, kan. Itu ke maksud papa? Papa pun sama aje macam mama. Pentingkan diri." 

Dato' Ghaffar tersentak. Dia memandang anaknya tajam.

"Baik papa atau pun mama... lebih kepada nak kejar duit aje. Raf tak rasa pun yang mama betul-betul sukakan Dato' Izham. Betul tak apa Raf cakap? Sebabnya? Papa lagi sibuk fikirkan urusan dekat syarikat yang tak sudah-sudah tu. Mama pula dah gilakan duit Dato' Izham!" Raffa menuduh.

"Raf!" suara papanya naik satu oktaf. 

Dato' Ghaffar berdiri menghadap anaknya. Benarlah seperti apa cerita yang didengari daripada bekas isterinya. Raffa bersikap biadab sekarang. Langsung tidak menghormati mereka. 

Dia sendiri pun tidak perasan. Entah sejak bila agaknya Raffa berubah mendadak jadi begitu?

"Mama beritahu papa apa tujuan kawan Raf tu datang ke sini. Dia cakap pensyarah minta dia tunjuk ajarkan Raf pasal subjek yang Raf dah gagal."

"Heh, dah tahu. Kenapa papa tanya?" Raffa menjawab.

"Papa tak faham macam mana Raf boleh gagal? Raf sedar tak? Kalau semester ni pun Raf masih gagal... Apa Raf nak buat? Hah? Dan apa papa nak jawab depan orang lain yang tanya pasal Raf? 

"Papa tak mahu Raf ulang lagi subjek yang sama macam sebelum ni. Papa harapkan Raf untuk lulus dengan cemerlang kali ni. Kalau tak? Siapa lagi yang papa nak harapkan kalau bukan anak lelaki papa ni sendiri. Raf kena sedar yang satu hari nanti... Tempat papa ni akan berganti. Papa mahukan Raf yang gantikan tempat papa dengan belajar daripada bawah. Kutip pengalaman sebanyak mungkin. Papa tengok Raf lebih banyak main-main bila melibatkan soal belajar." Tegas Dato' Ghaffar. 

"Kalau macam nilah sikap yang Raf tunjukkan... Macam mana Raf nak survive bila dah masuk alam kerja nanti?"

Dia terlalu kecewa dengan anaknya. Dia mahu menyedarkan anaknya tentang itu. Kenapa dia benar-benar kecewa dengan sikap Raffa yang nampaknya tidak pernah mahu serius. Baik soal pelajaran mahu pun kehidupan.

"You are disgrace in this family. You know it right?" tuduh Dato' Ghaffar.

"Berapa kali agaknya dalam satu hari papa nak nasihat? Papa penat... Raf! Raf langsung tak nak dengar cakap papa." Luah papanya.

"Baru sekarang papa nak ambil tahu? Sebelum ni? Ada ke papa nak ambil tahu pasal Raf. Itupun sebab mama yang buka mulut, kan. Papa dan mama lebih nampak salah Raf aje." Raffa menjawab lantang.

Dia menyembunyikan kelukaannya itu. Jika sebelumnya dia memilih untuk lebih banyak memendam. Biarlah kali ini dia meluahkan habis-habis di depan kedua-dua orang tuanya. Apa yang membuatkan dia tidak berpuas hati dengan mereka.

Raffa merasakan perlu untuk dia berbuat begitu.

Dia bukanlah seperti kakaknya. Langsung tidak sama. Kakaknya itu lebih banyak memilih untuk berdiam diri berbanding meluahkan apa-apa. 

"Selama hari ni... Papa ada nampak Raf gembira ke? Raf tak pernah rasa tenang duduk dalam rumah ni sejak mama buat hal dulu. Kenapa papa dan mama boleh bercerai? Disebabkan lelaki tak guna tu, kan? Sebab mama sendiri yang tak setia! Lagi pilih nak bersama lelaki lain tanpa fikir perasaan papa dan anak-anak mama. 

"Itupun papa cuba nak back up salah mama yang kononnya, papa dan mama berpisah sebab dah takde jodoh." Luah Raffa.

"Shit!" 

"Mind your language!" Dato' Ghaffar meneriak dengan muka merah padam. Telunjuknya lurus ke muka anaknya. 

"Papa tak pernah ajar Raf jadi kurang ajar."

Raffa melawan tenungan itu. Dia mengepal sebelah penumbuknya.

"Oh, really?" Raffa angkat kening dengan senyuman sinis.

"Jadi, tolong ajarkan Raf sekarang... Macam mana Raf nak hormatkan papa dan mama lepas ni? Raf dah cukup dewasa untuk menilai." Ucapnya penuh makna.

Dato' Ghaffar terkedu.

"Raf..." Dato' Ghaffar memanggil bertalu-talu.

Raffa segera berlalu ke tingkat atas. Menghempas kuat pintu bilik sampai berdentum bunyinya.

*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.

Post a Comment

0 Comments