RAFFA




BAB 7

ALISYA merungut sendirian. 

Entah manalah Raffa agaknya? Katanya tadi sekejap saja mahu berjumpa Prof Rahmat. Zafrul siap tolong membelikannya jus tembikai, lalu meletakkan gelas minuman itu di atas meja.

“Mana Raf?” tanya Zafrul.

“Entah, dari tadi tunggu. Tak sampai-sampai pun lagi.”

Zafrul mengerling sekilas. Menarik kerusinya, lalu melabuhkan punggung menghadap Alisya. Telefon pintarnya itu diletak atas meja. 

“Sabar ajelah. Dalam kejap lagi sampailah tu agaknya. Minumlah dulu air tu.” Pelawanya.

Hmm. Thanks.” Ucap Alisya.

You’re welcome.” Zafrul kenyit mata.

“Ada sesuatu yang aku nak tanya. Tapi… Nanti dululah,” kata Alisya.

Dia memikirkan perbualan Raffa dengan Zafrul itu. Dia masih tertanya-tanya.

Zafrul memandang muka Alisya.

“Aku tahu… Kau sukakan Raf, kan?” Zafrul menduga.

Alisya tergamam.

Lambat-lambat, dia mengangguk tanpa berselindung apa-apa lagi. Dia pun rapat dengan Zafrul. Nak disorokkan soal hati dan perasaan ini, memanglah payah. Lambat-laun, salah seorang antara mereka pasti boleh menghidu juga.

Mereka bertiga jadi rapat kerana sudah lama berkawan baik sejak dulu lagi. Menyambung pengajian di universiti yang sama. Kedua-dua ibu bapa Alisya berkawan baik dengan orang tua Raffa. Manakala Zafrul baik dengan Raffa ketika mereka masih bersekolah menengah lagi.

Kerana hubungan itulah menyebabkan Zafrul dan Alisya turut jadi rapat. Semuanya disebabkan Raffa.

“Ermm… Kau jangan bagi tahu Raf pasal apa yang aku rasa ni tau? Aku tak naklah Raf tahu.” Alisya berkata, lalu menyedut minumannya itu dengan straw.

Zafrul menyengih. Dia cuma angkat bahu.

Fine, tapi… Macam mana kalau aku terlepas cakap?”

Alisya menjeling.

“Janganlah macam tu. Please, Zafrul…” Dia separuh merayu.

Zafrul terdiam.

“Okeylah. Aku takkan bagi tahu Raf. Takkanlah aku nak buat macam tu. Kau janganlah risau, hmm?” Dia angkat kening sebelah.

"Trust me, okay?"

Alisya menghela nafas lega. Mujurlah Zafrul okey. Kalau orang lain… jangan haraplah dia mahu percaya.

“Mana kau tahu?” Alisya bertanya.

“Eleh, cara kau tu… Sekali tengok pun aku macam dah boleh agak. Kau sukakan Raf. Selalu aje tanya pasal Raf. Lepas tu, kau tak boleh tengok Raf rapat dengan mana-mana perempuan. Betul tak?” Ucap Zafrul penuh yakin.

Alisya jeda.

“Kau pula? Ada minat dengan sesiapa tak?” senyumnya. Sepasang matanya itu mengecil.

“Apa? Aku?” Zafrul buat-buat gelak.

Alisya angguk berkali-kali. Dia menanti dengan rasa tidak sabar.

“Mana ada.” Zafrul menafikan.

“Alah, tak payah kelentong akulah. Aku tak percaya. Mesti ada, kan? Aku tengok kau handsome apa.” Alisya juih mulut.

Zafrul ketawa besar. 

“Mana lagi handsome? Aku ke… Raf?” dia buat-buat tanya.

Alisya menjeling.

“Alah, cepatlah… Bagi tahu aku. Kau sukakan siapa? Aku tahu… Ada someone dekat kelas kita yang kau minat, kan? Tak pun budak course lain.”

Zafrul sekadar tersenyum. Dia akhirnya membuka mulut. 

“Ada tu… Memanglah ada,” dia bernada perlahan.

Dia menunduk sejenak. Berpura-pura mengacau minumannya itu dengan straw. Alisya pula sibuk memerhati. Perlahan-lahan, bibir merah Alisya mengukir senyuman.

“Hah, aku dah agak. Mesti adanya… Siapa dia tu?” tanya Alisya, gaya menyibuk.

“Hmm…”

“Budak kelas kita? Kan?” Alisya meneka.

Zafrul tak membalas.

Come on, Zafrul. Jawablah, aku tanya ni. Budak course mana? Archi? Landscape? OM? Engineering?”

Zafrul menggeleng-geleng. Haih, payah juga. Alisya takkan berputus asa dan akan terus mendesaknya selagi dia tidak berterus terang. Tangannya naik meraup muka. 

Meliar matanya itu memandang ke sekeliling kafe yang dipenuhi dengan pelajar. Kelibat Raffa masih belum kelihatan lagi. 

Zafrul membuka mulut. “Budak kelas kita.” Akuinya.

Alisya terpaku sejenak.

Dia angguk dengan senyuman meleret. Gayanya berpuas hati. Dia menongkat dagunya dengan sebelah tangan sambil memandang tepat ke muka Zafrul yang bertukar kemerahan.

“Siapa?” Alisya jongket kening. Rautnya bertukar serius sebaik dia memikirkan seseorang itu.

“Jangan cakap… Qis?” Alisya menggumam.

Raut Zafrul bertukar. Lekas dia berdeham.

“Kan aku dah beritahu dulu. Mana adalah,” dia menafikan.

“Dah tu?” Berkerut dahi Alisya memikirkannya. Kalau bukan Qistina siapa lagi?

“Ros? Wani? Sofea? Khalida?” 

Seorang demi seorang Alisya menyebut nama kawan sekelas mereka. Zafrul tetap tak membalas. Zafrul seperti rimas.

Keluhan terbit dari mulut Zafrul.

Alisya… stop. Okay. Aku tak boleh nak bagi tahu siapa. Tapi… Dia tu memang budak kelas kita. Puas hati?” ucapnya.

Alisya menggeleng.

No, no… Kau kena beritahu juga. Okeylah, last aku tanya ye. Dia tu bertudung ke... Atau, free hair macam aku?” Alisya mengangkat telunjuknya itu tepat ke muka Zafrul.

Zafrul mengeluh. Memang betullah sangkaannya itu. Sampai ke lubang cacing Alisya akan siasat. Gaya macam detektif pun ada. 

Mungkin sekarang topik inilah yang akan menjadi bualan hangat mereka selepas ini. Itulah yang dia malas hendak bercerita lebih-lebih.

Alright. Aku bagi satu lagi hint. Ini last tau.” Katanya.

"Promise?" 

Alisya tersenyum-senyum, lalu mengangguk. "Promise."

“Dia… Bertudung.” Akui Zafrul.

Alisya menekup mulutnya dengan sebelah tangan. Mukanya itu seakan sukar nak percaya. 

Zafrul duduk menyandar ke belakang dengan mata tertancap ke muka Alisya. Dia turut senyum sambil menggeleng perlahan, lalu menyandarkan sebelah tangannya itu ke atas kerusi bersebelahannya.

“Hai, kau ni Alisya… cute betul. Nak juga paksa aku eh?” ucap Zafrul.

Alisya cuma angkat kedua-dua bahunya. Mengacau semula jus tembikai dengan straw. Dia benar-benar berpuas hati.

“Yang terlebih excited ni kenapa?” Zafrul ingin tahu.

“Raf tahu ke?” soal Alisya.

Zafrul terdiam. Dia memerhati dasar meja, lalu memeluk tubuh. Gayanya itu tengah memikirkan sesuatu.

“Tak. Raf… Tak tahu.” Gelengnya dengan raut serius.

_

ZAFRUL menghampiri Qistina. “Hai, Qis.”

Qistina hanya menjeling. Laju mengayun langkah pulang ke kolej. Dia sebenarnya tak selesa sebaik diekori begitu.

“Hai…” jawabnya perlahan.

Dia jawablah juga. Nanti dia dicop sombong pula seperti kebanyakan kawan sekelas mereka.

Zafrul tersenyum, lalu memasukkan kedua-dua tangan ke dalam poket jaketnya. Dia memarkir keretanya berhampiran tempat parkir yang menghadap bangunan fakulti mereka. Agak jauh kalau nak menapak balik semula. Mengenangkan Qistina… dia sanggup.

Tapi, Qistina? Macam itu juga. 

Dari dulu sampailah sekarang. Payah benar dia nak mendekati Qistina. Tak pernah walau sekalipun, cuba memberi dia peluang. 

Sedangkan dia sudah lama menaruh hati terhadap Qistina tanpa pengetahuan sesiapa. Berpura-pura yang dia sama seperti mereka… 

Ya, dia berpura-pura tidak menyukai Qistina.

“Awak nak balik dah ke?” tanya Zafrul.

Qistina angguk sekali. “Hmm.”

Mereka sama-sama berjalan kaki menuju ke kolej perempuan.

“Balik ke mana?”

“Kolejlah. Mana lagi?” Acuh tak acuh Qistina menjawab.

Zafrul menyengih.

“Eh, awak duduk Kolej Mawar. Kan?”

“Ye kut.”

Zafrul melirik sisi wajah itu sekilas. Manis dan lembut orangnya. Memang Qistina tak jemu dipandang. Baginya, dalam ramai-ramai kawan perempuan, Qistinalah yang paling cantik dalam kelas mereka. Sejuk matanya memandang. Pelajar dekan pula. Serba serbinya sempurna. Tiada cacat celanya. Bertuah kalau dia boleh memiliki Qistina.

Dia mengakuinya sejak dulu. 

Cumanya Qistina lebih suka buat hal sendiri. Tidak pernah walau sekalipun Qistina melayan mana-mana lelaki yang berusaha mendekati. Akhirnya Qistina pula dikatakan berlagak.

Kalaulah boleh… dia mahu pandang lama-lama. 

Tapi, risau nanti apa pula yang Qistina fikirkan? Tak mahu dirinya itu dicop pervert. Sebab… dia bukanlah jenis lelaki begitu. Dia benar-benar sudah jatuh hati nampaknya.

“Sajalah tanya. Kalau sayalah, kan… malas nak duduk kolej masa sem akhir ni. Baik duduk di luar dan menyewa saja. Lebih bebas nak bergerak ke mana-mana tanpa perlu nak ikut sangat peraturan.” Ucap Zafrul tanpa ditanya. 

"Budak lelaki kan ramai yang macam tu. Lagi suka tinggal di luar kampus." Balas Qistina.

"Kampung awak dekat Semenyih, kan?" tanya Zafrul penuh minat.

"Boleh tak lepas dah grad nanti, saya nak datang jumpa awak?"

Sengaja dia memancing demi menarik perhatian Qistina supaya berbual lebih lama. Rindu dia nak mendengar suara itu. Tapi, Qistina senyap.

"Nak tanyalah."

"Tanyalah." Qistina menjawab ringkas.

“Kenapa awak tak nak cakap sangat dengan saya? Qis, awak… Tak sukakan saya ke?” duga Zafrul.

Dia sememangnya sudah pun berterus terang soal hatinya itu. Sedikit-sebanyak dia jadi segan. Seolah-olah dia saja yang terhegeh-hegeh dan beria-ia. Tapi, selama ini memang betul pun. Hanya dia saja yang beria-ia memulakan perbualan. Qistina layan dia nak tak nak saja.

Cara bagaimana lagi dia mahu melenturkan kerasnya hati Qistina supaya belajar menerima cintanya?

Qistina cuma tersenyum kecil. Membalas pandangan itu sekilas. "Bukan macam tu..."

"Habis? Macam mana?" tanya Zafrul.

"Bukanlah maksud saya tak sukakan awak. Kita kan satu kelas. Samalah juga dengan orang lain. Saya tak bencikan mereka pun. Cuma... Awak pun sama juga, kan?" ucap Qistina penuh makna.

Zafrul menoleh.

"Maksud awak?"

"Awak bercakap dengan saya pun bila dah takde orang lain. Kan? Macam sekarang ni." Qistina berkata selamba.

Zafrul tergamam. Qistina seperti menyindir dia pun ada. Terkena batang hidungnya sendiri. Dia serba salah.

"Qis... Saya... Ermm, tak maksud pun nak buat macam tu..." Zafrul teragak-agak mahu bersuara. Dia menggaru kepala yang tak gatal. Aiseh... Apa dia nak jawab?

"Takpe. Saya faham. Awak cuma..." Qistina meleretkan ayat. 

"Nak jaga hati kawan awak, kan." 

Zafrul perasan jelingan yang dilemparkan. Dia bagai hilang kata-kata. Qistina terasa hati nampaknya. Dia semakin dihambat rasa bersalah.

"Baiklah. Lepas ni kalau saya tegur awak depan diorang, janganlah awak tak layan pula ya? Boleh?" pinta Zafrul.

Qistina diam membisu.

“Kita dah nak habis sem dah pun. Tapi, kenapa awak buat saya macam ni? Awak masih lagi nak jauhkan diri. Meletak jarak antara kita…” Zafrul bersuara dengan nada romantis.

Qistina mengerutkan dahi. Dia menghentikan langkahnya sebaik mereka semakin menghampiri kolej. Zafrul tetap berdegil mahu mengikutnya.

“Kan saya dah beritahu sebelum ni. Saya tak nak ada apa-apa kaitan rapat dengan mana-mana budak lelaki kelas kita.” Ucapnya.

Lembut suara Qistina menembusi gegendang telinga Zafrul. Bibir Zafrul terlukis segaris senyuman.

“Andai kata, saya ni budak course lain? Awak nak terima tak?” duganya.

Qistina terdiam.

“Sebab awak kata... Awak tak nak ada kaitan dengan budak lelaki kelas kita. Kan?”

Qistina lekas menggeleng. “Maaflah ye, Zafrul. Saya rasa awak tak faham maksud saya ni.”

Zafrul menanti.

“Saya nak fokus pada final exam. Tak mahu apa yang kita dah belajar selama ni jadi sia-sia andai kata kalau saya gagal. Benda yang sepatutnya saya kena fokus, jadi terhalang. Leka dengan benda lain pula. Itu maksud saya.” Qistina beralasan.

Cukuplah dia perlu menghadap kerenah Raffa buat semester terakhir ini. Dia tak mahu menambah lagi beban sedia ada. Itupun gara-gara dia yang tidak mahu menghampakan harapan Prof Rahmat.

Sukar Zafrul hendak menerima alasan yang diberikan itu. Rahangnya itu bergerak seraya memikirkan sesuatu.

“Kita kan dah dewasa. Qis, awak sedar tak? Lepas grad, kita akan terus bekerja. Takkanlah awak tak fikir langsung soal cinta?

“Tak pun awak tak payahlah susah-susah bekerja. Biar saya yang tanggung awak sebab, saya ni mampu… itupun kalau… ermm, awak sudi terima sayalah. Saya sanggup demi awak, Qis.” Zafrul menutur kata dengan begitu bersungguh-sungguh.

Qistina tersentak. Mukanya bertukar kemerahan.

Sejenak, dia memandang Zafrul. Hai, belum apa-apa lagi, Zafrul sudah terfikir ke arah soal kahwin pula. Ternyata Zafrul tidak main-main. Senangnya mulut bila bercakap. Zafrul fikir hidup ini semudah itu agaknya? Kalau tidak, buat apalah dia bersusah payah belajar dengan bersungguh-sungguh. Mengejar impian kerjaya di dalam bidang yang paling diminatinya.

Dia tidak macam Zafrul atau pun orang lain yang mungkin jauh lebih senang hidup mereka. Bukanlah dia hendak menidakkan soal rezeki. Itu semuanya sudah takdir dan ketentuan dari Ilahi.

Qistina masih sedar diri lagi. Dia perlu membantu Mak Eda dan Suhaili sebaik saja tamat pengajian nanti. Hanya dia saja satu-satunya yang paling diharapkan dalam keluarga.

Ah, Zafrul tidak tahu apa-apa langsung. 

Tentang apa masalahnya. Yang selama ini dipendamkan daripada pengetahuan sesiapa. Tentang siapa dirinya. Kisah lalunya... 

Mereka hanya pandai mengata macam-macam tentang dia.

Kalau dia rasa lebih tenang jika bersendirian tanpa kawan, rasanya… lebih baiklah dia teruskan begitu. Tak pernah mengambil kisah pun andainya tiada sesiapa pun yang sudi ikhlas berkawan dengannya. Bagi Qistina, itu semua tidak penting. Kerana di dunia ini dia masih ada Mak Eda dan Suhaili yang benar-benar menyayanginya sepenuh hati. Dia pun teramat mengasihi mereka.

Yang paling penting dia berjaya tamatkan pengajian akhir ini dengan jayanya. Inilah prinsipnya.

"Ya, saya tahu. Awak ni orang senang, kan. Awak pernah cerita dekat saya dulu... Pasal siapa keluarga awak. Ayah awak kerja CEO. Ada bisnesnya sendiri dekat KL." Ucap Qistina.

Zafrul tersenyum. 

Tak menyangka Qistina masih ingat lagi. Selama ini dia menyangkakan Qistina langsung tidak berminat dengan ceritanya.

"Tapi, saya ni tak sesenang awak... Sebab tu perlu untuk saya belajar betul-betul. Kalau saya terima awak sekalipun..." 

Zafrul mematikan senyuman.

“Lepas tu saya hanya duduk goyang kaki di rumah, lahirkan anak… Tak payah buat apa-apa, kan. Harapkan duit awak aje semata-mata. Belajar tinggi-tinggi pun tak guna. Sijil degree tu saya jadikan hiasan aje semata-mata. Gantung buat frame dekat dinding. Awak nak ke macam tu?” Qistina menyindir. 

Bibir merahnya itu mengukir senyuman sinis.

Dia cukup pantang dengan segelintir lelaki yang berfikiran singkat, cuba merendah-rendahkan kaum perempuan. Berfikiran yang orang perempuan tidak mampu bekerja tinggi-tinggi. Apatah lagi bekerjaya hebat. Hanya tahu melahirkan anak saja.

Zafrul tergamam. Mulai serba salah. Tahu yang dia sudah terlepas cakap. 

“Takdelah saya kata macam tu. Tak halang pun awak nak buat apa pun yang awak suka. Itu cuma cadangan aje.” Dia menafikan kata-katanya itu tadi.

"Saya tak mahulah bakal isteri saya nanti hidup susah. Itu aje." gumamnya.

“Qis, awak ni… jual mahal sangatlah. Tak suka ke bila ada lelaki yang sukakan awak?” duga Zafrul.

Qistina beriak sinis. “Jual mahal?” ulangnya.

Zafrul mengangguk. Matanya masih tertancap kepada Qistina.

Qistina menghela nafas seraya membalas pandangan itu.

“Macam mana lagi saya nak fahamkan awak ye? Saya betul-betul tak minat nak bercinta. Baiklah kita fokus pada tujuan sebenar kita ada dekat sini.” Qistina bertegas.

Zafrul mengangkat keningnya. 

I won’t give up on you, Qis.” Dia berkata serius.

Qistina terpanar, hanya memerhati Zafrul yang berlalu pergi tanpa menunggu balasan darinya.

*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.

Post a Comment

0 Comments