RAFFA



BAB 18

RAFFA mengerling Qistina yang duduk bersebelahannya. Mereka berada di fakulti ketika ini. Alisya pula mengajaknya keluar bersama Zafrul hari ini. 


Sedangkan Qistina ada bersama dengannya ketika ini. Sudahlah hari ini membosankan baginya. 


Tapi... apa salahnya kalau dia keluar sekejap? Sudah agak lama dia tidak menghabiskan masa bersama kawan-kawannya.


Lagipun dia tahu Alisya bagaimana orangnya. Selagi dia tidak memberikan apa-apa persetujuan atau pun kata putus, Alisya pasti akan terus-terusan memujuknya. Adakalanya sikap Alisya begitu membuatkan dia jadi rimas pun ada. 


Raffa mengerling sekilas. 


"Aku tak faham." Ucapnya.


Qistina menoleh. 


"Apa yang awak tak faham?"


"Yang pasal nak print report ni. Rasanya ada benda yang nak kena betulkan dekat part tender tu." Balas Raffa dengan mata terpaku pada telefon pintarnya. 


Dia membalas kiriman WhatsApp daripada Alisya tanpa Qistina mengesyaki apa-apa langsung. 


"Hmm... laptop pula tak bawa. Ada dekat bilik. Macam mana nak tunjuk ya? Folder yang aku save tu ada dalam laptop aku." Raffa beralasan.


"Yake?" Qistina menggumam.


Dia nak terangkan kepada Raffa pun jadi payah. Mereka perlu merujuk semula laporan tersebut.


"Apa kata awak pergi ambil laptop tu. Saya tunggu dekat sini." Katanya dengan senyuman.


Muka Raffa bertukar. Dia berdeham sejenak. 


"Aku rasa baiklah kau ikut sekali. Kata nak terus print, kan. Boleh aje print dekat rumah aku tu." Dia beralasan.


Qistina mendecit. 


"Hmm, nak kena pergi rumah awak ke? Malasnya..." 


"Dah tu? Nak buat macam mana?" Raffa jegilkan mata.


Dia memerhati Qistina yang buat muka comel. Menahan senyumnya dalam hati.


"Jangan buat muka macam tu pulak. Apa? Ingat aku akan ubah fikiran?" Raffa jongket keningnya.


Qistina terdiam buat seketika.


"Boleh tak lepas ni, setiap kali kita jumpa tolong bawa siap-siap laptop awak. Bukannya apa... Senanglah kalau ada yang tak faham ke, nak kena bincang apa-apa ke. Kan lagi mudah macam tu. Jimat masa. Tak payahlah nak kena ulang-alik keluar masuk kampus." Rungut Qistina.


Raffa menyengih. Langsung tak berkata apa.


"Yang awak senyum-senyum ni kenapa?" Qistina bertanya dengan kedua-dua kening yang hampir bercantum.


"Kau tulah..."


"Apa?"


"Tak pernahnya tak comel." Kata Raffa selamba.


Muka Qistina bertukar kemerahan. Dia ketap bibirnya. Haish, lain yang dia kata... lain pula yang dibalasnya.


"Awak... Janganlah main-main." Dia menggerit gigi.


Raffa tertawa kecil.


Nak tak nak, Qistina akhirnya bersetuju. Raffa berpuas hati.


_


ALISYA memeluk tubuh dengan muka masam mencuka. 


Entah kenapa entah, Raffa boleh selamba mempelawa Qistina lepak minum bersama. Mereka berempat ketika ini. Belum pernah sekalipun, Raffa buat perangai pelik begitu. Dengan mengajak sekali perempuan lain. Itulah yang dia tidak berpuas hati.


Dia turut perasankan sesuatu. Zafrul macam suka saja Qistina berada di samping mereka. Sebelumnya bukan main lagi benci.


Alisya lebih banyak mendiamkan diri. Dia memerhati gelagat Qistina yang duduk menghadapnya tanpa sebarang bicara.


Qistina turut kekok. Namun, Qistina masih mampu lagi buat-buat biasa, sesekali mendengar perbualan Raffa dan Zafrul yang begitu rancak. 


Qistina menjeling. Bukan hari itu mereka bergaduh sampaikan hampir nak bertumbuk ke? Entahlah. Orang lelaki memang begitu agaknya? Dalam sekelip mata boleh senang berbaik semula. Padahal sebelumnya bergaduh sampai tak ingat dunia. 


Alisya terus-terusan memerhati Qistina dengan panahan tajam. Dia mengacau minumannya dengan straw. Kemudian memeluk tubuh. 


"Ermm, Qis." Dia bersuara.


Qistina angkat muka. "Hmm?"


"Kenapa tiba-tiba aje nak join kitorang?" soal Alisya dengan gaya kerek.


Raffa dan Zafrul sama-sama menoleh. Masing-masing memandang Alisya. Bersilih ganti dengan Qistina. Dapat dirasakan situasi yang mula tegang ketika itu. 


Qistina angkat kedua-dua bahunya. Menyedut minumannya itu dengan straw dengan riak biasa.


"Apahal? Salah ke? Raf yang ajak. Tak percaya? Tanyalah Raf sendiri." Dia membalas.


Alisya bengang seraya menggenggam kuat sebelah tangannya di bawah meja. 


Raffa tersenyum setelah mendengar ucapan selamba yang keluar daripada mulut Qistina. Bukannya Raffa tidak tahu yang Alisya tidak berapa senang dengan kehadiran Qistina. Dia sengaja mengajak Qistina tadi.


"Tapi, macam pelik aje. Kau tu dahlah tak rapat dengan kitorang. Cuma Prof Rahmat minta korang satu group aje. Kan?" duga Alisya dengan senyuman sinis terpamer di bibir merahnya. 


Dia bereaksi jengkel. Ditambah pula dengan api cemburu yang meluap-luap. Sejak kebelakangan ini dia lihat hubungan Raffa dan Qistina semakin rapat. Dulunya dia nak tengok Raffa menegur Qistina pun tidak pernah. Jangan kata saja-saja. Begitu juga Qistina.


"Pelik? Kenapa pula nak pelik? Lainlah kalau aku ni saja-saja nak menggatal. Bukannya buat apa pun. Jangan-jangan, kau tu yang jealous tak?" Qistina balas dengan kerutan di dahinya.


Melopong mulut Alisya. Bertambah geram dia dibuatnya. Terbuntang matanya memandang Qistina. Ikutkan hati, mahu saja dia menyimbah jus orennya itu ke muka Qistina. Namun, cara Raffa memandangnya ketika ini tidak memungkinkan dia buat begitu. Terus dia tidak jadi nak meneruskan rancangannya itu.


"Hei, kau... Kalau aku nak jealous ke... Nak apa ke... Itu aku punya pasallah. Raf rapat dengan aku sejak dulu tau. Kau tu siapa? Hah?" Alisya menggerit gigi. Telunjuknya dituding tepat kepada Qistina.


"Kau tak layak pun bersama kitorang. Apatah lagi cuba-cuba nak rapat dengan Raf. Faham? Tak tahu malu betul. Sedarlah diri tu sikit." Alisya berkata kasar.


"Alisya..." Zafrul menegur seraya berbisik perlahan. "Stop it, please."


Zafrul bereaksi kurang senang. Dia perasan muka Qistina yang terus berubah sebaik Alisya berkata begitu. 


Alisya buat tidak endah. Sengaja buat-buat tak mendengarnya. Dia benar-benar iri hati.


Qistina menggeleng tidak faham. Entah apa-apalah. Alisya bersikap kebudak-budakan. Sengaja pula menghinanya di depan Raffa dan Zafrul. Entah apalah salahnya terhadap Alisya selama ini? Itulah yang dia tidak faham.


"Habis? Kalau dengan perempuan lain pun sama jugak. Kau akan kata macam tu, sama macam apa yang kau tuduh aku tu?" kening sebelahnya naik.


Qistina berpura-pura tenang. 


"Aku tak pernah pula tengok perempuan lain sengaja nak menggatal dengan Raf depan aku. Aku cuma nampak kau seorang aje yang berperangai macam tu." Balas Alisya. 


"Muka tak malu. Gatal. Miang," cebiknya. 


"Apa?" Qistina mengawal suara. Turun naik nafasnya jadi tak sekata. 


Biadab! Itu saja yang dia boleh tujukan buat Alisya. 


Tercetus tawa kecil di bibir Raffa bersama gelengan perlahan. Masing-masing beralih memandang Raffa yang nampak seperti geli hati dengan ucapan itu. Begitu juga Qistina. Riaknya itu sama sekali tidak menyangka.


"Yang kau tiba-tiba nak mengamuk tu kenapa? Salah ke Qis join lepak sekali?" Raffa akhirnya bersuara. Sejak tadi dia tidak menyampuk apa-apa. 


Qistina nampaknya begitu sabar melayan kerenah Alisya. 


"Kau tak rasa ke yang aku dengan Qis ni sama padan? Sweet... Hmm?" Raffa sengaja berkata seraya mengalihkan tangannya itu ke atas kerusi Qistina yang duduk bersebelahannya. Menuding hujung telunjuknya itu bersilih ganti antara mereka berdua. 


"Itu sebabnya aku bawa Qis hari ni sebab... Nak perkenalkan Qis dengan korang."  


Raffa bermuka selamba. Muka Qistina bertukar kemerahan. Suara itu cukup hampir di gegendang telinganya. Reaksi Zafrul turut berubah. 


"Really bro?" Zafrul menyoal. 


"Raf. I'm serious, okay?" Alisya mendecit. 


Dia menjeling Raffa. Tahu yang Raffa sekadar main-main saja. Dia mengharapkan begitulah... yang Raffa tidak benar-benar memaksudkannya. 


Qistina benar-benar tidak tahan lagi. Tuduhan Alisya langsung tidak berasas. Inilah sebabnya kenapa dia berat hati nak mengikut Raffa sebaik mendapat tahu Alisya dan Zafrul turut ada. Sah-sahlah, Alisya akan mengata dirinya yang bukan-bukan.


Qistina turut perasan cara Zafrul memandangnya sejak mula tiba lagi. Dia jadi tidak selesa. Kenapalah dia boleh bersetuju dengan Raffa? Tahu begini... baik tak payah.


Dia berdiri sambil diperhatikan Raffa. Begnya dicapai, lalu dibawa ke bahu. Alisya langsung tidak memandang. 


"Qis." panggil Raffa. 


Qistina berlalu pergi tanpa mengendahkan panggilan itu. 


Zafrul memandang kelibat Qistina yang lesap di sebalik pintu kafe itu. Baru saja dia nak bangun semata-mata mahu memujuk Qistina, Raffa bertindak lebih pantas. 


Raffa turut bangun dari kerusinya. 


Zafrul hanya mampu memandang. Rasa tidak sedap hati sejak tadi. Sudah boleh mengagak yang Alisya pastinya akan berkata sesuatu kepada Qistina. Melihat daripada gaya Alisya pun dia sudah boleh menekanya. 


Dia memandang Alisya yang duduk di sebelahnya. Ada sesuatu yang dia mahu katakan kepada Alisya nanti. 


"We need to talk." Ucap Raffa, menekan satu per satu ayatnya. Dia memandang Alisya tajam. 


Tanpa menunggu sebarang balasan, dia berlalu pergi. 


Alisya terkesima. Dia masih lagi membayangkan raut Raffa yang serius saat berkata begitu di depannya tadi. Seakan cuba memberinya amaran. Keluhan dilepaskan. 


Alisya meraup mukanya dengan kedua-dua tangan. Huh, masaklah dia selepas ini.


_


"KAU nak ke mana? Hmm?" 


Raffa bertindak mengekori Qistina hingga ke sebuah taman berhampiran. 


Qistina menghentikan langkahnya lalu, berpaling menghadap Raffa. Betul-betul di depan tasik yang menghadap kafe itu. Dia melepaskan keluhan berat. Meraup mukanya itu dengan fikiran berserabut. 


"Qis, dengar tak aku panggil ni?" Raffa mengendur suara sebaik perasan raut Qistina yang muram. 


Dia mendekati Qistina yang tercegat tanpa langsung bersuara. Sebenarnya dia tahu penyebab Qistina boleh tiba-tiba berubah jadi senyap. Air muka itu keruh. Tak lain dan tak bukan, pastinya gara-gara mulut laser Alisya. Dia sudah faham sangat Alisya itu bagaimana. Cumanya tidak dinafikan yang kata-kata itu agak keterlaluan.


Raffa memandang sisi muka itu sebelum pandangannya beralih ke depan. Kedua-dua tangannya menyeluk poket seluar. Dia menanti kata seterusnya. 


"Sebenarnya saya tak biasa. Sebab saya tahu, Alisya tak sukakan saya... bila saya... selalu dengan awak." Akui Qistina. 


Dia jadi malu sebaik berkata begitu. Dia tidak mahu nampak lemah di depan Alisya, dengan sewenang-wenangnya menuduh dia sesuka hati. Sebab itulah dia cakap begitu.


Dia menunduk sambil bermain dengan jari-jemarinya. Raffa tak membalas. Dia mulai risau sekiranya kata-katanya itu mendatangkan curiga di hati Raffa. 


"Saya mengaku yang saya memang tak biasa dengan kawan-kawan awak tu. Bukan saya seorang aje yang rasa macam tu agaknya. Saya dapat rasakan yang mereka pun tak biasa dengan saya. Lebih-lebih lagi Alisya. Awak pun nampak, kan?" Sambungnya.


"Nampak sangat yang Alisya tu tak sukakan saya. Kalau saya tahulah, tak mungkin saya ikut awak lepak sama-sama. Menyesal pun ada." Qistina menggumam.


"Yalah... saya ni tak layak. Kan." Nadanya seperti berkecil hati.


Inilah selama ini yang dia rasa sejak dulu. Sepatutnya dia perlu menyedari yang dia sememangnya tidak layak bersama Raffa... atau, bersama sesiapa pun. Mereka sebenarnya jauh lebih baik. Berbanding dirinya... 


Raffa pandang lain macam. Qistina buat-buat biasa meskipun tubir matanya sudah digenangi air jernih. Bila-bila masa saja bakal tumpah. Rasanya lebih senang jika dia berterus terang. Supaya Raffa lebih memahami mengapa dia bertindak begitu.


"Ikutkan tak kisah pun orang nak benci saya ke... Nak suka ke atau pun tidak. Saya dah terbiasa dan dah lali dengan semua tu. Cumanya... Kenapa perlu kata saya macam tu ye? Seolah-olah dia betul-betul dah kenal diri saya ni macam mana. Kalau tak suka sekalipun... Diam sajalah. Tak boleh ke?" Luah Qistina.


"Kau kata menyesal sebab ikut aku keluar dengan diorang. Aku nak cakap sesuatu boleh?" Raffa bersuara seraya memeluk tubuh.


Qistina angguk perlahan. Membiarkan pandangan itu tertancap ke mukanya. 


"Boleh tak mulai saat ni, berhenti fikirkan pasal orang lain? Dan apa yang orang lain kata pasal diri kau. Sebab... tak penting pun." Ucap Raffa dengan raut tenang.


Mereka bertatapan. Raffa tarik nafas sebelum kembali bersuara.


"Why not? Enjoy the moment. Kau ada aku, kan. Pedulilah dengan Alisya dan Zafrul. Diorang tu dah memang baik dengan aku. Betullah apa kata Alisya tu. Aku tak nafikan yang Alisya memang macam tu... Tak suka tengok aku rapat dengan mana-mana perempuan. Dah mengalahkan mama aku pulak. Kakak aku pun tak macam tu." Raffa berkata tenang. 


Qistina gelak kecil. Kelakar pun ada dengan kata-kata itu. Sehinggakan Raffa boleh perasan. Pandangannya bertukar redup setelah melihat kemarahan Qistina semakin reda. Tidaklah seperti mula-mula tadi. 


"Kenapa kau gelak? Betullah apa aku kata, kan," jeling Raffa. 


Qistina mematikan senyuman. 


"Kau ada dekat sini pun sebab aku, kan?" duga Raffa. 


Qistina membalas pandangan itu. Dia tarik nafas perlahan. 


"Awak tak faham apa yang saya rasa. Cakap memanglah senang. Alisya kata saya benda tak betul..." bidas Qistina.


"Dan, kau rasa aku akan percaya?" Raffa lekas memotong.


Qistina terpanar.


"Kau rasa, aku masih lagi tak kenal diri kau macam mana? Aku tak peduli pun apa yang Alisya atau orang lain nak kata... Lantaklah. I don't care. Not even once," Raffa berkata tulus.


"Sebab aku tahu diri kau bukan macam tu." Sambungnya.


Qistina bagai hilang kata-kata. Membiarkan pandangan mereka bertaut. 


"Bukan ke... Kau sendiri yang rela hati ikut aku?" jeling Raffa.


Qistina membalas pandangan itu dengan ekor mata. Dia seakan terperangkap dengan kata itu. Raffa sengaja menduga dia ke? Dia bagaikan tiada jawapan.


"Yang report tu..." dia cuba bersuara.


"Ya, aku minta tolong dengan kau untuk sama-sama betulkan report tu. Memang betul pun aku perlukan pertolongan kau. Apa masalahnya bila aku ajak kau ke sini? Sekadar nak minum-minum. Macamlah sebelum ni kita tak pernah keluar minum sama-sama," Raffa senyum herot.


Qistina terdiam.


"Selama hari ni aku nampak... Kau dah cukup yakin dengan apa yang kau buat. Kau jadi diri sendiri. Belum pernah pula aku tengok kau cuba nak jadi orang lain. Untuk apa kau nak terkesan dengan kata-kata Alisya? Sedangkan belum tentu lagi betul, kan." 


"Ermm..." Qistina memikirkan kata itu. 


"Takkanlah kau masih takut dengan aku?" duga Raffa.


"Atau... Kau sebenarnya bukanlah takut. Tapi, kau benci dengan orang macam aku ni. Kan?" Ucap Raffa seraya memandang Qistina.


Qistina tersentak. Dia lekas menggeleng. Namun, tiada sepatah ayat pun yang keluar dari mulutnya. Tak pasti apa perlu dikatakan. Tersilap cakap nanti dia juga yang malu. Dia takkan sesekali memalukan dirinya di depan Raffa.


Raffa senyum sinis. 


"Aku takut orang yang paling kau benci tu boleh jadi... Dialah yang paling penting dalam hidup kau satu hari nanti." Dia separuh berbisik.


Qistina tergamam. Dia memandang Raffa bersama kerutan di dahinya. Raffa terus berlalu dari situ menuju semula ke kafe. Tanpa sempat langsung dia membalas. Genggamannya dieratkan. Bibir bawahnya diketap.


Sukar untuknya melupakan kata-kata itu... Raffa pula begitu yakin. Yakin dengan apa yang diucapkan itu betul. Dari mana agaknya Raffa beroleh keyakinan itu? Dan mengapa Raffa seolah-olah bertindak mahu memujuknya? 


Qistina akhirnya membiarkan saja persoalan itu tanpa sebarang jawapan yang pasti.


*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.

Post a Comment

0 Comments