RAFFA

 




BAB 11

“QIS, awak boleh tolong tak? Nak tanyalah.”

Zafrul menegur dengan sengihan. Dia lihat Qistina baru sampai ke kelas. Terus saja dia mengambil peluang yang ada. 

Qistina menghentikan langkah. Dia memusingkan badan, lalu menghadap Zafrul. Dia mengerutkan dahi. Seakan sukar mahu percaya.

Biar betul? Zafrul benar-benar menegurnya di depan rakan sekelas mereka. Tidak lagi seperti sebelumnya. Hanya berpura-pura di depan orang lain. Nampaknya kali ini, Zafrul benar-benar ikhlas.

Qistina membiarkan Zafrul mendekatinya.

“Ermm… Zafrul.” Dia cuba bersuara seraya memerhati ke sekelilingnya.

Zafrul tersenyum. Memahami maksud pandangan itu.

“Kan saya dah beritahu awak sebelum ni. Yang saya akan tegur awak macam biasa di depan mereka semua. Saya dah tak kira. Orang lain nak bercakap tu, terpulanglah. Mulut masing-masing, kan. Bukannya boleh ditutup.” Katanya.

“Betul tak?”

Dia menyambung kata. 

Sepasang matanya tepat memandang Qistina yang kelihatan ayu berbaju kurung moden berwarna biru laut. Bertudung pula dengan warna sedondon. Zafrul merasakan debaran itu. Tak lekang dia memerhati.

Qistina terdiam.

Raffa yang perasan dengan gelagat mereka itu terus saja menghampiri. Dia kebetulan lalu di situ. Dia juga baru tiba tadi. Matanya beralih memandang Zafrul. Bersilih ganti dengan Qistina.

Raffa menepuk bahu Zafrul dengan lagak biasa.

"Qis, nanti kita sambung discuss dalam kejap lagi," ucap Raffa.

Qistina tersentak sebaik terdengar suara Raffa. Cukup jelas di deria pendengarannya. Matanya berlaga dengan sepasang anak mata hitam pekat milik Raffa. Cepat-cepat Qistina melarikan pandangannya ke tempat lain.

"Bukan ke awak kata petang sikit? Baru nak buat discussion tu?" Qistina pelik.

"Aku okey aje. Malas nak tangguh lagi." Raffa membalas.

Dia berpusing, lalu memandang Zafrul. Menjongket kening sebelah. 

"Kau apahal bro?" Raffa sengaja bertanya.

Zafrul kelihatan teragak-agak, memegang belakang lehernya itu. Membiarkan saja pautan kemas di bahunya.

“Err… Aku…”

Zafrul terus hilang kata-kata sebaik Raffa turut ada di samping mereka. Habis berterabur segala ayat manisnya yang dia sibuk merangka dalam fikirannya tadi. Mahu dia ucapkan sebaik berdepan dengan Qistina. 

Dia memandang muka Qistina.

"Nak minta tolong dengan Qis." Sambungnya.

Zafrul menjeling Raffa yang berdiri di sebelahnya dengan ekor mata.

Raffa berlagak biasa. 

"Tolong apa?" 

"Adalah bro..."

Raffa terdiam.

“Boleh aje kalau nak saya tolong awak. Awak nak tanya pasal apa?” Qistina tiba-tiba bersuara.

Giliran dia pula yang menjadi perhatian mereka. Qistina bermuka selamba. Malas dia hendak berlama-lama. Dia tidak suka menjadi perhatian mereka.

Beberapa pasang mata turut memerhati gelagat mereka ketika itu. Qistina pula berdiri di tengah-tengah antara dua jejaka kacak itu. 

Dia benar-benar tidak selesa.

“Pasal… err, pasal soalan kuiz yang prof bagi tu.” Balas Zafrul.

Raffa mengerutkan dahi. 

"Soalan kuiz?" ulangnya. 

"Yup. Ada benda yang aku tak berapa nak faham." Zafrul beralasan.

Raffa memandang hairan. Biasanya Zafrul lebih kepada buat tak reti saja. Tak pun meminjam terus assignment dengannya. Copy and paste. Ubah ayat sikit-sikit saja. Sejak bila Zafrul bertukar jadi rajin pula? 

Dia langsung tak berganjak. Terus-terusan memerhati Zafrul. Ada sesuatu yang bermain dalam benaknya ketika ini.

“Soalan yang mana?” tanya Qistina.

Zafrul bagaikan tersedar. Lekas dia mengeluarkan helaian kertas dari dalam beg galasnya sambil diperhati mereka.

“Ini dia,” terus dia hulurkan ia dengan senyuman.

Qistina menyambut huluran itu. Dia tidak mengendahkan pandangan Raffa ketika itu.

Begitu juga Zafrul yang berpura-pura biasa.

Zafrul tahu yang Raffa masih lagi tengah memerhati dirinya. Lain macam saja Raffa. Dia seperti boleh mengagak apa dia soalan yang bakal ditanya Raffa kepadanya nanti.

"Kejap, kejap. Kebetulan bro, aku pun nak tanya Qis soalan yang ni. Jom kita bincang sekali ajelah." Kata Raffa dengan gaya tidak sabar. 

Zafrul mengerutkan dahinya. "Tapi, bro..."

Zafrul terpaksa membiarkan Raffa menarik lengannya itu. Masing-masing berlalu ke meja yang kosong. Dia mengerling Raffa dengan ekor mata. Dalam hatinya itu bukan main lagi geram.

Raffa seperti sengaja pun ada. Kacau betul dia yang baru saja hendak mengambil peluang mendekati Qistina. 

Memang tak kasi can langsung!
_

ZAFRUL dan Alisya sedang elok berbincang sesuatu sebaik tamat kelas sebentar tadi. Mereka kini berada di kafe. 

Tiba-tiba Raffa muncul, lalu menepuk bahu Zafrul daripada belakang. Menyebabkan Zafrul hampir tersedak dari air Coke yang diminumnya.

Zafrul terbatuk-batuk.

Raffa berpura-pura tak perasan. Dia tersenyum herot. Terus menarik kerusinya, lalu menghenyakkan punggung dengan muka selamba di sisi Zafrul. Muka Zafrul dia pandang serius. Dia masih lagi tertanya-tanya dengan perlakuan Zafrul.

Entah sejak bila agaknya Zafrul boleh tiba-tiba saja berbaik dengan Qistina? Bukankah sebelum ini Zafrul kata dia langsung tidak menyukai Qistina. Sama seperti Alisya. Beria-ia Zafrul menafikan gosip mereka. Siap kata Qistina yang terhegeh-hegeh itu apa? Itulah cerita yang Raffa dengar sebelumnya.

Raffa sudah malas mahu mempercayai gosip itu setelah semakin hari dia mengenali Qistina. Qistina itu kaki studi. Dalam kepala Qistina hanya memikirkan pasal belajar saja. Tidak ada benda lain lagi yang Qistina fikirkan. 

Macamlah dia tidak kenal Zafrul itu bagaimana. Alih-alih saja bertanyakan Qistina soal belajar. Sebelumnya tidak pernah pula. Inilah penyebab kenapa dia berasa curiga.

“Hai, Raf…” senyum Alisya. 

Mukanya itu ceria sebaik Raffa ada bersama mereka.

“Hai Alisya.” Raffa membalas.

Dia beralih pula memandang Zafrul. Memaut kemas bahu Zafrul yang masih mendiamkan diri. Zafrul berlagak tenang.

“Kau sihat bro?” tanya Raffa.

Zafrul menoleh.

“Hmm… Okey bro. Aku biasalah. Kau dari mana ni?” dia bernada biasa.

“Aku baru aje sampai. Dari rumah tadi,” Raffa menjawab ringkas.

Dia tidak bertanya apa-apa langsung perihal semalam. Raffa masih lagi bersikap selamba. Sengaja dia diamkan. Zafrul menunggu juga. Kutlah Raffa curiga dengannya, lalu bertanya soal itu. 

Takkanlah Raffa tak curiga apa-apa langsung?

Zafrul menghela nafas.

“Raf, aku nak tanya kau sesuatu.” Alisya bersuara. Sepasang matanya itu mengecil.

Raffa angkat kedua-dua kening.

“Kenapa kau cari Qis dekat library? Dari hari tu lagi aku nak tahu.” Alisya meluahkan.

"Aku perasan sejak kebelakangan ni... Kau macam agak rapat dengan Qis."

Raffa dan Zafrul saling berpandangan. 

"What?" Raffa gelak kecil.

"Rapat? Istilah rapat yang macam mana kau maksudkan tu? Kalau setakat dengan Qis, baiklah kau tak payah tanya apa-apa. Lagipun..." 

Alisya sabar menanti seraya menopang dagunya dengan sebelah tangan. 

“Aku kan dah sama group dengan Qis. For surelah, aku kena berbincang dengan dia tentang subjek prof. Kan?” sambung Raffa.

Alisya terdiam sebaik mendengarnya. Hmm… ya tak ya juga. Dia semakin percaya yang Raffa dan Qistina tiada apa-apa hubungan istimewa pun. Mana mungkin Raffa sudah jatuh hati. 

“Betul ni? Bukan sebab lain?” duganya.

Raffa berasa pelik. “Sebab lain pun… Sebab apa?” dia jongket kening.

“Ermm…” Alisya tergamam.

Dia berpandangan dengan Zafrul. Terus dia menggeleng. Bibir merahnya mengukir segaris senyuman.

“Takde apalah.” Balasnya.

“Bro kau pula? Betul ke okey ni?” tanya Raffa sambil memandang muka Zafrul yang senyap itu.

“Aku okey,” Zafrul angguk berkali-kali.

Raffa merapatkan diri kepada Zafrul. Lantas membisikkan sesuatu.

“Aku kenal kau bro. Tak sekarang pun… Nanti aku tanya balik. Apahal kau tiba-tiba aje tegur Qis, tanya pasal soalan kuiz dekat dia.” Jelingnya.

"Sebelum ni tak pernah pun, kan?"

Zafrul tersentak. Perlahan suara itu. Namun, jelas di deria pendengarannya.

Raffa berpura-pura biasa. Dia menyiku lengan Zafrul. Mukanya berpuas hati. Zafrul menelan air liur yang tersekat.

“Eh, korang. Aku nak ke sana kejap tau. Nak beli somethinglah. Tiba-tiba aje rasa macam lapar.” Ucap Alisya.

Alright.”

“Kau rasa-rasa?” Zafrul membalas setelah Alisya tiada bersama mereka.

Raffa mengerling sekilas. Dia senyum herot. 

Ketika itulah Qistina lalu berhampiran mereka. Sepasang mata Raffa terus beralih memandang Qistina. Begitu juga Qistina.

Pandangan mereka bertaut sejenak.

Qistina mempercepatkan langkahnya. Dia berlalu ke satu sudut kafe tanpa mempedulikan mereka. Terus memilih lauk, kemudian membayarnya di kaunter.

Selalunya dia akan tapau saja dan makan di bilik. Kemudian dia akan makan bersama-sama dengan teman sebiliknya. Itupun kalau kebetulan teman sebiliknya itu ada bersama.

Qistina menoleh. Dalam masa yang sama, Raffa turut memerhati. Mereka saling berpandangan. Qistina akhirnya berlalu meninggalkan kafe itu tanpa sebarang kata.

Raffa masih lagi memerhati sehinggalah kelibat Qistina lesap dari pandangan. 

Zafrul mula perasan. Rahangnya bergerak bersama genggaman yang erat. Dia seakan mengesyaki sesuatu… apakah maksud di sebalik pandangan itu?

Dia juga memerhati Qistina tadi. Bukan Raffa seorang saja. Tetapi, mengapa cara pandangan mereka berlainan sekali? Adakah dia yang tersilap menilai?

Belum pernah dia melihat Raffa begitu. Inilah pertama kali. Dia yakin kerana dia sudah lama berkawan baik dengan Raffa. Raffa tidak mudah jatuh cinta. Berbanding dirinya. Dia harus mengakui hakikat itu. Itulah bezanya dia dengan Raffa.

Namun, hati seperti menidakkan segalanya. Mungkin dia berfikiran yang bukan-bukan memandangkan dia sememangnya ada hati terhadap Qistina. Sudah tentulah dia berasa cemburu.

Tidak… tak mungkin Raffa menyimpan perasaan istimewa terhadap Qistina.

Zafrul tidak rasa begitu. Dia mendengar sendiri apa yang ditanya Alisya soal perhubungan Raffa dan Qistina yang semakin rapat. 

Raffa bertindak menafikan ia. 

Cumanya Zafrul tidak pasti. Sama ada betul atau pun tidak apa yang diucapkan Raffa itu.

*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.

Post a Comment

0 Comments