BAB 4

SEBELAH tangan itu menepuk meja dengan kuat secara tiba-tiba. 

Qistina tersentak, lalu dia menoleh tajam. 

Sekujur tubuh Raffa yang berbadan tinggi dan tegap, berbaju lengan pendek berwarna putih dan berseluar ripped jean itu dia pandang sekali imbas. Rambut hitam Raffa walaupun nampak agak tak kemas, masih lagi terserlah raut kacaknya. 

Qistina beralih memandang pergelangan tangan Raffa yang dihiasi dengan bukan saja jam tangan berjenama mahal, begitu juga gelang tali berwarna hitam. Kemudian jatuh pula kepada kasut kanvas berwarna hitam yang Raffa pakai. Cukup bergaya... Gayanya itu seperti anak orang berada saja.

Berbeza pula dengan dirinya yang langsung tak pandai bergaya. Dia hanya pandai menggayakan dengan sweater saja. Tak pun, hoodie kesayangannya yang berwarna pink itu. 

Boleh dikatakan hampir semua pasang mata di tingkat tiga perpustakaan itu memandang ke arah mereka. Hisy, mamat ini memang suka curi perhatian orang ke? Tak pun... attention seeker agaknya. 

Hah! Tepat sekali gelaran itu ditujukan buat Raffa. But wait... rasanya lebih kepada menakutkan. Sebab inilah apa yang dia rasa ketika mula-mula Raffa muncul di depan matanya.

"Nak apa lagi ni? Hmm?" Qistina meninggikan suaranya sedikit. 

Beberapa pelajar menoleh kepadanya dengan pandangan yang kurang menyenangkan.

Qistina mengeluh. "Sorry." 

Dia menoleh kepada Raffa semula. 

Raffa senyum senget seraya menarik kerusi yang kosong. Terus melabuhkan punggung di sebelah Qistina. Tanpa berkata apa, dia menongkat dagu dengan sebelah tangannya. Sengaja dia buat begitu. 

Raffa tahu yang Qistina kurang selesa. Tapi, dia sengaja buat-buat tak faham. Terus-terusan memandang gelagat Qistina yang serba tidak kena di depannya itu.

"Tolong pergi dari sini. Jangan nak buat kacau pula ye. Tak boleh ke kita buat hal sendiri macam sebelum ni. Dulu awak..." Qistina bersuara tanpa memandang muka Raffa.

"Takde pula nak ganggu saya." Dia menggumam. 

Raffa beriak sinis. 

Dalam hati nak ketawa pun ada. Buat-buat marah konon... macamlah aku hairan sangat. Kecil saja dia pandang Qistina ketika ini. Sekali angkat dengan sebelah tangan pun dia mampu buat. Lebih daripada mampu.

Dia memerhati ke sekelilingnya, lalu membisikkan sesuatu.

"Siapa suruh kau cari pasal dengan aku dulu? Kan aku dah cakap hari tu. Yang aku takkan lepaskan kau macam tu aje. Jadi... terpaksalah aku cari kau." Raffa berkata selamba.

Mulut Qistina sedikit terbuka. Raffa menahan senyum.

Qistina berpura-pura biasa. Dia menatap semula buku notanya itu sambil mengetap bibir bawahnya. Ya Allah, kenapa berdebar semacam pula ni? Cepatlah pergi... Namun, dia hanya mampu menyuarakan dalam hati saja. Tidak berani hendak meluahkan di depan Raffa.

"Kita kan dah sama group, Qis. Relakslah..." Ucap Raffa. Dia mengalihkan tangan kirinya ke atas kerusi Qistina dengan renungan yang masih tak berganjak.

Qistina mengerling sekilas. Dia menarik nafas, lalu memusingkan tubuhnya itu. Dia berpura-pura. Mengukir senyuman selebar mungkin sambil membalas pandangan Raffa.

"Tapi, sekarang bukannya subjek Prof Rahmat. Even, kita pun belum tau lagi apa dia final project yang prof nak bagi. Hah, lepas ni kelas prof. Bolehlah nak get ready pun. Buat masa ni... baiklah awak pergi cari mana-mana buku rujukan sebelum kelas nak mula. Ikutkan prof lagi suka macam tu." Ucapnya. 

Qistina berpusing ke depan semula sebaik habis berkata.

Raffa memandang Qistina tajam. Genggamannya itu dieratkan.

"Pandai kau mengarah ya? Apa? Kau rasa yang kau tu ketua ke nak main arah-arah aku?" 

"Ha?"

Hujung bibir Raffa terlukis senyuman. "Apa kata... Biar aku sendiri yang lantik diri aku sebagai ketua. Dan..."

Raffa berbisik rapat di telinga itu.

"Kau boleh ikut aje apa-apa pun arahan aku. Sebab, aku kan ketua."

"Isy... Tak kuasa." Qistina membalas. 

"Dahlah. Malas nak layan awak. Baik awak pergi." Katanya.

Raffa ketawa-ketawa. Bukan main kuat lagi suaranya itu sehingga memenuhi segenap ruang itu. Mungkin sampai boleh didengari oleh pustakawan agaknya. Sekali lagi mereka telah menarik perhatian pelajar lain. Qistina bersalah.

"Ketawa tu... Jangan kuat sangat boleh tak?" Dia meletakkan hujung telunjuk rapat ke bibir merahnya.

"Siapa kau nak arah-arah aku? Kau librarian ke dekat sini?" Raffa menyindir. 

Dia tidak langsung mempedulikan pandangan orang lain yang berada di perpustakaan ketika itu.

Qistina menjeling.

"Manalah tahu kutlah dah ambil alih kerja librarian dekat sini." Gelak Raffa. 

Qistina buat-buat tak dengar. Tapi, dia menyedari yang pandangan Raffa tajam menembusi ke mukanya. 

Hati menjerit meminta pertolongan. Namun, dia menyedari yang orang lain tidak mungkin memahami situasinya sekarang. yang dia sebenarnya benar-benar tidak selesa dengan kehadiran Raffa. 

Raffa berdeham. Buku nota Qistina dikembalikan. 

"Nah, ambillah."

Qistina membalas pandangan itu sekilas. Tanpa berani bertentang mata lebih lama dengan Raffa. Lambat-lambat, dia mengangguk. Mengambil buku nota miliknya.

"Ermm... Luka awak tu dah elok?" Qistina ingin tahu. Kerlingan dilemparkan kepada bahagian siku Raffa. Terfikir pula mahu bertanya.

Pandangan Raffa beralih ke arah tangannya. Dia hanya mengangguk.

Qistina perasan senyuman Raffa yang meleret itu. 

"Kenapa?"

"Tiba-tiba aje nak ambil berat pasal aku," balas Raffa.

Qistina mencebik. 

"Alah, saja... Nak tahu."

Dia mengerling sekilas. Ada satu soalan lagi yang dia mahu tanyakan kepada Raffa perihal semalam.

"Apa sebabnya awak cakap saya macam tu? Yang awak kata saya sengaja minta dengan prof supaya satu group dengan awak."

"Hmm... Betul ni nak tahu?" Raffa jongket kening.

Qistina angguk sekali. Raffa menongkat pula kepalanya itu bersama sepasang mata yang mengecil. Memandang tepat ke muka itu. Kemudian dia tersenyum, menjatuhkan tangannya itu sambil diperhati Qistina dengan tanda-tanya. 

Dia angkat bahu.

"Aku dah terbiasa. Ramai budak perempuan kelas kita yang macam beria-ia nak sama group dengan aku. Setiap kali macam tu." Akuinya.

Qistina terdiam.

"Aku fikirkan... Kau pun sama macam tu juga," ucap Raffa bersama kerlingan sekilas.

"Tak... Saya tak macam tu. Saya fikir awak ni lain pula." 

Raffa menoleh. "Lain macam mana tu?"

Qistina menelan air liur, berlagak tenang. Dia membuka mulut lambat-lambat.

"Awak ni menakutkan."

"Mungkin sebab aku dah semula jadinya macam tu. Agaknyalah." Ucap Raffa selamba.

"Baguslah kau takut dengan aku."

Raffa ketawa kecil. Kali ini dia mengawal suaranya agar tidak terlalu kuat dan mengganggu ketenteraman pelajar lain. Gaya Qistina melucukan. Tak menyangka langsung yang rupanya, Qistina kelakar orangnya. Mudah betul triggered dengan setiap patah katanya. Lagilah dia rasa seronok hendak mengenakan Qistina.

Selama ini dia lihat Qistina jenis pendiam semasa dalam kelas. Lebih suka menumpukan perhatian terhadap subjek yang pensyarah mereka ajar. 

Qistina memandang tajam muka Raffa. Gaya menahan sabar. Mulut dia... mencabar betul kesabaran. Kalaulah dia mampu menyuapkan satu genggaman penuh cili padi kampung ke dalam mulut Raffa, alangkah bagusnya.

"Lepas ni prof bagi kita tugasan sama-sama, kan. Aku nak kau ajar aku di rumah." Kata Raffa. 

"Nanti bila weekend aku datang jemput kau dekat kolej."

Dia memerhati Qistina yang bertudung berwarna putih krim. Siap sedondon dengan baju kurung bercorak bunga-bunga kecil. Dari atas sampai bawah, senyap-senyap Raffa memerhati. Tapi, tidak lama sebelum sepasang matanya itu beralih semula ke depan.

Qistina berpusing. Memandang dengan kerutan di dahinya.

"Ha? Dekat... rumah awak?"

Raffa angguk kepala. 

"Berani ke nak kata tak setuju?" 

Mereka berlawan pandangan tajam, sebelum akhirnya Qistina beralah. Melarikan pandangan ke tempat lain. Dia mengeluh. Inilah padahnya, apabila bermain dengan api. Dan, api itu seperti sengaja membakarnya. 

Dia menyedari sesuatu... Tak mungkin ketenangan itu wujud apabila dia sudah mengambil keputusan untuk melibatkan diri dengan lelaki seperti Raffa. Bukan Raffa saja... 

Qistina cuba menepis raut wajah seseorang itu yang turut mengganggu ketenteraman fikirannya.

"Isy, tak mahulah. Buat apa sampai nak kena pergi rumah awak? Tak boleh ke kita jumpa dekat fakulti aje? Atau pun library?" 

"Kenapa tak boleh pula?" Raffa menduga. Dia memandang Qistina dengan pandangan nakal.

Qistina ketap bibir. 

"Tak selesalah." Akuinya.

"Rumah aku tu... rumah famili akulah. Hai, apalah kau ni. Itupun tak boleh fikir ke?" Selamba Raffa mengutuk.

"Mulalah tu nak fikir yang bukan-bukan."

Raffa memeluk tubuh seraya mengeluh. Dia menjeling tajam.

Muka Qistina bertukar. Terasa panas membahang.

Qistina berpura-pura khusyuk membelek buku di tangannya. 

Raffa pandang dia pun lain macam. Macamlah dia tak tahu... Raffa yang memiliki ramai kawan. Baik lelaki mahu pun perempuan. 

Hari itu bukan ke dia bergaduh dengan makwenya? Entah sudah berapa ramai makwe Raffa agaknya?

Raffa Fathurrahman...

Nama Raffa begitu dikenali di fakulti. Agak popular di kalangan kawan-kawan satu pengajian dan para pensyarah. Dari yang paling senior sampailah ke junior. Hendak kata Raffa anak orang kaya... entahlah. 

Dia benar-benar kurang mengenali Raffa. Yalah, dirinya memanglah begitu. Tidak pernah mengambil tahu hal orang lain dan lebih suka buat hal sendiri. 

Ada ketikanya Raffa dilihat suka menyendiri tanpa ada kawan-kawannya. 

Raffa... baginya cukup bergaya orangnya. Ada style dan personaliti yang tersendiri. Semacam ada aura. Setiap kali Raffa muncul di kelas, boleh dikatakan hampir semua mata pasti akan mencuri pandang Raffa. Yang perempuan apatah lagi. 

Qistina pernah mendengar gosip tentang Raffa pernah mengecewakan seorang pensyarah perempuan muda di fakulti mereka. Itu kisah lama. Tapi, boleh dikatakan viral jugalah.

Cumanya dia tidak pasti sama ada betul ke atau pun tidak berita itu. Yang pastinya, tak lama selepas itu pensyarah tersebut terus memohon pertukaran ke cawangan lain.

Tapi, aura itu membuatkan Qistina takut. Kenapa dia perlu takut? Itulah yang dia tidak faham. Sebab itulah dia lebih mengambil pendekatan berhati-hati.

Dari segi pencapaian akademik pula. Biasa-biasa. Dia nampak diri Raffa lebih kurang sama saja dengan kebanyakan pelajar lelaki lainnya. 

Dia tak langsung menafikan yang Raffa jenis ada rupa. Boleh tahanlah. Sebab itulah Raffa popular agaknya. Dia tidak terkejut sangat. Satu hakikat yang harus diterima. Pendek kata segalanya tentang Raffa... banyak yang dia tidak tahu.

Walaupun mereka banyak kali bersua muka sejak di semester pertama lagi. Barulah kali ini mereka lebih banyak bercakap berbanding sebelumnya. Dulu nak menegur pun payah. Pandang muka pun tidak. 

Raffa selalu memilih tempat duduk paling belakang dan hujung setiap kali berada dalam kelas. Dia pula akan duduk di barisan paling depan. Mudah baginya nak memahami apa yang disampaikan oleh pensyarah. Sebelumnya... masing-masing dengan hal sendiri. Hanya tujuan saja yang sama. Iaitu, mahu menimba ilmu.

Entah kenapalah agaknya Prof Rahmat sampai terpaksa meminta bantuan dengannya? Haisy, dia bukanlah tak mahu menolong. Jauh sekali nak kedekut ilmu ke apa. 

Raffa membuatkan dia jadi tidak selesa. Kalau boleh dia nak lari sejauh mungkin. Raffa bermulut celopar. Main belasah saja mengata dia. Manalah dia tak sakit hati?

"Saya nak kita berjumpa hanya di library aje." Qistina memutuskan.

"Jangan tanya apa-apa lagi," sambungnya. 

Tanpa berkata apa lagi, Qistina kembali fokus kepada pembacaannya.

*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.