BAB 5

“WEI bro…” tegur Zafrul dengan sengihan.

Mereka berbalas fist bump. Raffa menghenyakkan punggung bersebelahan Zafrul. Zafrul sampai terlebih dulu sebelum Raffa. Seluruh dewan kuliah itu Raffa pandang. Meliar sepasang matanya itu mencari kelibat seseorang.

Qistina nampaknya belum ada lagi di situ. Dia mengalih semula pandangan kepada Zafrul.

“Kau buat apa dekat library? Shahir bagi tahu aku, dia nampak kau ada dekat sana pagi tadi.” Zafrul pelik.

Oh, really?” Raffa angkat kening sebelah.

“Yup. Susah nak tengok kau lepak dekat library, melainkan kalau dah terpaksa. Kan?”

Zafrul berkata seraya menyiku lengan Raffa.

Raffa tersenyum kecil. “Ada hal sikit tadi.”

“Hal apa?” tanya Zafrul.

Raffa tak terus menjawab. Sebaliknya dia mengeluarkan buku nota kosong dengan sebatang pen berwarna hitam.

“Hai… Takkanlah dengan aku pun nak berahsia bro?”

Beberapa ketika kemudian barulah Raffa membuka mulut.

“Hmm… Aku jumpa Qis.” Dia berterus terang.

Zafrul seakan sukar mahu percaya, terus-terusan memerhati Raffa.

“Nak buat apa kau jumpa Qis?”

Zafrul menyengih. "Haa..." Dia meleretkan ayat. Gayanya itu nakal.

Raffa menjeling. Langsung tak menjawab pertanyaan itu. Hanya membiarkan saja ia berlalu begitu saja.

Suara Zafrul yang agak kuat itu sedikit-sebanyak menarik perhatian Alisya yang duduk di depan mereka.

Alisya berpusing bersama kerutan di dahinya. Riaknya itu tertanya-tanya. Entah apalah yang mereka tengah bualkan agaknya?

“Zafrul? Kata apa tadi?” tanyanya.

Raffa mengeluh. Meraup wajah dengan sebelah tangannya. Tak pasal-pasal hal remeh begitu bertukar jadi satu isu pula. Dia malas hendak memperbesarkan soal dia pergi berjumpa Qistina. Kerana baginya, itu hal biasa saja.

Zafrul menyedari pandangan Raffa tertancap lama ke mukanya. Memahami maksud pandangan itu. Dia serba salah. Dia senyum kekok seraya membalas pandangan Alisya itu.

“Err… Takde apalah.” Gelengnya.

“Tapi…” Alisya mengerutkan dahi. Memikirkan balik kata yang dia dengari itu.

“Aku dengar kau macam sebut nama Qis. Apahal dengan Qis? Apa kaitannya dengan Raf?”

Alisya memandang mereka bersilih ganti.

Zafrul tergamam. Dia menepuk dahinya itu. Kemudian memandang pula Raffa yang ketara sungguh tidak selesa. Mereka sudah faham kerenah Alisya bagaimana. Habis nak dikorek segala mak nenek rahsia.

Raffa menggeleng dengan senyuman. Alisya pandang senyuman menawan itu, dia jadi terpaku sejenak.

“Takde apalah. Kau salah dengar tak?” Raffa berpura-pura.

“Oh, yake…” Alisya menggumam. Namun, dia tetap membalas senyuman itu. Muka Zafrul dia pandang sekilas.

Lambat-lambat, Alisya memusingkan badannya. Hatinya itu masih dipenuhi tanda tanya. Masakan telinganya salah mendengar butir bicara mereka sebentar tadi? Dia jelas menangkap nama itu.

Qistina… Apa kena dengan Qistina? Dan, mengapa Raffa pergi mencari Qistina sehingga ke perpustakaan?

Macamlah dia tidak mengenali diri Raffa itu bagaimana. Belum pernah pun selama ini Raffa menegur Qistina di depannya.

Alisya membiarkan saja segala persoalan itu bermain dalam benaknya… buat masa sekarang.

Pandangan Alisya terhala pula kepada Qistina yang baru tiba ke dewan kuliah, tanpa langsung memandang mereka yang duduk di barisan belakang dewan itu. Terus saja dia mengambil tempat duduk yang sememangnya sengaja dibiarkan kosong di bahagian depan. 

Qistina selalunya begitulah. Sering kali keseorangan ke mana saja dia pergi. Tanpa ada sesiapa yang menemani.

Alisya menjeling Qistina yang langsung tidak menyedari tengah diperhatikan. Dia tidak berpuas hati. Tak mungkin Raffa mencari Qistina.

Untuk apa? 

Bukankah mereka ditugaskan oleh Prof Rahmat hanya kerana Prof Rahmat mahukan Raffa lulus kali ini.

Ya, hanya itu saja.

Alisya cuba menyedapkan hati.

_

“QISTINA.” Prof Rahmat bersuara.

Dia tersentak.

Serta-merta tangannya yang sibuk menulis itu terhenti. Perlahan-lahan, dia meletakkan pen di atas kertas.

“Ya, prof?”

“Mari sini,” panggil Prof Rahmat.

Qistina mengalihkan begnya yang berada di atas paha, lalu meletakkan ia ke atas kerusi. Beberapa pelajar turut memerhati gelagatnya itu.

Begitu juga Raffa dan Zafrul yang nampak lain macam saja memerhati gerak gerinya. Alisya pun sama. Entah kenapalah? Dia perasan sejak tadi. Yang lain-lain tiada apa pun. Masing-masing bersikap biasa saja. Sempat dia melirik sekilas ke seluruh dewan.

Qistina menghampiri meja Prof Rahmat.

“Ini apa?” tanya Prof Rahmat sebaik Qistina berdiri menghadapnya.

Terkebil-kebil Qistina memandang kepada assignment miliknya yang dia hantar baru-baru ini. Berderau darahnya sebaik membaca satu per satu apa yang ditulis itu. Serta-merta jantungnya berdegup kencang. Dia beristighfar dalam hatinya.

“Siapa dia yang tulis ni? Siap letak nombor telefon. Minta awak call dia.” Senyum Prof Rahmat.

Dia memandang muka Qistina yang bertukar kemerahan. 

Qistina menunduk.

“Peminat awak ni agaknya.”

Aduhh… Qistina rasa hendak menyorok saja daripada pensyarahnya itu. Hendak lari sejauh mungkin! Kalau boleh tak mahu lagi datang ke kelas. Malunya bukan kepalang. Tapi, masakan dia harus berbuat begitu?

Qistina serba tak kena. Mukanya itu panas berbahang. Bertukar merah padam. Genggaman sebelah tangannya itu erat.

Qistina menjeling. Raut seseorang itu dia pandang dengan ekor mata. Dia tahu ini yang kerja siapa. Siapa lagi kalau bukan lelaki poyo itu?

Raffa...

“Saya minta maaf banyak-banyak ya prof. Saya tak tahu…” hanya itu saja yang terbit dari mulutnya.

“Tak apalah.” Jawab Prof Rahmat bersama gelengan perlahan.

Haih, macam-macam hal pelajarnya.

Qistina tersenyum kekok, terus berlalu ke tempatnya semula. Dia mendengar suara dari belakang yang tengah berbisik. Dia memandang pemilik suara tersebut. Begitu juga Raffa yang turut memandangnya ketika itu. Dalam masa yang sama pandangan mereka bertembung.

Raffa siap gelakkan dia lagi bersama Zafrul. Raffa menekan perutnya itu sambil menahan tawa agar tidak disedari pensyarah mereka itu.

Qistina balas dengan jelingan tajam bersama nafas yang turun naik. Sedaya upaya dia menyabarkan dirinya.

_

RAFFA memerhati Qistina dari tempat duduknya. Rahangnya itu bergerak sambil memikirkan sesuatu. Boleh tahan agak lama Qistina tengah berdiskusi bersama Prof Rahmat sebaik tamat kelas tengah hari itu. 

Prof Rahmat baru saja habis mengajar dan memberikan mereka tugasan yang harus disiapkan bagi semester akhir. Selain itu Raffa perlu banyak berbincang dengan supervisornya perihal tesis. 

Itulah yang paling Raffa malas hendak fikirkan. 

Dia berdiri, lalu memasukkan beberapa helaian kertas dan bukunya beserta sebatang pen ke dalam beg galas bahunya. Sempat Raffa membetulkan hujung T-shirtnya dengan pandangan masih tertancap ke arah Qistina.

"Jom bro, kita lepak minum dulu nak?" Zafrul menepuk sebelah bahu Raffa.

Mereka berjalan menuruni satu per satu tangga dan berlalu ke pintu keluar dewan itu. Begitu juga dengan pelajar lain. 

Raffa berdeham. 

Dia memandang ke sekelilingnya sebelum beralih ke muka Zafrul. Berpura-pura mencuit hidung dengan hujung telunjuknya. Sebelah tangan lagi mengeratkan pegangan pada tali beg galas bahunya.

"Apa kata kau tunggu aku dekat kafe dulu? Nanti aku datang." Ucapnya dengan riak muka biasa.

"Err..." Zafrul cuba bersuara.

Belum apa-apa Alisya muncul bersama mereka dengan senyuman. 

Dia turut membalas pandangan Zafrul. Ada sesuatu yang dia mahu tanyakan kepada Zafrul perihal tadi. Tahu yang Zafrul sengaja mahu berahsia dengannya. Sekali tengok gaya Zafrul pun dia sudah boleh mengagak. Macamlah mereka baru kenal.

"Eh, korang lepas ni nak buat apa? Jom minum-minum nak?" 

Raffa memandang muka Zafrul.

"Hah, kau pergi dululah dengan Alisya. Hmm?" Katanya.

Alisya terdiam.

Zafrul dan Alisya saling berpandangan. 

"Aku ada hal kejap. Nak tanya dengan prof yang pasal final project tu." Raffa beralasan.

"Okeylah bro. Ermm... jom Alisya. Nak join sama tak?" Pelawa Zafrul.

"Okey aje." Alisya membalas. Dia memandang Raffa yang beriak biasa. 

"Kitorang tunggu tau, Raf." Katanya sambil pamer senyuman semanis mungkin.

"Hmm."

Mereka berjalan ke arah pintu keluar. Raffa memandang sampailah kelibat mereka menghilang. Kini hanya tinggal dia dengan Prof Rahmat dan Qistina.

Qistina menjeling dengan ekor mata. Dia perasan Raffa sedang tercegat berhampirannya. 

"Raffa," tegur Prof Rahmat. 

"Prof." Raffa angguk kepala sedikit. Dia berjalan menghampiri meja pensyarahnya itu. Buat tak peduli dengan pandangan Qistina ketika itu. 

"Macam mana pasal tugasan final yang saya bagi? Setakat ni ada apa-apa tak yang awak nak tanya?" 

"Ermm..." 

Raffa membalas pandangan itu. Dia lantas mengangguk. 

"Setakat ni okey aje, prof," jawabnya. 

"Kalau ada apa-apa yang tak faham, boleh rujuk dengan saya. Tak pun, awak tanya aje Qistina. Saya dah letakkan awak satu group dengan Qistina. Saya tengok Qistina takde masalah sangat dengan dua-dua subjek yang saya ajar. Terutamanya bagi course Construction Management.

"Yang subjek awak pernah gagal masa sem lepas, kalau boleh sebelum masuk kelas nanti bincang dulu mana-mana yang susah nak faham supaya Qistina boleh bantu awak. Macam tu juga dengan coursework ni. Kaji semula soalan exam yang dah lepas. Itu sebabnya saya mahu baik awak mahu pun Qistina, duduk dalam satu kumpulan. Banyakkan perbincangan ya?" ujar Prof Rahmat.

Barulah mereka faham mengapa kali ini mereka ditugaskan oleh pensyarah untuk bersama-sama menyiapkan tugasan tersebut.

"Baik, prof." Ucap mereka hampir serentak.

Qistina tak membalas pandangan Raffa. Setelah itu dia meminta diri mahu berlalu. Begitu juga Raffa yang turut mengekori langkahnya itu. 

_

Author Notes: Salam to new readers dan yang dah lama follow 🥰 Thanks for following dan selamat membaca.

*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.