RAFFA
BAB 13
"HAI, Qis," tegur Zafrul.
Dia masih lagi tidak berputus asa. Terus-terusan berusaha mendekati gadis kesukaannya. Siapa lagi kalau tak lain tak bukan, Qistina.
Qistina menjeling. Langsung tak berkata apa.
"Terima kasih sebab dah tolong saya. Sekarang saya dah faham sikit dengan topik yang awak terangkan tu." Ucap Zafrul.
Qistina membalas pandangan itu dengan ekor mata.
"Sama-sama." Jawabnya.
Mereka berbalas pandangan. Qistina tersenyum nipis. Sehinggakan disedari Raffa yang baru memarkir keretanya berhampiran tempat parkir.
Raffa memerhati gelagat mereka seraya menarik ray ban gelap yang tadinya elok terletak dia pakai dengan penuh bergaya. Rahangnya itu bergerak. Dia menyangkut ray bannya itu ke kolar baju, lalu menghampiri mereka. Memegang erat beg galas di sebelah bahunya. Langkahnya teratur dan kemas.
"Zafrul," Raffa menegur.
Mereka menoleh serentak.
"Eh, Raf. Awalnya kau sampai?" Zafrul membalas.
"Hmm," angguk Raffa dengan raut serius.
Namun, mereka tetap berbalas fist bump. Zafrul berdeham. Dia sudah tidak kisah lagi. Baik Raffa atau pun Qistina mahu kata dia apa sekalipun, katalah. Dia memang ikhlas mahu berhubungan rapat dengan Qistina. Dia bersedia nak meluahkan.
Lambat-lambat, Zafrul membuka mulut.
"Raf, sebenarnya aku dengan Qis..."
Belum sempat Zafrul nak menghabiskan ayat, suara Raffa terlebih dulu memotong percakapannya.
"Kejap, Zafrul. Aku tengah sibuk sekarang ni. Qis, ikut aku." Katanya.
Zafrul dan Qistina berpandangan. Berkerut dahi Qistina sebaik mendengarnya. Dia benar-benar tidak faham.
"Ikut awak ke mana? Saya kan memang tunggu awak. Kita dah pelan nak sambung discussion dekat library kan hari ni." Balas Qistina.
Sempat dia membetulkan hujung tudungnya yang berterbangan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Membiarkan pandangan mereka bertaut.
"Ya, aku tahulah. Masalahnya bukan dekat sini. Pelan tu cancel. Aku terpaksa bawa kau ke rumah aku," ujar Raffa.
Zafrul menggeleng-geleng. Dia senyum sinis. Segera menghalang, lalu berdiri menghadap Raffa dengan matanya tajam memanah ke muka itu.
"Kau... Sukakan Qis, eh?" soal Zafrul. Mukanya bertukar serius.
Qistina tersentak. Dia memandang Zafrul dengan kerutan hebat di dahinya.
"Kata apa?"
"Jawab, bro. Aku tanya ni. Aku tahu kau sukakan Qis. Betul tak?" Zafrul menghalakan hujung telunjuk rapat ke dada Raffa. Tak mempedulikan langsung pertanyaan Qistina.
Raffa diam membisu. Tidak mengiakan kata itu. Jauh sekali menidakkan. Membalas tenungan Zafrul dengan riak tenang.
Qistina semakin risau. Dia boleh merasakan ketegangan situasi antara mereka ketika itu. Dia melingas ke sekelilingnya dengan rasa tidak sedap hati.
"Raf... Zafrul..." Dia cuba bersuara.
"Diam, Qis. Bro... jawablah. Aku cuma nak tahu." Zafrul mendesak.
Qistina terdiam, sebelah tangannya naik meraup muka. Keluhannya terbit.
Raffa akhirnya membuka mulut. Dia beriak biasa. "Kenapa? Kau rasa yang aku sukakan Qis. Macam tu?"
Zafrul tergamam. Penumbuknya itu dikepal. Dia tak berpuas hati mendengar balasan itu. Dia tidak percaya.
"Kau..." Zafrul hilang kata-kata.
"Aku tak halang pun kau nak anggap Qis lebih daripada seorang kawan. Aku cuma tak setuju bila kau ganggu Qis sampaikan buat dia jadi tak selesa. Aku nampak depan mata aku, Zafrul. Kau sedar tak?" ucap Raffa.
Zafrul beriak sinis.
"Cakap ajelah yang kau dah jatuh cinta. Sengaja bagi alasan dengan kata aku cuba nak ganggu Qis pula."
"What? Jatuh cinta?" Raffa gelak kecil, sebelah keningnya dijongket.
"She's cute. Mestilah aku suka." Dia berkata seraya memeluk tubuh.
Qistina agak terkejut sebaik mendengar ayat selamba itu. Dia memandang Raffa tajam. Dia jadi tidak suka. Tak pasal-pasal dirinya itu menjadi topik hangat mereka. Sejak bila pula dia telah menarik perhatian dua jejaka ini? Hal yang sebolehnya cuba dielakkan sejak daripada awal lagi. Sekarang ini dia pula menjadi perhatian. Qistina betul-betul rasa tak selesa.
Zafrul rasa tercabar, memandang Raffa tajam.
"Aku memang sukakan Qis." Akuinya.
Mulut Qistina hampir ternganga. Turun naik nafasnya itu tak sekata. Mukanya bertukar merah padam.
Raffa pula langsung tak bersuara. Qistina menggeleng perlahan. Dia tidak boleh menerimanya langsung. Berani betul Zafrul mengakui perasaannya itu secara terang-terangan. Dia sudah cakap sebelumnya. Antara mereka hanya kawan. Takkan pernah lebih daripada itu. Tetapi, Zafrul? Tetap juga berdegil.
Selepas ini pastinya akan bertambah lebih kecoh apabila sampai ke pengetahuan orang lain. Mulut orang, manalah boleh ditutup.
"Cukup! Zafrul... Saya tak boleh terima. Maaf ye. Saya pergi dulu. Assalamualaikum," tegasnya.
Dia lekas berlalu pergi.
"Qis, tunggu kejap..." suara Zafrul menahan.
Qistina buat tak endah. Dia sudah malas nak ambil peduli lagi. Baik Raffa mahu pun Zafrul. Atau, mana-mana lelaki sekalipun. Dia sudah nekad.
Qistina tergamam. Ada tangan seseorang yang menahannya. Langkah Qistina terhenti, tubuh kecil moleknya itu terdorong ke belakang sebaik Raffa merentap lengannya. Dia begitu terkejut. Begitu juga Zafrul.
Zafrul membulatkan mata. "Raf!"
"Hei, lepaskan sayalah."
Terbuntang mata Qistina. Raffa buat tak peduli langsung. Dia membuka pintu kereta di bahagian penumpang, menolak Qistina memasuki ke dalam kenderaan itu. Namun, tidaklah kasar mana.
Terpaksalah Qistina membiarkan. Nak melawan sekalipun tak guna. Dia sudah mengenali diri Raffa bagaimana.
Zafrul bermuka tak puas hati.
"Wei, bro! Main kasar nampak?" dia bercekak pinggang.
Raffa balas dengan senyuman senget, mengenyit mata kanannya. Rautnya itu nakal. Memakai semula ray ban sambil berlalu ke tempat duduk pemandu. Tanpa langsung mempedulikan pandangan Zafrul yang lain macam. Sangatlah selamba lagaknya.
Raffa lekas menghidupkan enjin kereta. Tak lama kemudian, kereta itu lesap daripada pandangan Zafrul sebaik ia membelok di satu selekoh.
"Tak guna kau, Raf."
Zafrul merengus. Kemudian dia bercekak pinggang, meraup mukanya dengan sebelah tangan. Dia cukup kecewa. Cuba menenangkan dirinya. Siot betul! Sekali lagi dia kalah dengan Raffa. Ya, dia takkan pernah menang dengan Raffa. Daripada dulu sampailah sekarang.
Kemenangan itu pastinya akan berpihak kepada Raffa walau dalam apa jua situasi sekalipun. Dia dengan Raffa memanglah begitu. Masing-masing sudah terbiasa. Suka bersaing antara satu sama lain. Baik kereta atau pun... perempuan.
Kalau Raffa memakai motosikal berkuasa tinggi yang lebih mahal, dia pasti akan meminta daddynya membelikan sebuah lagi motosikal agar mampu menandingi apa yang jadi milik Raffa. Begitu juga dengan kereta. Atau apa sekalipun.
Maklumlah mereka anak orang kenamaan... spoiled rich brats.
Zafrul jadi frust. Qistina sekali lagi menolak cintanya itu mentah-mentah. Walaupun sudah banyak kali dia mengakuinya. Dan sekarang dia terpaksa meluahkannya di depan Raffa pula.
Zafrul bengang. Dia menggenggam kedua-dua penumbuknya seerat mungkin. Mungkin... dia perlu melakukan sesuatu agaknya?
_
"KAU tak kisah ke aku ajak kau ke sini?" tanya Raffa.
Qistina memandang ke segenap rumah agam itu.
Memanglah mewah dan nampak elegan. Dengan susun atur perabotnya itu, sudah cukup membuktikan yang harganya mahal belaka. Tak habis dia memuji di depan Raffa tadi. Raffa pula hanya beriak biasa. Seperti tidak terkesan pun dengan pujian itu. Mungkin Raffa sudah terbiasa agaknya.
Mereka duduk di ruang balkoni yang menghadap kolam renang. Bukan main besar lagi kolam itu.
Dia mengerling sekilas. Terasa segan pun ada apabila berada di rumah keluarga Raffa. Qistina mencapai gelas minumannya yang berisi jus oren. Menyisipnya perlahan-lahan sambil diperhati Raffa. Hmm... Gayanya minum pun nampak ayu. Qistina meletak semula gelas itu di atas meja dengan hati-hati.
Raffa telah meminta salah seorang pembantu rumahnya itu menyediakan minuman buat Qistina sebaik saja mereka tiba.
Qistina melepaskan keluhan. "Kenapa awak tiba-tiba aje terfikir nak ajak saya ke mari?" tanyanya.
Dia memandang Raffa yang bermuka biasa.
Raffa menyandar kepala ke kerusi. Kedua-dua tangannya dibawa ke dalam genggaman kemas sambil duduk menyilang kaki. Matanya terpejam sejenak.
"Aku tengok kau macam tak selesa aje dengan Zafrul. Dari dulu lagi, kan?" Jelingnya.
"Lepas tu nampak sangat kau beria-ia mengelak." Akui Raffa.
Qistina tertunduk. Agak terkejut sebaik mendengarnya. Bermakna saat Zafrul cuba mendekati dia secara senyap-senyap ketika itu... rupanya, Raffa perasan.
Dia menyangkakan tiada sesiapa pun yang mengesyaki apa-apa. Tapi, logik juga. Lama-kelamaan pasti ada orang lain yang akan perasan dengan tindakan Zafrul itu. Kampus mereka tidaklah besar mana pun. Pastinya boleh bertembung dengan mana-mana kawan sekelas mereka.
"Memang pun." Qistina angkat muka, lalu memandang muka Raffa.
Dia tarik nafas perlahan.
"Awak janganlah beritahu Zafrul pula yang saya cakap macam ni tau. Saya tak naklah lukakan hati sesiapa. Saya dah pernah cakap dulu. Dia aje yang tak faham. Atau, buat-buat tak faham. Entahlah." Keluhnya.
Raffa senyum senget. "Kau memang tak pernah ada boyfriend ke?"
Qistina tersentak. Dia balas dengan jelingan.
"Apasal kau susah nak terima dia? Zafrul tu okey apa," duga Raffa.
Qistina tergamam.
"Kau dah lama ke tahu yang Zafrul tu sukakan kau?" soal Raffa, menjongket keningnya.
Lambat-lambat, Qistina mengangguk. "Hmm."
Raffa mendiamkan diri. Dia melirik kepada jam di pergelangan tangannya. Dalam sedar tak sedar, hari sudah pun menginjak ke waktu petang.
"Dalam kejap lagi aku hantarkan kau."
Qistina mengemas beberapa buku nota bersama alat tulisnya di atas meja, lalu dia angguk setuju. Laptopnya itu disimpan baik-baik ke dalam beg. Harta yang paling mahal dia miliki sebagai seorang pelajar. Kalau sudah sekali rosak, entahkan dia mampu menukarnya dengan yang baru entahkan tidak agaknya?
Lebih baiklah dia pulang sekarang.
Masakan hendak berlama-lama lagi sampai ke malam?
"Tapi, awak dah faham kan lepas kita bincang tadi?" Qistina senyum.
Raffa memandang senyuman itu. Namun, dia tidak membalas. Dia berdeham.
"Bolehlah." Jawabnya ringkas.
Qistina mengekori langkah Raffa. Namun, dia pelik sebaik melihat Raffa tiba-tiba menghentikan langkahnya itu. Tercegat di pintu gelangsar.
Raffa perasan yang Puan Adelia tiba-tiba saja muncul. Dia berpura-pura biasa. Namun, riaknya itu bertukar serius sebaik memandang Dato' Izham.
"Assalamualaikum, aunty," Qistina menegur.
"Waalaikumussalam." Puan Adelia membalas senyuman itu.
Sejuk hatinya sebaik memandang muka Qistina.
Hari itu dia tak sempat pun nak bertanya, siapakah dia agaknya gadis yang tengah berkawan dengan anaknya? Inilah pertama kali Puan Adelia melihat Raffa berkawan rapat dengan seorang perempuan selain Alisya.
Tapi, Alisya itu anak kawan baik kepada bekas suaminya. Sudah tentulah mereka boleh rapat.
Puan Adelia melirik sekilas.
Muka Qistina dipandang. Hatinya tertarik untuk mengenali Qistina. Lemah lembut. Berbudi bahasa. Cantik orangnya. Sesuai dijadikan menantu. Hatinya sudah berkenan. Sudah terfikir sejak mula-mula pertemuan dengan Qistina tak lama dulu. Qistina tetap tahu menghormati dia walaupun, dia tidak dilayani dengan baik oleh anaknya sendiri.
Silap hari bulan, Qistina yang lebih diharapkan demi untuk mengubah sikap anaknya. Ringan mulutnya mahu bertanya, sejauh manakah perhubungan Raffa dengan Qistina? Adakah hanya sekadar kawan? Atau, lebih daripada itu? Kalau tidak serius, takkanlah Raffa sampai berani membawa Qistina ke rumah mereka?
Hatinya jadi tertanya-tanya. Dia perlu berbincang dengan bekas suaminya perihal itu.
Mungkin sekarang bukanlah masanya. Dia perlu memujuk Raffa terlebih dulu.
Raffa pelik sebaik melihat senyuman tiba-tiba terukir di bibir Puan Adelia. Dia mengerutkan dahi. Entah apa yang mamanya itu tengah fikirkan agaknya? Tidak pula dia bertanya.
Tanpa sempat Raffa menghalang, Qistina terus hulurkan tangan untuk bersalaman dengan Puan Adelia. Dia mencium tangan itu sebaik mama Raffa menyambut hulurannya.
"Aunty apa khabar? Sihat ke? Maaflah ye aunty, hari tu tak sempat nak perkenalkan diri," Qistina serba salah.
"Oh, takpe. Aunty faham. Alhamdulillah, aunty sihat." Puan Adelia menjawab.
Puan Adelia memandang Qistina yang cukup pandai menghormati orang tua. Entah anak siapalah? Bersilih ganti dia perhatikan baik Raffa mahu pun Qistina.
"Ini kawan Raf ya?" tanya Puan Adelia.
"Ya, aunty. Saya, Qistina."
"Nak panggil apa?" lembut Puan Adelia bertanya.
Qistina perasan pandangan Raffa tertancap ke mukanya. Dia mengerling sekilas.
"Qis," dia balas dengan senyuman manis.
"Oh... Qis ya."
"Sebenarnya aunty, pensyarah tugaskan kami untuk sama-sama siapkan final project." Katanya tanpa ditanya.
Qistina menunggu juga sama ada Raffa mahu membuka mulut perihal mengapa dia boleh berada di kediaman ini. Tapi... Raffa diam saja. Segan menguasai dirinya. Sudah dua kali dia berjumpa Puan Adelia.
Entah apalah agaknya yang mama Raffa fikirkan nanti? Bimbang sekiranya dia disalah ertikan pula.
Puan Adelia angguk dengan senyuman. Dia berpandangan dengan Dato' Izham.
Pandangan Raffa sejak tadi tajam memerhati Dato' Izham.
"You have no right to be here. Siapa suruh mama bawa dia ke sini?" Raffa bersuara setelah diam agak lama.
Dato' Izham berdeham. "Raf, uncle nak minta maaf kalau kedatangan uncle ke sini mengganggu. Ya, uncle tahu Raf tak sukakan uncle. Uncle betul-betul ikhlas dengan mama Raf. Takde niat lain pun." Dia berkata jujur.
Raffa memeluk tubuh. Tajam dia memerhati mereka.
"Saya tak tanya pun pendapat Dato'. Saya tanya dengan mama saya ni." Ucapnya bersama lirikan sekilas.
"Raf, boleh tak bawa bertenang? Papa tahu..." Puan Adelia tarik nafas sejenak.
"Papa dah tahu pasal Uncle Iz. Uncle Iz datang ke sini pun sebab nak jumpa papa. Papa balik dalam kejap lagi, kan. Raf cubalah jangan buruk sangka dengan..."
"Oh, papa pun tak kisah?" Raffa angkat kedua-dua kening, memotong laju percakapan Puan Adelia.
"Sampaikan mama nak keluar, masuk dalam rumah dengan lelaki ni pun papa dah tak kisah? Dulu, masa mama kahwin dengan papa, memang sebab cinta ke? Atau pun sebab lain? Unbelievable." Raffa berkata sinis.
"Ini ke contoh yang mama dan papa tunjuk dekat Raf?" Raffa memerli secukup rasa. Seperti menyindir pun ada.
Puan Adelia tersentak.
"Raf sedar tak, apa yang Raf cakap dekat mama dan papa? Raf dah melampau tau tak," Puan Adelia hampir hilang sabar. Sudah hilang hormat anaknya itu entah ke mana agaknya?
Hati Puan Adelia cukup pedih. Dia menyabarkan hatinya. Dia menyedari yang Qistina masih lagi bersama mereka.
"Mama sedar salah mama. Tapi, takkanlah Raf langsung dah tak sayangkan mama lagi?" Puan Adelia berkata perlahan.
"Mama teranglah macam mana sekalipun. Raf dah cakap kan sebelum ni. Walau apa sekalipun alasan mama... atau, papa. Raf tetap tak boleh terima." Raffa mengendurkan suara.
Sedikit-sebanyak terkesan juga dengan kata-kata Puan Adelia. Raffa mengakui dalam hatinya yang dia selalu bercakap kasar. Menengking mamanya pun sesuka hati. Dia terlalu terluka dengan perbuatan mamanya yang lalu. Masih lagi sukar nak memaafkan. Apatah lagi melupakan.
Tak menunggu lama, dia berlalu pergi.
Masing-masing hanya mampu memandang tanpa sebarang kata.
Thanks for reading.
 


 
 
 
 
 
Post a Comment
0 Comments