BAB 12

RAFFA memeluk tubuh seraya menyandar pada rak buku. Dia memerhati gelagat Qistina dengan raut biasa. 

Qistina terpaksa membiarkan. Dia sudah cakap tadi. Meminta supaya Raffa menunggu saja di meja. Atau pun, mencari sendiri buku yang mahu dijadikan rujukan nanti. Pelajar tidaklah begitu ramai ketika ini.

Memudahkan mereka untuk mencari bahan rujukan tanpa perlu bersesak sangat. Kalau tengah musim peperiksaan? Lagilah penuh gamaknya.

Qistina menjeling. Raffa buat tak tahu saja. Terus-terusan mengekorinya sampai ke sudut paling hujung di perpustakaan itu. 

"Kau ada tak puas hati dengan aku ke? Yang masa kita keluar sama-sama tu?" soal Raffa.

Qistina menoleh. 

"Tak puas hati? Apa maksud awak?" dia bertanya. Agak hairan dengan pertanyaan itu.

Raffa menghembus nafas seraya memerhati ke sekeliling mereka. Barulah dia bersuara.

"Yalah. Kutlah kau ada pendam sesuatu..." Dia melirik sekilas.

Qistina tersenyum kecil.

"Sekarang, saya pula nak tanya. Kenapa awak tiba-tiba aje macam nak ambil berat ni?" Kening sebelahnya diangkat.

Raffa tergamam. Terus menjatuhkan kedua-dua tangannya itu. Sepasang matanya memandang Qistina dengan panahan tajam.

"Nak kenakan aku balik ke?" duganya.

Qistina ketawa kecil. "Taklah."

Tanpa disedari, hujung bibir Raffa terlukis senyuman. Dia menjeling dengan ekor mata. 

"Qis..."

"Hmm?" 

Qistina berpusing, lalu tergamam sebaik melihat Raffa menapak perlahan-lahan. Mahu mendekatinya. 

Dia terpaku.

"Kau boleh janji tak dengan aku?" Raffa bernada serius. Sepasang matanya itu tepat memandang Qistina. 

Raffa meletakkan kedua-dua tangannya itu ke rak yang berkedudukan agak tinggi sedikit dari paras ketinggian Qistina. Manakala Qistina pula berdiri di tengah-tengahnya. 

Qistina mendongak pandang. Dia membiarkan pandangan itu tertancap lama ke mukanya. 

Masing-masing saling bertatapan.

Qistina berusaha menepis debaran kuat yang dia rasai sekarang. Terasa mahu saja dia lari sejauh mungkin... Namun, situasi itu tidak memungkinkan dia untuk lari. Apatah lagi menjauhkan diri daripada Raffa. Raffa semakin sukar dijangka setiap perlakuannya itu.

"Raf, awak berdiri rapat sangat." Tegurnya.

Qistina buat-buat tak nampak senyuman itu. 

Dia jadi risau. Raffa tidak perasan ke yang perbuatan mereka sekarang boleh mengundang curiga buat sesiapa saja yang melihat? Buatnya ada yang lalu-lalang nanti bagaimana?

Raffa buat tak endah.

"Aku cuma nak dengar... Kau setuju ke tak, janji sesuatu dengan aku." Raffa berbisik rapat di telinga Qistina.

Qistina menghembus nafas. Genggaman sebelah tangannya dieratkan.

"Ja... Janji apa?" Qistina bertanya gugup. Memalingkan wajahnya itu ke sudut lain. 

Raffa pamer senyuman. 

"Jangan cuba nak beritahu pada sesiapa pun... tentang mama aku. Tentang segalanya yang kau tahu. Kalau aku dapat tahu yang kau cuba nak bongkar rahsia aku, aku takkan sesekali lepaskan kau. Faham?" Raffa menggertak.

Qistina bagai hilang kata-kata. Namun, dia angguk juga. Cukup jelas ayat yang keluar dari mulut Raffa. 

Raffa senyum puas hati. "Good girl."

Dia jatuhkan sebelah tangannya dengan mata yang masih tertancap ke wajah polos itu. Kemudian menyeluk pula poket jean. 

Qistina menjeling. Meluat dia memandang senyuman Raffa. Gaya serupa samseng pun ada. Tak pasal-pasal, mahu mengugut dia pula. 

"Kalau saya cerita pun untuk apa? Apa faedah yang saya dapat? Awak tak perlulah risau." Gumamnya.

Raffa terdiam. Renungannya masih sama seperti tadi. 

"Jom kita lari daripada realiti." Ucapnya.

Qistina mengerutkan dahi. Sukar untuknya memahami apa maksudnya itu.

"Ke mana?" tanyanya.

"How about a kiss?" Raffa separuh berbisik.

Sepasang matanya menjamah segenap inci wajah polos itu. Sejenak, pandangannya itu jatuh ke bibir merah itu. Sebelum akhirnya bebola matanya bergerak dan menatap anak mata hitam Qistina.

Qistina terpanar. Seketika kemudian dia tersedar semula.

Dia sungguh terkejut. Terus menolak Raffa agar menjauh. Mukanya terasa panas membahang. Laju saja dia menggeleng.

"No means no, Raf."

Raffa gelak kecil. Nakal bunyinya.

Qistina balas dengan jelingan tajam.

"Kalau awak masih lagi nak berperangai macam ni... Saya takkan teragak-agak jumpa prof hari ni. Teruklah awak ni! Saya nak cakap dengan prof yang saya nak minta tukar dengan group lain. Awak ni... Awak..." Qistina menggerit gigi. Dia mengepal penumbuknya. 

"You're kinda scary." 

Qistina berusaha mengawal suaranya itu agar tidak terlalu kuat sampai boleh didengari orang lain.

Raffa seperti tak terkesan langsung. Masih lagi bermuka selamba. 

"Kau betul-betul takutkan aku. Kan?" Jelingnya.

Qistina menjeling tajam. 

Dia pejam mata sejenak. Ya Allah... Jantungnya terasa macam nak pecah saja. Degupan itu masih kuat. Dia tak sanggup lagi membayangkan perlakuan Raffa yang benar-benar sukar dijangka itu. Apatah lagi kata-kata itu...

"Baik. Kalau nak saya tolong awak sampai ke final nanti, awak kena janji dengan saya. Perangai tu... Tolong behave sikit ye. Janji?" dia mengangkat hujung telunjuknya itu. 

Geram betul sebaik dia memandang Raffa yang bermuka biasa. Tak habis dengan perangai dia yang suka main-main. Setakat ini Raffa lebih banyak main-main, tak serius pun berbanding dengan masa yang dihabiskan oleh mereka dengan berbincang perihal subjek Prof Rahmat.

Raffa cuma angkat kedua-dua bahunya. 

"Apa maksud awak?" Qistina pelik.

"Kalau aku tak nak? Apa yang kau boleh buat?" Raffa menahan senyum sambil membalas pandangan itu. Dia menyeluk kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar.

Qistina menyabarkan hati. Dia memikirkan sesuatu. Bibirnya tiba-tiba mengukir senyum herot.

"Macam confident aje ya? Macamlah saya tak mampu buat sesuatu. Okey, rahsia awak tu... Saya akan bongkar. Biar habis semua orang tahu pasal awak!" ucapnya berani.

Muka Raffa bertukar. Dia memandang Qistina tajam. 

Qistina tersenyum menang. Raffa seperti tak pasti apa perlu dijawab. Dia berpuas hati. 

Raffa hembus nafas kuat, lalu meraup muka dengan sebelah tangan. Sebelah tangannya lagi mencekak pinggang. Gayanya itu cukup tidak berpuas hati. Berani betul Qistina cuba mengenakannya. 

Tak mengapa. Buat masa ini dia membiarkan saja. Mungkin sekarang kemenangan itu berpihak kepada Qistina. Lain kali? Jangan harap.

Qistina perasan senyuman yang terukir di bibir Raffa. Hai, lain macam saja. Dia mengerutkan dahinya.

"Apa yang awak senyum-senyum tu?" Dia menyoal curiga.

Raffa berdeham. Dia membalas pandangan itu. Rautnya kembali serius. Pertanyaan itu tidak pula dijawab.

"Fine." Dia berkata dengan renungan yang sama.

"Jangan cuba-cuba nak cari masalah ye. Lagi satu, saya bukan jenis macam tu. Beranilah." Qistina bertegas.

Raffa beriak sinis. 

"Kau ingat aku betul-betul maksudkan ke? Macamlah aku ni teruk sangat nak buat betul-betul," jelingnya seraya memeluk tubuh.

"Yalah, tahulah yang awak tu ramai girlfriends." Qistina mencebik. Atas bawah dia pandang Raffa dengan ekor mata.

"Kau fikir aku macam tu ke?" 

"Manalah saya tahu. Awak cakap benda yang bukan-bukan tadi. Mestilah saya tak suka." Cebik Qistina.

Raffa menarik nafas. Agak lama dia memerhati Qistina yang berjalan ke depan. Menghampiri rak yang satu lagi. Dia akhirnya membuka mulut.

"Senakal-nakal aku pun... Takdelah tergamak aku nak buat macam tu sekali. Sampai nak rosakkan anak dara orang. Tapi, terpulanglah. Kau nak fikir aku macam mana pun. Like I care." Ucap Raffa.

Qistina terpanar.

Dia memandang Raffa yang tengah mencapai satu buku setebal dua ratus lebih muka surat di rak bersebelahan. Raffa membelek-beleknya. Membuka setiap helaian demi helaian. 

Secara tiba-tiba timbul pula rasa bersalah dalam hatinya. Kerana bertindak menuduh Raffa secara melulu. 

Tapi, dia diamkan saja. 

"Aku nak tanyalah." Raffa bersuara.

"Tanyalah." 

Sepasang mata bundar yang cantik itu beralih kepadanya. Raffa pandang sejenak, sebelum melarikan pandangannya ke tempat lain.

"Macam mana kau boleh cepat faham dengan satu-satu topik tu?" Raffa sengaja bertanya. 

Hatinya meronta ingin tahu. Bagaimanalah cara Qistina belajar agaknya? 

Dia meletakkan kembali buku dalam pegangan itu ke tempatnya semula. 

Dia memeluk tubuh sambil memerhati Qistina. Kali ini dia benar-benar serius.

"Oh..." Qistina memikirkan sesuatu.

"Jomlah kita ke sana. Nanti saya beritahu." 

Raffa menghela nafas sebaik melihat Qistina semakin menjauh. Dia akhirnya mengekori langkah itu tanpa sebarang kata.

*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.