RAFFA
BAB 17
QISTINA mengerutkan dahi.
Raffa perasan muka Qistina seperti tengah menahan kesakitan. Dia menghentikan langkahnya. Mereka berdiri di depan perpustakaan sambil diperhati beberapa orang pelajar yang lalu-lalang.
"Kau kenapa?" tanyanya.
"Saya... Kena gastrik." Qistina berkata perlahan.
Raffa terdiam. Qistina melingas ke sekelilingnya, lalu dia terpandang ada kedai runcit yang berhampiran. Dia mahu singgah ke situ terlebih dulu. Mungkin ada apa-apa yang boleh dibelinya.
"Awak baliklah dulu ya."
Belum sempat dia nak memberi salam, suara Raffa terlebih dulu menahan.
"Kau memang ada gastrik ke?" soal Raffa.
"Hmm. Dah lama dah. Sejak zaman sekolah lagi," akui Qistina.
Salah sendiri. Siapa suruh dia berlapar? Dia selalu saja menahan lapar. Apabila kerjanya itu telah siap, barulah dia terkial-kial nak makan. Selalunya apabila dia benar-benar sibuk nak menyiapkan tugasannya. Lebih kepada mahu kejarkan assignmentnya itu saja.
"Aku ingatkan kau dah makan. Hei, peliknya aku dengan kau ni," tegur Raffa bersama kerutan di dahinya.
"Tadi tak sempat. Kejap lagi baru saya fikir nak makan. Lagipun dah nak balik, kan." Qistina beralasan.
Dia perasan dengan cara Raffa memandangnya ketika ini. Raffa masih lagi tercegat seraya memeluk tubuh. Qistina hairan. Raffa tidak terus pulang walaupun mereka sudah habis berbincang tadi.
"Takpelah. Awak baliklah dulu. Saya nak pergi beli roti untuk alas perut sekejap." Katanya.
Telunjuk Qistina lurus kepada kedai runcit yang berhampiran. Bukanlah niatnya itu mahu menghalau. Dia malas nak menyusahkan sesiapa. Bukannya dia tidak biasa kena gastrik.
"Dah sakit macam ni... Takkanlah nak aku biarkan?" ucap Raffa.
"Apa-apa jadi dekat kau nanti macam mana?"
Qistina terpaku. Raffa menghela nafas. Terus mengeluarkan sesuatu daripada dalam dompetnya itu. Sehelai wang kertas berwarna hijau dia keluarkan, lalu menyerahkan ia kepada Qistina.
Qistina terkebil-kebil.
"Belikan aku tiga burger special brader yang dekat gerai depan tu. Aku tunggu dekat sini." Raffa mengarah selamba. Terus dia duduk di sebuah bangku yang berhampiran.
Qistina menjeling. Tak habis dengan lagak bosnya. Namun, diambilnya juga huluran duit itu.
"Banyak betul awak makan ya," dia menahan senyum.
Raffa menjeling tanpa berkata apa. Sebaik Qistina membelikan burger tersebut, terus dia hulurkan dua lagi burger dalam plastik itu kepada Qistina dengan riak muka biasa.
"Ambillah. Untuk kau sekali." Ucap Raffa.
Qistina terpanar.
"Ha? Dua-dua sekali?"
"Makanlah banyak sikit. Kau ni pun. Patutlah aku tengok kurus aje. Yang satu lagi tu, boleh simpan untuk malam karang. Lepas makan nasi ke apa. Yalah, silap hari bulan... Kau tak beli pun makanan dekat kafe tu. Terus balik bilik macam tu aje. Tak pun makan megi. Kau pernah cakap yang stok megi kau tu banyak, kan. Macamlah aku tak tahu." Ucap Raffa selamba, terus dia menyuapkan burger ke dalam mulutnya tanpa memandang Qistina.
Qistina menjeling. Geram pula dia mendengarnya.
Hei, selamba betul dia mengutuk aku. Lepas itu boleh selamba pula mengarah dia itu dan ini. Tak gentleman langsung. Sejak mengenali Raffa dia sudah betul-betul mengenali diri Raffa bagaimana. Cakap main ikut suka hati dia saja.
Namun, dia tetap berterima kasih dengan Raffa. Lambat-lambat, dia melabuhkan punggung di bangku itu, lalu membuka plastik burger itu dengan senyuman.
_
QISTINA memandang Raffa di sisinya. Ada sesuatu yang dia mahu tanyakan kepada Raffa. Dia memandang genggamannya di meja buat seketika. Sejak kebelakangan ini mereka semakin kerap berjumpa dan berdiskusi bersama-sama.
Namun, adakalanya Raffa dilihat selalu sibuk. Mengatakan ada kerja di luar yang harus dibuat.
Qistina tertanya-tanya.
Raffa ada buat kerja sambilan ke? Tak pasti apakah kerja yang dilakukan Raffa agaknya? Mungkin Raffa bekerja dengan keluarganya itu agaknya. Setakat yang dia tahu begitulah.
Mungkin juga kerana papa Raffa merupakan usahawan. Memiliki perniagaannya sendiri. Manakala mama Raffa seorang peguam, ada firma guamannya tersendiri. Itupun setelah dia bertanyakan salah seorang kawan mereka.
"Kau ada nak tanya sesuatu ke?" Raffa tiba-tiba bersuara.
Qistina tersentak.
"Ermm..."
"Tanya ajelah. Takkanlah kau masih lagi tak biasa dengan aku?" jeling Raffa.
"Apa kerja awak sebenarnya?" Qistina ingin tahu.
Raffa terdiam. Qistina berasa serba salah. Terus dia geleng perlahan.
"Takpelah. Kalau tak jawab soalan tu pun tak apa. Saya cuma nak tahu aje." Ucapnya.
"Tak perlu kut untuk kau tahu. Kau mesti akan menyesal sebab tanya aku once bila kau dah tahu," Raffa akhirnya menjawab.
Pandangannya dihantar jauh ke depan dengan raut serius. Dia seperti tengah memikirkan sesuatu.
Qistina jeda.
"Kenapa pula saya nak rasa menyesal? Takkanlah kerja awak tu... Pukul orang?" duganya. Sebelah keningnya itu naik.
Dia perasan dengan perubahan Raffa. Namun, dia tidaklah mengesyaki apa-apa. Dia cuma ingin tahu saja. Sisi muka Raffa diperhatikan. Dia dapat merasakan Raffa sengaja tidak mahu berterus terang tentang apa pekerjaannya itu.
“Raf, awak…”
“Desperate people make desperate things.” Raffa separuh berbisik.
Dia memandang tepat ke muka Qistina yang jelas tergamam.
Qistina diam membisu. Cuba untuk memahami maksud itu.
"Why you're so different, Qis? Kau macam faham aku aje." Sepasang mata cantik itu Raffa tatap sepuas hati dengan raut serius.
Dia mencapai tangan Qistina. Memaut jari-jemari runcing itu dengan jari-jemari kasarnya.
Qistina terpaku. Mereka bertentang mata. Mula merasakan debaran itu. Entah kenapa dia tidak pula menolaknya seperti sebelumnya. Mana mungkin Qistina... hati seakan berbisik.
Kau siapa? Dia pula siapa? Kalaulah Raffa tahu dirinya yang sebenar... adakah Raffa masih sudi berkawan dengannya? Menerimanya setulus hati?
Dengan apa yang dia rasai sekarang... segalanya mana mungkin. Mustahil ada mana-mana lelaki yang akan menerimanya sekiranya mereka tahu. Lebih baik dia mengelak. Sama seperti hari-hari sebelumnya. Dia tidak harus membiarkan rasa itu bertamu dalam hatinya. Bagaimana jika Raffa cuma main-main? Mungkin dia turut dianggap sama oleh Raffa seperti kebanyakan perempuan lain yang Raffa kenali.
Qistina akhirnya membuka mulut seraya memandang tangannya yang berada dalam genggaman tangan kasar itu. Perlahan-lahan dia meleraikannya. Namun, gagal kerana... Raffa langsung tidak melepaskan pautan itu.
"Awak buat apa ni, Raf?" ucap Qistina. Terus dia menarik tangannya daripada pegangan itu.
Dia menyedari pandangan mata Raffa terpaku ke wajahnya dengan ekor mata. Tanpa berani nak bertentang mata. Dia mengalih sepasang matanya itu ke tempat lain. Sesuatu yang tidak diduga pula berlaku sebaliknya.
Raffa menarik kerusi Qistina dengan mudah supaya betul-betul menghadapnya. Qistina membulatkan mata.
Raffa kini berpuas hati kerana dapat melihat muka Qistina dengan jelas.
Raffa akhirnya memeluk tubuh dengan senyuman. Terus-terusan memerhati gelagat Qistina yang langsung tidak biasa diperlakukan begitu oleh mana-mana lelaki.
Ya, dia tahu Qistina tidak pernah ada pengalaman bercinta. Begitu naif. It's obvious... cukup menghiburkan hatinya. Bersama Qistina membuatkan dia mampu melupakan buat seketika masalah keluarganya. Hatinya lebih tenang. Hanya dengan Qistina saja, bukanlah dengan orang lain. Dia sememangnya sudah lama perasan sejak mula-mula mereka ditugaskan satu kumpulan oleh Prof Rahmat.
Raffa sudah malas nak menafikannya lagi. Kerana itulah apa yang dia rasai saat ini.
"Raf..." bibir merah itu separuh terbuka. "Saya cuma tanya aje. Maaflah kalau soalan saya tu tak patut..."
"Aku tak nak tahu soal tu. Yang aku nak tahu sekarang, kenapa... Kau selalu aje nak mengelak dari mana-mana lelaki?" soal Raffa.
"Termasuk aku." Sambungnya.
Qistina membalas pandangan itu sesaat. Terasa seperti lidahnya itu kelu. Tak mampu dia nak menjawab pertanyaan itu. Seakan satu perangkap. Bagaimana Raffa boleh tahu pun dia tidak tahu. Mereka seperti boleh memahami antara satu sama lain pula.
Dia menunduk tanpa sebarang kata.
"Kau dah lupa apa aku pernah kata dulu? Sekali kau dah libatkan diri dengan aku... Aku susah untuk lepaskan kau." Ucap Raffa penuh makna.
"Jadi, tak ada maknanya untuk kau mengelak. Aku selalu perasan kau mesti nak cepat balik aje setiap kali kita buat kerja sama-sama."
Qistina terpanar. Apa maksud Raffa? Dia cuba memahami apakah sebenarnya yang cuba disampaikan itu. Seolah-olah ianya memberi makna lain. Tetapi... bukanlah kata-kata yang menakutkan seperti kebiasaan yang Raffa selalu ucapkan.
"Aku nak kau tahu itu aje. Why not? Kalau lepas ni... Kau cuba biasakan diri dengan aku. Aku nak kita hang out lebih lama daripada biasa. Takkanlah kau tak suka?" Raffa senyum nakal.
Tak menunggu lama, dia bangun dengan pandangan masih tertancap ke muka Qistina. Rahangnya itu bergerak. Terus dia melarikan pandangannya itu. Dia berlalu pergi.
Qistina terbungkam.
_
Salam Ramadhan Mubarak buat muslimin dan muslimat. Hai buat semua pembaca:) Semoga segala urusan kita dipermudahkanNya. Insha-Allah, saya cuba update macam biasa sebelum nak masuk raya. Mungkin lagi berapa hari nak raya tu saya akan stop update sekejap dan akan bersambung selepas itu. Enjoy reading~🌹
Thanks for reading.
Post a Comment
0 Comments