BAB 8

QISTINA sekali lagi menolak pelawaan Raffa. Qistina pelik. Raffa asyik sebut pasal kerja dia. Balik-balik, itu sajalah alasan yang diberikan. Qistina sampai naik pening dengan kerenah Raffa.

Tak pasti Raffa kerja apa? Sibuk sangat ke Raffa sampaikan selalu mengajaknya berdiskusi di luar?

Qistina merancang untuk pergi ke perpustakaan pagi itu. Dia menutup pintu biliknya dan menuju ke tangga, berlalu ke ground floor. Ketika itulah sebuah BMW Z4 Coupe berwarna hitam muncul, lalu berhenti betul-betul di depannya. 

Dia tertanya-tanya. Entah siapalah agaknya yang datang seawal pagi begini?

Qistina tercegat di situ. Dia tercengang sebaik memandang tingkap kereta di bahagian penumpang yang diturunkan. Terpacul Raffa di kerusi pemandu.

Mereka berbalas pandangan.

“Masuk,” Raffa menjatuhkan arahan, lagak seperti bos.

“Tapi…”

Qistina cuba bersuara.

“Aku kata, masuk tu masuklah.” Raffa jegilkan mata.

Qistina mendecit. Berkerut seribu dahinya. Bibir bawahnya diketap kuat.

Tiada alasan lagi untuk dia menolak. Dia melingas ke sekelilingnya sambil memaut kemas tote bagnya itu dengan sebelah tangan.

Dia akhirnya beralah. Tak kuasa nak bertekak lama-lama. Apa pula yang orang lain fikirkan nanti? 

Terus saja dia berlalu ke arah kenderaan itu. Qistina menutup pintu sebaik berada dalam kereta. Dia memakai tali pinggang keledar seraya melemparkan satu jelingan.

Senyap-senyap saja Raffa memerhati gaya Qistina dari atas sampai bawah. Dia menahan senyum.

Santai saja Qistina mengenakan blaus berwarna putih dan berseluar jean biru serta bertudung bawal jenis satin berwarna pink lembut. Nampak menarik. Tidak seperti kebiasaannya Qistina yang selalu berbaju kurung pergi ke kelas. Tetapi, Qistina berbaju kurung sekalipun tetap nampak manis.

Sedondon pula dengan Raffa yang memakai baju berlengan pendek dengan warna yang sama. 

Qistina sudah lama perasan yang Raffa lebih banyak mengenakan baju sama ada berwarna putih atau pun hitam. Mungkin itu warna kegemaran Raffa agaknya.

“Kenapa kau ni degil sangat? Hmm?” soal Raffa dengan pandangannya tertancap lurus ke jalan.

Dia memutar stereng kereta, lalu menekan pedal minyak. Kereta itu bergerak dengan kelajuan sederhana memandangkan mereka masih lagi berada di kawasan kampus. Namun, ia terus meluncur laju setelah melepasi pondok pengawal keselamatan menuju ke lebuhraya.

“Saya cuma tak biasa…” Qistina jawab jujur.

Dia memandang tote bag yang diletakkan di atas pahanya. Qistina mula terasa sejuk dengan suhu pendingin hawa. Semerbak bau wangian perfume menusuk deria hidungnya sebaik berada di dalam kereta Raffa. 

Qistina mengerling sekilas. Mesti mahal jenama pewangi yang Raffa pakai itu.

“Awak nak bawa saya ke mana? Baik awak cakap.” 

Barulah dia bersuara setelah membisu agak lama. Raffa cuma beriak biasa.

“Kau nampak aku ni… Ada macam tengah plot nak culik dan bunuh kau ke?” katanya dengan riak bersahaja.

Qistina tergamam. Tak menyangka Raffa boleh selamba berkata begitu.

“Takdelah fikir sampai macam tu. Tanya aje.” Gumamnya.

“Ingatkan nak fikir aku ni bukan-bukan. Kutlah, kau fikir macam tu.” Balas Raffa.

"Yalah, macam teruk sangat aje aku ni."

Qistina terdiam.

“Awalnya awak datang hari ni?” tanyanya.

Dia memandang sejenak sisi muka Raffa.

“Kata semalam tak jadi nak buat group discussion?” Dia ingin tahu.

Lambat-lambat, Raffa membuka mulut.

“Aku tengah free sekarang.” Jawabnya.

So, kita nak pergi mana?” tanya Qistina.

Dia cuba bertenang. Agak risau melihat air muka Raffa yang serius itu. Raffa perasan Qistina yang dilanda keresahan itu.

“Kau ni kenapa? Macam takut-takut aje? Qis, no worrieslah. Aku bukannya nak buat benda tak elok pun dekat kau. Tak habis asyiklah nak fikir aku yang bukan-bukan. Aku cuma nak ajak kau keluar pergi tempat lain aje selain library atau pun kelas. Kalau tak, sakit kepala aku ni tau tak?”

Raffa sengaja beralasan.

“Sekali-sekala, apa salahnya kita keluar hang out. Bolehlah release tension kejap.”

Qistina memandang sengihan itu tajam. Matanya beralih kepada pemandangan luar menerusi tingkap kereta yang bertinted gelap itu. Dia memeluk tubuh dengan bibir diketap.

Keluhan dilepaskan.

“Nak hang out apanya? Prof minta kita studi sama-sama, kan. Bukannya sengaja cari alasan pergi berjalan-jalan ke… atau, apa pun.” Katanya tegas.

Qistina menyabarkan hatinya. 

Kenapalah? Baik Raffa atau Zafrul... kedua-duanya benar-benar memeningkan kepala. Memang patutlah mereka berkawan baik agaknya. Masing-masing boleh buat tak reti saja. Seolah-olah apa yang dia kata, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. 

Manalah dia tidak geram? Merasakan yang dia sudah puas berkompromi. Raffa pula tak habis-habis dengan bagi alasan tak ke sudah. Boleh buat selamba badak dia saja. Raffa fikir dia tengah main-main agaknya.

Raffa mengerling sekilas.

“Kau ni, Qis. Memang dalam kepala tu 24 jam asyik fikir pasal studi ke? Tak boring ke?” Dia jongket keningnya.

"Aku tengok studen lain pun ada juga yang dekan. Selalu aje dapat markah tinggi dalam kelas. Tapi, takdelah macam kau ni. Nak studi aje memanjang. Diorang reti jugalah bersosial. Siap ada yang hobinya main PUBG lagi macam member aku yang sorang tu. Sempat bertiktok tau." Komen Raffa sedas.

"Ha?" Mulut Qistina ternganga.

"Ewah, ewah... Mulut dia... Awak nak cakap saya ni tak pandai nak bergaul? Macam tu?" 

Raffa tertawa kecil bersama gelengan perlahan.

“Maknanya yang masa dalam kelas semalam tu… Awak tipu ajelah ya? Kata yang awak sibuk. Tak dapat nak pergi library hari ni bila saya ajak awak?” Qistina bertanya.

Dia mahukan kepastian.

“Lebih kuranglah,” balas Raffa selamba.

Geram betul Qistina mendengarnya. Pandai benar Raffa menipu dia dengan sengaja kata begitu. Nampaknya dia sudah terpedaya kali ini. Tak menyangka yang Raffa begitu licik.

Qistina akhirnya diam membisu. Begitu juga Raffa.

Masing-masing menyepi. Hanya melayani lagu yang dipasang itu.

_

“RAF…” Qistina menoleh.

Raffa balas dengan kerlingan sekilas. Terus-terusan melihat telefon pintarnya dalam pegangan.

“Hmm?”

“Bila kita nak studi sama-sama?”

Buat ke sekian kalinya Qistina bertanya. Dia lihat Raffa macam takde buat apa pun. Dia fikirkan mereka keluar dekat-dekat saja. Rupanya habis merata Raffa bawa dia berjalan menaiki kereta. Sebelum akhirnya Raffa putuskan untuk menyinggah di Taman Tasik Titiwangsa.

Qistina memerhati ke sekelilingnya itu. Kebanyakan mereka yang datang ke situ dengan niat untuk berjoging. Maklumlah suasana masih lagi pagi. Belum lagi menginjak ke waktu tengah hari.

Raffa sengaja membawanya ke situ. Hanya melihat pemandangan saja. Hendak kata berjoging pun tidak. Dia lihat Raffa tidak berpakaian sukan pun. Dia pun tidak faham kenapa Raffa membawanya ke taman tersebut. Hendak protes lebih-lebih pun tak guna. 

Dia keresahan sejak tadi.

Nampak benar yang Qistina tidak biasa. Buku rujukan yang dipinjam itu dia keluarkan, lalu meletaknya di atas meja. Agak tenang sebaik dia menikmati pemandangan semula jadi di depan mata. Bukan main leka dia memandang tasik itu. 

Sempatlah dia meneliti sekejap nota yang ditulisnya. Cuba memahaminya sehingga dia boleh terleka sejenak.

"Kau ni baguslah." Kata Raffa.

Qistina angkat muka. 

"Dekat sini pun kau boleh fokus ya?" 

"Hmm... Ha'ah."

"Kalau akulah... Jangan harap." akui Raffa.

Qistina malas hendak melayan. Dia teruskan pembacaannya itu semula.

Raffa berdeham.

“Hah, barulah nampak okey sikit,” tegurnya.

Qistina mengalih pandangannya itu.

“Apa yang okey?” tanyanya.

“Kau tulah…”

Raffa tersenyum herot. 

Telefon pintarnya itu diletak bersebelahannya. Renungannya tepat ke muka Qistina. Barulah Qistina nampak berminat nak teruskan perbualan dengannya. Kalau tidak... hai, entahlah.

Bukan Qistina hairan sangat pun. Itulah yang membuatkan kenapa Raffa kian selesa. Qistina berbeza benar dengan kebanyakan gadis yang dia kenali. Qistina begitu selesa menunjukkan siapa dirinya yang sebenar tanpa perlu berpura-pura pun. Bebas menjadi dirinya. Raffa tahu yang diri Qistina sememangnya begitu.

“Risau tak bertempat. Tak syok ke berjalan dekat luar? Atau, kau tu jenis yang bukan kaki jalan. Memerap aje dalam bilik? Macam tu?” sambungnya.

Qistina menjeling. Langsung tidak menjawab pertanyaan itu. Namun, harus diakui dalam hatinya yang benar seperti kata Raffa itu. 

Rasa tenang pula sebaik mengambil angin di luar. Melihat pemandangan baru selain suasana dalam kampus. Kuranglah sedikit tekanannya. Cuma dia saja yang malas hendak meluahkan.

“Kalau dah macam ni, memanglah tak jadi nak studi.” Katanya seraya menutup buku yang dibelek-beleknya tadi.

Raffa gelak.

“Siapa kata aku nak ajak kau studi? Ada ke aku cakap macam tu masa mula-mula ajak kau keluar?” sengihnya.

“Hisy… Awak ni, kan…” Qistina menggerit gigi.

“Hah, apa dia?”

Raffa menahan senyum. Tak lepas dia memerhati gelagat Qistina. Qistina melemparkan jelingannya.

“Baik. Tapi… Lepas pada ni kita kena studi tau. Saya tak kira dah. Awak bagilah berjuta alasan sekalipun. Saya tetap nak kita proceed dengan group discussion tu. Kalau boleh…”

Qistina memikirkan sesuatu sambil Raffa sibuk memerhati.

“Dah kena buat research daripada sekarang. Malas nak tangguh-tangguh sampai nak dekat tarikh submission, barulah terkial-kial nak buat itulah… Inilah… Susahlah nanti,” ucap Qistina.

Kebiasaan yang dilakukannya memang begitulah. Setiap kali nak memulakan semester baru, dia akan bersiap sedia sejak dari awal lagi.

“Sekarang? Nak kena research dah?” ulang Raffa.

Qistina balas dengan sekali anggukan.

“Relakslah. Sem pun baru aje nak mula. Kan lambat lagi." Raffa berkata dengan muka biasa.

“Apa awak kata?”

Qistina terkebil-kebil memandang Raffa. Kemudian dia melihat Raffa berdiri dari bangku itu. Berjalan ke depan sedikit. Raffa menggeliat ke kiri dan ke kanan. Meletakkan kedua-dua tangan ke belakang kepala, meregangkan ototnya itu. Setelah itu dia menjatuhkan tangannya ke sisi.

Qistina seakan terpaku sejenak. 

Raffa berpusing semula menghadap Qistina. Anak mata hitam pekat itu Qistina pandang. Serta-merta dia teringatkan kejadian di tangga tempoh hari. Debaran itu masih lagi terasa sampai ke hari ini. 

Dia segera melarikan pandangannya itu ke tempat lain. Mujurlah Raffa tidak mengesyaki apa-apa. Raffa menghampirinya semula.

“Lupa aku nak tanya. Kau dah sarapan?”

Qistina menggeleng perlahan. Manalah dia sempat tadi. Bersiap pun dalam keadaan tergesa-gesa. Cumanya dia ada merancang hendak singgah membeli roti sandwich di kafe tanpa mengetahui langsung yang Raffa sedia menunggunya di kolej. Air mineral dia sudah isi dalam botol. Disimpan siap-siap di dalam begnya itu.

“Ermm… Belum.” Dia membalas kekok.

Tak menunggu lama, Raffa berlalu ke keretanya. 

Qistina kehairanan.

“Awak… err…” Katanya itu terhenti.

Lekas dia berkemas sebaik melihat kelibat Raffa yang semakin menjauh. Dia memasukkan semula buku rujukan ke dalam tote bagnya itu, cepat-cepat mengekori langkah Raffa.

*Jangan lupa untuk follow Facebook Amyra Aimi.

Thanks for reading.