Karya terbaharu pada tahun 2021. Manuskrip ke-4 yang masih di dalam proses menaip sekarang ni. Ini merupakan draf pertama iaitu, mula-mula sekali ianya ditulis. POV pertama sudah ditukar kepada POV ketiga. Saya masih kekalkan part yang asal.

Cover image from Unsplash

Bab 1 

AKU melepas pandang ke satu sudut. Sebuah meja yang diduduki seseorang. Lelaki itu seperti sedang menanti kemunculan seseorang... kawan, mungkin. Entahlah, aku tak pasti.
Yang membuatkan aku tertarik kerana, bibirnya tak lekang senyum kepadaku. Aku membalas tanpa segan silu. Tak pernah aku balas senyuman mana-mana lelaki tak dikenali. But, this one is exceptional.
Senyuman yang aku kira manis dan menawan, bibir merah semula jadi dan wajah yang bersih tanpa kumis. Nampak matang walaupun dia masih dalam kategori muda. Lebih berusia dari aku agaknya. Bagiku, lelaki memiliki sifat kematangan yang sentiasa menarik perhatian segelintir wanita tatkala usia sudah mencecah 30-an dan ke atas. Dia berkemeja biru gelap tanpa corak dan berseluar slek hitam.
Aku pandang hujung matanya. Ada sedikit kedut. Garis halus kelihatan tatkala bibir mengukir senyum kecil. Type lelaki yang aku suka. Itu tidak aku nafikan.

Kami tidak saling mengenali. Ini pertama kali aku melihatnya di sekitar apartmen yang boleh dikatakan agak mewah ini. Di kafe ini. Kafe yang letaknya di ground floor.

Orang kata, jangan menilai seseorang melalui penampilan luaran saja. Kena lihat dari pelbagai sudut. Itu juga aku tak nafikan.

Aku, Nelydia Irene, hanya gadis normal yang tak mampu menolak untuk terus memandang wajah yang bagiku menarik perhatian sepasang mata ini... untuk terus melihat lagi dan lagi. Bukannya aku tak pernah berjumpa mana-mana lelaki kacak. Tetapi... nak kata dia terlalu kacak pun bukan. Dia lelaki yang berpenampilan sederhana menurut pandanganku.

Aku berkalih sebaik dia memandang. Berpura-pura mengacau secawan latte. Tak mahu dicop perempuan gatal atau pervert.

Lukisan potret besar di atas kanvas yang menghiasi dinding di belakang tempat dia duduki itu aku pandang. Audrey Hepburn. Bergaya seksi dengan kata-kata tertulis di bawah gambar.
'Opportunities don't often come along. So, when they do, you have to grab them.'
Aku sememangnya mengagumi kecantikan Audrey Hepburn. Beliau sememangnya wanita bergaya sofistikated.

Bagaimana aku menilai diri lelaki itu, biarlah hanya aku saja tahu.

Semua orang takkan menolak pendapat yang mengatakan first impression itu penting. Bukan hanya sekadar itu. Aku seperti telah jatuh cinta pandang pertama. Mungkin, ini jawapan paling tepat agaknya.
Aku jatuh hati dengan seseorang yang tak langsung aku kenali, tak pernah berjumpa di mana-mana pun sebelumnya... apatah lagi bertegur sapa. Betapa cukup mudah, aku serahkan hati ini kepada seorang lelaki yang sungguh asing bagiku.

Sebenarnya... tak mudah. Aku tak pernah mencintai sesiapa. Tak mudah untuk aku jatuh cinta. Aku hanya ada emak dan abah di kampung. Siapa aku tanpa mereka?

Kawan baik? Langsung tiada. Atau boleh dikatakan, masih belum wujud agaknya di dalam dunia aku.
Dunia aku hanya aku, mak dan abah. Kami bertiga yang berjalan di pentas ini meniti hari-hari yang aku kira, cukup mendamaikan. Menggembirakan. Aku bahagia dengan kedua-dua orang tuaku. Katalah apa sekalipun. Aku lone ranger sejak di alam universiti. Senang bergerak ke sana sini tanpa sesiapa. Kawan sekolah paling rapat pun sudah berkahwin dan berkeluarga. Malas aku nak ganggu urusannya.
Mungkin peneman setia yang aku ada sekarang ialah buku. Selalu dikelilingi bahan ilmiah tersebut baik di rumah atau tempat kerja.

Cuma semalam... aku salah faham dengan abah sekali lagi. Topik berkisar pada hal yang sama itu.
Aku berkali-kali menolak cadangan abah supaya mengikut jejaknya sebagai peguam. Aku sedar yang aku sudah kecewakan abah. Maafkan aku, abah.

Aku tak mampu memaksa diri supaya meminati sesuatu bidang atau perkara yang tak disukai. Bidang perundangan bukanlah satu bidang yang sekian lama aku ingin ceburi. Aku tidak seperti abah.
Abah, peguam yang sangat baik bagiku. Selalu menolong orang lain yang betul-betul susah. Dianiaya. Dicabuli haknya. Tersepit dengan kehidupan serba mencabar. Aku tak mampu menjadi seperti abah. Aku takut akan kecewakan hati ramai manusia tak berdosa. Sebab itulah aku menolak sejak awal untuk menjadi peguam.

Lelaki itu berdiri dengan penuh yakin dan bergaya. Melirik ke arah jam di pergelangan tangan. Telefon pintar di atas meja dicapainya. Sebelum dimasuk ke dalam poket seluar. Aku memandang sekilas. Cawan berisi kopi panasnya tak berusik langsung.

Dia mahu balik dah ke?

Hatiku tertanya-tanya. Tangan yang menongkat dagu sejak tadi aku jatuhkan. Sempat aku betulkan kaca mata. Agar elok terletak. Kaca mata yang menjadi satu-satunya hiasan peribadiku sejak dulu. Bentuk muka yang tak terlalu bulat dan tak terlalu bujur. Emak siap pernah memuji dulu semasa menemaniku pergi memilih kaca mata. Katanya, cukup kena dengan bentuk mukaku. Comel. Aku fikir yang ibu mana tak mahu memuji anaknya sendiri?

Aku mahu bertanya sesuatu. Dia mahu bertemu siapa sebenarnya? Adakah dia baru berpindah ke sini? Apa yang membuatkan dia berada di sini? Mukanya tidak familiar.

Ayunan langkah kakinya serentak dengan irama lagu jazz nyanyian Jamiroquai yang kedengaran memenuhi suasana kafe. Semakin aku kagum. Pergerakan cukup kemas. Tak terlalu laju atau terlalu lambat. Penuh bergaya seperti Vincenzo Cassano, hero cerita Korea yang aku tonton.

Sebaik dia melintasi meja, aku bagai terbuai dengan haruman pewanginya. Tak terlalu kuat baunya. Apa pewangi yang dia pakai agaknya.

Susah aku nak meneka kerana aku tidak begitu tahu jenama minyak wangi lelaki yang trending di pasaran. Kecuali yang abah pakai. Jenamanya biasa-biasa saja yang dibeli di depan masjid walaupun, abah lebih layak memakai jenama terkenal. Bersesuaian dengan status abah yang bekerjaya hebat.
Lelaki itu tak langsung memandang. Terus berlalu pergi begitu saja. Aku kini sendirian di kafe. Tiada lagi... charming face and that killer smile. Atau haruman perfume mahal itu. Yang membuatkan aku terbuai.

Aku kembali semula ke duniaku. Dunia khayalan.

Alangkah bagusnya kalau aku ada seorang kawan ketika ini. Menemani berbual atau bergelak tawa. Paling bertuah andai lelaki itu sanggup meninggalkan mejanya sendiri menuju ke arahku. Dengan muka yang penuh minat. Tersenyum sambil menegur. Lantas memperkenalkan dirinya kepadaku. Cukup gentleman.

Duduk menghadap satu sama lain. Berkenalan dan berbual sejenak. Bolehlah aku bertanya tentang persoalan yang bermain di dalam benak tadi. Sebelum pulang, kami bertukar nombor telefon yang mungkin boleh dihubungi.

Sungguh! Aku rasakan itu semua mustahil. Tak mungkin berlaku. Cuma aku tetap percaya segalanya boleh berubah dengan kuasa Tuhan Yang Maha Esa.

Dan siapa aku mahu meminta lebih?

Kata-kata yang terpamer pada lukisan Audrey Hepburn aku lihat dan terjemahkan. Cuba memahami maksudnya. Aku semakin kecewa... peluang itu satu-satunya telah pun terlepas.

Aku sekali lagi telah melepaskan peluang yang mungkin, hanya datang sekali saja seumur hidup. Lelaki itu... mungkin takkan kembali lagi ke kafe ini. Mukanya mungkin hanya sekali saja dilihat.