Sudah Aku Mengerti
ALYA menuruni satu per satu tangga. Lif rosak pula. Terpaksalah dia menggunakan tangga kecemasan menuju ke ground floor. Perut mula berkeroncong. Dia melihat jam di pergelangan tangan.
Sudah masuk waktu petang rupanya. Salah dialah kerana terlalu fokus dengan kerja. Sampai boleh terlupa nak makan. Bersarapan dengan roti yang dibawa tadi pun tidak sempat. Dia cuma sempat minum Nescafe panas.
Alya berlalu ke beberapa buah gerai di sekitarnya. Betul-betul menghadap pantai. Angin laut yang bertiup membuat hatinya tenang. Tudung yang dipakai turut ditiup angin. Alya membetulkan tudungnya.
Alya suka dengan suasana di situ. Bersyukur kerana suasana tempat kerja yang tenang dan nyaman, membuatkan dia tidak pernah terfikir nak mencari peluang pekerjaan di ibu kota. Tidak seperti kebanyakan kawan yang tinggal sekampung. Dia buat kerja yang dia minat.
Alya bersama kawan-kawan akrabnya iaitu Asyraf dan Isma memiliki minat yang mendalam dalam aktiviti lasak. Usianya lebih muda daripada mereka. Namun, ia bukanlah penghalang kepada hubungan rapat itu.
Asyraf dan Isma sebaya. Berusia 29 tahun. Dia pula muda tiga tahun. Mulanya, Alya memanggil Asyraf dan Isma dengan panggilan yang lebih dihormati. Mereka saja yang tidak mahu. Lebih selesa beraku, kau.
Alya menganggap nature kerja mereka begitu. Lasak dan proaktif. Alya lebih mahu menumpukan sepenuh perhatian dan dedikasi terhadap kerjanya. Dia tidak kisah pun berapa gaji yang diterima. Kerja dilakukan dengan seikhlas hati.
Mata Alya terpaku di satu sudut. Itu lelaki semalam. Lelaki itu turut perasankan dirinya.
Lelaki itu turut memandangnya. Atas bawah dipandang. Dia tahu lelaki itu tak bermaksud pun nak menggatal. Mungkin berfikiran sama sepertinya. Cuma dialah yang tak selesa dengan cara pandangan itu.
Belum pernah dia melihat lelaki ini. Mungkin sama tujuannya seperti kebanyakan pelancong asing yang berkunjung ke tempat ini.
Hati bagai ditarik-tarik. Meronta untuk melihat gelagat lelaki tadi. Dia bersama dua lagi wanita Inggeris yang berkepit di kiri dan kanan, sebelah tangan sibuk merangkul pinggang salah seorang antara mereka.
Kedua-dua perempuan berambut perang itu cukup seksi. Berkain corak batik yang mendedahkan sebahagian paha dan berbaju tanpa lengan. Rambut mereka beralun ditiup angin. Mereka cukup mesra sambil bergelak ketawa.
Sebaik mata mereka bertembung, Alya cepat-cepat melarikan pandangannya.
Dia tidak mengendahkan situasi yang baru dilihatnya. Yalah, logik juga. Sebab mereka non-Muslim. Aksi sebegitu sudah biasa dilihat. Alya terpaksa sorokkan rasa tidak sukanya.
Nak kata benci itu tidaklah. Pantai itu jadi tercemar dengan pemandangan sebegitu. Tak senonoh. Itu yang dia tak suka.
Sedangkan dia menyukai keindahan pemandangan semula jadi yang tak berusik. Tak dicemari langsung baik dengan sampah sarap atau kegiatan tak bermoral.
Dulu tidaklah begini. Semasa pantai tersebut belum menerima kunjungan pelancong keturunan mat salih. Sejak akhir-akhir ini jumlah tersebut semakin bertambah.
Alya menghampiri sebuah gerai.
"Kak, bagi keropok lekor lima ringgit."
Wanita itu mengangguk.
"Makin ramai orang putih yang datang bercuti dekat sini. Bukan orang kita aje. Betul tak, dik?"
Mereka berbalas senyum.
"Bila dah ramai macam ni, moga bertambah rezeki akak," balas Alya ramah.
"Alhamdulillah, dik. Bukan akak seorang aje. Peniaga lain pun sama juga."
Rupanya, lelaki tadi turut menghampiri. Mahu beli keropok lekor agaknya. Alya mengagak.
Lelaki itu berdiri bersebelahan dengannya.
"Cuma tulah..." Alya meleretkan ayat.
Dikerling lelaki di sebelahnya.
"Kalau dah nama mat salih, bukan kira tempat nak bersosial. Kan, kak? Datang negara orang pun masih tak tahu malu. Selamba aje berpeluk. Baju serupa tak payah pakai. Seksi bukan main."
Alya juihkan mulut.
"Peliklah, diaorang fikir pantai ni sama macam pantai dekat negara orang putih sana agaknya."
"Akak dengar kat tempat mereka lagi teruk, dik. Tak pakai apa-apa langsung." Peniaga itu berkata.
Mereka menjeling lelaki asing itu.
"Ya ke, kak?"
"Biasalah tu, dik. Orang dia kan macam tu. Adab sopan tu entah ke mana. Minta dijauhkanlah kita daripada terpengaruh."
Alya mengiakan. Reaksinya jengkel.
Alya perasan lelaki itu masih tercegat di sebelahnya. Ah, dia bukan faham pun cakap Melayu. Apa yang aku cakap dengan akak ni, nak kisah apa?
Langsung tidak diendahkan lelaki itu.
Setelah membayar harga keropok lekor, Alya hendak berlalu pergi. Namun, lelaki tadi memanggilnya. Alya kehairanan.
Hisy, takkanlah mat salih ni nak mengamuk dengan aku kut? Jangan-jangan, dia faham tak aku mengumpat dia tadi dengan akak tu. Tak mungkin...
Buat-buat tak dengar sajalah.
Lelaki itu memanggil lagi. Alya berpusing.
"Wait." Lelaki itu mendekati.
"You dropped this."
Dompet yang berada di tangannya diserahkan kepada Alya.
Alya agak terkejut. Berubah mukanya. Dompet dia tercicir rupanya.
Lelaki itu memandangnya. Lambat-lambat, Alya mengambil huluran dompet itu. Nak tak nak saja dia memandang.
"Thank you."
Lelaki itu membalas.
Terbantut niatnya mahu terus berprasangka. Serba salah pun ada.
Tetapi, dia tetap tidak suka dengan budaya sosial mereka. Itu tak mampu dinafikan. Lagi boleh mengelak, dia akan mengelak sejauh mungkin daripada ada apa-apa kaitan dengan bangsa mereka.
Lelaki itu mengambil huluran plastik keropok lekor yang dibelinya. Dia membayar harganya dengan muka biasa.
Tanpa menunggu lama, lelaki tersebut terus berlalu. Dua perempuan tadi tersenyum sebaik melihat lelaki itu mendekati mereka.
Alya termangu di situ. Sengaja dia berjalan lambat-lambat. Tak lepas matanya memerhatikan mereka bertiga yang menuju ke sebuah resort. Tak jauh sangat pun dengan bangunan tempat Alya bekerja.
Lelaki tadi menghentikan langkah dan berkata sesuatu kepada mereka. Dia berpatah balik. Cuma lelaki itu seorang. Dua perempuan itu pula menunggu di tepi jalan.
Alya terpinga-pinga sebaik dihampiri. Alya mendongak pandang lelaki itu.
"Do you know how to get to Perhentian Island?"
"Ermm..."
Senyuman yang menghiasi wajah kacak itu menjadikan Alya terpaku sekejap. Mulut lelaki itu tengah mengunyah gula-gula getah.
Alya tidak pasti lelaki ini datang dari mana. Tetapi, gayanya itu gaya mat salih. Macam kacukan pun ada. Berhidung mancung dengan rambut hitam yang sedikit kecoklatan. Rambutnya agak tak kemas kerana ditiup angin laut. Santai berbaju lengan pendek, berseluar paras lutut dan bersandal.
"Those girls asked. I really need your help. Hope you don't mind."
Alya geleng kepala.
"Do you speak English?"
Lelaki itu sabar menanti.
Alya dihambat serba salah. Bukannya dia tak faham, nak merangka ayat dalam bahasa itu yang payah. Itulah kekurangannya. Bibir bawahnya digigit.
Lelaki itu masih tercegat di depan Alya. Dipandang gadis itu yang nampak macam blur pun ada. Mungkin dia boleh bertanya sahaja dengan receptionist. Dia fikir tadi, gadis ini boleh membantu.
"Never mind." Dia berkata.
"Sorry?" Alya kurang jelas.
Lelaki itu hanya tersenyum.
Alya jadi malu. Entah apalah yang difikirkan agaknya.
Lelaki itu berlalu pergi tanpa bersuara.
Post a Comment
0 Comments