Sudah Aku Mengerti

https://amyraaimi.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim...

Novel ke-3 terbitan Dear Novels yang bakal muncul di pasaran. Selamat membaca dan terima kasih buat pembaca yang sentiasa menyokong penulisan saya tanpa jemu.

Semoga sama-sama beroleh manfaat. Insya-Allah. Nantikan keluaran novel terbaharu ini di pasaran pada April 2021. Jemput baca teasers yang ada di blog ini. 

Lots of love,

Author.


Bab 1

MICHAEL memandang sekumpulan kawan-kawannya yang hanya berseluar pendek tanpa berbaju. Mulut sibuk mengunyah gula-gula getah. Masing-masing berseronok di tepi kolam renang meraikan sebuah parti. Bergelak ketawa dalam suasana riuh-rendah dan penuh gamat. Muzik jazz menjadi latarnya. 


Salah seorang daripada mereka mendekati, menepuk bahunya. Sengihan menghiasi muka kacaknya. Mempamer barisan gigi yang putih. Genggaman tangan yang dihala ke arahnya turut dibalas. Gaya fist bump. Cukup mesra.


"You're okay, dude?"


"I'm fine." Michael berbohong.


Ini semua pengubat duka yang sengaja disembunyikan. Senyumnya pura-pura. Hanya dia sahaja tahu apa yang sedang bermain dalam fikirannya.


Belum sempat perbualan diteruskan, telefon pintar di dalam poket seluar paras lututnya berbunyi. A video call. Senyuman melebar. Dikerling kawannya yang masih berada di sisi. 


"I'll catch you guys later okay?" Dia memberi isyarat dengan menunjukkan telefon pintarnya itu.


"Sure."


Panggilan itu dijawab sebaik kawannya terus berlalu.


Muka seorang lelaki yang cukup dikenali terpamer pada telefon pintar, menjadikan senyumannya kian lebar. Mana tidaknya, sudah agak lama mereka tidak bertemu. Hanya kerap berhubung di Facebook. 


Jarang Asyraf menelefonnya. Ini tak lain tak bukan... sebab hal mustahak kut. 


"Hei."


"Kau kat mana?" tanya Asyraf.


"Hang out with my colleagues."


Asyraf mendekatkan telefon bimbitnya bersama sepasang mata yang dikecilkan. 


Michael gelak kecil dengan gelengan perlahan. Faham sangat. Asyraf pula buat-buat biasa sebaik menyedari Michael berada di mana saat itu.


Michael bersama kawan-kawannya, baik lelaki dan perempuan nampak tengah bersuka ria di tepi kolam renang. Meriah suasananya. 


Sakit mata Asyraf melihat beberapa gadis berbikini dan lelaki berseluar pendek yang bergaul bebas menjadi latarnya ibarat sedang menonton movie Hollywood. Aurat entah ke mana. Semua mat salih bercampur dengan beberapa bangsa berkulit hitam. 


Dia juga yang pilih mahu video call. Sendiri tanggunglah. Terlihat pula tayangan percuma itu. 


Asyraf ambil peluang menghubungi Michael yang merupakan adik angkatnya sebaik habis bermesyuarat tadi. Sebelum ini, mereka lebih banyak berbalas e-mel. Dia mahu tahu berkenaan janji mereka yang berbulan-bulan tertangguh akibat kesibukan masing-masing.


"Hey, babe."


Seorang gadis menghampiri dengan lenggok menggoda. Menghenyak punggung di sisi Michael dengan senyuman. Michael hanya membiarkan. 


"Kau berparti lagi?" 


"Yes." Michael beraut nakal. 


"Kawan aku ajak makan-makan di rumahnya," sambung Michael.


Asyraf bermuka biasa. Mujurlah gadis tersebut elok berbaju dan berseluar. 


Apabila sudah berkumpul ramai-ramai begitu, sekilas pandang pun Asyraf tahu. Dari segi luaran, Michael tak jauh berbeza daripada kawan-kawannya walaupun berdarah kacukan. 


"Siang malam berparti apa kau dapat?" Setepek Asyraf bagi. 


Michael macam biasalah, tahu gelak sahaja. Dia bukannya ambil serius pun. Ada ketikanya dia serius, ada kalanya tidak. Nampak lebih kepada nak main-main sahaja. 


Bab perempuan lagilah. Tiada istilah serius bagi Michael.


"Do I need reason to have fun?" Selamba Michael membalas. 


Dia sudah terbiasa dengan gaya hidup begitu. Dari zaman remaja hingga masuk ke alam kolej. Kini, dia sudah menginjak dewasa pun. 


Ini sebahagian daripada budaya mereka. Dia tak mampu mengelak, terutamanya setiap kali dipelawa kawan-kawannya yang semuanya bukan beragama Islam. 


Lainlah kalau Asyraf ada. Mungkin terkawal sedikit perlakuannya.


Semenjak abang angkatnya berpindah semula ke Malaysia atas urusan kerja, dia benar-benar merasai kehilangan. 


Asyraf katalah apa sekalipun, dia tahu apa yang dia lakukan ini tidak salah. Sekadar bersuka ria. Apa masalahnya? 


Lagipun, tujuannya mahu meraikan salah seorang kawannya yang bakal mendirikan rumah tangga tak lama lagi. Atau dipanggil bachelor party.


Gadis itu merengek. Ingin mengajak Michael berbual tanpa mengendahkan perbualan Michael bersama Asyraf. 


Michael agak rimas. Dikerling gadis di sebelahnya.


"Bro, hold on for a second."


Michael membisikkan sesuatu di telinga gadis itu. Entah apalah butir bicaranya. Tak langsung diketahui Asyraf. 


"Fine."


Gadis itu memasamkan mukanya dan berlalu. 


Michael bermuka beku, langsung tidak terkesan apa-apa. Dia kembali menyandar pada kerusi.


"Kau cakap apa tadi?"


"Aku reject dia." Michael senyum herot. 


"Aku fikir itu girlfriend baru kau."


"Aku pun tak kenal dia tu siapa." Michael jawab selamba sambil meneguk minumannya.


Asyraf terdiam. Nampak Michael seperti tidak kisah. 


"Bila kau pelan nak datang Malaysia?" tanyanya.


Michael beritahu dia bakal datang atas urusan mustahak. Michael perlu membawa mamanya menjalani rawatan pembedahan di sebuah hospital di Malaysia. Mamanya sudah lama menghidap penyakit tumor di pangkal rahim.


"Next week." Michael menjawab. Hambar suaranya.


"Jangan tertinggal flight sudah." Asyraf sengih.


Michael geleng kepala. 


"Jangan lupa rancangan kita tu." Asyraf mengingatkan. 


Gaya Michael seperti terpaksa. Dia tahu, Michael malas nak menjejakkan kaki ke Malaysia. Gara-gara ada kaitan dengan kisah lalunya. Kisah lama yang cuba dilupakan. Kalau boleh, Michael tidak mahu ada apa-apa kaitan langsung dengan Malaysia.


"Kau tahu kan, aku tak berapa minat nak pergi sana. Satu-satunya negara Asia Tenggara yang paling aku tak suka nak travel. Dahlah jauh gila," keluh Michael. 


Fasih pertuturannya.


"Itu alasan kau aje. Kan? Baik kau terus terang." Asyraf meneka.


Terbit keluhan Michael sekali lagi. 


"Pasal rancangan kita tu, aku setujulah."


"Habis tu? Apa yang buat kau berat hati sangat nak datang Malaysia?" Asyraf menebak.


"Ini pun sebab mummy aku yang beria-ia."


Asyraf terdiam. Dia membuka mulut semula.


"Kali ni, aku nak kau tinggal lama sikit."


Gelengan itu dipandang.


"Aku balik US once rawatan mummy aku dah settle," putus Michael.


Dia mana boleh berlama-lama di negara orang. Walaupun kerja di syarikatnya itu boleh sahaja ditinggalkan kepada pak ciknya, Ben, untuk menguruskannya, dia tetap takkan berlama-lama di Malaysia. Mustahil baginya. 


Nak jejakkan kaki ke situ pun dia malas, inikan pula nak berlama-lama. 


Michael sebolehnya mahu mengelak daripada bertemu dengan seseorang itu. Seseorang yang sekian lama cuba dilupakan.


Michael bernasib baik kerana masih ada seorang ibu dan bapa saudara yang bertindak sebagai ayah. Mereka orang paling penting dalam hidup Michael. Mengenangkan derita penyakit yang dihidapi mamanya, dia berusaha melawan rasa duka itu. 


Michael teringat sesuatu. "Can we meet as soon as possible?" 


Michael angkat kening seraya meneguk minumannya di dalam cawan merah.


Asyraf membalas. "No big deal."


"Apa-apa hal, kau beritahu aku," pesannya.


"Alright."


Asyraf memegang dagu. Agak lama dia terkenangkan perbualan mereka. Harap-harapnya, urusan Michael dipermudahkan. 

Post a Comment

0 Comments