Benar Kucinta Dia
Bab 2
RAYSA menjerit
lantang. Mulutnya ditekup lagi. Kali ini lebih kasar. Raysa meronta lebih kuat,
tapi gagal. Ternyata dia tidak mampu menandingi kekuatan lelaki itu.
Kedua-dua pergelangan tangannya dibawa
ke atas kepala dengan begitu mudah oleh tangan kanan lelaki itu. Manakala
tangan kirinya pula menekup mulut Raysa.
Wajah mereka begitu hampir sekali hingga Raysa
dapat dengar desah nafas lelaki itu.
“Aku akan lepaskan kalau kau diam.
Faham?”
Raysa masih tidak membalas.
“Faham?!”
Jerkahan lelaki itu mengejutkannya.
Laju Raysa angguk kepala.
“Ingat, kalau kau cuba jerit, tahulah
aku nak buat apa.”
Raysa mengangguk lagi.
Tangan lelaki itu dijatuhkan dengan
perlahan ke sisinya.
Mereka berlawan pandang. Sedikit
sebanyak gerun juga Raysa. Buatnya lelaki itu pembunuh bersiri ke, perogol ke,
tidak ke naya dia nanti?
Malam semakin gelap. Dia mulai takut
dengan suasana sunyi sepi di lorong yang sempit itu. Hanya mereka berdua sahaja
di situ.
Raysa tahu, saat ini mustahil ada
pejalan kaki akan melalui lorong
itu. Melainkan penagih dadah atau gelandangan yang hidupnya merempat di
tepi-tepi lorong gelap seperti itu.
“Kau nak apa hah, orang gila?”
Senyum sinis terukir di bibir lelaki
itu.
Raysa terpanar seketika. Ada lesung
pipit di pipi kanan lelaki itu.
Dia pelik. Melihatkan rupa paras lelaki
itu dengan ketinggian seperti model, macam tidak sesuai saja bekerja sebagai
pembuat air di kedai makan.
Huh, Raysa buat tak nampak semua itu.
Apa yang dia tahu, dia jijik dengan lelaki itu.
Lelaki yang dirasakan tidak setaraf
dengan dirinya!
“Mulut kau memang jenis puaka eh? Atau
sejenis dengan longkang?”
“Aku cakap macam ni bila jumpa dengan
orang gila macam kau aje.” Raysa membalas kasar.
“Aku nak ajar kau macam mana nak
hormatkan orang lain.”
Raysa menelan air liur yang tersekat di
kerongkong.
“Tapi aku tak rasa pun yang kau
berminat dengan apa yang aku nak ajar. Sebab perempuan macam kau ni memang tak
layak diajar.”
“Woi! Aku sikit pun tak hairanlah
dengan orang gila macam kau. Dahlah gila, miskin pulak tu. Kau tak perlu ajar
akulah.”
Kedua-dua pipi Raysa terus dipegang
kuat oleh lelaki itu. Tubuh lelaki itu semakin menghimpitnya.
“Kau... kau nak... buat... apa ni?”
“Aku nak tunjuk dekat kau apa yang
orang gila ni boleh buat.”
Muka lelaki itu kian menghampirinya.
Raysa meronta lagi. Dia makin takut dan resah. Adakah lelaki itu mahu
memperkosanya?
“To... long... lepaskan aku...”
Rambutnya ditarik ke belakang. Raysa
menyeringai kesakitan. Dia menolak tubuh lelaki itu yang
menghimpit tubuhnya. Namun, tindakannya itu hanya sia-sia. Tubuh
lelaki itu langsung tidak berganjak.
“Tolong... lepas... kan. Aku... minta
maaf.”
Raysa bersuara terketar-ketar. Air
matanya sudah mengalir membasahi pipi.
“Kenapa? Kau takut dengan orang
gila ni ke?”
Lelaki itu masih tidak mengendahkan
rayuan gadis itu. Tangan yang cuba memukul dadanya dipegang kejap.
Jantung Raysa berdegup kencang. Saat
ini dia rasa menyesal dengan keceloparan mulutnya. Dia tidak menyangka lelaki
itu akan bertindak di luar jangkaan.
“Please... Tolong jangan
apa-apakan aku. Aku merayu.”
Raysa sudah teresak. Dia pejam mata saat
bibir lelaki itu kian menghampiri bibir merahnya. Namun, tiada apa-apa yang
berlaku. Tangannya yang dipegang kejap, dilepaskan.
Raysa membuka mata. Dia melihat lelaki
itu berundur setapak. Mata lelaki itu masih tajam menikam wajahnya.
“Nah, ambil semula duit kau ni.”
Sehelai not merah sepuluh ringgit
dilempar ke wajah Raysa.
Raysa tercengang. Duit kertas itu
melayang lalu jatuh ke tanah.
“Mungkin aku hilang kerja aku. Tapi aku
takkan biarkan harga diri aku turut hilang. Aku tak perlukan duit kau tu. Kau
boleh simpan, perempuan. Aku dah bayar harga minuman kau yang murah tu dengan
duit gaji aku yang terakhir.”
Lelaki itu menarik hudnya menutupi
sebahagian wajahnya.
“Aku tak peduli kalau kau nak buat
laporan polis atas perbuatan aku tadi. Semoga kita tak berjumpa lagi.”
Terus kakinya melangkah dari situ tanpa
berpaling lagi.
Raysa hanya memandang tubuh lelaki itu
menghilang di sebalik bangunan kedai yang usang. Dia terasa sesuatu dengan
kata-kata lelaki yang tidak dikenali itu.
FAREEZ merenung siling bilik yang dihuninya.
Ruang kecil yang hanya menempatkan tilam yang sudah lusuh, bantal dan sejadah.
Tiada perabot lain. Malam ini merupakan
malam terakhir dia bermalam di sini.
Bilik ini merupakan bilik sewa yang
dihuni sejak dia bekerja di
kedai makan Pak Daud. Ia berada di tingkat atas kedai makan itu.
Sejak tiba di sini, sudah
bermcam-macam pengalaman yang dilalui. Tidak pernah dia mengalami situasi
seperti sekarang. Dibuang kerja kerana hal remeh seperti itu.
Apakan daya, majikannya lebih berhak
memutuskannya.
Dia keluar sekejap
untuk menenangkan diri. Serabut memikirkan masalah yang melanda.
Dia perlu mengumpul duit semula. Untuk
menyewa di tempat lain dalam pada baru sahaja dibuang kerja adalah mustahil.
Gajinya sudah habis. Di mana agaknya dia
mahu tinggal menyewa selepas ini?
Barangkali dia terpaksa hidup merempat
di luar. Hanya buat sementara waktu.
Fareez menyelusuri sebuah jambatan di
ibu kota lewat malam itu. Walaupun jam sudah hampir ke pukul 12.00 tengah
malam, bandar raya KL masih tidak lengang dan sepi.
Kakinya melangkah lagi. Menuruni satu
per satu anak tangga.
Langkahnya terhenti. Dia memandang
seorang lelaki berbaju kotor dan koyak, berseluar pendek paras lutut. Ada
sebatang tongkat diletakkan bersebelahan dengannya.
Lelaki itu hanya duduk beralaskan
sehelai surat khabar lama.
Sesuatu bermain dalam fikirannya. Bukan
dia seorang sahaja yang hidup susah. Rupanya masih ada lagi orang yang hidup
jauh lebih susah. Kudratnya masih kuat. Masih mampu bekerja tanpa mengharapkan
belas ihsan orang lain.
Lelaki itu dihampiri. Dia menyeluk
poket jean. Diletakkan sekeping duit kertas yang tidak seberapa itu di tangan
lelaki tersebut. Lelaki itu berterima kasih kepadanya. Dia balas dengan
senyuman.
Kini, dia sudah hilang satu-satunya
pekerjaan yang paling diharapkan untuk menampung hidup sehariannya. Semuanya
gara-gara perempuan itu.
Dia mungkin tidak sekaya perempuan itu
atau sesiapa. Dia mungkin tidak punya apa-apa. Dia bukanlah seorang ahli
perniagaan ternama, jutawan, anak Dato’ ataupun Tan Sri.
Cuma satu saja yang dia ada. Fareez
masih punya maruah diri. Tidak ada sesiapa pun yang dibenarkan memijak
maruahnya.
Inilah realitinya.
Fareez merenung jauh. Esok dia akan
berusaha mencari kerja lain pula. Mujurlah dia diberi tempoh kerja selama seminggu
lagi di kedai makan atas belas ihsan majikannya tadi.
Post a Comment
0 Comments