Kupilih Hatimu (Teaser)


Teaser Bab 3

"SAH! Aku rasa memang betul tempat ni."
Raihana berdiri di depan sebuah bangunan yang sederhana gahnya di antara bangunan yang ada di sekelilingnya. Tak berkelip matanya memandang. Dipandang lagi aplikasi Google Maps di tangannya dengan dahi berkerut.
Kalau tak silap, memang inilah Takeshi Design Studio yang pernah disebut Harraz dulu. Terletak di Ginza, berhampiran dengan sebuah pusat beli-belah terkemuka.
Ya, dia pergi berjumpa Harraz sekali lagi. Lelaki yang cuba dielaknya sebelum ini.
Bangunan tinggi berpuluh tingkat itu dipandang lagi oleh Raihana dengan rasa berbaur. Tidak pasti apakah betul tindakannya itu. Dia tidak ada nombor telefon Harraz, jadi sukar untuknya menghubungi lelaki itu.
Mujurlah dia masih ingat Harraz ada menyebut nama syarikat tempatnya bekerja sewaktu pertemuan pertama mereka di Shinjuku dulu. Sebenarnya Raihana tidak mahu mengganggu lelaki itu, tapi dia tiada pilihan.
Harraz menapak keluar dari ofisnya.
Raihana yang perasan cepat-cepat menyorok di sebalik dinding. Topeng mukanya yang berwarna putih dibetulkan. Dinaikkan ke paras bawah mata bagi mengelakkan penyamarannya itu terbongkar. Langkah Harraz diekori dengan berhati-hati.
Langkah kakinya semakin laju. Tidak mahu lelaki itu perasan. Lantaklah apa hendak jadi pun. Dia sudah nekad.
Sebaik lelaki itu membelok di sebuah kaki lima, Raihana tercari-cari. Pening dirinya. Ke mana pula Harraz ni? Tadi ada di depan matanya. Tak sampai beberapa saat, lelaki itu lesap entah ke mana.
Raihana terus berjalan ke depan. Bahunya nyaris terlanggar dengan seseorang. Langkahnya terhenti di selekoh itu. Raihana memerhati sekelilingnya. Dia berpusing. Bulat matanya sebaik terpandang Harraz sedang tercegat di belakangnya sambil berpeluk tubuh. Lelaki itu merapatinya.
Raihana mula rasa berdebar. Sedar dirinya tertangkap oleh lelaki itu. Memang silap besarlah! Dia begitu yakin dirinya tidak mungkin tertangkap tadi.
"Kita pernah jumpa kan sebelum ni?"
Matanya dikecilkan. Dipandang gadis yang berjaket denim dan berkasut but hitam itu atas dan bawah.
"Kita pernah jumpa kan sebelum ni?"
Raihana diam membisu seribu bahasa. Dia memejamkan mata seketika. Ketika itulah, Harraz menarik topeng muka yang dipakai Raihana ke bawah, menampakkan seluruh wajahnya.
Berkerut dahi Harraz. Satu keluhan dilepaskan. "Hana?"
Mata Harraz merenungnya tajam.
Raihana yang tergamam terus berpura-pura. Dia mengangkat telunjuknya ke arah Harraz. Tubuh tegap lelaki itu dipandangnya dengan muka yang sengaja diceriakan.
"Eh, ini Harraz kan? Tak sangka pula kita boleh jumpa dekat sini."
"Awak ikut saya ke tadi?" Harraz menyoal serius.
Kata-kata Raihana tidak dihiraukan. Dia kembali berpeluk tubuh.
"Erm, mana ada saya ikut awak. Saya pun kebetulan lalu dekat kawasan ni."
"Kebetulan?" Lelaki itu merapatinya. 
Hai, bukan ke hari tu dia beria-ia lari daripada aku? Macam pelik pun ada perempuan ni, fikir Harraz.
"Yup, kebetulan." Raihana berundur setapak ke belakang.
Dia tidak sedap hati dengan renungan Harraz yang semacam. Harraz seperti mengesyaki sesuatu. Matilah aku.
"Awak nak apa daripada saya Hana? Mana awak tahu ofis saya dekat sini?" Harraz bertanya.
Raihana terdiam.
"Hana?" panggil Harraz sebaik melihat gadis itu hanya membisu.
Mata Raihana mula bergenang. Bibirnya bergerak, cuba berkata sesuatu. "Saya..."
"Betul ke awak tinggal di Shinjuku?" soal Harraz mahukan kepastian.
Raihana mengangguk. "Ya, betul tu."
"Awak sorang diri aje ke?"
Dia mengangguk lagi. Entah kenapa dia tidak mampu bersuara. Perlukah dia berterus terang saja? Sudikah Harraz membantunya? Adakah lelaki itu mahu membantunya jika dia menceritakan masalah yang melanda dirinya saat ini?
Raihana hilang arah. Dia jadi buntu. Inilah natijah yang harus ditanggungnya.
"Harraz, saya dah tak tahu nak ke mana lagi."
"Maksud Hana?" Harraz mengerutkan dahinya.
"Erm..." Raihana teragak-agak.
"Macam mana dengan temu duga awak hari tu?" tanya Harraz tiba-tiba.
Raihana tersentak. "Temu duga?"
"Yup, temu duga di Asean Center yang awak bagitau saya masa kita mula-mula jumpa dulu."
"Oh..." Barulah Raihana teringat tentang temu duga yang sengaja direkanya itu.
Kuat juga ingatan dia ya. Aku ingatkan dia dah lupa pasal tu.
"Saya gagal dalam temu duga tu," jawab Raihana dengan muka keruh.
Satu lagi penipuan. Hana... Hana... makin banyak penipuan yang dah kau cipta.
"Oh, ye ke?" Harraz agak terkejut. "Habis tu, sekarang awak buat apa dekat Tokyo ni?"
"Saya tengah tunggu tawaran pengajian sarjana tu buat masa ni. Entahlah Harraz, saya tengah serabut sekarang ni tambahan lagi dengan masalah kewangan saya tu. Dahlah pinjaman pelajaran pun masih belum saya terima lagi."
Raihana berharap Harraz akan lembut hati dan sudi membantunya sekali lagi. Ah, Raihana malas hendak ambil peduli lagi dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku jika dia terus bersikap buruk seperti itu.
"Kenapa hari tu awak macam nak lari daripada saya?"
Raihana tergamam.
"Err... saya minta maaf, Harraz. Saya tak bermaksud pun nak lari daripada awak. Saya nak cepat hari tu. Satu lagi, saya tak nak susahkan awak sebenarnya." 
Raihana menjawab sedikit tergagap. Matanya dialihkan ke arah lain. Rambutnya yang berterbangan ditiup angin dibetulkan lalu diselit ke belakang telinga. Raihana senyum kekok.
"Hmm, takpelah pasal tu Hana. Awak tak cuba cari kerja sambilan lain? Yalah, sementara nak tunggu pinjaman pelajaran tu masuk. Saya tengok ramai aje studen yang tinggal dekat sini bekerja sambil belajar sebab nak tampung kos hidup mereka. Ataupun, cuba awak tanya kawan-kawan awak yang pernah satu pengajian dengan awak dulu."
"Saya dah lama tak berhubung dengan kawan-kawan saya tu. Lagipun, lepas habis ijazah dulu saya dah tak berhubung dengan diorang lagi. Lagipun, sekarang kan tengah cuti sem." Raihana memberi alasan.
Harraz memandangnya lama. Raihana cuba berlagak tenang. Dia sebolehnya tidak mahu lelaki itu mengesyaki yang bukan-bukan.
"Ikutkan saya memang nak tolong awak, Hana. Tapi, saya takde kawan perempuan dekat sini. Yang sama-sama Melayu dan beragama Islam. Sekurang-kurangnya boleh juga awak tumpang dulu sementara nak tunggu pinjaman awak tu masuk. Jimat sikit duit awak. Ya tak?"
Raihana menarik nafas dalam.
"Awak, boleh bagi saya pinjam duit dulu tak? Saya betul-betul perlukan duit sekarang." Raihana lekas bersuara.
Raihana tertekan memikirkan duit yang diberikan Harraz sebelum ini tinggal beberapa ratus saja lagi kerana membayar bilik sewa rumah penginapannya.
"Awak nak pinjam dalam berapa?"
Raihana mencongak jari-jemarinya sambil berfikir sejenak. Lama dia memandang Harraz yang masih menantinya.
"10 ribu."
Terbeliak mata Harraz memandangnya. Lelaki itu menggeleng.
"Saya takkan bagi pinjam duit sebanyak tu dekat awak. Saya tak berapa kenal awak. Dan macam mana saya nak tau awak tak tipu saya dan berani jamin yang awak akan bayar balik duit saya tu?"
"No, no... Harraz, please dengar dulu! Saya jamin yang saya akan bayar ansur-ansur duit awak. Termasuklah duit yang awak bagi dekat saya masa mula-mula kita jumpa dulu. Saya cuma perlukan masa."
Lengan Harraz dipautnya. Lelaki itu memandangnya semacam membuatkan Raihana akhirnya melepaskan pautan pada lengan Harraz.
"Saya tak minta pun awak bayar duit saya yang dulu tu," kata Harraz dengan nada serius.
"Saya janji saya akan bayar. I promise!" Raihana mengangkat tangan kanan gaya berikrar.
Harraz terdiam. Ditenungnya gadis itu dengan dahi berkerut.
"Hana, saya tak dapat nak tolong awak. I'm sorry," jawab lelaki itu akhirnya.
Dia sedar Harraz tidak berminat membantunya sebaik mendengar nada lelaki itu. Ya, memang logik pun. Siapa dia? Sesiapa pun takkan percaya.
"Saya pergi dulu. Maaf, Hana."
Raihana senyum hambar. Dia membiarkan lelaki itu berlalu dari situ dengan fikiran berkecamuk.
"JAUH kau termenung, bro?"
Harraz menoleh pada Firdaus, satu-satunya teman yang sama-sama menjalani latihan praktikal di firma itu. Mereka berdua merupakan kawan satu pengajian jurusan seni bina Landskap di UiTM Shah Alam.
Cuma Firdaus lebih bernasib baik kerana tinggal satu apartmen dengan beberapa orang pelajar Malaysia. Dekat pula tu dengan firma mereka. Sedangkan dia pula terpaksa menyewa apartmen lain seorang diri.
Tapi, Harraz tak kisah pun. Yang penting dia mempunyai tempat tinggal. Lagipun mama dan papanya sering menghulurkan duit belanja walaupun Harraz tidak pernah meminta. Lebih-lebih lagi mamanya merupakan seorang Profesor yang cukup dikenali di universitinya.
Mamanya itu dikenali kerana bukan saja memiliki kelayakan ijazah Doktor Falsafah, malah telah banyak menyumbang kepakarannya dalam bidang penyelidikan secara ilmiah dan praktikal sehingga disegani dalam kalangan rakan sejawatan dan para pelajar.
Harraz dapat menjalani latihan praktikal di negara ini pun kerana papanya. Papanya yang mencadangkan supaya Harraz menjalani praktikal di firma itu selama enam bulan bagi mendapatkan pengalaman seberapa banyak yang mungkin.
Dato' Harun adalah seorang arkitek berjaya yang memiliki firma ternama di Malaysia iaitu Harun Architect & Associates. Papanya dan Mr. Takeshi sama-sama bekerja keras mengusahakan firma tersebut hingga mereka turut bekerjasama membangunkan cawangan firma di Tokyo pula. Mr. Takeshi merupakan rakan kongsi cawangan di Tokyo. Banyak projek yang telah mereka laksanakan bersama.
Fikiran Harraz melayang mengingati Raihana. Rasa menyesal pun ada kerana tidak menolong gadis itu semalam. Dia tidak tahu nombor telefon gadis itu. Raihana nampak benar-benar terdesak. Mungkin benar gadis itu dalam kesusahan.
"Takde apalah. Kau dah makan ke?"
"Belum lagi. Kau nak buat apa balik nanti?"
"Entahlah. Kau ada pelan apa-apa ke hari ni? Yelah, esok pun cuti," jawab Harraz.
Dia mengemas fail-fail yang berselerak di atas meja kerjanya. Beberapa pelan bersaiz A1 juga turut disimpannya.
"Aku rasa macam nak rehat aje. Tak keluar kut. Minggu ni aku agak stres dengan projek kita di Yokohama tu. Macam-macam nak kena fikir."
Harraz turut bersetuju dengan Firdaus.
"Aku rasa dah balik Malaysia nanti macam nak pergi bercuti puas-puas. Dekat Pulau Redang ke, Perhentian ke. Kau nak join sekali? Jomlah!" kata Firdaus seraya menggeliat ke kiri dan kanan.
Harraz tergelak kecil. "Ikut kaulah."
Bersambung...


Post a Comment

0 Comments