Teaser Bab 2
RAIHANA terus menelefon kawannya itu namun masih tidak berjawab. Dia sudah menggelabah. Dalam keadaan kelam-kabut, dia menggeledah habis tas tangannya demi memastikan kesemua barang pentingnya ada, tanpa menyedari pasportnya telah tercicir tadi.
Dikeluarkan nota kecilnya lalu tanpa sedar dompetnya pula terjatuh di atas lantai. Raihana terus berjalan ke depan sambil memasukkan semula notanya itu ke dalam tas tangan.
Aduh, kenapa Shida tak jawab telefon aku dari tadi ya? Raihana memegang kepala yang sudah pening. Melilau dia mencari kelibat kawannya itu. Kotlah bateri handphone Shida mati ke.
Sekali lagi dia mendail. Apa yang memeranjatkan, nombor telefon Raihana telah diblock secara tiba-tiba. Berderau darahnya. Bodohnya aku! Macam manalah aku boleh percaya dengan dia sebegitu mudah?
Raihana dapat rasa yang Shida sengaja menipunya. Shida hanya mahukan duitnya semata-mata. Dia begitu sedih kerana Shida tergamak memperlakunya begini. Hidup-hidup dia ditipu Shida!
Kononnya hendak mencari ketenangan di sini. Sudahnya, dia ditipu kawannya sendiri.
Padahal Shida sudah berjanji untuk menemuinya di depan tourist information centre di stesen ini. Segala perbelanjaan seperti makan minum dan penginapan boleh dijimatkan, memandangkan dia akan tinggal di rumah sewa Shida yang turut menumpang bersama kawan-kawan yang lain.
Dalam dia tengah berkira-kira, dia terfikir untuk melihat berapakah lagi wang tunai yang ada di dalam dompetnya. Mungkin dia perlu mengeluarkan lagi duit daripada akaun banknya dari ATM berhampiran.
Sekali lagi Raihana terkejut. Mana pulak dompet aku ni?
Rasanya tadi memang ada di dalam tas tangannya. Habis digeledahnya namun tak berjumpa. Raihana terpaksa membuka pula beg berodanya tanpa mempedulikan pandangan orang sekeliling yang lalu-lalang berhampiran di situ.
Semuanya habis diselongkar. Di celah-celah pakaian pun tiada. Dia berpusing-pusing di sekitarnya, mencari dompetnya namun tak kelihatan langsung.
Wajah Raihana bertukar pucat lesi bersama degupan jantung yang berdetak laju. Tanpa berlengah lagi, dia terus menuju ke pejabat kecil berhampiran bagi membuat aduan dompetnya yang hilang. Raihana sempat memberikan nombor telefon yang boleh dihubungi kepada salah seorang pegawai beruniform putih.
Cuma satu saja masalahnya sekarang. Dia langsung tak berduit.
Apa aku nak buat ni? Raihana mulai panik. Sudahlah dia tak kenal dengan sesiapa pun. Dia keseorangan. Dengan siapa dia nak meminta pertolongan?
Nak patah balik Malaysia, semuanya perlukan duit.
Tak! Aku tak boleh balik Malaysia. Aku malu dengan umi. Kalau umi dapat tahu, mesti lagi mengamuk. Fikirannya teringatkan terarah kepada seseorang.
Harraz! Mungkin Harraz boleh tolong aku.
Raihana terus menapak laju mengekori langkah lelaki itu. Tadi beria-ia dia tergesa-gesa keluar dari shinkansen sebab nak lari daripada Harraz. Malu dia dengan gaya Harraz yang terlebih ramah itu. Macam nak mengurat dia pun ada. Tapi sekarang lain pula ceritanya. Hatinya meronta-ronta mahu meminta pertolongan daripada lelaki itu.
Matanya meliar. Terasa berpeluh satu badan walaupun cuaca dingin ketika itu. Alamak! Raihana menggigit bibir bawah. Mana Harraz ni?
Hah, tu dia!
Mujurlah lelaki itu berdiri tidak jauh daripadanya dan sedang menuju ke arah konbini. Harraz berpusing-pusing. Gayanya seperti sedang mencari sesuatu. Meliar matanya ke sekeliling sambil bercekak pinggang. Sesekali lelaki itu meraup muka dengan sebelah tangannya.
Cepat-cepat Raihana menyorok di balik tiang. Nyaris hendak tertangkap. Kalau boleh dia tak mahu Harraz perasan dia mencari lelaki itu. Harraz dilihatnya memasuki konbini tersebut. Raihana menarik nafas lega.
Raihana menanti lelaki itu sambil berdiri di depan konbini. Jaket denimnya dibetulkan, rambutnya dibiar lepas bebas. Raihana menggosok kedua-dua tapak tangannya. Terasa sejuk sampai ke sumsum tulang walaupun sudah menjelang musim bunga.
Seorang gadis berkot labuh warna krim lalu di sebelahnya. Kad bertali kuning tercicir dari beg gadis itu sewaktu dia menyelongkar begnya.
Raihana yang perasan pantas mencapainya. "Wait!"
Gadis itu langsung tidak mendengar panggilannya. Raihana memanggil lagi. Gadis itu terus melangkah dengan laju. Dia hanya mampu melihat kelibat gadis itu yang menghilang di sebalik exit gate.
Raihana memandang kad pelajar di tangannya. Tokyo University. Tertera nama pemilik tadi berserta IDnya. Kakinya tidak jadi hendak melangkah ke pejabat kecil berhampiran. Tak sampai beberapa saat, otaknya mendapat satu ilham. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman.
Matanya terpandang Harraz yang baru saja keluar dari konbini. "Tunggu, Harraz!"
Lelaki itu berpusing. Harraz kelihatan terkejut. Helaan nafas lega dilepaskan. Puas dia mencari Raihana tadi. Ingatkan tak jumpa dah. Risau betul dia kerana pasport milik Raihana masih berada di tangannya.
"Syukurlah, Hana. Jumpa juga kita akhirnya. Saya ingatkan dah tak jumpa awak dah," keluh Harraz.
Raihana kelihatan hairan. Apa maksud Harraz? Terus Harraz menghulurkan pasport itu.
Bulat mata Raihana. "Eh, macam mana pasport saya boleh ada dengan awak?"
"Awak tercicir tadi. Nasib baik saya perasan. Saya panggil Hana tadi, tapi laju aje awak jalan."
Raihana mengambil pasportnya. "Terima kasih."
Cuai betul aku ni! Sudahlah dompet aku pun boleh hilang. Nasib baiklah Harraz jumpa pasport aku ni. Dia mengutuk diri sendiri dalam hati.
"No problem. Awak nak ke mana ni?" tanya Harraz. Dia membetulkan beg galas di bahunya sambil merenung Raihana.
Raihana terdiam seketika lalu tertunduk. Keruh wajahnya. "Harraz, erm... boleh tolong saya sesuatu tak?"
"Tolong apa?"
"Sebelum tu saya nak minta maaf kalau saya susahkan awak."
"Cakaplah. Hana nak saya tolong apa?" Harraz berkata dengan sengihan.
Dia sudah berpeluk tubuh. Matanya terus-terusan memandang gadis itu dengan pandangan nakal.
"Awak percaya tak? Dalam hidup ni akan berlaku keajaiban bila kita niat nak buat kebaikan?"
Dahi lelaki itu berkerut. Sengihan Harraz terus mati. Tidak memahami apa yang mahu disampaikan oleh Raihana. Raihana kian resah sebaik ditenung begitu. Aduh, apa aku nak cakap ni? Aku terdesak sangat ni. Perlukan sangat-sangat pertolongan dia!
"Maksud Hana?"
"Macam ni." Raihana menarik nafasnya.
Dia mencapai kad pelajar yang disimpan dalam poket jaket denimnya itu. Tali kuning itu dipintalnya berulang kali, cuba menenangkan diri. Permainan ini harus diteruskan. Dia sudah merencananya tadi. Mana mungkin dia mensia-siakannya begitu saja.
Ah, lantaklah. Lelaki ni bukannya kenal dia pun. Dah dapat apa yang dia mahukan, Raihana berkira-kira mahu lari dari situ.
"Sebenarnya saya ni dulu pelajar MSU yang baru habis degree dan pernah mengikuti Program Pertukaran Pelajar dengan Tokyo University."
Harraz merenungnya tajam. Masih tidak bersuara. Entah apalah yang dia sedang fikir agaknya.
"Kalau awak tak percaya, ini kad pelajar saya."
Laju Raihana menunjukkan kad pelajar yang dijumpainya di stesen keretapi tadi. Namun, jari-jemari runcingnya menutup gambar dan nama pemilik asal kad itu. Hanya menampakkan nama universiti dan nombor pelajar saja.
Harraz memandangnya dengan kerutan kening yang hampir bercantum. "Lepas tu?"
"Lepas tu, saya rancang nak sambung belajar di sini pula ke peringkat sarjana. Atas inisiatif saya sendiri, saya ada mohon pinjaman pelajaran daripada sebuah syarikat swasta di Malaysia sebelum bertolak ke Jepun lagi. Cuma..."
"Cuma?" tanya Harraz dengan riak biasa.
"Pinjaman tu tak masuk lagi. Dan saya sekarang tengah... erm, tengah terdesak nak pakai duit." Raihana berterus terang perihal bahagian akhir itu.
Perihal dompetnya yang hilang. Sudahlah wang tunai yang telah ditukar kepada nilai mata wang Yen sejak awal lagi kesemuanya berada di dalam dompet tersebut. Begitu juga kad banknya yang telah diaktifkan bagi kegunaan di luar negara.
Kini, Raihana sehelai sepinggang. Malang betul nasibnya yang boleh pula terkandas di negara orang dalam keadaan langsung tidak berduit begini.
Harraz terdiam.
"Awak pula, kerja dekat mana?" Giliran Raihana bertanya.
"Takeshi Design Studio. Actually saya ni sedang menjalani latihan praktikal di firma tu," jawab Harraz.
"Awak takde buat kerja sambilan ke?"
"Ada." Raihana mengangguk.
"Dekat mana?"
"Dekat... err... dekat..." Meliar mata Raihana mencari sesuatu di sekelilingnya.
Pandangannya tertancap pada satu papan iklan di belakang Harraz. Satu per satu tulisan itu dibacanya dalam hati. Saat ini, Raihana berbangga kerana mampu membaca tulisan kanji dan boleh bertutur dalam bahasa Jepun.
Mujurlah dia pernah mengambil kelas bahasa Jepun dahulu. Ketika itu dia baru sahaja tamat SPM. Malah, semasa masih di bangku sekolah menengah pun dia sudah bergiat aktif dan menjadi ahli jawatankuasa bagi Kelab Kebudayaan Jepun di sekolahnya.
Dia ada mengenali beberapa orang kawan berbangsa Jepun melalui kegiatan kelab di sekolahnya. Mereka datang ke Malaysia atas sebab ingin mempelajari budaya setempat di situ. Cuma sekarang saja dia tidak berhubung lagi dengan mereka sebaik tamat persekolahan.
Namun minatnya terhadap bahasa itu masih ada sampai sekarang. Dia masih mengikuti kelas Bahasa Jepun di Inter-Cultural Language School (ICLS) Subang Jaya setiap hujung minggu sebaik tamat kelas dan berjaya memperolehi sijil.
"Ah, sebelum ni saya ada temu duga sebagai translator di Tokyo Asean Career. Jawapan temu duga tu belum dapat lagi. Tu yang saya tengah tak berduit sangat sekarang."
Raihana berusaha memancing simpati lelaki itu. Keruh air mukanya. Dia tunduk ke bawah.
Harraz melepaskan keluhan perlahan sebaik mendengar cerita gadis itu. Simpati dia mendengarnya, cuma dia sedikit curiga. Raihana tunjuk kad pelajarnya tadi pun macam nak tak nak saja. Tak sempat langsung dia hendak menelitinya agak lama.
Dipandang lama wajah Raihana yang tertunduk itu. Hmm, cakap ajelah nak pakai duit. Kan senang.
Harraz menyeluk poket seluar jeannya. Dia mengeluarkan dompetnya lalu menghulurkan beberapa keping not bernilai 10 ribu Yen.
Terbeliak mata Raihana memandangnya tapi segera dikawalnya. Harraz yang perasan hanya beriak selamba.
"Nah, ambillah."
"Takpe ke?"
"Dah awak cakap tadi terdesak nak pakai duit kan? Ambil ajelah. Saya memang ikhlas nak tolong."
Lambat-lambat, Raihana mengambil juga huluran duit itu dengan rasa lega. Dia begitu gembira kerana Harraz sudi menolongnya walaupun lelaki itu tidak berapa mengenalinya.
"Terima kasih banyak-banyak sebab sudi bantu saya."
"Takde hallah. Anyway, good luck dengan studi awak nanti."
"Thanks ya Harraz. Emm, saya pergi dulu."
"Tunggu dulu." Harraz menahan.
Kaki Raihana tidak jadi melangkah. Dia berpusing kembali menghadap lelaki itu. Sebenarnya Raihana serba salah sebab terpaksa menipu Harraz. Kononnya nak sambung studi. Padahal dia cuma nak lari daripada masalahnya.
"Hana, awak ada nombor telefon?"
"Ada. Kenapa?"
"Boleh tak saya nak minta nombor awak?"
Raihana terdiam. Dia memandang Harraz yang sudah mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket jeannya. Serba tak keruan Raihana jadinya.
Alamak! Aku ikutkan nak lari cepat-cepat daripada dia. Haih, macam mana ni? Nak bagi ke tak ya?
"Kenapa awak nak minta nombor saya? Awak tak percaya dengan saya ya?" Entah macam mana, itu pula yang keluar dari mulutnya.
Harraz tersentak lantas terus menggeleng.
"Eh, bukan macam tu. Tak, Hana jangan salah faham. Saya percaya apa yang awak cerita tadi. Saya faham awak tengah susah. Sebab tu saya tak kisah bagi awak duit tu."
Raihana tertunduk.
"Atau... kita pergi minum-minum dulu? Nak tak?" pelawa Harraz.
Raihana memandang lelaki itu. Sedar dia memang tak dapat nak mengelak lagi. Harraz nampaknya beria-ia benar. Raihana mengangguk setuju.
Melebar senyuman Harraz akhirnya.
*****
HARRAZ memesan dua cawan latte sambil duduk di kaunter yang menghadap barista di Satei Hato. Begitu juga Raihana yang duduk bersebelahan dengan lelaki itu.
Leka mata masing-masing memandang barista yang menyediakan minuman untuk mereka itu. Nampak cekap sekali cara kerjanya. Raihana tak sangka pula dia mula selesa dengan keramahan Harraz walaupun mereka baru beberapa jam berkenalan.
"Syok kan dapat keluar berjalan macam tadi. Minum-minum. Anyway, seronok dapat berkenalan dengan awak Hana."
Harraz menoleh pada gadis itu dengan senyuman.
"Saya pun," balas Raihana.
"Harraz, awak tak letih ke bercakap aje dari tadi?"
"Eh, nak letih apanya? Saya kena macam ni, Hana. Kalau tak, kejanggalan akan wujud di situ." Harraz mengerling gadis itu sekilas.
Berubah muka Raihana. Dia terdiam.
"Hana, awak macam ada masalah aje saya tengok. Kan saya dah bagi duit dekat awak tadi. Tak cukup ya?"
"Err, tak... bu... kan macam tu. Saya cuma..." Tergagap-gagap Raihana menjawab.
Harraz menanti dengan renungannya. "Cuma apa?"
"Saya tengah fikir pasal interviu saya tu. Kalau tak, saya mungkin kena cari kerja lain." Raihana memberi alasan.
Dalam pada itu, dia sedang merangka bagaimana hendak melepaskan diri daripada lelaki itu. Raihana dah cukup rasa bersalah dengan Harraz. Sudahlah tempat tinggal pun dia tak pasti lagi mahu duduk di mana lepas ni. Sepatutnya dia bersama Shida saat ini, kerana kawannya itu sudah berjanji mahu menyediakan rumah penginapan yang dikongsi bersama studen dari Malaysia.
Raihana cukup kesal dengan sikap Shida yang telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan. Apa salahnya sampai Shida tergamak ambil kesempatan?
"Nak hidup dekat sini memang agak susah, Hana. Kos sara hidup di sini terlalu tinggi. Saya ni pun sebab fikirkan nak habiskan latihan praktikal tu je," balas Harraz.
"Awak tinggal dekat mana Hana? Saya temankan dan hantar sampai ke apartmen awak. Okey?" Harraz bertanya lagi.
Dia memang saja nak tahu di mana gadis itu tinggal. Manalah tahu kut lepas ni dia boleh ajak Raihana keluar lagi.
"Erm, dekat Shinjuku jugak. Takpelah Harraz. Saya rasa tak perlulah awak susahkan diri hantar saya. Saya boleh balik sendiri. Apa pun, terima kasih ya Harraz."
"Takpe Hana. Saya betul-betul ikhlas ni. Marilah saya temankan," kata Harraz dengan bersungguh.
Raihana menggeleng lagi. "It's okay Harraz. Saya pergi dulu."
Tanpa menunggu balasan daripada lelaki itu, Raihana terus berlalu dari situ dengan tergesa-gesa. Beg beroda bersaiz kecilnya dibawa bersama tas tangan yang disangkut pada bahu.
Harraz melepaskan rasa kecewa. Baru saja dia nak minta nombor telefon Raihana. Ikutkan dia mahu berkenalan dengan lebih rapat lagi dengan gadis bernama Sara Raihana itu. Tapi, nak buat macam mana, dah orang tak sudi. Takkan nak terhegeh-hegeh pula?
Harraz menghirup lattenya sambil melayan perasaan kecewa sendirian. Hai, melepas aku kali ni.
Bersambung...