RADIO diperlahankan.

"Apehal kau bro?"

Lantunan suara Zafri agak tinggi. Hudzer angkat bahu sambil menatap kaca skrin telefon bimbit yang terpampang jelas bateri hampir nak padam. Laju jari jemarinya menaip WhatsApp dengan sengihan.

"Aku peliklah dengan kau ni. Tak habis lagi nak usyar awek tu. Dia bukan layan kau pun."

Dia menjeling tanpa suara. Kurang asam punya member!

"Bila nak tutup ni? Aku dah mengantuk bro. Nak tidur."

"Kejap lagi. 414?"

Berkerut dahi Hudzer.

"Apa yang 414?"

"Takdelah. Ni... Hawa bagitahu aku nombor apartmen dia. Dia ajak aku jumpa."

"Time macam ni? Aku nasihatkan tak payah!" ujar Zafri.

Dibiarkan Zafri bertungkus lumus membersihkan sisa tumpahan makanan dan air di bahagian dapur. Puas Zafri menegur Hudzer supaya menghentikan operasi perniagaan food truck yang lokasinya strategik di Petaling Jaya.

Alasan Hudzer mudah. Dia mahu berjumpa dengan Hawa. Seorang gadis pingitan yang selalu berbaju merah dan berseluar jean kaler putih. Rambut ikalnya paras pinggang dan memiliki senyuman menawan.

Cantik orangnya. Belum pernah Hudzer bertemu dengan gadis secantik dan seayu itu.

Hawa pernah sekali dulu datang menyinggah di food truck mereka. Pertama kali memandangnya, Hudzer terus jatuh cinta. Hanya itu sekali sahajalah.

Lepas itu, dia dah tak berjumpa lagi dengan Hawa. Hanya bertukar nombor telefon sahaja.

Bila Hudzer ajak jumpa, bermacam alasan gadis itu. Mungkin juga, Hawa sengaja nak mengelakkan diri. Dia tiada jawapannya.

"Kau rasa sampai bila kita nak stay sini?"

Zafri sembunyikan ketakutan yang menghantui benaknya. Depan kawan baiknya dia buat-buatlah berani. Seperti tiada apa pun berlaku.

"Sampai aku dah jumpa Hawa."

"Jangan-jangan, dia pindah tempat lain tak. Aku ajak kau stop dulu berniaga buat masa ni, kau tak nak. Berapa kerat aje pelanggan kita sekarang. Tunggulah sampai keadaan betul stabil baru kita mula balik."

"Kau fikir situasi tengah darurat. Habis tu kita tak kira darurat ke? Sampai bila nak macam ni?"

Senyap.

"Relax bro. Takde apa nak dirisaukan. Kita ada sumber ni aje nak hidup. Hidup kena diteruskan. Sampai bila kita nak memerap dalam rumah macam orang lain yang penakut tu?"

Hudzer berkata bongkak.

"Mereka bukan penakut. Mereka nak mengelak dari terkena jangkitan penyakit tu. Faham? Kau tu yang bodoh. Inilah nak cari penyakit namanya."

Zafri menyindir. Kawannya itu seperti biasa, tidak rasa apa-apa bila dikatakan bodoh.

"Terpulang. Mujurlah ada juga rezeki kita. Tak banyak pun takpelah. Aku tengok ada aje orang yang datang beli."

Hudzer membalas. Dia menggeleng lagi dengan mata memandang sekeliling mereka berdua. Bodoh kau ni! Kutuk Hudzer dalam hati. Bukan tak terkesan dengan kata-kata Zafri tadi.

Ini semua Hawa punya pasal.

Dia kata nak jumpa aku... kenapa Hawa masih lagi tak muncul-muncul?

Jangan kata batang tubuh. Batang hidung pun tak nampak.

Mati dia. Kalau mak tahu mesti masak dia kena!

Mak Hudzer tak tahu yang Hudzer dan Zafri senyap-senyap keluar malam ini.

Situasi di sekeliling itu cukup menakutkan. Dia masih cuba menafikan.

Gelap.

Sunyi sepi.

Kepekatan malam menghiasi angkasaraya. Seluruh penduduk negara seperti tengah berkabung sahaja. Tidak lagi meriah dengan ramai pelanggan mereka yang datang makan dan bersantai di situ. Seperti waktu dulu.

Gara-gara berita yang menggemparkan yang telah dimaklumkan menteri di bahagian kementerian kesihatan beberapa bulan lepas. Berkenaan sejenis virus yang merebak dan telah membunuh puluhan ribu penduduk dunia. Virus seperti rabies dan influenza. Salah satu dari virus paling merbahaya yang boleh membunuh.

Post-apocalyptic. Itulah diibaratkan suasana ketika itu.

Macam nak kiamat pun ada. Dunia dilanda huru hara. Habis ekonomi negara ini lumpuh. Sepatutnya, mereka sedang dikuarantin ketika ini. Tapi Hudzer pandai.

Dia bijak menyorokkan diri dari ditangkap pegawai penguatkuasa dengan sengaja meneruskan operasi premisnya. Zafrilah yang jadi mangsa. Jadi pak turut. Tahu dek pegawai penguatkuasaan yang membuat rondaan dengan bertopeng muka dan sut perlindungan memang nahas.

Segalanya berubah dalam sekelip mata.

Banyak bangunan, rumah kediaman dan kenderaan yang musnah. Tiada apa yang tinggal.

Tidak semua yang rosak. Segelintir sahaja. Itupun ada bangunan yang masih lagi boleh digunakan bagi tujuan kuarantin. Entah kerja siapa tak pasti. Setahu Hudzer, virus itu hanya merosakkan sistem imunisasi di dalam tubuh manusia sahaja.

Dia tahu, ada segelintir manusia jahat yang bertindak memusnahkan semua bangunan terutama hospital bagi mengurangkan populasi manusia yang berpenyakit akibat terkena jangkitan virus. Disebabkan itu, banyak hospital yang diletupkan.

Berapa banyak nyawa terkorban tidak dapat dihitung dengan jari.

Penyembuhnya ada. Hanya tiada di situ. Hanya tiga buah negara sahaja yang memiliki ubat yang bertindak untuk mencegah sahaja dan bukan mengubati. Bayangkanlah!

Tiga buah negara. Heh...! Hudzer pilih untuk menggunakan kudrat yang ada dengan berusaha sendiri demi mencari sesuap makan.

Ajal maut itu di tangan Tuhan. Elaklah macam mana pun, kalau sudah sampai waktu untuk kembali kita pasti akan kembali. Semua makhluk bernyawa di muka bumi ini akan pergi.

Prinsip Hudzer begitu.

Bunyi ledakan dengan letupan kuat tidak jauh dari tempat mereka beroperasi kedengaran. Zafri dan Hudzer, masing-masing tergamam. Menggigil dan ketakutan.

Hudzer teringatkan Hawa. Di mana Hawa sekarang?

Shit!

"Apa yang terbakar?" teriak Zafri.

"Mana aku tahu."

"Tu... bangunan sana. Kau nampak? Bro, apesal boleh terbakar pulak?"

Zafri menunjukkan ke arah sebuah bangunan kerajaan. Rupanya, sebuah hospital yang terbakar secara tiba-tiba. Hudzer hanya menggeleng.

"Dah, kita balik ke tempat kita." Ajak Zafri.

"Tapi..."

Hudzer teringatkan janjinya dengan Hawa. Bagaimana kalau Hawa tiba-tiba muncul dan dia tiada?

***

BELUM sempat masing-masing nak cabut, seorang wanita berbangsa Cina menghampiri.

"Maaf. Kami dah tutup operasi."

Tiada balasan.

Wanita itu pandang tepat dengan tajam sekali. Berdegup kencang jantung Hudzer dan Zafri saat itu juga. Menyirap darah bersama peluh jantan yang menitik keluar.

"What do you wish for?"

Masing-masing tergamam.

"Apa?"

"What do you wish for?"

"Gila apa? Eh, kau tunggu apa lagi? Jom blah."

Terus Zafri tarik lengan Hudzer yang tercegat berdiri seperti dipukau. Zafri benar tak sedap hati. Entah apa-apalah amoi. Tanya yang bukan-bukan. Sekarang bukan boleh kira.

"Aku takut nak balik. Mak aku cakap apa pula nanti."

Barulah Hudzer bersuara setelah kejadian aneh tadi. Hospital berhampiran mereka yang boleh terbakar tiba-tiba dan juga amoi Cina.

"Kau bagilah alasan apa pun. Aku tak boleh nak fikir apa dah ni. Yang penting kita cepat sampai. Itu je."

Zafri membelok stereng keretanya ke satu simpang. Masih tertanya-tanya. Bingung pun ada.

"Aku harap ada orang yang berjaya bawa ke sini ubat tu. Tak tahan dah hidup macam ni... dalam ketakutan... Huru hara hidup sekarang."

Hudzer mengeluh. Zafri gelak sinis.

"Kau ingat senang? Nakkan ubat macam tu silap hari bulan nyawa kita melayang dulu. Sebab berebut dengan orang lain."

"Eh kau tak perasan mata amoi tu tadi?" tanya Hudzer.

Mereka berpandangan buat seketika. Ada 'sesuatu' yang mereka lihat. Tak berani disuarakan. Mata itu kemerahan dan seperti berulat...

Bunyi handphone Hudzer kedengaran. Nafas dilepaskan. Bersyukur kerana syarikat telekomunikasi masih lagi berfungsi.

"Hawa."

"Kenapa dengan dia?" soal Zafri pelik.

"Dia ajak jumpa sekarang."

Zafri jawab dengan gelengan berkali-kali.

"Tak... aku takkan patah balik. Gila! Aku nak cepat balik ni!"

"Biarkan aku drive. Hawa nak minta tolong aku."

Keras Hudzer membalas. Tangannya berusaha memegang stereng kereta tersebut. Ke kiri dan kanan kereta itu seperti hilang kawalan. Pantas dihalang Zafri yang bermuka panik.

"Kau buat lagi macam tu aku tumbuk kau! Kau nak mati ke?"

Kuat jerkahannya.

"Kalau tak sayang diri kau, fikir lah aku ni pulak macam mana. Isy!"

"Dia cakap nak jumpa aku di rumah bernombor 414. Apartmen Anggerik. Tolong hantarkan aku. Hawa dalam bahaya."

Kelu lidah Zafri. Hudzer masih berdegil juga. Dia memberhentikan juga kereta di depan apartmen.

***

"HAWA."

"Abang Hudzer. Tolong Hawa..."

Mereka berjumpa setelah pertemuan pertama itu dulu. Hudzer terpaku sebaik Hawa memeluknya tanpa sempat dia berbuat apa-apa. Hawa dalam ketakutan. Seluruh tubuhnya menggigil.

"Abang tak tau nak buat apa. Maafkan abang, Hawa."

"Cukuplah abang ada di sisi Hawa sekarang pun okey. Hawa takut... bila sorang-sorang..."

Hudzer meleraikan pelukan mereka.

"Ikut abang sekarang."

"Nak ke mana?"

Hawa mengekori langkah kaki Hudzer yang laju mengalahkan seperti sedang bertanding acara sahaja.

"Apa sebenarnya yang berlaku?"

"Abang tak pasti."

"Habis, kita nak lari ke mana? Mustahil bang."

Hawa berputus asa.

"Tiada yang mustahil. Ingat Tuhan banyak-banyak." Hudzer cuba memujuk gadis tersebut.

Handphonenya berdering.

"Helo?"

"Aku nak bagitahu ni. Aku baru dengar berita kat dalam radio. Hospital yang terbakar depan mata kita tadi..."

Suara Zafri tersekat-sekat sebelum talian itu terputus.

"Helo? Zafri? Zafri?"

Hudzer berpusing semula dan mendapati Hawa sudah tiada. Dia memanggil-manggil nama gadis itu tapi tiada sahutan. Bayang Hawa terus lesap!

What do you wish for?

Sayup-sayup dia terdengar suara seseorang. Mirip suara Hawa.

What do you wish for?

What do you wish for?

Dia tekup kedua telinga. Bingit. Arghhh!

"Hawa!!!"

Hudzer berlari semula ke kereta Zafri dalam keadaan termengah-mengah. Nafasnya tak cukup sewaktu berlari keluar dari apartmen itu.

"Mana Hawa?"

"Dia takde. Padahal aku baru aje jumpa dia tadi."

"What?!"

Terkejut benar Zafri. Hudzer meraup muka. Peluh dingin merenik di dahi. Dia buntu ke manakah Hawa pergi.

"Antara mangsa yang terkorban dalam nahas kebakaran di Hospital Sentosa di Petaling Jaya kira-kira jam 10.00 malam..."

Radio dikuatkan. Masing-masing pasang telinga.

Sekali lagi handphone Hudzer berbunyi. Berderau darah tatkala membaca kiriman WhatsApp.

"Zafri..."

Pucat lesi muka Hudzer. Kalau ditoreh sekalipun dengan pisau agaknya, mungkin tak keluar darah.

"Apehal bro?"

"Hawa... dia dah MENINGGAL DUNIA."

Zafri sungguh terperanjat.

"Kau... biar betul? Bukan kau kata Hawa tadi..."

"Tak. Dia dah takde. Dekat hospital yang meletup dalam kebakaran tu..."

Mata Hudzer pandang tepat dengan nafas tak sekata.

"Dalam bilik wad 414."

Mata Hudzer bertukar kemerahan. Dia sukar nak percaya. Zafri beristighfar panjang.

"Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un..."

Masih terngiang-ngiang perbualan mereka.

Jika takdir Tuhan, nyawa manusia boleh melayang dengan cara apa sahaja.

Tak kira apa jua cara pun...

Di luar pula, beberapa kelibat manusia bersut perlindungan dan lengkap bertopeng berduyun-duyun keluar dari van hitam sambil menyemburkan gas. Asap berkepul di udara menyebarkan entiti misteri tersebut...

-Tamat-