Part 4


POV Lucas


BIBIR basah kemerahan itu aku tatap dengan degupan kencang. Peluh yang kurasai di belakang tubuh terasa sejuk. Entah kenapa, aku rasa wanita di depanku ini bak ada aura yang mampu menggoncang sekeping hati lelakiku. Aku menahan diri. Berusaha sehabis mungkin mengawal naluri kelelakian ini... bila tubuh kami serapat ini.

Tak dinafikan, aku sememangnya tergoda dengan kecantikan yang dimilikinya saat pertama kali terpandang wajahnya.

Kalau ikutkan hati, memang sudah lama aku menarik tangannya ke dalam bilik tidurku. Sekaligus, memaksanya supaya memenuhi keinginan yang meronta hebat ini. Tipulah... Kalau aku tak rasa apa-apa bila lihat dia berpakaian tak cukup kain di depan mata. Aku lelaki yang normal. Sengaja aku bertindak mengelakkan diri ketika di hari pertama lagi selepas pernikahan kami. Aku lebih rela tidur di hotel dan menipu mummy dan daddy. Yang kononnya aku sibuk menguruskan syarikat.

Aku benci... dan takut. Risau tertewas dengan kecantikan itu.

Bagaikan tak percaya, dia telah menjadi isteriku yang sah. Evelyn Astrid Dato' Kamarudin.

Aku menyebut namanya di dalam hati. Getaran itu cukup dirasai.

Seorang bekas model ternama yang berwajah kacukan Melayu dan Cina. Mukanya ala chinese look dengan kulit yang putih gebu, rambut hitam yang halus dan panjang paras bahu itu aku perhatikan dengan penuh minat. Bertubuh langsing dengan tinggi lampai. Aku dengar dia berhenti jadi model di pentas peragaan semenjak berkahwin denganku. Atas sebab apa? Aku malas hendak bertanya.

Keegoanku menghalang untuk aku akui yang dia sebenarnya wanita paling cantik pernah kutemui sepanjang hidup.

Ya. Bukan aku tak pernah bertemu dengan berapa ramai perempuan yang kebanyakannya cantik, ada di kalangan model dan juga artis. Aku sudah bosan dikelilingi para gadis yang boleh dikatakan lebih tertarik dengan duit dan harta yang aku ada selain rupa paras yang aku miliki. Aku sebenarnya lebih kepada hendak berseronok saja setiap kali bersama mereka.

Aku lebih tercabar bila Eric menjadi saingan yang cukup sengit di antara kami. Eric pun lebih kurang sama, suka bila dikelilingi ramai perempuan bermata duitan. Dia suka menunjuk-nunjuk di depanku apa yang dia mampu dan aku pula tidak. Sebab itulah kenapa aku layan saja mana-mana perempuan yang mahu memdekatiku. Aku sememangnya pantang dicabar.

Meskipun dia isteriku kini, saat ini aku bergelut dengan perasaan aneh ini. Perasaan kuat itu meronta-ronta untuk aku memilikinya. Tak pernah aku merasai perasaan asing ini seumur hidup. Aku pasti yang aku bukanlah sudah jatuh hati...

Tak mungkin semudah ini? Aku memang jenis lelaki yang tidak mudah untuk jatuh cinta dengan mana-mana perempuan sekali pun.

Ianya lebih kepada tarikan fizikal semata-mata yang menyebabkan kenapa aku seolah tergoda. Nafsuku membuak-buak. Sedayanya aku cuba tahan dan relaks.

Relaks, Lucas... kau tak rugi satu apa pun, kalau kau tak dapat dia buat masa sekarang. Dia yang lebih mahukan kau. Aku tahu dia sebenarnya memiliki perasaan terhadapku. Huh! Dia ingat aku bodoh agaknya? Tengok pada gayanya pun aku sudah dapat mengagak.

Mungkin betul agaknya. Yang Evelyn mencintaiku...

Aku bertenang. Sepasang mata bundar menawan itu kutenung tajam. Aku tersangat membenci dia. Dia, perempuan mata duitan yang hanya tahu nak kikis duit lelaki saja. Sebab itu mungkin, kenapa dia bersetuju untuk mengahwiniku.

Aku pula? Heh... aku lebih kepada menuruti saja kata daddy.

Daddy telah mengugutku. Aku tidak dibenarkan memegang jawatan penting dalam Teguh Development Corporation sebagai bakal ceo muda. Sedangkan aku ini anak daddy dan mummy. Aku tak puas hati!

Daddy lebih rela menyerahkan jawatan itu kepada Eric, sepupuku yang tua dua tahun dariku. Manalah aku tak bengang? Bahkan, daddy enggan menyerahkan sebahagian besar dari saham syarikat kepadaku andai aku menolak untuk mengahwini Evelyn.

Siapa Evelyn? Aku mulanya tertanya-tanya. Setelah kenal dengan Dato' Kamarudin, barulah aku tahu apa tujuan daddy. Daddy rupanya dalam diam-diam, sengaja merancang dengan si tua tak guna itu untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim sebagai rakan seperniagaan yang rapat dengan bertindak menyatukan aku dengan Evelyn.

Silaturahim? Heh... kepala hotak kau! Aku memberontak dalam diam. Sial kau orang tua!

Aku terpaksa berpura-pura. Aku tanamkan api benci terhadap wanita ini. Teramat benci. Kerana dialah, aku terpaksa melakukan ini semua. Aku harus merelakan segalanya. Aku terus bersetuju dengan daddy tanpa banyak soal lagi. Aku sudah terbiasa begitu sejak kecil.

Daddy tak suka memanjakan aku, sedangkan mummy tidak begitu. Apa yang aku kata sering dibangkang oleh daddy terutamanya, perihal bisnes. Padahal, aku ini graduan lulusan universiti terkemuka di luar negara. Daddy pula menguruskan syarikat berdasarkan pengalaman yang ada. Walaupun aku banyak membangkang, tapi lama kelamaan, aku ikut juga kata daddy.

Aku dengar sendiri daripada mulut Dato' Kamarudin yang dia hanya mahu ambil kesempatan. Aku nampak dokumen perjanjian itu. Sebab itu aku tak percaya yang Evelyn tak tau apa-apa. Takkanlah orang tua itu tak bercerita dengan anak perempuannya sendiri?

Akalku merangka sesuatu. Aku paling berdendam dengan Evelyn kerana... dia dengan mudahnya bersetuju dengan rancangan kedua orang tua kami. Demi sebuah harta kekayaan yang keluarga aku miliki, aku akan pastikan yang ianya pasti akan jatuh ke tanganku juga nanti. Bukannya Eric. Atau sesiapa pun dalam kalangan sanak saudara.

Ah, Lucas! Kau hanya perlu kahwin saja. Mudah. Tak perlu kau rumitkan pemikiran kau tu. Just chill.

Kau hanya pergunakan Evelyn untuk mendapatkan apa yang kau idamkan selama ini. Lepas tu, kau lepaskan sajalah perempuan itu. Biarkan dia sendiri yang merana. Biar perempuan ini tahu tinggi atau rendahnya langit!

"Aku janji akan lepaskan kau. Bila aku dah berjaya memiliki apa yang aku mahukan."

Lancar, ayat itu meluncur keluar dari bibirku.

Dia terpaku dengan kata-kataku. Makin menambah rasa meluat di hatiku. Again? What the...

She really doesn't know anything? Ah, for God sake... I'm so sick of her!

Payah sangat ke kau nak mengaku, perempuan?

"Kau tak payah nak buat-buat terkejut bagailah, perempuan. Benci aku tengok muka kau yang buruk tu."

Evelyn berubah wajah. Sayu.

"Baiklah, I terima apa jua syarat yang you letakkan. I nak kita berpisah. Itu aje yang I mahukan..."

"Kau tak sabar-sabar kan? Kau ingat aku akan bagi sebahagian harta ni bila dah berpisah? Kau silap, Evelyn."

Aku keraskan hati. Aku muak dengan sikapnya yang penuh kepura-puraan. Pandai perempuan ni berlakon depan aku.

Buat-buat suci konon! Padahal, kau dah memang berpakat dengan papa kau yang tak guna tu. Aku dengar sendiri dari mulut orang tua tu yang dia nakkan harta kekayaan keluarga aku. Dia gunakan kau untuk merealisasikan impian dia. Dasar keparat!

Aku takkan mudah terpedaya dengan isteriku ini.

"Apa sebenarnya yang boleh buat you puas hati hmm? I dah setuju pun you masih lagi nak tuduh-tuduh I. You nak I cakap apa? Baru hati you tu puas?

"I tahu, you lelaki yang punya segalanya. You have everything. I pun takkan persoalkan apa-apa bila kita dah berpisah. Satu sen pun, I tak kebulurlah! You nak mati nanti sila bawa masuk semua harta you dalam kubur. Ingat pesan I ni sampai bila-bila."

Tajam sungguh kata-kata itu. Kali ini, aku sendiri yang terpaku dengan sindiran isteriku.

Aku biarkan Evelyn berlalu meninggalkan aku termangu sendirian di dapur itu. Tak guna... dia boleh selamba saja mengata aku. Berani dia ya?

Aku takkan lepaskan kau dengan begitu mudah... Evelyn!

Saat itulah, aku terlihat Eric menghampiri Evelyn dengan senyuman. Dari situ, aku berdiri dan berpeluk tubuh memerhatikan kelakuan mereka. Eric memang sudah kenal dengan Evelyn usai majlis pernikahan itu. Entahlah, aku dapat lihat Evelyn mudah saja masuk dengan sepupu yang paling kubenci itu. Aku sudah lama tidak menyukai Eric.

Bagiku, Eric dan kedua ibu bapanya tak habis mempersoalkan saham syarikat. Seringkali, aku mendengar mummy tak berpuas hati dengan sikap daddy yang langsung tak berkira dengan adik-beradiknya berkaitan harta keluarga yang diwariskan daripada arwah atuk dan nenek.

Mummylah yang paling banyak mempertahankan diriku. Menurut mummy, aku yang lebih layak. Ya. Betul kata mummy. Aku yang paling layak memiliki segalanya...

Aku agak terkejut, sebaik perasan tangan isteriku diraih Eric lantas dikucup... kedua tangan aku jatuhkan ke sisi.

Menyirap darahku!