Part 5


“SAYANG?”

Suara garau itu menyebabkan aku dan Eric serentak menoleh. Lucas sudah menghampiri kami yang tengah rancak berbual ketika itu.

Hubungan aku dan Eric tiada masalah sejak mula perkenalan lagi. aku lebih selesa bila berbual dengan Eric kerana dialah yang paling ramah menegurnya berbanding kebanyakan sanak saudara Lucas yang lain. Barulah aku tahu yang Melisa itu rupanya adik bongsu kepada Eric sendiri.

Cumanya, aku baru saja bertemu dengan adiknya. Sebelum ini, aku tak pernah nampak pun dia di majlis nikah kami minggu lalu. Aku yang tak perasan agaknya.

“Apa yang sayang tengah bualkan tu?”

Riakku seperti tak percaya bila melihat perubahan sikap suamiku yang mendadak. Aku tersedar.

Patutlah dia bersikap macam tu. Kami sekarang sedang diperhatikan keluarganya. Nampaknya, aku juga kena berlakon di depan mereka memainkan watakku.

Aku mahu lihat. Sejauh mana Lucas mampu bersabar dengan kerenahku pula. Orang kata, jangan sesekali buat isteri ini makan hati. Bila sekali sudah menyampah, lelaki mana yang sanggup tahan? Silap hari bulan, dia sendiri yang datang melutut, merayu-rayu kepadaku. Masa itulah baru nak menyesal.

Kau belum kenal lagi aku siapa, Lucas...

Aku pamerkan senyuman paling manis kepada mereka. Bukan Lucas saja yang ternganga, Eric pun sama tidak berkelip mata memandangku. Rambut halusku ditebak ke belakang. Sengaja aku pamerkan senyuman menawan yang biasanya, mampu mencairkan pandangan mana-mana lelaki yang memandangku.

Kedua-dua lelaki di depanku ini bagai terpaku. Aku sembunyikan senyum sinis.

Maklumlah, bekas peragawati sepertiku sudah terbiasa beraksi dengan pelbagai gaya menawan di atas pentas peragaan. Dikelilingi populariti dan cahaya kamera lensa para wartawan, aku benar-benar tak kekok langsung. Aku lebih suka bersikap profesional demi karier saja. Bila dah macam ni, terpaksalah aku bertindak di luar jangkaan.

Aku hanya berharap Lucas semakin menyampah, dan seterusnya dengan mudah melepaskan aku dari ikatan perkahwinan yang tak memberi apa-apa makna ini.

Aku pun hairan dengan Lucas. Dia memang langsung tidak tertarik ke dengan aku?

Tapi... bila dilihat pada gayanya kali ini, Lucas macam kalah saja dengan aku. Tanpa berkelip dia pandang aku. Seperti mahu ditelannya saja. Calm down, Lucas... takkanlah, baru saja aku tayang senyum pun, kau dah macam cacing kepanasan? Heh!

“Tak ada apa pun. Just saying hi to Eric. Kan Eric?”

Aku bersuara lembut.

Ikutkan, bukanlah niatku hendak menggoda Eric. Aku nak ajar cukup-cukup lelaki berlagak ini. Itu saja.

Yes, Astrid. I never knew you have the most beautiful and sweetest smile ever.”

Eric membalas dengan kerlingannya. Aku tergamam.

Muka Lucas terus berubah merah padam. “Since when did you call her... Astrid?”

Suara Lucas garau menerjah. Tajam matanya memanah muka Eric yang selamba. Eric tersenyum.

Why not? Is there something wrong if I call her like that? Aku rasa panggilan tu lagi sesuai dengan wife kau yang cantik ni.”

Eric memuji. Aku tersentak.

Lucas ketawa. Sinis bunyinya. “Berani betul kau puji bini orang lain di depan suami dia.”

Eric terdiam. Mereka sama-sama beradu pandangan. Aku tak faham. Kenapa Lucas tiba-tiba nak marah? Bukankah dia sendiri membenci aku? Benci dengan perkahwinan ini.

Sorry. Aku tak maksud pun. Dah memang Astrid ni cantik pun. Kau tak bangga ke ada isteri yang cantik macam ni?” sengih Eric. Cukup bijak dia mengawal situasi yang agak tegang tadi.

Lucas memaut pinggangku seraya merapatkan tubuh sasanya itu. Aku tak mampu menolaknya. Debaran hatiku ini hanya Tuhan saja yang tahu. Puas aku cuba membuang rasa bahagia yang bertamu ini. Alangkah bahagianya, kalau Lucas betul-betul memiliki perasaan yang sama seperti apa yang aku rasa ini. Mustahil, Evelyn... tidak mungkinlah.

Rasa bahagia yang hadir itu aku singkirkan.

“Sama ada aku bangga atau tidak, kau tak berhak ambil tau. Aku tak suka bila kau puji Evelyn lebih-lebih. Ini amaran aku yang terakhir. Aku tak main-main. Aku tak nak dengar lagi kau puji Evelyn apa-apa lagi lepas ni. Got it?”

Serius raut Lucas. “Hanya aku aje yang berhak untuk puji dia.”

“Jom, sayang. Kita ke ruang tamu sekarang. Abang nak bincang sesuatu dengan family abang.”

Eric membalas tenungan tajam Lucas dengan senyum sinis. Aku buat-buat tak perasan.

Lucas menarik tubuhku supaya mengekori langkahnya.

Aku memandang ke arah kerusi yang masih kosong, Lucas pula terus menarik aku agar berdiri membelakanginya. Dia memeluk pinggangku sambil menyandar ke dinding yang menghadap mereka. Jari-jemari kami bersulaman. Air liurku tersekat.

Tidakkah, melebih-lebih lakonannya? Nak disuarakan aku takut dia naik angin pula nanti. Aku terpaksa membiarkan walaupun, ikutkan aku malu juga diperlakukan begitu di depan keluarganya.

Datin Rose menjeling aku dengan tajam sekali. Dato’ Arsyad pula hanya bermuka biasa. Eric turut berdiri tidak jauh dari situ. Mereka terus berbual seperti biasa. Sesekali, Dato’ Arsyad bertanyakan Lucas.

“Abang Lucas ni bila nak plan honeymoon?”

“Tengok dulu macam mana. Tunggu cuti lama sikit,” jawab Lucas.

“Hai, nak tunggu cuti tu bila? Abang pun memanjang aje sibuk. Bawalah Kak Evelyn ni berjalan-jalan pergi honeymoon. Sementara tengah tak busy lagi ni.”

Melisa tersenyum kepadaku. Dia bersilih ganti memandang kami berdua.

Aku dapat rasa yang ada sesuatu di antara suamiku dengan sepupunya ini. Hubungan Lucas pun aku tengok tak berapa baik bersama Eric. Aku dipagut tanda tanya.

Genggaman tangan dikemaskan. Lucas membisikkan sesuatu.

“Kau jangan cuba-cuba nak buka mulut pasal hal kita ni. Kalau aku dengar kau cerita benda yang bukan-bukan, siap! Aku akan lakukan sesuatu yang akan buatkan kau menyesal sampai bila-bila.”

Aku ketap bibir.

Maybe... hujung bulan ni kut kami plan nak bercuti.”

Lucas tersenyum kepada mereka dan berlagak seperti tidak ada apa pun berlaku. Pedih sungguh hatiku bila teringat katanya yang berbaur ugutan itu.

“Sayang setuju tak?”

Suara dia kedengaran romantis di pendengaranku. Lambat-lambat, aku mengangguk bersama debaran.

“Kau plan nak bawa Astrid ke mana?” Eric sengaja menyoal. Dia berpeluk tubuh dengan renungannya kepadaku.

Aku mengalihkan mata. Tak sedap hati dengan cara Eric memandangku.

“Yang kau nak sibuk tu kenapa?”

“Entahnya, Along ni. Isy... biarlah Abang Lucas nak berdua-duaan dengan Kak Evelyn. Lisa nak bagi cadangan boleh?”

Aku seperti terhibur dengan keramahan Melisa. Aku tak menyangka yang personalitinya berbeza dengan sewaktu mula-mula aku kenal dia tadi. Nampak ketara yang Lucas lebih rapat dengan Melisa berbanding abangnya.

Lucas senyum dan angkat kening. “What is it?”

“Mungkin abang boleh bawa Kak Evelyn ke Maldives.”

“Hmm... good idea. Nantilah, abang fikirkan.”

“Baguslah, cepat sikit dapat anak tu. Tak sabar dah daddy dan mummy nak menimang cucu.”

Datin Rose menyampuk. Aku tahu yang ibu mentuaku turut berpura-pura. Aku senyum pahit. Saat ini... aku tidak langsung rasa gembira. Kalaulah aku boleh lari keluar dari sini. Alangkah bagusnya.

Perbualan mereka menjurus pula kepada urusan syarikat. Aku nampak Lucas ketara seorang yang ada kredibiliti dan karisma tersendiri. Dia begitu bersungguh sekali bila melibatkan hal kerja dan perniagaan. Satu hal yang aku tak nafikan lagi. Memang patutlah.

Terasa seolahnya aku ini hanya menjadi batu penghalang buatnya untuk mencapai impian itu. Aku mulai sebak. Aku pula lebih banyak mendiamkan diri... aku mula terasa lain bila bersama dengan keluarga Lucas. Jauh panggang dari api. Seperti langit dengan bumi.

Begitulah dengan apa yang aku rasa... lebih-lebih lagi, pandangan mummy Lucas yang skeptikal terhadapku. Aku tahu dia tidak menyukai diriku sebagai menantu di dalam keluarga ini.

Ah, tak lama saja Evelyn. Bersabarlah. Tak lama lagi kau pasti akan meninggalkan mereka sekaligus, pergi jauh dari hidup Lucas buat selamanya.