Dia, Cinta Pertama

16

SOUTH KOREA. Satu-satunya tempat yang terlintas di fikiranku saat ini. Tempat yang menjadi destinasi aku untuk membawa diri jauh dari sini. Usai diijabkabulkan dengan Khairul Hazim, lelaki yang sangat aku benci itu... yang telah menghancurkan masa depanku... yang telah meranapkan impianku... yang telah membuatkan papa benci padaku... yang telah membuatkan aku terpaksa meninggalkan orang-orang yang aku sayangi... ya, aku harus pergi jauh dari sini. Kalau orang lain yang telah berkahwin dengan pasangan yang dicintai mungkin memilih destinasi tersebut untuk berbulan madu tapi tidak bagiku.
Aku mahukan ketenangan untuk jangka masa yang panjang. Tidak pasti bilakah lagi aku akan kembali semula. Mungkin lagi setahun? Dua tahun? Sepuluh tahun? Atau buat selamanya? Atau mungkin aku akan menetap di negara orang buat selamanya.
Aku tidak pasti. Yang sebenarnya aku mahu mengembalikan semula semangatku yang telah hilang. Juga maruah diri yang tergadai akibat desakan papa serta lelaki yang pentingkan diri itu. Hendak menyebut namanya pun aku benci. Apatah lagi mengingati seraut wajah itu.
Kesemua gambar yang kononnya membuktikan perlakuan sumbangku dengan Hazim sudah aku bakar. Entah siapalah yang punya angkara. Sampai sekarang aku masih tidak tahu siapa dalang di sebalik semua ini. Terasa segala gerak-geri aku diintip seseorang. Hinggakan aku terpaksa mengupah pengawal peribadi bagi melindungi diri dari apa-apa perkara buruk dan tidak diingini dalam tempoh seminggu dua ini.
Maklumlah anak Tan Sri macam aku ada sahaja musuh dalam selimut. Bukannya selalu boleh dijangka. Manalah tahu diam-diam ada orang ingin menculikku. Sungguh, hatiku benar-benar tidak tenteram ketika ini.
Dalam diam, aku telah merancang sesuatu. Aku telah mengupah penyiasat persendirian bagi tujuan menyiasat dalang di sebalik penangkapan kes khalwat aku dan Hazim sepanjang ketiadaan aku nanti. Juga orang yang sesuka hati mengirimkan gambar pada papa. Biarlah! Aku sanggup melabur duit sebanyak mana pun. Janji orang yang tidak bertanggungjawab menyebar fitnah itu ditangkap dan dihukum.
Aku telah menghubungi Kak Azrini, kakak angkatku untuk tinggal bersamanya buat sementara waktu. Mujurlah Kak Azrini atau mesra dipanggil Kak Nini itu tidak bertanyakan macam-macam. Aku mengenali Kak Nini pun dah lama. Ketika sama-sama menuntut di USM dulu. Selepas itu Kak Nini melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana pula dalam bidang kejuruteraan di Dongguk Universiti, Gyeongju bersama suaminya yang juga belajar di kampus sama.  Mereka kini dikurniakan dua orang anak perempuan. Sudah sekian lama aku tidak bertemu dengan mereka.
“Meem dah fikir masak-masak ke?” tanya Abang Zafri.
Aku mengangguk.
“Sampai hati kau nak tinggalkan aku Meem,” tangis Dina.
“Aku datang balik masa kau nak kawin nanti okey,” aku cuba memujuknya.
Makin kuat tangisan Dina. Abang Zafri menyepi. Aku perasan yang dia lebih banyak membisu sejak sebelum tiba ke KLIA lagi.
“Betul ke Meem nak pegi? Pak Long kan berat hati nak lepaskan Meem ke sana.”
Aku menggeleng. Aku sudah nekad. Walaupun papa berkali-kali memujukku namun aku masih terus berkeras juga. Terpaksalah papa mengalah walaupun papa tidak senang dengan tindakanku meninggalkan Hazim begitu sahaja setelah kami selamat dinikahkan minggu lalu. Menurut papa Hazim masih tetap suamiku. Apa-apa pun aku wajib meminta keizinannya.
Aku sudah tidak peduli lagi dengan semua itu. Hazim menjadi suamiku kerana keadaan yang memaksa kami. Aku tidak mencintainya walau sebesar kuman sekalipun. Pernikahan ini aku anggap sekadar di atas kertas sahaja. Tidak lebih dari itu. Terlalu dalam luka di hati ini. Mereka tidak mungkin akan mengerti perasaanku ini. Sebaliknya kesalahan diletakkan ke atas bahuku. Malah papa tidak pula menyalahkan Hazim. Itulah yang paling aku kesalkan hingga ke saat ini.
“Meem pergi dulu ya. Jangan risau. Meem akan kembali.”
“Meem!”
Dina memelukku erat. Aku membalas pelukannya sambil menangis teresak-esak. Kesedihan ini tidak mampu kubendung lagi. Tetapi aku benar-benar telah nekad sesungguh hati. Aku harus meninggalkan bumi Malaysia dengan membawa sekeping hati yang luka dan melupakan segala yang telah berlaku. Aku sudah tidak kuat lagi.
“Aku rindukan kau.”
“Ya, aku pun Na... aku rindu kau sangat-sangat. Jangan risau okey?”
Aku melepaskan pelukan. Wajah Abang Zafri yang kecewa aku tatap lama. Aku tahu dia sangat terkilan dengan keputusanku untuk pergi jauh. Apakan daya hati aku sangat terluka dengan segala apa yang terjadi. Aku tidak mahu berpaling lagi.
“Abang pun... rindukan Meem...”
Terluah juga kata-kata keramat di bibir lelaki itu. Aku tersenyum hambar. Kejadian tempoh hari antara kami berdua kembali menggetarkan naluriku.
“Abang tak tahu nak mulakan macam mana, tapi walaupun segalanya dah terlambat abang tetap nak Meem tahu perasaan abang yang sebenarnya.”
“Maksud Abang Zaf apa?”
“Abang cintakan Meem.”
Lidahku kelu.
“Meem...” dia menyedarkan aku.
“Buat apa abang beritahu Meem semua ni?”
“Sebab abang tak mampu nak tanggung lagi beban perasaan ni. Abang memang benar-benar mencintai Meem sepenuh hati abang. Meem, bila abang dapat tahu yang Meem dan Hazim kena tangkap basah abang rasa kecewa sangat. Entahlah. Abang jadi macam orang tak betul je masa ayah bagitau abang semalam. Rasa macam nak gila pun ada. Semuanya serba tak kena.”
“Meem tak salah! Meem tak mintak pun semua ni berlaku.
Air mataku menitis lagi untuk kali ke berapa.
“Abang tahu Meem tak salah. Abang yakin dengan Meem yang Meem tak salah. Tapi dalam masa yang sama Hazim jugak mangsa keadaan kan.”
Aku menahan sendu.
“Abang percaya dengan Meem yang Meem tak lakukan perkara terkutuk itu. Abang tahu Meem macam mana.”
Dia meraih tanganku lalu digenggamnya erat seperti tidak mahu melepaskan. Dengan perlahan aku menarik kembali tanganku dari genggamannya.
“Kita dah tak boleh jadi macam dulu.”
“Tapi kesilapan tu masih boleh dibetulkan. Meem boleh mintak Hazim lepaskan Meem. Lagipun Meem tak cintakan dia kan.
“Tak semudah itu.”
Lelaki itu terdiam.
“Abang fikir mudah tapi bukan senang Meem nak yakinkan papa dan mama. Even mama sendiri pun tak percayakan Meem. She just hung up the phone and don’t even care every single word I say. I’m her daughter. Her only daughter but why can’t she listen to me?” aku tersedu-sedan.
Mengapa mama buat Meem macam ni? langsung tak pedulikan Meem. Di saat aku perlukan mama, dia sikit pun tak mengendahkan diriku yang dalam keadaan tertekan ini. Aku sangat kecewa dengan mama. Adakah aku hanya dijadikan sandaran untuknya mendapatkan wang semata-mata? Selama ni aku tak pernah berkira dengan mama walau satu sen pun. Aku cuma inginkan perhatian mama. Itu aje. Saat ini barulah aku sedar kedudukan aku di sisi mama. Aku berasa amat tersisih.
“Jangan sedih sayang. Abang minta maaf sebab tak dapat tolong Meem. Maafkan abang!”
Aku kehilangan kata.
Terlalu... pedih aku rasakan sebaik mendengar ungkapan itu. Ketahuilah Abang Zafri, Meem pun memang sayangkan abang. Tapi perasaan sayang ini hanyalah sebagai kasih seorang saudara semata-mata. Tidak pernah lebih dari itu. Aku sudah menganggap Abang Zafri sebagai abang kandungku sendiri. Masakan aku harus menerima cintanya begitu sahaja.
“Sepatutnya abang sebagai sepupu Meem kena lah sedaya upaya tolong tapi abang tak mampu... abang dah gagal menggembirakan hati Meem. Abang menyesal sebab tak berterus-terang dari awal perasaan abang ni. Abang kecewa dengan diri abang,” rintihnya.
“It’s all coming back to me now.”
Aku teringat dengan lirik lagu Celine Dion itu. Memang penuh maksud tersirat. Lelaki itu mengangkat muka memandang tepat ke dalam anak mataku.
“Dulu Meem cakap besar yang kononnya Meem takkan kahwin dengan lelaki yang tidak punya masa depan, yang kolot dan tak berharta macam apa yang Meem miliki sekarang. Meem lebih rela membujang selagi tak jumpa dengan lelaki yang sempurna macam abang. Meem memang kagumi abang sejak dulu lagi. Tapi semuanya dah terbalik. Akhirnya  kena jugak kawin dengan lelaki kampung tu dan dalam masa yang sama Meem dikejutkan dengan pengakuan abang.” Dengan satu nafas aku memberi penjelasan.
“Maafkan Meem sebab tak boleh terima abang. Meem memang sayangkan abang tapi sayang Meem ni sebagai seorang adik kepada abangnya. Tak pernah lebih dari itu.”
Abang Zafri mengangguk faham.
“Baiklah, abang faham. Terima kasih kerana sudi menyayangi abang walaupun kasih antara kita tak sama. Abang sedar yang abang bertepuk sebelah tangan rupanya. Abang tak paksa Meem untuk abang. Sebab abang tak mahu menyesal di kemudian hari jadi abang ambik keputusan nekad ni dengan berterus-terang. Kalau tak abang akan lebih menyesal. Abang tetap doakan yang terbaik untuk adik abang ni.” Abang Zafri tersenyum pahit.
“Meem harap satu hari nanti abang akan bertemu dengan gadis yang jauh lebih baik dari Meem.” Aku menahan esakan.
Lelaki itu tersenyum walaupun di hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Okey, dah, dah... apa nangis-nangis ni? tengok tu, dah tak cun dah adik abang ni,” dia cuba bergurau.
Aku tertawa kecil. Lekas mengesat air mata yang tidak henti-henti mengalir.
“Abang ni, kasi lah Meem nak feel sikit...”
“Eleh, nak feel pulak. Dulu bukan main lagi cakap tak nak nangis. Apa ye? Hanya orang yang lemah je akan nangis.” Ajuk Abang Zafri.
Aku menjegilkan mata. Pura-pura marah.
“What? Since when did I said that thing?”
“Hai, tak nak ngaku pulak dah...”
Aku memuncung. Geram dengan senyuman nakal lelaki itu yang sengaja mahu mengusik. Eii... cubit kang!
“Ha... dah keluar dah muncung dia. Rindulah. Dah lama tak nampak!”
Dia cepat-cepat berlari bila terpandang tanganku yang bersedia mahu mencubitnya. Akhirnya kami sama-sama tertawa. Dia berjaya juga menceriakanku walaupun aku tahu di hatinya cukup terluka sebenarnya.
Aku membalas lambaian terakhir mereka sebelum pandanganku mati pada sekujur tubuh tegap yang sasa berdiri di hadapanku. Aku terpaku. Mataku dipejam celikkan. Betul ke ni? macam tak percaya je yang Hazim turut berada di situ. Dengan kemeja putih dan kot biru gelap tergantung di lengannya. Siap berseluar slack biru gelap lagi. Betul ke Hazim? Apesal dia nampak formal aje ni? dia buat apa di sini...

Post a Comment

0 Comments