8

AKU tersenyum melihat kedatangan Abang Zafri merangkap abang sulung Dina ke rumah petang itu. Teruja sungguh kerana sudah terlalu lama tidak bertemu dengan abang sepupuku itu. Aku terjerit kecil sambil berlari mendapatkannya di pintu pagar utama. Abang Zafri senyum sahaja sambil menggeleng perlahan. Lucu agaknya menyaksikan aksi kanak-kanak ribena yang sudah dewasa ni. Di tangan kanannya ada sebungkus beg plastik bewarna putih. Masih tak berubah rupanya dia. Tetap macho seperti dulu. Malah bertambah segak dengan penampilan barunya yang berkaca mata itu.

“Hai, dah lama tak jumpa adik abang ni. Excited nampak,” sengih Abang Zafri.

“Mestilah, rindu sangat kat abang Zaf. Sejak sambung study kat France terus lupakan Meem ye,” balasku dengan nada rajuk yang dibuat-buat.

Aku mula memuncung. Tetapi aku senang dapat berjumpa dengannya yang sudahku anggap seperti abang kandung sendiri. Maklumlah aku ni anak tunggal. Aku sudah terbiasa memanggilnya abang sejak dari kecil lagi.

“Ha, tu mula dah nak keluar muncung angsa dia tu.”

Usik Abang Zafri seraya menarik bibirku. Aku hampir terjerit.

“Sakitlah orang!”

“Tau pun sakit. Yang pegi buat muka comel tu sape suruh?” meletus tawa Abang Zafri.
Aku tersengih.

“Bila abang balik ni? tak dengar berita apa-apa pun. Nasib baik jumpa Dina semalam. Dia lah yang bagitau abang dah balik. Pak Usu dengan Mak Usu pun senyap je. Sampai hati abang tak bagitau Meem.”

“Ala, abang mintak maaf lah sebab berita lambat sangat keluar. Abang agak sibuk sekarang ni sebab banyak perkara nak diuruskan. Ikutkan Meem lah orang pertama yang abang nak bagitau tau. Ni abang dah depan mata ni tak nak peluk ke?” dia tersenyum nakal.

Merah pipiku. Tak suka betul bila tiba-tiba diusik begini. Nakal betul lah Abang Zafri ni. Eii... cubit karang.

“Mana boleh peluk. Berdosa tahu.”

“Kenapa pulak?”

Hai, buat-buat tanya pulak orang tua ni. Takkan nak kena terangkan lagi hukumnya.

“Sebab Abang Zaf kan sepupu Meem. Sepupu kan boleh kawin,” aku menjawab.

“Kalau macam tu kita kena kawin dululah kan. Baru Meem boleh peluk abang,” dia tersenyum nakal.

“Eii... ngada-ngadalah. Meem tak naklah kawin dengan Abang Zaf,” aku tidak suka diusik begitu. Walaupun aku tahu niat Abang Zafri sekadar bergurau sahaja. Abang sepupuku ini memang terkenal dengan sifatnya yang agak nakal dan gemar mengusik itu.

“Yelah nak buat macam mana orang dah tak sudi. Kita ni kan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong,” giliran dirinya pula yang merajuk.

Aku tergelak.

“Sejak bila abang ni dah pandai merajuk ye?”

“Sejak dari azali lagi,” balasnya.

“Ceh... dulu tak macam ni pun. Abang Zaf yang selalu buli Meem masa kecik-kecik dulu adalah.”

Abang Zafri tertawa besar. Dia cuba menarik hidungku. Pantas aku mengelak. Sebenarnya di usia sebegini aku rasakan tidak manis lagi untuk aku dan abang sepupuku bergurau dengan cara sebegitu. Jika dulu-dulu mungkin aku tidak kisah sangat. Bertepuk tampar selamba ibarat adik-beradik kandung lagaknya. Tetapi sekarang aku harus menjaga batas pergaulanku dengan Abang Zafri. Bukan dengan dia sahaja tetapi dengan semua lelaki yang ajnabi. Aku sedar aku ini bukanlah dalam kategori perempuan yang bertudung, kadang kala pakaian pun tidak berapa sempurna sangat. Depan orang selamba pula pakai seluar paras lutut. Baju kurung tu pula boleh dikira berapa kerat sangat yang ada dalam almari pakaian.
Hm, sempurna sangat ke aku ni? Tetapi aku yakin yang satu hari nanti aku akan berubah ke arah yang lebih baik. Tetapi biarlah perubahan itu dilakukan dengan hati yang ikhlas. Itu yang lebih penting.

“Meem ni dari dulu sampai sekarang kuat betul merajuk. Padahal dah boleh jadi mak orang dah. Tapi cuma satu je yang berubah...” dia meleretkan ayatnya.

“Apa dia?”

“Meem makin cantik, makin manis dan makin comel.” Katanya perlahan. Amboi... banyaknya ‘makin’.

Kedengaran romantis pula di telingaku. Meremang bulu romaku. Dulu tak pernah pulak Abang Zafri cakap macam ni. Layan aku pun macam budak-budak je walaupun dah nak masuk 20 tahun. Ataupun aku je yang perasan begitu? Aku mengetap bibir menahan rasa.

“Hah? Apa dia? Tak dengar lah...” aku menguatkan suara.

Aku meletak tangan di telinga kanan. Abang Zafri membulatkan mata. Kami sama-sama ketawa.

“Abang Zaf pun apa kurangnya. Makin hensem. Ni mesti dah ada makwe kan. Maklumlah, orang Perancis kan lawa-lawa. Abang pulak bergaya. Mustahil takde yang sangkut kan?”

“Ish, takdelah. Abang rasa perempuan Melayu lagi cantik.”

“Yeke? Boleh percaya ke ni?” aku menduga.

“Yup, untuk pengetahuan Meem, ada kawan abang dari Perancis yang pernah bagitau abang kalau boleh dia nak cari gadis Melayu tau,” kata Abang Zafri dengan serius.

“Wow, betul ke? Biasanya lelaki Eropah tak berminat dengan perempuan Asia.”

“Tak semestinya dik. Kawan abang cakap macam tu pun sebab dia tertarik bila tengok gambar yang abang tunjukkan pada dia.”

“Eh, gambar apa pulak ni?” aku bertanya hairan.

“Gambar Meem lah. Sape lagi...”

Senyuman Abang Zafri melebar. Aku tergamam. “Betul ke?”

Dia angguk kepala.

“You’re not joking around did you?” aku mengecilkan mata.

“Nope dear. Tak hairan lah sebab adik abang ni memang cantik dan manis orangnya,” dia mencubit pipiku tanpa sempat aku mengelak.

Aku tersenyum sumbing. Tidak tahu hendak kata apa lagi. Abang Zafri ni, ada-ada jelah. Ini yang aku jadi ‘terperasan’ ni,he he...

“Ni bila nak jemput abang masuk ni?”

“Eh, lupa pulak. Seronok sangat berbual tadi,” aku tersengih.

“Oh ya, Pak Long ada kat dalam tak?” tanya Abang Zafri pula.

Aku mengangguk.

“Kat dalam plastik tu ada apa?” aku ingin tahu.

“Oh, ni ada ole-ole abang beli dari Perancis khas untuk adik dengan Pak Long. Untuk bibik pun ada jugak tau,” jawabnya sambil tersenyum.

“Wah, bestnya,” aku terjerit kegirangan.

“Okey, jom kita masuk dalam dulu. Tak sabarlah nak tengok present Abang Zaf ni,” aku menarik lengannya. Dia menggeleng melihat gelagatku. Pening agaknya melayan kerenahku yang macam budak-budak ni!

Tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam.

“Waalaikumusalam...” aku segera menoleh. Hatiku berdebar melihat gerangan orangnya itu.

“Hazim,” aku bersuara perlahan. Aku perasan lirikan mata Abang Zafri ke wajahku.

“Meem, saya datang ni nak ambik Atai balik.” Dia terus menerangkan tujuan utamanya berada di situ. Gayanya santai sahaja dengan berbaju-T belang kuning dan putih serta berseluar jeans lusuh.

Oh... ye tak ye jugak kan. Untuk apa dia ke mari jika bukan kerana anaknya? Masakan dia hendak membazirkan masanya bertemu denganku pula? Jangan nak beranganlah ye Shameem.

“Em, dia ada kat dalam. Tadi baru je bagi dia makan. Ada dengan bibik agaknya.” Aku menjawab acuh tak acuh je.

Hazim mengangguk sambil tersenyum. Kemudian dia menoleh ke arah Abang Zafri yang berdiri tercegat di sebelahku. Abang Zafri membalas senyumannya sambil mengangguk sedikit.

“Dia tak buat hal ke hari ni?” tanya Hazim.

“Taklah, dia okey je.”

“Dah bagi vitamin?”

Aku mengangguk. Aku merasa agak kekok untuk berbual dengannya memandangkan Abang Zafri turut berada di situ mendengar perbualan kami yang minima itu. Tiada apa yang ingin dibualkan lagi. Lagipun aku masih sakit hati dengan peristiwa semalam. Peristiwa yang makin menambahkan kebencianku terhadapnya. Hazim juga aku lihat kekok. Aku perasan pandangannya yang lain macam pada Abang Zafri. Aku berdehem.

“Kenalkan ini cousin saya, Abang Zafri.”

“Khairul Hazim.” Hazim memperkenalkan dirinya.

Tanpa dipinta dia menghulurkan tangan untuk bersalaman. Abang Zafri menyambut huluran tangannya dengan mesra.

“Zafri Anuar. Zafri just fine.”

Baru aku tahu nama penuhnya. Selama ini aku sering tertanya-tanya dan sekarang baru aku puas hati sebab dah tahu jawapannya. Khairul Hazim. Hmm... sedap nama tu. Tanpa sedar aku telah memujinya. 

“So, awak ni jiran Shameem lah ya?” tanya Abang Zafri.

“Ya, rumah saya sebelah ni je. Zafri?”

“Saya tinggal dekat Shah Alam. Sebenarnya baru sampai sini dua hari lepas.”

“Sebelum ni tinggal di mana?” Hazim menunjukkan minat ingin tahu.

“Di Perancis for about three years. Sambung belajar dekat sana and then after graduation balik sini semula. Hazim kerja di mana?”

Hazim terdiam sejenak. Seolah memikirkan sesuatu. Dia melirik ke arahku yang sedang menantikan jawapannya.

“Ada buat bisnes sikit. I mean, kerja sendiri. Tak terikat dengan mana-mana organisasi,” jawabnya ringkas.

Satu jawapan yang paling selamat aku kira. Yelah, takkan nak cakap penternak ayam atau itik di kampung kot. Dia pun aku tengok sekejap kerja, sekejap duduk rumah. Cuti sampai sebulan, dua. Lepas tu kerja tak menentu. Entah-entah penganggur je kot. Tengok gaya pun dah tahu. Maklumlah orang kampung katakan. Aku memandangnya sinis.

“Bagus tu. Saya pun ada terfikir jugak nak bukak bisnes sendiri. My father is a businessman. Teringin nak ikut jejak langkah dia satu hari nanti. Nak uruskan company dia. Tapi saya tahu bukan senang nak handle suatu organisasi kalau takde ilmu dan pengalaman. Sebab tu saya further studies walaupun umur dah tua. Bagi saya nak cari ilmu tak kira usia. Betul tak Hazim?”

Sekejap aje mereka dah menjadi ramah antara satu sama lain. Berlainan pula dengan diriku. Walaupun sudah hampir dua bulan mengenalinya masih lagi berasa kekok dan kurang serasi. Tidak tahulah mengapa.

“Siapa kata dah tua? Zafri tak nampak tua pun. Saya harap satu hari nanti dapat sambung belajar macam awak jugak.” Hazim menyuarakan pendapatnya.

“I hope so.”

“Eh, Atai meh sini dekat auntie. Ni daddy dah datang nak bawak Atai balik,” aku mengambil Atai dari bibik yang muncul dari muka pintu.

Hazim tersenyum melihat anaknya. “Come here sayang. Dah kenyang ye?”

Dia mengusap rambut lebat Haikal. Haikal mengangguk. Suka benar dia dengan kehadiran ayahnya di situ. Dia sememangnya manja dengan Hazim. Aku memerhatikannya. Ketara benar sifat penyayangnya itu. Hatiku sedikit terusik dengan sifat bapa yang ditunjukkan itu.

“Anak Hazim?” soal Abang Zafri. Dahinya berkerut.

Hazim mengangguk.

“Umur berapa tahun ni?”

“Masuk bulan ni je dah empat tahun. Namanya Haikal tapi panggil Atai je.” Jawab Hazim mesra.

“Oh...” Abang Zafri mengangguk.

“Comelnya dia.” Pipi tembam Haikal dicubitnya perlahan.

“Umur Hazim pulak?” tanya Abang Zafri lagi.

“25. Kenapa?”

“You already have a kid at this age. Memanglah benda tu biasa je tapi bagi saya umur macam awak muda lagi nak ada anak.”

Dia tersenyum kecil.

“Dah jodoh memang awal. Tak salah kahwin muda kan.”

“Ya, tak salah. Wife kerja jugak ke?”

“Dia dah meninggal setahun yang lalu.”

Wajah Abang Zafri terus berubah. “I’m sorry...”

“It’s okay. Doesn’t matter anymore.”

“Tak terfikir nak cari pengganti mama Atai?”

“Ada jugak...” jawab Hazim sambil memandangku. Aku terkesima. Apa maksud pandangannya itu? Abang Zafri terdiam lama. Tiba-tiba pandangannya beralih padaku. Begitu tajam sekali.

“Dah jumpa?”

Hai, lain macam je soalannya kali ni.

“I guess so. But still need time to think about it,” jawab Hazim tenang.

“Orang dekat ke orang jauh?”

Pertanyaan Abang Zafri itu membuatku tergamam. Aku mula rasa tak sedap hati. Aku menyembunyikan rasa hatiku yang sudah tidak keruan. Apa kena dengan Abang Zafri ni? soal siasat macam pegawai polis je. Aku rasa Abang Zafri memang ada bakat jadi polis lah.

Hazim terdiam. Lama sekali sebelum dia akhirnya menjawab. “Orang dekat dah ada depan mata. Takkan nak susah-susah cari yang jauh pulak?” dia tersenyum penuh makna. 

Sukar untuk aku memahami maksudnya itu. Mungkin Sheila yang dimaksudkan itu. Aku membuat andaian sendiri.

“Oh...” Abang Zafri mengangguk-angguk.

“Tak salah tu. But you must make sure one thing...”

Satu senyuman terukir di bibir Abang Zafri.

“Meilleur gagne.”

Aku ternganga tidak mengerti apakah yang dimaksudkan itu.

“Apa tu Abang Zaf?” aku menyoal.

Tetapi dia tidak menjawabnya. Senyumannya makin lebar. Aku blur. Hazim kulihat sudah berubah mukanya. Dia faham ke? Aku tertanya-tanya.

“Okey, kalau dah takde apa-apa saya masuk dulu. Anyway, nice to meet you Mr. Hazim.”

Aku memandang Hazim seketika. “Err... saya masuk dulu ye.”

Kemudian mengekori langkah abang sepupuku itu. Senyuman tidak putus-putus terukir di bibir Abang Zafri tanpa aku ketahui maksudnya.

“Juste attendre et voir,”  Hazim tiba-tiba bersuara.

Langkahku terhenti. Begitu juga dengan Abang Zafri. Dia menoleh dengan wajah tidak percaya dan terkejutnya. Mati senyumannya. Aku yang tak faham apa-apa ni lagilah terkejut. Langsung tak faham dengan bahasa apa yang digunapakai mereka itu. Kalau cakap Inggeris tu bolehlah jugak nak faham.

 “Je vais m’assurer que je recois son...”

Abang Zafri mengangguk perlahan sebelum tersenyum penuh makna. Wajahnya yang tegang tadi kembali dikendurkan. Kemudian dia berlalu dari situ meninggalkan diriku dan Abang Zafri.

“Hazim cakap apa tu Abang Zaf?”

“Meem akan tahu juga nanti. Cuma... abang tak sangka dia pandai berbahasa Perancis,” jawabnya.

Fikiranku mulai terganggu. Macam-macam yang aku fikir. Tak sangka pula pemuda kampung macam Hazim boleh berbahasa asing. Sama hebat dengan Abang Zafri. Cuma dia tak kaya je. Betul-betul susah nak percaya!