15

WAJAHKU ditenung dengan begitu tajam sekali. Bagai mahu ditelan hidup-hidup. Aku masih menundukkan muka tanpa menghiraukan tenungan papa itu. Aku sudah tidak berdaya untuk berdiri lagi. Terasa seolah aku kini berada di alam mimpi. Seandainya semua ini hanyalah khayalan belaka alangkah indahnya... tapi semuanya bagaikan mustahil. Kerana kenyataan yang pahit ini harus kutelan mentah-mentah walaupun rasanya amat perit sekali.
“Papa tak sangka, tergamak Meem buat papa macam ni. Kenapa Meem? Apa masih kurang lagi ke didikan papa pada kau selama ni?!” jerkah papa.
Aku menahan sebak di dada. Bukan macam tu pa... papa dah salah faham. Air mataku kembali menitis ke pipi. Semakin lebat pula bercampur dengan esakan tangisku yang tidak henti-henti. Bersama dengan titisan hujan yang lebat di luar kediaman Vila Arina.
“Meem tak buat semua tu pa. Percayalah cakap Meem. 
Entah kali yang ke berapa aku mengulangi perkataan itu. Aku sudah terlalu letih meyakinkan mereka. Papa sendiri pun tidak mempercayai kata-kataku. Tuhanku, musibah apakah ini? Aku memaut lengan papa yang duduk di sofa. Papa menggeleng kesal.
“Habis tu, bermakna cakap-cakap ustaz tu kira menipulah ye?” kata papa sinis.
“Papa lebih percaya cakap mereka dari Meem ke hm?”
“Kalau dah terang lagi bersuluh nampak Meem berdua-duaan dengan Hazim dalam gelap. Dalam rumah ni pulak tu, apa lagi yang Meem nak bagitau papa untuk buktikan yang Meem tak bersalah?”
Papa mencampakkan sepucuk sampul surat berwarna coklat di atas meja. Aku tergamam. Surat yang sama aku lihat petang tadi.
“Cuba Meem buka dan tengok sendiri isi surat tu.”  
“Apa ni papa?”
Aku terperanjat kerana di tanganku kini ada lebih dari sepuluh keping gambar aku dengan Hazim. Gambar ketika aku dan Hazim yang baru pulang dari makan malam di rumahnya dan sewaktu dia memapahku yang cedera semasa berjoging tempoh hari. Kalau orang lain yang tak tahu cerita sebenar di sebalik gambar-gambar ini memang nampak keadaan kami ketika itu begitu mesra sekali.
Mustahil! Pasti ada muslihat di sebalik semua ini. Yang peliknya, siapa pula yang mengambil gambar-gambar ini dan apa motifnya? Tidak mungkin ada seseorang yang mengintip diriku atau Hazim. Aku semakin tidak mengerti dengan situasi ini.
Aku mengetap bibir. Aku yakin yang semua ini telah dirancang. Bagaikan ada seseorang yang mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan sama ada aku atau pun Hazim sendiri. Tapi siapakah orang itu? aku pandang Hazim namun dia begitu tenang. Seolah tiada apa yang berlaku. Manusia jenis apakah dia ini? Langsung tidak berperasaan. Kalau aku tahulah siapa punya angkara memang mati dia aku kerjakan. Seandainya isi surat ini aku duga dari awal lagi aku akan bakar surat ini. Biar papa tak tahu tapi semuanya sudah terlambat. Bagaikan sudah tersurat semuanya. Ya Allah... besarnya dugaanMu ini. Hatiku mulai sebak.
“Meem tak lakukan benda tu papa. Meem dah tak tau nak cakap macam mana lagi...” aku bagaikan sudah putus asa. Harapanku untuk meyakinkan papa gagal. Punah sama sekali.
Aku merenung tajam Hazim yang masih membatukan diri di satu sudut. Sakit hati ini sudah tidak mampu untuk diungkap dengan kata-kata lagi. Sikap membisu lelaki itu benar-benar menyakitkan! Terasa mahu sahaja aku cincang lumat-lumat lelaki yang berada di hadapanku ini.
“Hoi jantan! Kenapa kau diam je hah? Kau sedar tak yang semua ni disebabkan salah kau tu? kalau kau tak masuk ke dalam rumah aku tadi dah lama hal macam ni takkan berlaku. Bodoh! Ini semua gara-gara kau tau tak? Gara-gara kau!!”
Aku menempik sekuat hati. Aku terus menerkam ke arah Hazim ibarat singa kelaparan. Menumbuk-numbuk dadanya bagai orang dirasuk syaitan. Aku sudah tidak kira lagi. dan Hazim tidak sedikit pun melawan. Dia terus-terusan membisu seperti orang bingung.
“Kenapa kau diam hah? Kenapa kau senyap?!” tangisanku semakin kuat dan lantang.
“Meem. Dah lah tu. Yang kau macam orang tak betul hati ni kenapa?” marah papa.
Dia menarik tubuhku menjauh dari Hazim. Aku meronta-ronta.
“Lepaskan Meem papa. Meem nak bunuh lelaki tak guna ni. Dia memang sengaja perangkap Meem papa. Meem nak bunuh dia pa!” jeritku.
“Meem sedar tak apa yang Meem cakap ni hah?!” jerkah papa.
“Meem memang tak sedar! Meem memang gila! Lebih baik Meem jadi orang gila dari kena tangkap khalwat dengan jantan ni!” jari telunjukku dituding padanya.
Aku tidak menghiraukan panggilan papa. Aku mendekati Hazim dengan mata membuntang kemerahan menahan amarah. Aku meludah sehingga nyaris mengenai bajunya. Betapa kebencian ini semakin meluap-luap di dalam hati.
Sungguh, aku bencikan lelaki ini. Aku benci kerana Hazim tidak sedikitpun mahu membelaku. Hanya aku yang bersusah-payah mempertahankan harga diri yang hancur musnah sehingga tiada seorang insan pun yang mempercayai setiap kata-kataku. Tiada sesiapa pun yang ingin membela nasibku. Aku difitnah. Gambar-gambar itu semua dan kata-kata ustaz itu tadi semuanya tidak benar sama sekali. Semuanya palsu belaka! Kenapa papa tidak mempercayai diriku?
“Aku benci kau tau tak? Aku benci kau Hazim!!” sekuat hati aku menempik ke arahnya.
“Jangan kau fikir kau diam macam ni bermakna kau boleh lepas tangan macam tu aje Hazim. Hei jantan keparat! kalau ditakdirkan aku tahu benda macam ni akan berlaku, mati hidup semula pun aku tak sanggup tengok muka kau tau. Jijik kau tau tak?!”
“Hoi perempuan, jaga sikit mulut kau tu ye. Tak sedar diri! Diri sendiri yang buat onar, anak aku pulak yang dipersalahkan. Macam aku tak kenal anak lelaki aku tu macam mana. Cerminlah diri kau tu dulu sebelum mengata anak aku!” lantang Mak Saodah memaki hamun diriku.
“Mak, dah lah tu mak. Memang salah Hazim semua ni berlaku. Cuma Hazim kesal kerana perkara ni terjadi tanpa diduga. Hazim sama sekali tak niat apa-apa pun mak. Percayalah mak, abah, uncle yang kami berdua tak bersalah...” Hazim bersuara lemah.
Aku terduduk longlai. Walaupun hatiku masih sakit sekurangnya aku sedikit lega dengan pengakuannya itu.
“Macam mana abah nak percaya cakap kamu ni Hazim? Kamu baru je duduk sini dua bulan lebih tapi hal macam ni pula yang berlaku. Malu abah dengan mak kamu. Mana kami nak letak muka ni dari semua orang kat kampung tu?” kata Pak Samad kesal.
Papa turut menggeleng kepala. Dia mengurut dahinya. Wajahnya menunjukkan riak penuh kekesalan.
“Kalaulah mama kau tau Meem... papa tak tahulah nak cakap apa...”
“Mama patut tahu papa. Mama kena tahu yang Meem tak bersalah. Mama lebih kenal Meem macam mana. Papa, selama ni ada ke Meem bawak balik lelaki ke rumah pa? Pernah ke Meem berkawan tak tentu hala dengan mana-mana lelaki? Melainkan Abang Zafri je yang Meem rapat. Itupun dia sepupu Meem. Bukannya orang lain. Papa pun tau kan yang Meem tak pernah ada hati kat Hazim pun selama ni. Takkan Meem nak pilih lelaki kampung yang kolot dan kerjanya menternak ayam sebagai lelaki pilihan hati Meem? Papa kena percaya cakap Meem ni. Papa pun tahu Meem macam mana kan.
Aku berusaha juga memujuk papa. Mak Saodah kelihatan tergamam. Mungkin terkejut dengan kata-kataku itu.
“Meem, bukan papa tak mahu percaya. Tapi Meem kena terima jugak hakikat ni.” jawab papa perlahan.
Maksud papa?”
“Walau seribu kali pun Meem katakan yang Meem dengan Hazim tak bersalah, hakikatnya kejadian hitam ni tak mampu membersihkan nama papa dan mama. Bukan kami je, kedua ibu bapa Hazim pun turut tanggung malu. Memang betul kata Pakcik Samad tu. Mana mereka nak letak muka dari pandangan serong orang-orang kampung nanti?” ujar papa.
“Tapi pa, hal ni kita boleh lupakan je. Tutup je mulut dan rahsiakan dari pengetahuan sesiapa jua pun. And life continues just like the way it goes. Senang aje kan.
“Meem fikir semua tu mudah? Macam tu aje?”
Aku mengangguk penuh yakin.
“Mudah bagi Meem. Tapi tidak bagi papa. Meem tak fikir ke perasaan orang tua Hazim? Mulut orang bukan senang untuk ditutup. Sorok macam mana pun lama-lama orang tau jugak.”
Aku memandang wajah Pak Samad yang tenang. Kemudian beralih pula pada Mak Saodah yang menjelingku dengan rasa meluat. Hazim tidak sanggup aku pandang wajahnya.
“Pakcik, cakap je berapa yang kami perlu bayar untuk tutup rahsia ni. Saya tak kisah berapa pun janji hal ni setel hari ini juga. Lepas ni saya tak mahu ada apa-apa kaitan dengan anak pakcik.
Pak Samad terkejut. Dia benar-benar tidak menyangka aku sanggup berkata begitu. Ya, betapa murahnya nilai sebuah harga diri bagiku. Boleh dijual-beli sesuka hati. Yang penting aku dapat lari dari masalah ini. Aku sudah tiada pilihan lagi.
“Shameem!” papa bersuara tinggi.
Lima ratus ribu. Cukup?”
Mak Saodah segera memintas. Dia bercekak pinggang. Aku tersenyum sinis. Ah, orang tua ini. Nampak benar mata duitan. Pantang bercakap soal wang ringgit. Betapa kuasa duit mampu mengaburkan pandangan mata orang-orang yang gilakan harta. Memang benar kata mama, duit mampu membeli segalanya.
“Nice. So we’re already make a deal right?” aku tersenyum.
“Adah, awak ni dah gila ke?”
Pak Samad benar-benar marah. Keterlaluan dirasakannya.
“Biarkan bang. Perempuan tak bermaruah macam ni memang tak layak dibagi muka. Kalau dia nak tawar wang pada kita sekalipun, kita tak rugi apa-apa walau satu sen pun. Apa yang penting Hazim bang. Abang sanggup ke tengok anak kita diperlakukan macam orang takde maruah? Saya tak rela bang... saya tak sanggup dah. Hazim, lepas ni kau pindah lah ke tempat lain. Asalkan tak jumpa lagi dengan perempuan gila ni. Mak dah tak sanggup lagi.
Mak Saodah menangis teresak-esak. Dia mengesat air matanya dengan hujung lengan baju kurung kedahnya. Hazim menghampiri lalu memeluk emaknya. Diusap perlahan bahu Mak Saodah.
“Mak, dah la tu...” dia bagaikan kehilangan kata.
“Takpelah, saya dah pun fikirkan jalan terbaik yang boleh selesaikan kemelut kita sekarang ni,” Pak Samad bersuara tenang.
“Apa maksud abang?” tanya papa tidak mengerti.
“Macam nilah Tan Sri. Saya rasa lebih baik kita nikahkan aje budak berdua ni. Macam mana?”
Berpinar-pinar pandanganku. Jantungku seolah berhenti berdegup. Tidak percaya dengan cadangan yang diutarakan oleh Pak Samad itu.
“Abang, apa yang abang mengarutkan ni?!” Mak Saodah separuh terjerit.
“Macam mana dengan cadangan saya ni Tan Sri?” tanya Pak Samad lagi tanpa menghiraukan isterinya.
Papa terdiam sejenak. Tidak lama kemudian dia mengangguk.
“Tapi, bukan ke Hazim ni dah bertunang?”
Pak Samad menoleh pada Hazim yang tertunduk.
“Hazim dah putus tunang seminggu yang lalu. Sheila yang mintak putuskan pertunangan tu. Kami pun tak tahu apa sebabnya. Hanya Hazim aje yang tahu.
Melongo mulutku mendengarnya. Kenapa aku tidak tahu semua itu? terlalu banyak perkara yang mengejutkan berlaku dalam sekelip mata. Aku semakin resah. Papa memandang Hazim sebagai isyarat meminta penjelasannya.
 “Saya terpaksa lepaskan dia uncle. Sebab saya pernah cakap pada dia yang saya memang tak pernah ada hati kat dia. Tapi saya akan belajar untuk menerima dia seadanya. Tapi minggu lepas Sheila sendiri yang datang pada saya dan mintak pertunangan kami diputuskan. Dia tak mahu paksa hati saya lagi,” jawab Hazim dengan sejujurnya.
“Tan Sri, saya tak mahu menyusahkan Tan Sri sekeluarga malah keluarga saya sendiri. Demi menjaga aib dan maruah kita sekeluarga adalah lebih baik jika hubungan kekeluargaan kita ini diikat dalam satu ikatan yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa jua pun lagi. Saya harap sangat-sangat. Saya yakin yang mungkin ada hikmah di sebalik semua yang berlaku ni.”
“Kalau macam tu saya pun setujulah dengan cadangan Abang Samad tu. Rasanya tak perlu lah kita lengahkan lagi benda ni. Ini bukan je membabitkan maruah kedua belah pihak, tapi masa depan anak-anak kita juga.” Papa terus memberikan persetujuan tanpa berfikir panjang lagi.
Aku menggeleng berulang kali. Tidak... bukan ini yang aku mahukan. Papa tidak harus senekad ni dengan menjodohkan aku dan Hazim. Masih ada banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah.
“Papa, Meem tak setuju. Meem tak mahu kawin dengan lelaki ni pa. Kenapa semua orang buat keputusan sesuka hati tanpa faham perasaan Meem? Meem ni tunggul kayu ke kat sini? aku tersedu-sedan.
“Saya pun tak setuju bang. Saya tak mahu masa depan Hazim tu musnah. Hazim tu muda lagi bang. Tolonglah bang... jangan macam ni. Saya dah janji dengan Kak Ros nak pujuk balik Sheila terima Hazim semula bang...” rayu Mak Saodah.
“Tak guna awak mengharap lagi Adah. Belajar-belajarlah terima hakikat. Sampai bila awak nak paksa-paksa anak awak terima Sheila tu? dah memang mereka takde jodoh nak buat macam mana?”
“Habis tu awak ingat Hazim suka ke menikah dengan Shameem?”
Pak Samad terkedu. Semua mata tertumpu pada Hazim. Dia kelihatan serba tidak kena.
“Kalau dah itu yang abah dengan Uncle Rasid mahukan, Hazim terima je dengan redha mak,” kata Hazim akhirnya.
Papa tersenyum. Pak Samad melepaskan keluhan lega. Mak Saodah sudah terduduk.
“Meem tak mahu kawin dengan dia papa! Ini bukan penyelesaiannya.
Walau beribu kali aku menyuarakan rasa tidak puas hatiku ini, papa masih teguh dengan pendiriannya. YA ALLAH... berat sungguh dugaan yang harus aku pikul ini. Adakah semua ini sememangnya telah dirancang sejak dari mula lagi? mengapa aku dipaksa supaya menikahi lelaki yang aku sangat benci ini? Lelaki yang selama ini dianggap tidak setaraf denganku dan bakal menjadi suamiku?
“Aku benci kau Hazim! Aku bencikan kau! Tergamak kau musnahkan masa depan aku!!”
Dan aku terus terjelopok di situ juga. Entah bila masanya duniaku terus gelap-gelita.