11

“AWAK tak apa-apa ke?” tanya Hazim risau.

Dia sudah berlari mendapatkan diriku yang terjatuh akibat tersadung batu besar tadi. Aku terduduk sambil mengerutkan dahi menahan sakit. Argghhh.... macam manalah aku boleh tak nampak batu tu tadi. Malunya!

“Meh sini saya tengok luka tu.”

“Tak payah!”

Aku menepis tangannya yang cuba membantu aku berdiri. Dahiku berkerut seribu apabila melihat luka pada siku dan kedua lutut. Darah mengalir dengan agak banyak di bahagian itu. Hm, boleh tahan teruk jugak ni. Mujurlah aku cepat-cepat menahan daripada wajah tersembam ke jalan tadi. Kalau tidak habislah calar-balar muka aku ni. Jatuhlah saham aku macam ni. Aku pandang Hazim dengan hairan.

“Awak gelakkan saya ke?!”

“Eh, takdelah. Bila masa pulak saya gelakkan awak?” jawab Hazim dengan senyumnya yang ditahan-tahan.

Ceh... tak guna! Dia ingat aku tak perasan ke muka dia tadi. Macam nak ketawakan aku je yang jatuh tergolek ni. Ini semua dia punya pasal. Kalau dia tak panggil-panggil aku tadi mungkin aku tak jatuh. Memalukan!

“Ini semua awak punya pasal lah Hazim. Kalau awak tak jerit panggil saya tadi takdelah saya pandang belakang tadi. Mesti mata saya nampak batu besar ni!”

Aku menyepak dengan geram batu itu. Meletus tawa Hazim. Bertambah-tambah lah aku bengang.

“Siapa suruh pandang belakang?” nadanya ingin mengusik sahaja.

“Suka lah tu!” aku menjuihkan mulut.

“Pelik lah awak ni Meem. Batu sikit punya besar kat depan pun boleh tak nampak,” kata Hazim dengan sisa tawanya.

Aku menjelingnya tajam. “Hah, gelak lah lagi. Gelak puas-puas. Biar sampai terburai tali perut tu!”

Dia ketawa besar. Aku mencebik sahaja. Tanpa mempedulikan amarahku itu Hazim terus membelek luka di siku kanan. Aku terkejut lalu menepisnya.

“Eh, apa pegang-pegang ni?”

“Hm... nampak teruk luka tu.” katanya tanpa sedikit pun mengendahkan kata-kataku tadi.
Aku cuba untuk berdiri namun badan aku gagal diseimbangkan menyebabkan aku hampir terjatuh.

“Ahh!!”

Terasa tangan sasa Hazim memaut erat pinggangku. Wajahnya begitu hampir sekali. Sehingga aku dapat merasa desah nafasnya yang tidak sekata. Jantungku berdegup kencang. Inilah pertama kali aku berada sangat dekat dengan seorang lelaki. Saat ini aku dapat merasakan seperti berada dalam filem Kuch Kuch Hota Hai... Aku mula dibuai perasaan.

Eh, apa yang aku buat ni?! aku tersedar kembali ke alam nyata. Eii... geramnya. Kenapa aku boleh tiba-tiba biarkan diri sendiri hanyut dalam khayalan itu tadi? tidak pernah aku sejiwang ini. Lebih-lebih lagi dengan pemuda kampung ni pulak? Erk! please lah...! Tubuh Hazim aku tolak dengan kasar sehingga dia terdorong ke belakang.

“Awak buat apa ni Hazim?”

Lelaki itu agak terkejut dengan tindakan yang tidak semena itu. Merah padam muka aku menahan perasaan bergejolak di hati. Malu, marah, geram, benci, dan sakit hati semuanya bergabung menjadi satu. Sehingga sukar untuk diungkapkan lagi perasaan yang bagaimana aku rasa saat ini.

“Meem, awak kan nak jatuh tadi. Tu yang saya cuba nak tolong.”

“Ah, tak payah susah-susah. Awak memang sengaja nak ambik kesempatan kan sebenarnya Hazim?” herdikku.

“Bila masa pulak saya nak ambik kesempatan ni? saya cuma nak tolong awak je. Takkan lah nak biar je awak jatuh tadi.” jawab Hazim tenang.

Aku merengus kasar. Malas mahu menjawab.

“Luka awak tu nampak teruk. Jom saya hantar awak balik. Lepas tu boleh sapu ubat sekali.” Hazim berkata risau.

“Yang awak nak susah-susah risaukan saya ni kenapa? Ikut suka hati lah saya nak balik ke tak. Saya bukannya budak lagi. Dah, pegi dari sini!” aku menolaknya ke tepi.

Aku berlalu dari situ dengan kaki yang terjengket-jengket. Hati ni dah lah sakit dia pulak nak paksa-paksa aku ikut cakap dia.

“Eh, apa ni? lepaslah!” aku cuba menarik tangan yang dipaut erat Hazim secara tiba-tiba.

“Jalan pun dah tak betul, ada hati nak balik sendiri,” Hazim seperti menyindirku.

“Kan saya cakap tadi tak payah!” aku masih berkeras.

Wajah Hazim berubah serius.

 “Awak ni kan Meem. Memang bodoh sombong tahu tak? Dah tau diri macam ni masih lagi nak degil. Kali ni saya takkan biarkan awak ikut keras kepala awak lagi.”

“Hei, ikut suka saya lah nak buat apa pun. Awak sape nak paksa-paksa saya ni hah?” aku menengkingnya.

“Memang saya bukan sape-sape pun tapi tanggungjawab saya nak bantu awak. Kalau jadi apa-apa pada awak siapa yang susah nanti? Papa awak jugak kan? Lepas tu mesti dia akan soal saya sebab saya jiran awak!”

Aku mengetap bibir geram. Memang ada benarnya kata-kata lelaki ini. Namun masih tidak berjaya melunturkan ego di hatiku. Aku tidak harus memperlihatkan yang aku membenarkan kata-katanya tadi.

“Huh, memang dasar penternak ayam tak sedar diri!”

Hazim tersenyum mendengar gelaran yang aku beri khas padanya itu. seolah ejekan itu tidak berbekas langsung di hatinya. Sebaliknya dia memaut kembali tangan kiriku. Aku menepis kuat.

“Hisy...”

Aku mencebik dengan rasa meluat yang teramat.

“Cik Shameem dengar sini ya. Kalau awak masih berkeras hati jugak... saya tak teragak-agak untuk dukung awak bawak balik sampai rumah. Lantak lah kalau orang lain nak tengok ke atau papa awak sendiri. Awak nak macam tu ke?” bisik Hazim perlahan.

Serta-merta merona merah wajahku. Akhirnya, dengan terpaksa aku membiarkan sahaja dipapah olehnya. Dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu saat ini. Bagaikan hendak pecah jantung dibuatnya.

“Ah, one more thing.”

“What?” Apa lagi lah mamat ni? ada je modalnya. Nak cari pasal lagi lah tu dengan aku.

“To speak kindly does not hurt the tongue.” Kata Hazim penuh makna.

**********

LAIN YANG hendak dibuat, lain pula yang jadinya. Inilah pengalaman joging aku yang pertama dan memberi kesan mendalam buatku. Semuanya gara-gara lelaki itu. setiap kali aku bertemu dengan dia, ada sahaja yang tidak kena. Pasti nasib malang akan menimpa. Memang lelaki itu pembawa sial buatku. Kalau aku tak jumpa dia pagi tadi mesti aku dapat berjoging dan bersenam dengan tenang.

Aku merenung plaster yang bertempek pada siku dan kedua lutut. Sebaik sahaja sampai di rumah tadi, Hazim bergegas memasuki ke dalam rumahnya. Dia menyuruhku duduk di bangku yang tersedia di halaman rumah. Aku terpaksa menurut. Ingatkan dia hendak buat apa. Rupanya dia keluar dengan membawa kotak first aid kit di tangan. Walaupun berpuluh kali aku menolak pertolongannya namun dia masih berdegil juga. Keras kepala betul si penternak ayam itu. Akhirnya aku hanya membiarkan sahaja. Bagus juga sebab dia layan aku macam tuan puteri pun. Aku ni kan anak orang kaya. Memang patutlah dia kena layan aku baik-baik.

“Ni semua Hazim tak guna tu punya pasal. Menyesal aku pegi joging tadi.”

Aku berkata geram. Teddy bear yang berada di birai katil itu aku ramas dengan sekuat hati.

“Hai anak papa ni kenapa? Cakap sorang-sorang. Dah angau dengan jiran sebelah rumah ke?”

“Jiran yang mana satu ni papa? Takkan Uncle Vinesh sebelah rumah ni pulak.” Aku membayangkan jiranku yang berbangsa India itu. Uncle Vinesh yang bertubuh agak gempal dan sudah mempunyai anak isteri itu sungguh ramah dan baik hati sekali.

“Alah, buat tak faham pulak anak papa ni. Si Hazim tula...”

Dahiku berkerut seribu. Oh, maksud papa jiran sebelah kanan rumah rupanya.

“Excuse me pa. Boleh tak papa jangan tambahkan marah Meem lagi?”

“Aik, marah pulak. Apa tak betul ke papa cakap tadi?”

“Papa!”

Papa tergelak kecil. Dia melabuhkan punggung di katil bersebelahan denganku.

“Meem, papa tahu sebenarnya Meem takdelah benci sangat kan dengan Hazim.”

“What do you mean by that pa?” aku kurang senang dengan kata-kata papa itu.

“Papa tahu dalam hati Meem tu dah sukakan Hazim. Tapi tak nak mengaku. Sampai bila Meem nak jadi macam ni? tak ke mana pun ego Meem tu.”

Aku tertunduk. Bulu teddy bear kaler pink yang tebal itu dimain-mainkan.

“Bila masa pulak Meem ni ego?”

“Tengok tu tak mengaku lagi.” keluh papa.

“Meem... papa tahu, Meem dulu tak macam ni pun. Papa kenal sangat Meem macam mana. Sebelum kita berpindah dari Kuala Lipis dulu seingat papa Meem ada ramai kawan. Semua orang dekat kampung tu kawan baik Meem. Maklumlah anak papa ni bukan je setakat baik, tak sombong pulak tu. Tapi, sejak kita pindah ni Meem tiba-tiba je berubah. Meem ada berhubung balik ke dengan mama?”

“Apa yang papa mengarut ni? sejak bila pulak Meem berubah? Dan mama takde kena-mengena langsung dalam hal ni.” gumamku.

Aku ni baik ke? Rasanya aku ini jenis yang memang bermulut laser dan baran tak kira masa. Sejak bila pulak aku berkawan baik dengan orang kampung di Kuala Lipis dulu? Papa dah silap menilai aku. Ya, aku bukanlah sebaik yang disangka. Malah aku tidak pernah berkawan baik dengan sesiapa pun di kampung dahulu kecuali... Isya. Cuma yang pastinya aku tidak tahu di mana dia berada kini kerana aku sudah terlalu lama tidak berhubung dengannya. Papa ini kenapa pulak tiba-tiba nak mengaitkan aku dengan orang kampung dan Hazim ni? hairan betul aku dibuatnya.

“Kalau bukan pasal mama, habis tu siapa? Kenapa Meem tiba-tiba berubah sampaikan nak berkawan pun kena memilih dulu. Yang lagi berpangkat, yang lagi kaya, habis tu lelaki macam Hazim tu masih tak cukup baik kah bagi Meem?”

“Ala, come on pa... Hazim tu isy... Meem tak berkenan lah dengan lelaki kampung yang kolot macam tu. kalau dia tak bertunang sekalipun jangan haraplah Meem sudi nak terima dia sebagai pasangan hidup. Jangan-jangan nak bagi makan pasir pun tak mampu. Apa yang lelaki tu mampu bagi Meem? Kereta mewah? Banglo sebijik? Emas permata? Silap hari bulan kerja dia tu kalau bukan penternak ayam mesti jadi penjual besi buruk. Sebab tu dia malu nak cakap dia kerja apa. Jangan menganggur je sudah lah.”
Papa menggeleng perlahan.

“Orang macam tu jangan dipandang rendah tau Meem. Papa cuma nak nasihatkan je. Lagipun papa memang suka dengan Hazim tu. Mungkin sekarang Meem tak nampak. Tapi mana tahu ada jodoh Meem dengan dia...”

“Papa ni tak habis-habis nak mengarut. Dah lah. Meem dah ngantuk ni pa. Nak tido.”
Aku menguap perlahan.

“Takpelah... Meem fikirlah kata-kata papa ni. apa yang baik bagi Meem papa akan selalu sokong dari belakang. Benda yang lama tu elok dilupakan je. Buat apa nak ingat. Tidurlah elok-elok.”

Aku terbungkam tanpa kata.

“Good night pa. Love you.”

Papa mengangguk sambil mengukir senyuman. “Love you too.”

**********

AKU mengeluarkan sehelai jersi dari kotak yang sederhana besar. Lama aku membeleknya. Hatiku tersentuh. Ingatanku serta-merta menerjah pada kenangan lalu. Aku tersenyum sendiri. Tidak menyangka selepas dua belas tahun lamanya aku masih menyimpan ‘kenangan’ ini. Malahan memori itu masih kukuh tersimpan dalam ingatan.
Dialah cinta pertama. Yang pernah mencuit hati tatkala pertama kali terpandangkan dirinya. Tetapi sekarang adakah aku masih lagi mengharapkan dirinya?

**********

“MAMA nak tanya, buat apa Meem nak mintak masuk MRSM tu?”

“Meem... nak masuk sebab... sebab Meem nak belajar dekat sekolah berasrama penuh mama.”

Mama mengeluh berat. Dia terduduk di atas sofa.

“Tak payah lah. Duduk rumah kan senang. Nanti bila kena duduk asrama banyak pulak masalahnya. Temankan je mama kat rumah ni.”

“Tapi mama, Meem teringin sangat nak belajar kat MRSM Kuala Lipis tu. Masa Meem pegi seminar PMR dulu tengok macam best je. Menarik belajar kat sekolah asrama ni. Meem akan make sure mesti dapatkan 8A dalam exam nanti baru dapat tempat belajar kat situ. Boleh ye mama?”

“Lepas tu nak biar mama sorang-sorang. Macam tu?”

Aku terkaku. Bukan kah selama ini mama selalu je sibuk ke hulu ke hilir. Ligat berpersatuan. Hendak lekat di rumah pun payah. Balik-balik muka aku jugak yang ada di rumah besar ni. Bibik pula yang terasa macam gantikan tempat mama. Aku hendak protes tapi tidak mampu melawan kata-kata mama. Apalah yang mampu dilakukan oleh seorang gadis berusia tiga belas tahun ini?

“Jangan cakap mama yang Meem sebenarnya nak jumpa budak lelaki tu!” mama mula melenting.

Aku tertunduk sepi. Silap aku juga kerana bercerita pada mama perihal lelaki pengawas yang aku ‘admire’ habis semasa seminar dulu. Aku sekadar ingin berkongsi perasaan dengan mama. Tidak sangka mama akan mengungkit kembali hal tersebut. Aku jadi malu pada mama dan diri sendiri.

“Huh, kecik-kecik lagi dah menggatal!”

“Mama...”

“Meem dengar sini elok-elok. Mama tak suka Meem berkawan dengan mana-mana budak kampung yang tak setaraf dengan kedudukan kita ni. Budak tu anak doktor ke peguam? Anak Dato’? Tan Sri? Hm?” bertalu-talu mama menyoal.

“Meem tak tahu mama.”

“Dah tu? kalau anak orang berada macam kita ni takpelah jugak. Mama kasi Meem kawan dengan Isya tu pun sebab family dia ada buat bisnes. That’s the reason why. Jangan nak terpengaruh pulak. Bukan main lagi ada hati nak bercinta. Belajar pun tak habis lagi. Budak tu boleh bagi apa kat Meem?”

Aku menyeka air mata yang mengalir di pipi. Sampai hati mama menyekat pergaulanku. Hendak berkawan pun kena senyap-senyap. Disebabkan itulah di sekolah aku merahsiakan identiti sebenar aku sebagai anak Tan Sri Rasid. Hanya Isya sahaja yang memahami keadaan sebenar.

“Tapi mama, Meem sayang nak tinggalkan kawan-kawan Meem. Diorang semua baik-baik.”

“Alah, baik pun ada makna. Kalau tak sebab nak duit nak apa lagi? kau tengok Makcik Senah kau tu. tak habis-habis cerita masalah hidup dia. Macamlah mama tak tau dia sebenarnya nak mintak simpati keluarga kita. Dia tahu mama ni banyak duit. Ada harta. Macam dia sorang je miskin dan hidup merempat kat kampung ni!”

Aku tidak tahu hendak kata apa lagi. akhirnya aku terpaksa menerima sahaja kata-kata mama itu.

“Selagi orang tu tak setaraf kita, jangan sesekali kau cuba-cuba nak berkawan dengannya. Lebih lagi kalau asalnya dari kampung. Mama tak nak masa depan kau nanti gelap disebabkan orang-orang yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang pun belum tentu lagi dapat makan ke tidak. Faham?”

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata mama dahulu. Kerana itulah aku sudah terbiasa dengan diriku sekarang. Aku adalah anak orang kenamaan. Aku perlu menjaga nama baik mama dan papa. Biarlah baju jersi ini aku simpan. Tiada guna untuk dikenang lagi. Lagipun mustahil aku dapat bertemu lagi dengannya.