Bab 9

Zarul menghempas tubuhnya di atas katil. Hatinya berasa tidak enak. Jiwanya resah dan gelisah. Dia mulai tidak tenang. Tangannya diletakkan ke dahi. Lantas,matanya dipejam lama. Sampai bilakah dia harus begini?penantian yang terlalu menyeksakan. Terkadang seperti dia hanya berkhayal dan berangan semata-mata. Menanti sesuatu yang tidak pasti hujungnya sampai bila. Ibarat suatu perjalanan yang terlalu jauh sehinggakan tidak pasti di mana penghujungnya.

Semenjak abang kandungnya pulang ke rumah,hatinya memang seronok. Dia suka dapat kembali bersama abangnya menjalani kehidupan seharian dan berkongsi cerita suka dan duka yang telah lama ditinggalkan semenjak mereka masih kecil lagi. Zarith satu-satunya saudara kandung yang dimiliki. Dia amat menyayangi abangnya itu. Perpisahan yang pernah terjadi suatu ketika dahulu membuatkannya begitu menjaga hubungan mereka dua beradik dan menjadi sangat akrab sekali. Zarith bukan sahaja sekadar abang,bahkan ibarat kawan baik nya sendiri.

Tetapi sejak pertemuan antara Zarith dan Nurin Hanani baru-baru ini benar-benar telah meragut ketenangan hatinya. Pertemuan yang tidak terduga. Hanya disebabkan oleh satu kejadian kemalangan kecil yang berlaku antara mereka berdua. Dia tahu benar sifat abangnya yang satu itu. Dia memang kenal sangat siapa Zarith sebenarnya. Cuma sengaja dirahsiakan perangai liar abangnya dari pengetahuan papa. Tetapi,papa juga bijak dapat menghidu tingkah laku abangnya yang suka bersosial itu.

Patutlah bila diajak ke masjid bersama-sama, menunaikan solat berjemaah dan mendengar ceramah agama sering sahaja ditolak Zarith. Ada sahaja alasannya. Sibuklah,tiada masa lah,ada hal lah dan macam-macam lagi. Sampai naik jenuh papa menasihati. Tetapi sikap Zarith begitu juga. Tidak menunjukkan sebarang tanda ingin berubah ke arah kebaikan.

Pada saat dan ketika ini,Zarith begitu sibuk ingin mendekati Nurin Hanani. Bukannya Zarul tidak tahu tujuan sebenar abangnya. Mengapa mereka boleh bertemu?mengapa Zarith juga menyukai Hani?

Dalam diam dia berasa sangat takut dan bimbang. Bagaimana jika Zarith sekadar ingin memperdayakan Nurin Hanani semata-mata bagi memerangkap gadis itu dan seterusnya berkahwin. Sudahlah papa pula telah mengugut abangnya untuk segera menikah. Dia takut untuk menghadapi semua itu. Sesuatu yang sangat ingin dielakkan. Sesuatu yang sangat ditakuti seperti sewaktu pertama kali hatinya dilukai. Pertama kali mendapat tahu gadis itu telah bertunang dengan Shahrul.

Sedangkan dirinya…? dirinya telah lama menyimpan rasa hati dan perasaan sayang terhadap gadis itu. Sejak perkenalan mereka di bangku sekolah lagi. Ketika itu Nurin Hanani merupakan pelajar senior di sekolahnya dan pengawas sekolah. Walaupun berbeza usia setahun tetapi tidak menghalang perasaan istimewa itu dari bercambah di dalam hatinya. Semakin lama dia mengenali Nurin Hanani,semakin terpaut rasa hati ingin memiliki gadis idamannya itu. Walaupun dia masih terlalu mentah tika itu,tetapi dirinya juga seperti insan lain yang punya perasaan. Bukannya dia tidak cuba menafikan. Tetapi semakin cuba hatinya menafikan,semakin kuat ingatannya terhadap gadis itu. Gadis yang sudah lama diminati sejak dari zaman sekolah lagi.

Gadis itulah cinta pertamanya. Gadis itu membuatkannya kembali bersemangat meneruskan liku-liku hidup ini. Dia cuma ingin menumpang sedikit kasih sayang yang telah lama tidak dikecapi semenjak mummy meninggalkannya suatu waktu dahulu. Cuma dia tidak pernah mahu berterus terang. Dia juga mempunyai perasaan malu. Malu juga kerana Nurin Hanani merupakan senior nya dan bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi. Sedangkan dia baru tingkatan empat ketika itu. Masih muda belia lagi.

Mengimbas kenangan di zaman persekolahan satu ketika dahulu,membuatkan hatinya digamit rindu. Rindu dia pada segala-galanya. Kenangan dia bersama teman-teman,guru-guru dan juga…gadis itu.

“Hoi!!!”

Terdengar satu sergahan kuat di belakangnya. Terperanjat Zarul dibuatnya. Terkedu sebaik dia berpaling. Seorang pengawas sedang bercekak pinggang sambil memandangnya tajam. Pengawas itu membeliakkan matanya. Sampai nak terkeluar biji mata.

‘Garang nya minah ni,harap badan aje kecik…’              

Zarul tersengih-sengih macam kerang busuk. Dia menggaru kepala buat-buat gatal. Pengawas sekolah itu menghampirinya. Dia bersama seorang lagi pengawas lelaki yang turut berada di sebelahnya. Zarul selamba berdiri di situ. Menanti apakah tindakan selanjutnya dari kedua-dua pengawas sekolah terbabit. Tetapi setahunya,pengawas lelaki itu merupakan ketua pengawas di sekolahnya. Kiranya orang kuat juga lah. Dan pengawas perempuan itu pula…memang dia kenal benar. Iaitu kawan baik kepada Kak Faz.

“Awak tahu tak apa kesalahan awak kali ni?”

Nurin Hanani menyoal pelajar lelaki yang sering datang lewat ke sekolah itu. Matanya mencerlung tajam. Seolah-olah hendak ditelan hidup-hidup sahaja. Ataupun dibuang ke lautan dalam.

“Tau,saya datang lambat hari ni,”jawab Zarul ringkas.

“Oh,tau pun awak ye. Dah habis tu,yang boleh selamba badak aje lalu depan kitorang tadi tu kenapa?macam sekolah ni moyang awak yang punya,”sindir Nurin Hanani. Wan Hanif yang berdiri di sebelahnya tersenyum sinis.

Zarul menahan gelak dalam hati. Hendak ketawa sahaja mendengar sindiran pedas gadis itu. ‘Selamba badak?moyang?’hai…boleh tahan juga mulut!

“Err,maafkan saya kak. Saya tau saya salah. Tapi saya nak cepat betul tadi. Nak kejarkan perhimpunan.”

“Tau pulak nak minta maaf ye. Dah tau hari ni ada perhimpunan kenapa datang lambat?balik-balik muka awak aje yang selalu masuk sekolah lambat. Hari tu awak jugak. Ni nanti esok lusa awak buat benda yang sama. Sampai dah naik muak kitorang tengok muka awak hari-hari datang lambat. Kalau budak lain kami cakap sekali aje diorang dah faham. Awak ni bila lah nak insaf?nak tunggu dah tua bangka nanti baru nak insaf agaknya…”

Panjang lebar gadis itu membebel. Sebenarnya telinga Zarul sudah lali mendengar ‘ceramah’ gadis itu. Tetapi dia tidak ambil kisah pun. Suka lagi adalah. Sengaja dia datang lambat setiap kali dia mendapat tahu gadis itu yang bertugas menjaga pintu pagar sekolah. Sengaja dia berbuat begitu semata-mata ingin menarik perhatian.
“Dah la tu Hani. Tak guna membebel panjang kat budak tak reti bahasa macam dia ni. Kita ambil aje nama dia dan terus serah kan dekat Cikgu Fuad. Biar padan muka dia!”Wan Hanif pula bersuara. Geram dia melihat aksi selamba Zarul itu. Tidak takut langsung!

“Hah,bagus juga tu. Tapi saya nak ingatkan awak supaya lepas ni jangan sekali-kali datang lambat lagi. Setahu saya rumah awak dekat je dengan sekolah kan?hairan bin ajaib betul,macam mana lah awak boleh datang lambat juga ye Zarul?”

Nurin Hanani mengerutkan dahinya. Dia tahu rumah Zarul di mana. Dekat sahaja dengan rumah Fazlina. Tetapi mengapa Zarul sering datang lambat ke sekolah?sudah acap kali begitu. Sebelum ini,dia sudah banyak kali berkompromi dengan Zarul. Sedangkan dia tahu,Zarul bukannya jenis pelajar yang nakal dan samseng. Sebaliknya dia merupakan salah seorang pelajar terbaik di sekolah mereka. Itu lah yang sangat dihairankan olehnya. Atau…dia sudah bosan sering kali merangkul gelaran pelajar terbaik di sekolah lalu terasa mahu melanggar peraturan sekolah pula kali ini. Manalah tahu kan…

“Baiklah,saya janji kak. Lepas ni,saya takkan datang lewat lagi. Tadi saya tengah bagi itik saya makan. Tu yang lambat tu…”spontan dia memberikan alasan yang boleh dikira tidak munasabah langsung.

Nurin Hanani dan Wan Hanif saling berpandangan. “Bagi itik makan??”

Hampir serentak mereka bertanya. Zarul mengangguk laju. “Ha’ah,bagi itik saya makan. Kalau tak bagi nanti mati lah dia. Saya tak nak dicop sebagai tuan yang suka menzalimi binatang peliharaannya. Nanti kat akhirat kalau saya disoal macam mana saya nak jawab?korang nak ke saya berdosa masuk neraka sebabkan itik saya mati tak makan?”

Ha ha ha…!!

Nurin Hanani menjeling tajam ke arah Wan Hanif yang mengekeh ketawa. ‘Hisy dia ni. Tak serius langsung masa bertugas!nama je ketua pengawas…’

“Awak ni memang sengaja bagi alasan tak logik macam tu kan?awak fikir saya ni mudah ditipu ke?hei,saya tau lah kat rumah awak tu mana ada itik. Kucing siam adalah. Ingat saya tak boleh tanya Faz ke hah?”ngomel Nurin Hanani.

“Err…”

“Hah,jawablah!kenapa senyap aje?”

“Err,saya…”

Wan Hanif masih lagi meneruskan gelak. Tangannya menepuk-nepuk bahu Zarul yang menyeringai.

“Dah,dah…sebelum kau buat lagi lawak bodoh kau tu baik kau masuk kelas cepat-cepat. Yang penting kau janji tak buat salah lagi. Nasib kau baik kali ni sebab terlepas. Tapi kalau kau buat lagi memang cari nahas lah kau,”Wan Hanif memberi amaran.

Zarul mengangguk. Dia tersenyum suka. Tangannya diangkat ke dahi memberi tabik hormat. “Baik tuan,saya janji!!”

‘Wah,bestlah macam ni. ‘Sporting’ jugak ye abang pengawas ni,he he he…’

“Wei,tak aci lah macam ni!”rungut Nurin Hanani. Dia masih tidak berpuas hati. Dia tetap mahu melihat Zarul diambil tindakan. Tetapi bayang Zarul sudah pun lesap dalam sekelip mata. Geram betul hatinya. Dia mengetap bibir lalu memandang Wan Hanif yang sekadar menjungkit bahu.

Selepas kejadian itu,dia menjadi semakin rapat dengan gadis itu. Tambahan pula Nurin Hanani sering bertandang ke rumah Fazlina kerana ingin mengulang kaji pelajaran bersama. Dia senang berkawan dengan gadis itu. Walaupun begitu,dia dapat mengagak yang Nurin Hanani sekadar menganggap nya sebagai kawan dan seperti adik sendiri sahaja. Dia tidak pernah terfikir untuk meluahkan rasa hatinya yang begitu menyukai gadis itu.

Gadis itu sangat mengambil berat tentang dirinya. Sejak gadis itu tahu yang dia telah kehilangan mummy ketika dirinya masih kecil,gadis itu selalu menasihatinya agar kuat menghadapi liku-liku hidup dan cabaran. Teringat dia pada satu ketika gadis itu pernah berkata. Walau apa jua dugaan yang Dia uji kita,kita harus kuat. Tidak ada manusia pun yang hidup di muka bumi ini yang tidak diuji. Malah setiap orang diuji dengan pelbagai ujian tidak kira kecil atau besar.

Seperti dalam firman Allah S.W.T,‘Tidak Aku jadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadah kepadaKu…’ Tidak Dia jadikan setiap manusia yang dilimpahi kekayaan dan kemewahan melainkan untuk beribadah dengan kedermawanannya. Manakala tidak pula Dia jadikan manusia yang dihimpit kemiskinan dan kesulitan hidup melainkan untuk beribadah dengan kesabaran mereka. Begitulah setiap apa yang Allah uji dan dugaan itu walau berlainan sekalipun, setiap hambaNya harus bersabar dengan setiap ujian yang telah diberikan. Sebagai hamba yang beriman kepadaNya kita wajib mentaati setiap perintah Allah S.W.T. Dan prinsip itulah yang dipegangnya hingga kini.

Teringat dia akan masalah hidup yang melanda dirinya. Perceraian yang terjadi antara mummy dan papa sedikit sebanyak membuatkan dirinya terkadang lemah dan hampir berputus asa. Walaupun begitu dia masih tetap bersabar. Setiap kali selesai bersolat lima waktu,dia tidak lupa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi memohon keampunan dan kesejahteraan hidup kedua ibu bapanya.

Perhubungan mereka masih berterusan hingga kini walaupun masing-masing sudah sibuk dengan urusan tersendiri selepas menamatkan zaman persekolahan. Sebaik sahaja Nurin Hanani menamatkan pengajian di universiti,dia mendapat khabar dari Fazlina bahawa gadis itu telah pun bertunang dengan Shahrul yang juga merupakan seorang guru. Hanya Tuhan sahaja yang mengerti betapa kecewa hatinya menerima perkhabaran pahit itu. Menurut cerita Fazlina,pertunangan itu telah diatur keluarga kedua belah pihak.

Tetapi itu hanya sekadar khabar angin sahaja. Zarul sendiri tidak tahu sama ada betul kah ataupun tidak. Malangnya tidak sampai dua bulan mereka bertunang hubungan itu telah terputus. Walaupun hal itu telah setahun berlalu,Sekali lagi Zarul tidak tahu apakah puncanya.

Sekurang-kurangnya dia tahu tentang satu perkara yang Nurin Hanani sudah tidak berpunya lagi saat ini. Perasaannya kembali lega. Bukan dia tidak mahu mendoakan kebahagiaan gadis itu. Tetapi dia tidak mahu terlambat meluahkan isi hatinya. Dan sekali lagi berputih mata melihat gadis itu disambar orang lain. Walaupun orang itu adalah Zarith. Abang kandungnya sendiri.

Bab 10

Maya mengekori derap langkah Zarith dari belakang. Makin lama makin pantas Zarith melangkah. Begitu jugalah dengan dirinya. Akhirnya dia berjaya menyaingi lelaki itu. Wajah Zarith masam mencuka. Jelas menunjukkan riak kurang senang. Tetapi dia peduli apa. Dia masih lagi mengikut rentak lelaki itu.
“Come on…Give me a break okay!”

Zarith bersuara akhirnya. Langkahnya terhenti. Begitu juga dengan Maya. Dia memandang Zarith dengan perasaan berbaur. Marah. Geram. Benci. Sayang. Semuanya bercampur menjadi satu. Hinggakan sukar untuk diungkap dengan kata-kata.

“Why Zarith? Kenapa you buat I macam ni? You memang tak pernah nak faham kan perasaan I kat you selama ni.”

“Huh,you wasting your time Maya. I am too busy to look into your brain. We’re done.”

Maya terkedu mendengar kata-kata pedas yang keluar dari mulut jejaka itu. Suara Zarith agak kuat. Langsung tidak menghiraukan beberapa pasang mata yang memandang mereka berdua. Suasana di Mid Valley ketika itu begitu ramai dengan manusia yang berkunjung datang. Sebenarnya tujuan Zarith datang ke situ adalah kerana dia ingin bertemu dengan Rizman. Mereka sudah berjanji untuk berjumpa sebelum dia bertolak pulang ke Amerika Syarikat semula. Maya pula yang beria mendesaknya ingin berjumpa. Akhirnya terpaksalah dia mengalah dan bersetuju.

“Zarith,you memang betul ke nak buang I?”               

Maya mengendurkan suara. Cuba memujuk lagi nampak gayanya. Zarith membuang pandang ke sudut lain. Rimas dengan pujukan gadis itu. Maya membetulkan rambut ikalnya yang sedikit berserabut. Dia masih tidak mahu berputus asa untuk memujuk Zarith.

“Zarith,answer me…please…”

“You sendiri dah tahu kan jawapannya. Jadi buat apa you nak tanya lagi?”Zarith berkata sinis.

“You tak sayang I lagi ke?”

Maya memegang lengan Zarith lembut. Diusapnya perlahan. Sengaja dia buat begitu dengan tujuan untuk melembutkan hati Zarith yang begitu ego itu. Tetapi Zarith masih begitu juga. Tidak langsung mempamerkan sebarang reaksi.

“I pernah sayang you. Tapi itu dulu. Sekarang tak lagi. I dah ada perempuan lain,”selamba dia menjawab.

Riak wajah Maya begitu terkejut sekali. Hatinya panas tiba-tiba. Siapa agaknya perempuan yang telah merampas kekasih hatinya itu?tidak guna betul! Kalau lah dia tau…mahu sahaja dia menampar wajah perempuan itu. Cantik sangat kah perempuan itu?fikirnya.

“Oh,sekarang you dah ada orang lain ye. Siapa nama perempuan tu hah?”

“Nurin Hanani…”

Nurin Hanani? Siapakah gadis itu sebenarnya? Artis terkenal kah? Model kah? Dia ditarik-tarik rasa ingin tahu yang amat sangat. “Lawa sangat ke dia sampai kan you tergamak nak buang I?”

“Yes, she is more beautiful than you. I nak kahwin dengan dia. Apa nak jadi pun,jadilah.”

Maya membeliakkan matanya. “You nak kahwin dengan dia??”

Dia sama sekali tidak menyangka. Sedangkan Zarith pernah memberitahu sebelum ini  bahawa dia masih belum bersedia untuk memikirkan tentang soal itu. Hal perkahwinan baginya sesuatu yang amat serius. Dan Zarith bukanlah jenis lelaki yang boleh setia pada seorang wanita. Walaupun dia sendiri tidak kisah tentang itu,tentang berapa banyak pun teman wanita yang Zarith miliki,tetapi dia tidak mahu Zarith berkahwin dengan mana-mana perempuan lain selain dirinya. Dia tetap mahu Zarith mengahwini dirinya seorang sahaja.

“Yes,I nak kahwin dengan Hani. Secepat yang mungkin. I harap you faham and tak ganggu I lagi lepas ni okey,”jawab Zarith dengan riak serius di wajahnya. Dia ingin berlalu namun Maya lebih pantas menarik lengannya.

“Zarith,you cakap dulu you tak pernah pun terfikir nak kahwin kan? I masih ingat lagi kata-kata you yang dulu tu.”

“I akui memang I fikir macam tu. Tapi hati manusia ni kan boleh berubah. Bila-bila masa aje. I tetap nak kahwin dengan dia walau apa pun berlaku. You takde hak nak halang I.”

Zarith sudah menetapkan pendiriannya. Dia harus memiliki Nurin Hanani walau dengan apa cara sekalipun. Kalau boleh sebaik sahaja dia pulang dari luar negara nanti. Dia sudah pun memasang rencana itu. Perkara itu pun bakal dibincangkan dengan papa tidak lama lagi. Yang pasti masalah yang membelenggu dirinya mesti diselesaikan.

“Fine,kalau memang betul you nak kahwin sangat dengan perempuan tu,I tetap takkan maafkan you. Perbuatan you terhadap I masa kita kat US dulu tu. Hei, apa you fikir you boleh lari dari tanggungjawab you ke hah?”

Zarith tergelak kecil. Tidak mempamerkan perasaan bersalah. “Oh,jadi you nak I bertanggungjawab lah ni ye?”

Maya mengangguk. Hatinya sakit melihat kelakuan Zarith yang berlagak selamba itu. “My father kalau dia tau lah apa yang you dah buat kat I, dia takkan teragak-agak untuk hukum you Zarith. Lagipun you ingat you boleh lari ke? Father I and papa you pun…they know each other very well right?”

“Yes,I know…tapi you jangan lupa another thing Maya. You fikir you tu baik sangat ke? Maya,Maya…selain I dulu,you pun pernah jugak kan bersama dengan lelaki lain?berapa ramai ye I pun dah lupa…”

“Takkan you tak ingat Maya? Masa kita study sama-sama kat Florida dulu tu. I pernah nampak depan mata I sendiri tau you tidur bersama dengan lelaki tu. What a great moment you have on that time sweetie. I tak dapat imagine kalau Dato’ Ishak tau…” Zarith tergelak kecil.

Maya tergamam. Dia terus terdiam.

“Kenapa senyap? You tak nak ke report kat father you tu? Ataupun…biar I jelah yang beritahu Dato’ Ishak sendiri ye,”kata-kata itu berbau ugutan.

Maya menelan air liur yang terasa pahit tiba-tiba. Lelaki ini juga begitu licik. Bijak sungguh dia hendak mengenakan dirinya. Langsung tidak terfikir tentang hal itu sebelum ini. Otaknya ligat berputar. Dia mengubah taktik lain pula.

“I…I sayangkan you Zarith. I tak kisah kalau you nak kahwin dengan perempuan tu pun. Atau dengan sesiapa sahaja. Tapi I tetap nak kita bersama macam dulu. Bagi I hanya you aje yang I sayang. I sanggup setia dengan you. Lelaki lain tu I tak serius pun. I rela Zarith. I rela asalkan you tak tinggalkan I. please…don’t leave me honey,”Maya memujuk lembut.

Zarith mencebik. Menyampah dia mendengar kata-kata pujukan itu. Hanya omongan kosong sahaja. Jika tidak kerana Maya yang buat hal dahulu sudah tentu dia masih lagi boleh menerima gadis itu hingga ke hari ini.
“You belum jawab soalan I lagi Maya.”

“Soalan?soalan yang mana?”

“Pasal your father. Nak I beritahu kat dia ke?”

Maya segera menggeleng. Dia tidak mahu rahsianya terbongkar. Dia sangat takut dengan ayahnya. Jika ayahnya tahu akan keterlanjurannya bersama lelaki lain semasa belajar di luar negara dahulu,pasti mati dia dikerjakan. Jika Zarith sendiri yang memberitahu akan hal tersebut,sudah tentu lah ayahnya akan lagi percaya. Apatah lagi mengenangkan Zarith merupakan anak kepada rakannya sendiri. Hubungan ayah mereka boleh dikatakan agak rapat juga sebagai rakan perniagaan.

“I tak nak father I tau pasal apa yang berlaku. Tolong Zarith…please,jangan beritahu dia okey?”

Zarith tersenyum sinis. Tahu juga takut bila diugut begitu. “So,I pun nak you jangan ganggu lagi hidup I lepas ni. Itupun kalau you nak selamat lah. Your secret is safe with me for right now dear.”

Zarith segera berlalu pergi dari situ. Meninggalkan Maya yang terpinga-pinga. Maya mengetap bibir. Dia masih tidak puas hati. Dia masih tidak berputus asa. Pandangannya memandang tubuh lelaki itu yang makin lama makin menjauh. Hilang di sebalik celah orang ramai yang lalu lalang di situ.

‘Your secret is safe with me for right now dear…’

Kata-kata itu masih bergema di dalam hatinya. Dia tahu lelaki itu sengaja ingin menggertaknya. Dia tahu juga yang mustahil baginya untuk merebut kembali kasih lelaki itu. Mereka telah pun berpisah. Telah lama berpisah dan Zarith tidak mungkin mahu menerimanya lagi. Hubungan antara mereka telah lama ternoktah. Zarith terlalu ego. Terlalu keras hati. Walaupun banyak kali dipujuk tetapi lelaki itu tidak pernah mahu mengerti.

Betul kah lelaki itu akan berkahwin tidak lama lagi?jangan-jangan dia telah ditipu hidup-hidup oleh lelaki tersebut. Tetapi dia ingin tahu benar. Siapakah Nurin Hanani sebenarnya? Kalau lah dia boleh mengenali perempuan itu,sudah tentu dia akan bersemuka dengan perempuan yang telah merampas Zarith darinya. Entah apa yang dilakukan oleh perempuan itu yang menyebabkan Zarith berubah fikirannya untuk mendirikan rumahtangga juga akhirnya. Apakah lelaki itu telah diberi ubat guna-guna?siapa tahu kan.

Dirinya diamuk rasa dendam yang tidak bertepi. Hatinya sakit sekali. Terasa seperti dihiris dengan belati tajam. Zarith memperlakukannya seperti dia ini sangat lemah. Seperti dia tidak berdaya melakukan apa-apa. Teringat pandangan lelaki itu yang sinis dan senyumannya yang menyakitkan hati tadi.

‘Aku harus melakukan sesuatu…’

Ya,dia harus bertindak dari sekarang. Yang pasti dia ingin dendamnya terbalas jua akhirnya. Zarith belum kenal lagi siapa dia sebenarnya. Dia tetap ingin memiliki lelaki itu suatu hari nanti. Dia ingin menghancurkan perkahwinan lelaki itu. Biar perempuan bernama Nurin Hanani itu hidup menderita. Biar perempuan itu tahu sikap Zarith yang sebenarnya.

Tangannya mencapai telefon bimbit Nokia N73 miliknya di dalam tas tangan. Lantas,dia mendail nombor telefon seorang lelaki yang sangat dikenalinya. Panggilan itu dijawab. Kedengaran suara seorang lelaki di talian.

“Helo,Fredie.”

“Yes,speaking. Darling…kenapa baru sekarang nak contact I?”

“You tolong I boleh tak?”dia menyoal tanpa mengendahkan pertanyaan lelaki itu tadi.

“Em…what is it?”

Bibirnya mengukir senyuman. Dia sudah tidak sabar untuk merencana sesuatu terhadap lelaki itu. Perbuatan kejam Zarith terhadapnya harus dibalas dengan perbuatan kejam juga. Pertama sekali yang ingin dilakukan ialah dengan menyiasat terlebih dahulu siapakah gadis yang bernama Nurin Hanani itu. Kemudian,setelah segala maklumat berjaya diperolehi barulah dia akan segera merencana tindakan yang seterusnya.

**********

Rizman ketawa besar sebaik mendengar cerita Zarith itu. Berapa ramai mata yang memandang pun dia tidak ambil peduli. Mereka berdua sedang berada di salah sebuah food court di Mid Valley. Rizman melepaskan lelah tawanya tadi. Dia menggeleng kepala.

‘Zarith kena kahwin paksa? Hisy,ni memang dah kes serius ni…’

“Yang kau gelak sakan ni kenapa? Aku buat lawak ke tadi? Aku tengah serius ni kau tau tak?”Zarith bersuara geram.

“Aku tak tau pulak yang kau dah lama break dengan Maya.”

“Yup,aku memang bersyukur sangat dah clash dengan dia. Kalau tak,memang haru biru hidup ni kau tau tak. Bengang aku masa dia datang jumpa aku tadi.”

Maya begitu beria-ia datang memujuknya tadi. Pening betul dengan minah tak faham bahasa macam tu! Kalau aweknya yang lain-lain sebelum ini cakap sekali sahaja terus mereka faham. Walaupun dirinya dipujuk rayu tetapi jika tidak dilayan lama kelamaan mereka akan faham sendiri. Maya ini lain pula kerenahnya.

“Dah tu,sebabkan dialah yang kau langgar kereta awek yang nama Nurin Hanani tu yek?”tanya Rizman. Dia menyedut jus epal perlahan-lahan.

Zarith melepaskan keluhan berat. “It’s bullshit! Malas aku nak ingat lagi pasal tu.”

Rizman tertawa kecil. “Come on Zarith,relax sudah…yang kau nak tension bagai ni kenapa? Aku tak faham lah dengan kau ni. Nama aje playboy,kasanova nombor satu yang paling hot lah konon. Baru sekali kena reject dengan awek dah frust?...

Kalau dia tak nak kau,cari ajelah awek lain. Kat sini kau tengok tu ha. Berlambak lagi awek-awek cun yang bertudung. Yang pakai shawl,tudung Fareeda ha apa lagi yek? Aku lupa lah. Aku yakin lah sekali aje kau pergi kat diorang and then tunjukkan senyuman killer kau tu confirm cair punya lah beb.”

Rizman menepuk perlahan bahu Zarith yang mengerutkan dahi sedari tadi. Dia menoleh pada sekumpulan gadis remaja yang ditunjukkan Rizman tadi. Tetapi tiada satu pun yang menarik minatnya. Entah kenapalah dengan dirinya saat ini. Nurin Hanani yang biasa-biasa itu lah sahaja yang ada dalam ingatannya. Tidak tahu apa yang istimewa pada gadis itu. Nak kata bergaya tak juga. Cuma manis dan sopan tu tetap ada.

“Aku tengah serius ni Riz. Kau ni main-main pulak. Papa aku tu dah sound aku dah kau tau tak? Setakat ni yang aku nampak calon terbaik hanya perempuan tu aje. Nak harapkan awek-awek aku yang aku kenal tu hm…semuanya hampeh! Kalau aku tak dapat miliki dia right after aku balik dari overseas nanti, mampus aku. Mesti papa nak jodohkan aku dengan siapa-siapa pun yang aku tak kenal. Lagi haru nanti…”

Wajah Zarith nampak begitu berserabut sekali. Jelas menunjukkan yang dia sedang dilanda masalah besar dalam hidup. Masalah yang mungkin bakal merubah hidupnya selama-lamanya!

“Aku nak tau,macam mana papa kau boleh keluar isu nak kahwin ni Zarith?”

“Dia nampak aku dengan Sally masa kat Casa Hotel dulu tu. Tu yang dia mengamuk habis. And then terus timbul bab kahwin ni. Dia paksa aku cepat-cepat menikah. Tapi kat mana lah aku nak cari perempuan solehah macam yang dia nak tu?”

Rizman terdiam. Patutlah isu kahwin paksa ni boleh timbul. Zarith ter’kantoi’ dengan papa nya rupa-rupanya. Ah,salah Zarith juga. Memang patutlah Encik Idham mengamuk sakan dan memaksa anaknya itu berkahwin.

“Yang kau ni pun satu. Kalau nak berdating pun janganlah depan mata papa kau. Kot ye pun selidik lah dulu. Nak pergi kat tempat yang grand kononnya. Carilah kat tempat lain yang strategik sikit. Kat taman ke,kedai mamak ke…kan dah kantoi. Kau pun tau kan papa kau bukannya suka perangai kau tu. Baru aje balik dari US dah buat hal. Memang cari nahas betul lah kau ni!”

Zarith terkedu. Argghhh!! Rizman pula yang menyalahkannya. Di rumah dia sudah puas dimarahi papa. Kini sahabatnya itu pula hendak membebel.

“Kau ni nak tolong aku ke tak nak Riz? Kalau kau pun nak membebel kat aku baik tak payah. Aku ni dah naik bosan kau tau.”

“Okey,okey…sorry okey. Masalah kau ni rumit sangat lah Zarith. Kalau sampai dah melibatkan pihak papa kau aku tak boleh nak buat apa lah. Tapi aku suggestkan baik kau tackle habis-habisan si Nurin Hanani tu. Kau kena make sure and confirm dapatkan dia as your wife…

Aku berani jamin lah. Selagi kau teruskan usaha confirm dapat punya. Ala,macam lah kau tak kenal perempuan ni. Kena reject pun setakat dua tiga kali aje. Lepas tu dah lama-lama cair lah. Hati perempuan ni kan ibarat kerak nasi. Lagipun kau kan cakap tadi nak perempuan solehah. Hah,kau kenalah usaha lebih sikit Zarith. Amacam?”

Lama dia terdiam. Memikirkan kebenaran di sebalik kata-kata Rizman itu. Perlahan bibirnya mengukir senyuman.

“Yup,that’s right. Betul kata kau tu Riz. Aku sokong. Yang penting aku nak masalah ni setel secepat mungkin.”

‘Lepas tu aku akan tinggalkan dia…’

Kata-kata seterusnya dibiarkan tersekat di kerongkong. Tidak mahu meluahkannya. Bimbang Rizman akan berfikir apa pula nanti.

“Ha,macam tulah my best buddy. Baguslah kalau kau dah bersemangat balik. Ni yang aku nak. Zarith yang always energetic. Full of ambition. Sanggup menghadapi cabaran and whatsoever…”

Rizman tergelak besar sambil menepuk-nepuk bahu Zarith. Zarith sekadar tersengih.

“Wei,kau nak ke mana lepas ni Zarith?”

“Takde ke mana kot. Kenapa? Kau ada plan apa-apa ke?”

“Kalau macam tu jom…kita pergi main bowling kejap. Manalah tau kot-kot kau boleh dapat calon isteri terbaik kat sana,”ajak Rizman sambil mengenyitkan mata. Dia mengangkat ibu jarinya. Selamba sahaja reaksinya.

Zarith menjegilkan anak mata. “Tak guna punya member. Nak kenakan aku. Siot betul!”

Mereka sama-sama melepaskan tawa.