Hey, Mr. Bad Guy!


Bab 33

Perkelahan mereka sekeluarga yang membawa ke sebuah pantai di negeri Terengganu benar-benar menggamit sebuah kenangan paling indah. Betapa segala keperitan dan penderitaan hidup telah dilupakan. Bertukar ganti dengan kasih sayang dan saling mencintai antara satu sama lain. Begitulah nilai sebuah kehidupan jika masing-masing menyedari kekhilafan diri. Sinar harapan untuk menikmati kebahagiaan terpancar pada wajah mereka sekeluarga.

Keluarga bahagia satu anugerah paling berharga kurniaan Ilahi. Keindahan pantai memberikan kedamaian. Hembusan bayu dari Laut China Selatan memberikan seribu ketenangan. Percutian itu sungguh memberi makna pada Encik Idham sekeluarga.

“Papa nak pergi berjalan kat sebelah sana kejap. Nak tengok apa yang ada. Siapa yang nak ikut papa?”laung Encik Idham.

Zarul yang sedang menghirup kopi panas terus meletakkan cawan plastik di atas tikar. Cepat-cepat dia mengangkat tangan kanannya.

“Rul nak ikut. Tunggu kejap papa!”

Dia segera berlari-lari anak mengekori Encik Idham yang tidak terlalu jauh meninggalkannya. Nampak begitu kebudak-budakkan sahaja gayanya. Apabila sudah semakin hampir dia memaut mesra bahu papa nya itu.
Angelica menggeleng kepala melihat gelagat anaknya itu. Bibirnya mengukir senyuman. Rasa geli hati pun ada. Dia duduk mengelamun di atas tikar. Kelihatan tidak berapa jauh darinya Nurin Hanani yang sedang rancak berbual dengan Fazlina.

Dia senang sekali dengan wanita yang sudah dianggap seperti anak sendiri itu. Walaupun baru sahaja berjumpa tetapi Nurin Hanani sedikit pun tidak berasa kekok dengannya. Malah becok sahaja mulutnya bertanyakan itu dan ini. Begitu ramah sekali.

Angin bayu laut yang bertiup memberikan ketenangan di jiwanya. Dia betul-betul bersyukur pada Allah S.W.T kerana masih diberikan kesempatan untuknya bertaubat dan kembali ke pangkuan keluarga yang sudah sekian lama diabaikan akibat kekhilafan sendiri.

Paling dia terharu dengan penerimaan Encik Idham dan anak-anak mereka. Hubungan mereka semakin lama semakin baik. Kian mekar dengan kasih sayang. Ada sahaja gurau senda yang membuatnya ingin tertawa. Dia dapat melihat Zarul yang sangat manja dengan papa nya. Begitu mencuit hatinya.

Paling tidak diduga hubungannya dengan Zarith juga semakin pulih. Tidak lagi seperti dahulu. Dirasakan Zarith seperti sudah boleh menerimanya semula. Semuanya atas dorongan Nurin Hanani. Beruntung Zarith kerana memiliki isteri yang penyayang dan memahami seperti Nurin Hanani. Dia memejamkan mata.
Di dalam hatinya berdoa agar kebahagiaan yang dikecapinya kini tidak lagi diragut oleh sesiapa jua pun. Pergilah segala penderitaan!

“Apa yang mummy fikirkan tu?”

Dia tersentak. Tanpa disedari Zarith telah menegurnya dan duduk di sebelahnya. Dia tersenyum. Selendang yang menutupi rambutnya dibetulkan.

“Takde apa-apa. Mummy suka betul tengok pantai. Rasa tenang aje hati ni.”

Zarith mengangguk. Mereka berdua merenung ke arah ombak yang menghempas pasir pantai. Kelihatan burung-burung berterbangan di udara. Alunan bunyi ombak mendayu-dayu menyanyikan lagu kedamaian. Juga kelihatan beberapa orang yang berjalan-jalan mengambil angin di pesisir pantai itu. Suasana petang yang redup begitu menyamankan.

“Zarith nak kopi?”

“Boleh jugak.”

Dia mengambil termos dan menuangkan kopi ke dalam cawan plastik. Diberikan pada Zarith.

“Thanks mum.”

Angelica mengangguk. Matanya masih tertancap pada lautan yang luas membiru itu.

“Zarith dari mana ni?”

“Dari kereta tadi dengan Firdaus. Ada nak ambil barang sikit. Alih-alih tengok mummy duduk sini sorang-sorang. Tu yang Zarith datang nak lepak sini dengan mummy. Err,Hani mana mummy?”jawabnya sambil meletakkan cawan tadi ke atas tikar.

“Tu ha dengan Faz. Aira beria ajak mama nya nak berjalan dekat pantai. Last-last Hani pun ikut sekali.”
“Mummy tak berjalan sekali ke?”

Angelica menggeleng.

“Mummy nak duduk sini dulu. Kalau dah bosan nanti mummy berjalan lah kat pantai tu.”

“Mummy,err, thanks for everything…”

Kata-kata yang keluar dari mulut Zarith tiba-tiba menghairankannya.

“Eh,nak terima kasih kenapa pulak ni Zarith?”

“Sebab pernah melahirkan Zarith. Dan susah payah jaga Zarith selama ni. Zarith sedar mummy dah terlalu banyak menderita disebabkan atuk kan. Zarith tak tau…”

Sememangnya telah banyak yang dia dan Zarul tahu cerita sebenarnya dari Angelica sendiri. Disebabkan ugutan atuknya mengakibatkan mummy dan papa terpaksa berpisah. Dia sudah tidak ingin menyalahkan mummy seratus peratus lagi seperti sebelum ini.

“Hush,Zarith,mummy tak pernah rasa susah pun jaga Zarith selama ni. Tapi mummy yang paling banyak salah kat Zarith dengan Rul. Mummy abaikan anak-anak mummy. Tapi percayalah mummy sayangkan semua anak-anak mummy. Mummy yang patut berterima kasih sebab Zarith dah terima mummy semula.”

Zarith tertunduk. Kakinya menguis pasir pantai. Tangan Angelica menggosok belakang badannya dengan lembut. Terasa kasih sayang mummy yang tertumpah di situ. Terasa ingin menitis air matanya.

“Zarith nak minta maaf sebab pernah membenci mummy dulu…”

“Zarith,mummy tak salahkan Zarith pun kalau itu yang Zarith rasa. Silap mummy dulu. Tapi kita jangan kenang lagi okey segala yang berlalu. Mummy happy bila tengok Zarith dan keluarga kita happy.”

Dia tersenyum bahagia. Seandainya dahulu dia tidak terlalu mengikut kata hati sudah tentu keluarga mereka tidak akan menderita begitu. Tetapi hendak buat bagaimana. Semuanya sudah tersurat.

“I love you mum…I love you so much…”

Angelica terharu mendengar ucapan ikhlas Zarith itu. Dia mengusap pipi anaknya dengan penuh kasih sayang. Mata hazelnya ditakungi air. Kelihatan bercahaya. Perlahan bibirnya mengukir senyuman.

“Mummy pun sayang Zarith sangat-sangat.”

**********

“Mummy!”jeritan Zarul itu benar-benar membuatkan mereka tersentak.

Kelihatan Zarul yang sedang berlari-lari sambil kedua tangannya mengenggam sesuatu. Encik Idham berjalan dengan tenang mengekorinya dari belakang. Dia sudah sampai dengan nafasnya yang termengah-mengah kepenatan. Akhirnya dia terduduk di atas pasir.

“Apa kena Rul ni?”tanya Zarith. Hairan dengan tingkah laku adiknya itu.

“Ni tengok ni. Apa yang Rul dapat.”

Zarul mengunjukkan sebiji cengkerang berwarna putih yang bersaiz agak besar juga. Terbeliak biji mata Zarith melihatnya. Wah,besar dan unik juga bentuknya!

“Eleh,setakat benda ni pun nak kerek. Ingatkan jumpa harta karun tadi macam dalam Pirates of Caribbean tu. Macam budak-budak lah kau ni Rul!”

Zarith menjuihkan mulut. Sengaja menyakat adiknya. Zarul menyiku lengan abangnya. Dijeling tajam.
“Ala,tapi cantik jugak mummy tengok. Kat mana Rul jumpa?”

“Ha,tengok? Mummy pun suka kan. Along aje yang jealous. Err,bukan Rul yang jumpa. Tapi papa,he he he…”dia menggaru kepala.

Zarith sudah tergelak besar.

“La,papa yang jumpa rupanya. Nampak gaya tadi macam dia aje yang dapat benda ni. Poyo ajelah tadi!”

“Mummy tengoklah Along ni. Dia yang jealous nak cakap Rul pulak…”dia mengadu kerana tidak puas hati.

“Dah,dah…yang korang berdua tak habis-habis nak bertekak ni kenapa? Hai…tak faham betul papa. Nama aje dah besar panjang. Yang seorang tu dah ada isteri dah. Yang seorang lagi dah nak masuk dua puluh lima tahun. Dah besar panjang pun anak-anak papa semuanya.”

Angelica menahan tawa dalam hati. Encik Idham sudah melabuhkan punggung di sebelahnya. Mereka saling berbalas senyuman.

“Ala,papa dengan mummy nak tau tak? Sebenarnya kan Zarith tau Rul nak bagi kat siapa benda ni…”dia meleretkan ayat.

‘Ah,sudah! Janganlah Along bukak cerita yang bukan-bukan pula. Hisy,kenapalah nakal sangat Along ni…’
“Hah,Rul nak bagi kat siapa?”tanya Encik Idham yang agak terkejut.

“Dia nak bagi kat buah hati dialah papa.”

Hati Zarul berdebar pula. Zarith sudah tergelak-gelak.

“Siapa Zarith?”

Angelica mengerutkan dahi.

“Liyana.”

“Ala,Along ni. Tak boleh simpan rahsia lah. Menyesal Rul cerita kat Along. Kalau Rul tau Rul cerita kat Hani sorang aje tau!”

Zarul sudah mencebik mulut.

“La,bukannya dia dengar pun. Em,agak-agak bila bakal adik ipar Along tu nak balik dari Jordan ye?”usik Zarith lagi.

Zarul menahan rasa getar di dalam hati. Malu siot! Depan papa dan mummy pula tu.

“Dah lah tu. Kalau betul pun papa takkan nak marah Rul. Kau pun dah besar. Cuma kena lah pandai jaga diri. Kalau dah bercinta tu jangan terlalu ikutkan sangat jiwa muda tu. Kena beringat jugak.”

Encik Idham memberi nasihat. Sedikit sebanyak Zarul berasa lega.

“Betul kata papa tu Rul. Mummy pun harap macam tu jugak. Maklumlah kalau orang muda ni bercinta. Jiwa mereka lain. Kalau macam mummy ni dah tua-tua macam ni mana boleh nak bercinta lagi macam masa muda dulu-dulu.”

“Eh,siapa kata tak boleh?”hampir serentak Zarith dan Zarul bersuara.

Encik Idham tergelak besar.

“Betul tu Angie. Siapa kata bila dah tua tak boleh bercinta? Orang kata makin tua lah makin bertambah romantik.”

“Ehem…papa cakap ada makna tu…”usik Zarul pula.

“Papa ada satu pengumuman nak buat ni. Err,papa harap kamu berdua boleh terima dengan keputusan papa ni.”

Encik Idham merasakan sudah tiba masanya dia berterus-terang. Sementelah pula mereka sudah berkumpul satu keluarga. Hendak tunggu bila lagi?

“Apa dia papa?”gesa Zarith. Tidak sabar dia hendak tahu.

Encik Idham menarik nafas perlahan. Dia merenung wajah Angelica yang kehairanan.

“Papa dah ambil keputusan nak hidup bersama mummy semula.”

Semua yang ada di situ terkejut. Angelica terus terkesima.

**********

Zarith dan Nurin Hanani berpegangan tangan sambil menyusuri pesisiran pantai. Petang semakin beransur hilang bertukar dengan waktu senja pula. Di langit sudah berwarna kemerahan dengan matahari yang semakin terbenam. Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya oleh Zarith untuk memadu kasih bersama isterinya.
Dia tahu bahawa bukannya selalu dia ada kesempatan untuk meluangkan masa dengan isterinya. Kesibukan kerja di pejabat menyebabkan dia terpaksa berkorban masa untuk diluangkan bersama isteri tercinta. Dia sedar sememangnya dia harus bekerja kuat demi memastikan perjalanan Aras Hijau Holdings yang susah payah dibangunkan oleh papa berjalan dengan lancar. Malah semakin berkembang maju berkat usahanya dan dorongan Nurin Hanani.

Langkah keduanya terhenti sebaik mereka terlihat telatah Aira yang riang berlari ke sana dan ke mari. Tercetus sesuatu keinginan di hati Zarith yang sudah sekian lama dipendamkan. Ingin sahaja diluahkan pada isterinya biar Nurin Hanani tahu isi hatinya itu. Dia merangkul pinggang isterinya kemas. Dahi isterinya dikucup lembut. Nurin Hanani mengerutkan dahi.

“Hisy,abang ni kalau ye pun cover lah sikit. Malu kalau keluarga kita tengok. Diorang semua dah lah kat sana tu…”

“Ala,macam mana abang nak cover lagi perasaan sayang abang ni pada Hani?”

Nurin Hanani tersenyum dengan kata-kata romantis Zarith itu.

“Hani pun sayang abang sangat-sangat tau. Hani gembira bila tengok abang happy macam ni.”

Zarith tersenyum lebar.

“Em,sayang…”

Terdengar bisikan romantis di telinganya. Dekat sekali. Makin bergetar hatinya.

“Ye bang?”

“Sayang…tak teringin ke nak ada baby?”

Nurin Hanani tersenyum pula.

“Eh,mestilah Hani nak. Kenapa abang tanya macam tu?”

“Takdelah…abang just tanya aje. Abang teringin lah nak anak.”

Dia memandang wajah Zarith yang penuh mengharap. Tubuhnya dihadapkan ke arah suaminya itu. Tangan halusnya mencari tangan Zarith. Jumpa! Lalu dipegang dengan lembut. Zarith membalas pegangan itu. Pandangan mereka saling bertautan lama.

“Hani faham perasaan abang. Hani pun sama macam abang jugak. Teringin sangat nak menimang cahaya mata sendiri.”

Nurin Hanani mengeluh.

“Ayang…janganlah salah faham. Abang tak memaksa okey. Bergantung pada rezeki Dia kan nak tentukan bila masanya nanti. Yang penting kita dah usaha dan berdoa. Okey sayang?”

Zarith mencuit dagu isterinya. Berasa serba salah pula. Bimbang hati isterinya akan terguris.

“Hani tau. Tapi ada sesuatu yang ingin Hani katakan…”

Kata-katanya dibiarkan meleret. Dia melepaskan pegangan tangan Zarith dan berjalan ke hadapan. Membiarkan kakinya basah sedikit terkena hempasan ombak pantai. Dia berpaling ke arah Zarith semula yang masih tercegat di situ. Tiupan bayu laut sangat menyamankan.

“Apa dia sayang? Beritahulah abang.”

“Tapi Hani tak tau abang suka ke tak dengan berita ni…”

Wajah isterinya begitu muram sekali. Menampakkan riak yang kecewa. Zarith makin resah. Berdebar hatinya. Apakah berita yang bakal disampaikan itu akan membuatnya kecewa nanti? Tetapi dia sedar yang dia seharusnya redha dengan segala ketentuan Tuhan.

“Hani,beritahu lah sayang…jangan buat abang macam ni. Abang risau lah…”

“Hani…”

Satu keluhan berat dilepaskan. Wajahnya begitu keruh seperti menyembunyikan duka di hati. Tiba-tiba dia memegang perutnya. Diusap perlahan.

“Em,baby…baby rasakan perlu ke mama beritahu pada papa?”

“Hah?!”

‘Baby…? Mama…? Papa…?’

Zarith sudah tercengang mendengarnya. Dilihatnya bibir isterinya sedang mengukir senyuman manis dan menawan. Lama-kelamaan barulah dia faham. Perlahan dia turut tersenyum.

“Sayang! Main-mainkan abang ye. Hisy,nak kena dia ni. Meh sini kat abang!”

Nurin Hanani terjerit kecil. Dia baru sahaja hendak melarikan diri dari suaminya itu. Namun Zarith lebih bertindak pantas. Dicekup pergelangan tangan isterinya itu. Dirangkul erat tubuhnya. Sehingga sukar untuk dia meloloskan diri lagi. Zarith melepaskan tawa bahagia. Begitu juga dengan isterinya. Kelakar juga dapat mengenakan suaminya seperti yang telah dirancang sebelum ini. Walaubagaimanapun, Zarith tetap menjadi orang pertama yang mengetahui berita gembira itu!

“Abang suka tak?”

Zarith tersenyum lebar. Dia masih memeluk tubuh isterinya dari belakang. Mujurlah tiada orang di situ. Kalau tidak…malu juga Nurin Hanani diperlakukan begitu.

“Mesti lah abang suka sayang…yeahoo!!!”jeritnya dengan kuat.

Nurin Hanani membiarkan pelukan yang semakin dieratkan itu. Dia turut berasa bahagia. Terasa indah sekali.
“Bila Hani dapat tau ni? oh,senyap aje ye tak beritahu abang.”

“Baru aje lagi. Nak masuk dua minggu bang. Saja Hani nak buat surprise. Memang Hani dah lama plan nak beritahu abang masa kita tengah bercuti kat sini.”

“Nakal ye ayang ni. Tapi abang tetap gembira sangat. Hari ni dah dua berita gembira yang abang dapat tau.”

Nurin Hanani mengangguk. Dia juga turut gembira dengan berita berkenaan papa dan juga mummy. Mereka akan kembali bersama seperti dahulu. Itulah juga yang diharapkan nya.

“Patutlah sejak dua tiga hari ni abang asyik rasa loya aje tekak ni.”

Dia tergelak kecil mendengar kata-kata Zarith. Tetapi memang betul pun. Sedangkan dirinya tidak berasa apa-apa pun. Cuma rasa tidak sedap badan tu tetap ada.

“Sayang,nanti kita beritahu pada semua ye berita ni. Abang tak sabarlah. Macam tak percaya pulak yang abang bakal jadi ayah tak lama lagi…”bisik Zarith.

Dia mengangguk.

“I love you…”bisik Nurin Hanani perlahan. Namun jelas kedengaran di telinga Zarith.

“I love you too honey. More than you do. And I want to spend my lifetime loving you…”

Tangannya mengusap perut isterinya itu. Nurin Hanani terasa bahagia dengan sikap penyayang Zarith. ‘Ya Allah,kekalkanlah kebahagiaan ini sampai bila-bila pun…’ doanya di dalam hati.

Bab 34

Kunjungan mereka berdua ke rumah kedua ibu bapa Nurin Hanani benar-benar menggembirakan Haji Harun. Apatah lagi Hajah Zaharah. Lebih-lebih lagi apabila kunjungan itu membawa perkhabaran gembira. Tidak lama lagi mereka bakal menimang cucu. Menambahkan lagi kemeriahan keluarga itu dengan kehadiran si comel yang pastinya menggamit kegembiraan seisi keluarga.

Tambahan pula Kak Ros juga kini sedang sarat mengandung. Tetapi sejak Abang Man berpindah ke Johor, dia sudah jarang bertemu dengan abang dan kakak iparnya itu memandangkan semuanya sibuk dengan tugas tersendiri.

Nurin Hanani yang duduk di atas katil empuk di biliknya itu masih leka melipat kain. Zarith pula sudah menghilang entah ke mana. Sejak dari awal pagi tadi lagi suaminya asyik bersembang dengan Haji Harun. Maklumlah sudah lama tidak berjumpa. Waktu semakin menginjak ke tengah hari.

Hendak menolong Hajah Zaharah dan adik-adiknya di dapur, mereka pula tidak bagi. Langsung disuruh beristirehat sahaja di bilik. Walaupun dia berdegil tetapi tetap juga mereka menyuruhnya berehat. Zarith juga begitu. Kalau di rumah lagi lah. Hendak menyapu sampah pun suaminya tidak bagi. Padahal kandungannya masih lagi baru. Masih belum sarat lagi.

Namun dia berasa lega dan senang dengan layanan yang diberikan. Terasa diri ini sangat disayangi. Lebih-lebih lagi Zarith sangat mengambil berat dan memberikan perhatian yang lebih padanya. Dalam diam dia tersenyum. Tiba-tiba terasa pinggangnya dicuit seseorang.

“Aaa…!!”

Dia terjerit. Terperanjat benar dirinya.

“Husy,abang lah ni sayang…”

Terdengar satu ketawa meletus kuat di pendengarannya. Suara itu milik Zarith. Dia mengerling sekilas. Geram sungguh dengan kelakuan nakal suaminya itu. Pantang ada peluang ada sahaja idea ingin menyakatnya. Sudah lah jeritannya agak kuat juga tadi. Tidak pasti sama ada Hajah Zaharah dengar ataupun tidak.

“Abang! Hisy, geramnya Hani dengan abang ni.”

Dia ingin mencubit lengan Zarith. Namun cepat-cepat Zarith menarik tangannya. Akhirnya dia terbaring di sisi suaminya di atas katil. Zarith melepaskan sisa-sisa tawa yang masih ada. Dielus rambut panjang isterinya itu. Dia menatap lama wajah Nurin Hanani dengan senyuman. Dia membalas senyuman suaminya itu. Kepalanya berbantalkan lengan Zarith. Perlakuan yang romantik itu serta-merta tidak jadi membuatnya hendak marah. Malah dia tersenyum senang. Dia berasa sungguh bahagia sekali.

“Maafkan abang ye sayang buat macam tu tadi. Sorry…he he he…”

“Eii, abang ni nakal betul ye. Geram betul Hani.”

Dia menarik hidung mancung milik Zarith. Suaminya itu menyeringai. Bila sudah puas barulah dia melepaskan. Sampai kemerahan hidung suaminya itu. Dia tergelak kecil.

“Kenapa sayang gelak? Sakit tau.”

Zarith memuncungkan mulut. Dia tertawa manja.

“Hani rasa abang kena belek hidung abang tu kat cermin. Kelakar lah. Dah macam clown dah.”

Zarith membuntangkan matanya. Digosok-gosok hidungnya itu.

“Hah? Dah macam clown? Ala, dah tak handsome lah abang macam ni…”

Zarith mula bersungut. Senyuman isterinya makin melebar.

“Tulah, siapa suruh buat Hani terkejut tadi? Baby ni pun terkejut. Teruk lah papa ni baby kan?”

“Ala, sorry sayang. Em, baby pun marahkan papa jugak ye. Maafkan papa okey?”

Diusapkan perut isterinya. Seolah-olah seperti dia sedang bercakap dengan bayi di dalam kandungan isterinya itu pula. Isterinya tersenyum manis.

“Okey, mama dan baby dah maafkan. Tapi janji jangan buat macam tu lagi tau!”

“Okey, papa janji.”

Zarith mengangkat tangan kanan ke dahinya. Mereka sama-sama tergelak.

“Tadi Hani cari abang takde pun. Abang pergi mana tadi?”

“Abang kat luar rumah dengan abah tadi. Oh ye, ayang,tadi kan abang ada ternampak album lama kat almari depan tu…”

Dia terkejut sedikit mendengar kata-kata suaminya.

“Lepas tu?”

“Lepas tu abang tengok lah album tu. Ada banyak jugak gambar Hani masa kecik dulu. Tembam jugak ye ayang masa kecik dulu. Comelnya abang tengok.”

Merona kemerahan wajahnya apabila melihat Zarith sudah tergelak-gelak. Malu pula dia apabila gelagatnya semasa kecil di dalam gambar lama dilihat Zarith.

“Ala,kenapa abang tengok? Malulah Hani…”

“Eh, takkanlah salah kot abang nak tengok. Tu yang abang tanya abah tadi masa tunjuk gambar-gambar tu semua. Satu persatu abah terangkan. Dari masa Hani baru lahir sampailah Hani dah sekolah. Semua abang dah tengok. Abang suka lah tengok gelagat ayang. Especially…em,masa kecik dulu.”

“Err, abah cakap apa tadi?”

“Abah cakap masa kecik-kecik dulu ayang ni nakal. Kalau dah join dengan Abang Man hah,kalau boleh satu bandar ni nak round. Dulu abah cerita abah tak tinggal kat sini. Masa tu sebelum Hani lahir lagi mak dan abah pernah tinggal kat Kuala Kubu. Lepas aje umur Abang Man masuk tiga tahun terus abah pindah kat sini. Setahun lepas tu Hani pun lahir kan.”

Nurin Hanani tergelak kecil. Segala kenangan lama terimbas di minda kembali.

“Em,lepas tu?”

“Tak lama lepas tu masuk aje umur lima tahun abah cakap Hani dah mula buat perangai. Nakalnya bukan main. Mengalahkan budak lelaki aje. Lebih-lebih lagi kalau Abang Man ajak Hani keluar main. Abah cakap ada satu ketika abah pernah kejar Abang Man dengan Hani lari keliling rumah dengan rotan. Sebabnya dah azan Maghrib anak-anak abah tak balik lagi ke rumah. Apa lagi, mengamuk habislah abah.”

“Hah? Abah cakap macam tu? Ala…abah ni,takkanlah yang tu pun nak cerita kat abang? Malulah Hani…”rungut Nurin Hanani. Dia mengetap bibir.

“Ala, apa salahnya sayang? Banyak yang abang dah tau pasal Hani tau. Seronok pulak dengar abah bercerita kisah lama. Tapi abah memang garang betul ye dulu. Patutlah Hani dengan Abang Man jadi sangat rapat sampai sekarang. Kiranya adik kesayangan Abang Man lah ni ye?”usik Zarith.

Dia mencuit hidung isterinya. Wajah Nurin Hanani sudah kemerahan. Masih terasa malu dengan suaminya.
“Takdelah jugak bang. Abang Man tu memang Hani tengok seorang abang yang baik dan bertanggungjawab. Semua adik-adik dia sayang. Mungkin disebabkan jarak usia kami yang dekat jadi sebab tulah kami lebih rapat. Macam Farra dan Nida kan nampak jauh sikit dari segi usia. Tapi kalau apa-apa hal diorang mesti datang kat Hani…”

Zarith tekun mendengar cerita isterinya pula.

“Abah dulu memang sangat tegas. Sebab abah kan cikgu dulu. Masa kecik dulu kan walaupun abah tak pakai rotan pun tapi dia sengaja sangkutkan rotan kat dinding rumah. Biar kami adik-beradik nampak terang-terang rotan tu. Maknanya kalau nak buat nakal terus tak jadi sebab nampak ada rotan yang tersangkut kat ruang tamu.”

Dia menahan gelak sebelum menyambung kembali ceritanya.

“Tapi kadang-kadang Hani tak kira jugak. Sebab nama pun budak-budak kan. Kadang-kadang kalau teruk sangat sampai balik rumah lambat ataupun ikut Abang man main lastik ke, panjat pokok ke sesekali kena rotan jugak dengan abah. Tapi bila diingatkan balik Hani rasa bersyukur sangat. Sebab cara didikan abah yang macam tulah yang buatkan Hani berjaya macam sekarang…

Walaupun cara abah mungkin nampak tegas dan kalau sekarang ni orang fikir macam nak dera anak kan tapi, sebenarnya abah buat semua tu untuk kebaikan anak-anaknya. Hani kalau nak buat benda tak elok pun sampai fikir seratus kali. Abah selalu pesan jangan sesekali buat jahat kat orang. Biarlah orang nak layan kita macam mana sekalipun. Dalam masa yang sama abah sebenarnya penyayang jugak. Abang nak tau tak?”

“Apa dia sayang?”

“Kalau setiap kali abah marah-marah kitorang kan,atau lepas kena rotan ke, lepas tu abah terus ajak kitorang keluar. Abah belanja makan ABC lah,makan cendol lah. Tu lah caranya abah nak pujuk kitorang balik.”
Nurin Hanani tergelak. Begitu juga dengan Zarith. Tidak menyangka begitu rupanya cara abah mendidik anak-anak. Bila difikirkan balik segala nostalgia lama memang sangat berbekas di hatinya. Dia berazam mahu membahagiakan mak dan abah sampai akhir hayat.

“Em,kalau tak silap abang, mak orang Terengganu kan?”

Nurin Hanani mengangguk.

“Tapi macam mana abah dan mak boleh bertemu?”

“Em, sebab masa tu mak Hani kan pernah kerja kat sini dulu. Tapi sekejap aje. Lepas mak kahwin dengan abah dia terus menetap kat sini. Itulah jodoh bang. Walau jauh macam mana sekalipun kalau dah jodoh tetap akan bersama. Em,macam mummy dengan papa jugak. Lagilah jauh antara dua benua kan. Tapi boleh bersama jugak.”

Zarith tergelak.

“Akhirnya dapat anak lelaki yang handsome macam abang kan?”usik suaminya itu.

“Eii,tak habis-habis nak perasan lah abang ni.”

Dia mencubit lengan Zarith. Tapi tidak kuat mana pun. Zarith tergelak besar.

“Tapi abang memang kagum dengan abah tu. Tak sangka Hani pulak yang ikut jejak langkah abah jadi cikgu kan. Tapi sebenarnya hidup abang masa kecik dulu lagi perit. Abang rasa kurang kasih sayang sejak dari masa kecik lagi…”Zarith bersuara sayu.

Nurin Hanani menyedari perubahan suara suaminya itu. Dia mendongak memandang wajah Zarith dengan simpati.

“Tapi sekarang abang dah lupakan kenangan pahit tu semua. Mummy dan papa dah kembali bersama macam dulu. Tu aje yang abang harapkan. Mummy dah ceritakan segalanya dan barulah abang faham apa sebabnya dia buat macam tu dulu. Keadaan sangat mendesak masa tu.”

“Abang, yang penting sekarang keluarga kita dah bersatu balik kan. Lupakan lah segala yang pahit bang.”

“Betul tu sayang. Abang bahagia sangat ada Hani di sisi abang. Abang tak pernah jemu ungkapkan tiga perkataan ni buat sayang setiap hari dan setiap masa.”

“Apa dia bang?”

“I love you.”

Nurin Hanani tersenyum bahagia. Zarith menghadiahkan sebuah kucupan kasih di dahinya. Dan senyumannya kian mekar.

“I love you too…”

Post a Comment

0 Comments