Hey, Mr. Bad Guy!


Bab 35

“Ada apa-apa soalan lagi tak nak tanya sebelum saya keluar ni?”soal Nurin Hanani.

Dia memandang satu persatu wajah pelajarnya di Tingkatan 3 Mutiara itu. Masing-masing menyepikan diri. Ada juga beberapa orang yang menggeleng kepala. Sesi pengajarannya telah pun tamat. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi nyaring loceng sekolah menandakan waktu rehat telah bermula. Dia melihat jam di pergelangan tangannya.

“Baiklah, kalau dah takde apa-apa soalan lagi saya rasa sampai sini dulu kelas kita. Jangan lupa hantar kertas soalan periksa tahun lepas yang saya suruh buat tu selewatnya Isnin ni. Faham?”

“Baik cikgu!”hampir serentak mereka bersuara.

Dia terus melangkah keluar dari kelas dengan membawa beberapa buah buku Bahasa Melayu di tangan.
 “Cikgu Hani!!”jerit Hadiff Akmal tiba-tiba.

Dia yang baru hendak keluar dari kelas itu segera berpaling. Hampir luruh jantung mendengar jeritan tidak semena itu. Tidak sampai beberapa saat beberapa orang pelajar kelas Tingkatan 3 Mutiara berkerumun mengelilingi meja Yusra. Jantungnya berdegup kencang. Seperti ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku. Dia segera menghampiri mereka.

“Kenapa ni?”

“Cikgu, Yusra pengsan…”jawab Alia yang mejanya bersebelahan dengan Yusra.

Yusra kelihatan sudah tidak sedarkan diri lagi di mejanya. Alia perasan yang sewaktu gadis itu ingin bangun tiba-tiba sahaja dia terus terjatuh.

Semua pelajar yang ada di situ kelihatan panik. Kelas tersebut mulai riuh. Dia terkejut. Patutlah dilihatnya muka Yusra pucat lesi sahaja. Apabila ditanya dia memberitahu dia tidak ada apa-apa. Alih-alih sahaja sudah pengsan. Tetapi dia cuba untuk bertenang.

“Kalau macam tu tolong cikgu cepat. Cikgu nak bawa dia ke hospital sekarang,”arah Nurin Hanani.
Alia dan Qistina segera mengangguk. Dia tidak mahu melengahkan masa lagi. Bimbang sesuatu yang buruk berlaku pada Yusra.

“Yang lain-lain teruskan kelas hari ni macam biasa.”

**********

Nurin Hanani masih menunggu di sebuah bangku dengan rasa resah dan gelisah. Keadaan Yusra yang masih lemah tetapi sudah pun sedar dari pengsan tadi benar-benar membuatkannya bimbang. Risau kerana tidak tahu apakah yang menyebabkan pelajarnya itu menjadi sedemikian. Doktor yang merawatnya mengatakan Yusra telah terkena gastrik kerana tidak makan sejak dari semalam lagi.

Dia terpandangkan kelibat seorang wanita. Wanita itu kelihatan resah sahaja. Dia baru keluar dari bilik yang menempatkan Yusra yang masih lagi terlantar di katil hospital. Yusra masih perlu berehat seketika sebelum dibenarkan pulang ke rumahnya.

Barangkali wanita itu pastinya emak Yusra. Dia sudah bangkit dari bangku. Dia harus bersemuka dengan wanita itu. Terlalu banyak yang ingin diperkatakan berkenaan hal Yusra. Persoalan demi persoalan yang sejak dahulu lagi bermain di fikirannya harus dirungkaikan hari itu juga.

Teringat sewaktu Yusra ada menelefonnya dahulu. Tetapi belum pun sempat dia ingin bertanya lebih lanjut Yusra terus memutuskan talian. Gadis itu seperti takutkan sesuatu. Takutkan apa dia sendiri pun tidak tahu. Saat wanita itu melintasinya, dia segera memanggilnya.

“Assalamualaikum, akak ni ibu Yusra ke?”

Wanita itu tidak segera menoleh. Dia hanya mengerling melalui ekor mata. Tangannya memegang erat beg yang digalas di bahu. Dia hanya memakai T shirt lusuh berwarna hijau gelap dengan mengenakan seluar slack warna hitam.

“Err,ye saya mak dia. Kenapa?”soalnya tanpa menjawab salam.

“Saya Nurin Hanani. Cikgu Yusra.”

Nurin Hanani merapati wanita itu dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. Wanita itu teragak-agak untuk bersalam dengannya. Tangannya sedikit terketar.

“Hakimah.”

“Akak, apa kata kita berbual dulu kejap? Kita duduk sini dulu ye,”pinta Nurin Hanani.

“Saya nak cepat.”

“Akak, sekejap aje pun jadilah. Saya nak tau sangat pasal Yusra. Mungkin akak boleh ceritakan kat saya. Saya ni cikgu dia jadi saya pun berhak untuk tau perubahan sikap Yusra sejak akhir-akhir ni.”

Nurin Hanani berusaha memujuk wanita yang dikenali sebagai Puan Hakimah itu. Dia tidak mahu berputus asa. Akhirnya Puan Hakimah mengalah jua. Dia lantas melabuhkan punggung untuk duduk di sebuah bangku yang disediakan di situ. Begitu juga dengan Nurin Hanani.

“Ada apa hal cikgu nak jumpa? Kalau nak tanya pasal anak akak rasanya takde apa yang perlu dibincangkan.”

“Tapi kenapa kak? Saya rasa saya memang perlu tahu pasal Yusra. Saya nak tanya kenapa Yusra dah lama tak datang ke sekolah? Baru hari ni dia nak datang. Saya tengok muka dia pucat betul tadi. Dia sakit ke akak?”

Puan Hakimah mengeluh. Dia seolah-olah seperti berat sahaja hendak membuka mulut dan menceritakan hal yang terjadi mengenai anaknya itu.

“Dia tak sakit apa-apa. Cuma gastrik aje. Cikgu tak perlu lah nak risau pasal dia. Tahu lah akak nak jaga dia.”

“Akak, ada apa-apa yang tak kena ke dengan Yusra? Saya nak tau kenapa dia tak datang sekolah sampai seminggu lamanya. Sekarang ni pun markah ujian bulanan dia yang baru-baru ni jatuh mendadak. Saya nak tau apa masalah dia sebenarnya?”

“Begini ye cikgu. Rasanya lebih baik cikgu balik ajelah dulu. Kalau akak nak cerita pun cikgu takkan faham. Bukan cikgu aje,tapi semua orang memang takkan faham apa yang berlaku. Akak dah cakap cukup baik dah ni cikgu.”

 “Akak,macam mana saya nak faham sebab akak belum cerita apa-apa lagi pun dengan saya. Akak tak perlu lah nak samakan saya dengan orang lain. Saya bukannya seperti yang akak fikir sama macam setengah orang. Masalah ni sebaiknya kita hadapi bersama kak. Saya risaukan keadaan Yusra. Saya nak tau apa masalah dia sebenarnya. Itu aje kak.”

Puan Hakimah terdiam. Dia memandang wajah Nurin Hanani di sebelahnya. Kelihatan bersungguh benar. Dia menyambung kembali kata.

“Tapi akak dah suruh dia berhenti sekolah…”

Nurin Hanani terperanjat besar.

“Tapi kenapa kak?”

“Cikgu tak faham. Akak ni susah sejak lepas ayah Yusra meninggal dunia baru-baru ni. Yusra tu anak perempuan sulung akak. Adik-adik dia ramai lagi yang nak bersekolah. Mana akak mampu nak tanggung anak-anak akak semua belajar. Nak beli barang-barang sekolah mereka lagi. Buku-buku lagi. Semua tu perlukan duit. Barang macam tu sudah lah mahal. Mana akak mampu. Akak ni dah lah kerja ambil upah menjahit aje…

Dulu masa ayah Yusra ada lagi boleh lah nak tanggung sikit-sikit walaupun tak seberapa pun. Mujur jugak akak berkerja. Kalau ikutkan tak cukup jugak duit belanja. Sekarang ni bila dia dah takde akak makin susah. Yusra satu-satunya yang boleh tolong akak dan adik-adiknya. Sebab tulah akak mintak dia berhenti dan bekerja aje terus.”

Baru kini dia faham sebenarnya apa yang telah berlaku pada Yusra. Rupanya gadis itu memang sedang menanggung beban masalah keluarganya seperti apa yang dikatakan oleh Hadiff Akmal tidak lama dahulu. Dan juga seperti yang dia fikirkan sebelum ini. Patutlah Yusra sekarang sudak tidak boleh menumpukan perhatian pada pelajarannya itu.

“Saya rasa Yusra tak patut berhenti sekolah kak. Sebab dia pelajar yang sangat berpotensi untuk berjaya. Lagipun sebelum ni dia sangat cemerlang dalam pelajarannya. Markah ujian bulanannya pun selalu tinggi malah paling tinggi sekali dalam kelas. Dia pun tak lama lagi bakal nak ambil PMR. Akak,bagilah dia peluang teruskan sekolah.”

“Akak tau tu. Tapi nak buat macam mana lagi? cikgu mungkin tak faham sebab cikgu orang senang. Kami yang hidup susah ni cikgu tak pernah rasa perasaan kami. Masalah yang kami terpaksa hadapi ni semua cikgu fikir kami mintak ke? Akak dah tak mampu…”

Sayu sekali suara Puan Hakimah menuturkan kata. Dia sedikit sebanyak berasa lega kerana sekurang-kurangnya ada yang sudi mendengar masalah nya itu.

“Akak, walaupun mungkin saya ni tak sesusah macam akak sekeluarga tapi tak bermakna saya tak memahami apa yang akak rasa. Saya ni pun bukannya terus dilahirkan dalam keluarga yang senang hidupnya kak. Tapi akak fikirlah,kalau dengan kesusahan sementara yang dilalui tapi sekiranya Yusra diberi peluang untuk bersekolah semula mana tau hidup keluarga akak akan berubah satu hari nanti. Rezeki Allah S.W.T kita tak tau lagi macam mana kak…

Tolonglah jangan biarkan Yusra berhenti sekolah. Saya tau keinginan dia nak belajar begitu kuat. Dia budak pandai. Saya yakin dia akan berjaya satu hari nanti. Dia akan mengubah hidup akak dan adik-adiknya nanti. Biarlah kak susah buat masa ni pun. Bagi saya,hanya dengan ilmu aje yang boleh mengubah hidup seseorang tu.”

Puan Hakimah terdiam lama. Memang benar kata Nurin Hanani. Dalam diam dia mengiyakan kata-kata wanita itu.

“Tengoklah dulu akak fikir macam mana nanti. Apa pun terima kasih cikgu sebab sudi dengar masalah akak ni. Akak tertekan sangat sampai tak tau nak cerita kat siapa lagi…”

“Akak, saya harap akak sudi pertimbangkan apa yang saya kata tadi. Bukan apa, saya cuma kesiankan Yusra. Sayanglah, kalau pelajar yang ada potensi macam dia tu disia-siakan macam tu aje.”

Lambat-lambat Puan Hakimah mengangguk. Walaupun begitu dia masih lagi memikirkan kebenaran di sebalik kata-kata Nurin Hanani tadi. Dia sempat bersalaman dengan Nurin Hanani sebelum meminta diri untuk pulang semula ke rumahnya. Dalam hatinya Nurin Hanani hanya berdoa agar pintu hati Puan Hakimah terbuka dan membenarkan Yusra kembali semula meneruskan persekolahan seperti dahulu.

Bab 36

“Morning sayang…” satu kucupan hangat singgah ke pipinya. Terbau haruman minyak wangi yang dipakai Zarith begitu menusuk hidungnya.

Perlahan dia membuka matanya. Mamai masih lagi terasa. Terpandang senyuman suaminya yang menawan itu. Dia membalasnya walaupun masih lagi dikuasai rasa mengantuk. Pagi-pagi lagi sudah dihadiahi dengan senyuman oleh suaminya yang kacak lagi tampan itu. Bahagianya hati.

“Honey,bangun lah sayang. Dah pukul 7.30 pagi ni. Abang ada buat breakfast kat bawah tu.”

Dia cuba untuk bangun. Tetapi tangan suaminya pula yang menghalang. Berkerut dahinya.

“Kenapa sayang?”

“Err,tangan abang tu…macam mana Hani nak bangun?”

Zarith menoleh. ‘Lah,patutlah pun…aku pergi halang rupanya.’ Dia tersengih. Cepat-cepat dialihkan tangannya.

Nurin Hanani mengerling pada jam di dinding bilik. Memang betul pun. Dah pukul 7.30 pagi. Hari ini cuti. Jadi boleh lah dia hendak berehat sahaja di rumah. Ingin bersama-sama suaminya sahaja. Dia terkenangkan Yusra tiga hari yang lalu. Lega hatinya kerana pelajar itu akhirnya mahu kembali semula ke sekolah seperti biasa. Tidak sia-sia usahanya memujuk Puan Hakimah. Dia tersenyum sendirian.
Tiba-tiba terasa hidungnya dicuit.

“La,kenapa senyum sorang-sorang pulak ni? takkan ayang mimpi lagi kot?”

Zarith sudah duduk di sebelahnya dengan wajah kehairanan.

“Taklah. Hani teringatkan Yusra. Lega hati Hani akhirnya dia dapat ke sekolah balik. Susah jugak nak pujuk emaknya tu. Hani tak sangka hidup mereka susah macam tu bang. Tapi walau macam mana pun Hani tetap tak mahu Yusra sampai abaikan pelajaran dia.”

“Itu kan atas usaha Hani jugak. Sebab tulah abang memang yakin Hani boleh handle masalah tu. Abang memang kagum dengan sikap prihatin Hani sebagai cikgu dia. Baguslah macam tu. Abang harap Hani dapat didik dia sampai berjaya nanti. Bukan dia aje tapi semua anak didik Hani okey?”

Dia membalas senyuman Zarith sambil mengangguk.

“Insya Allah bang. Terima kasih sebab memahami Hani selama ni. Err,Hani nak ke bilik air dulu ye. Abang dah breakfast ke?”

“Belum lagi. Abang tunggu Hani lah ni. Kita breakfast sama-sama ye sayang.”

Zarith mengucup pula dahi isterinya itu.

“Abang masak apa untuk Hani dengan baby ni?”tanya Nurin Hanani manja.

Tangannya mengusap perut yang masih tidak kelihatan. Zarith tergelak kecil.

“Em,papa masak nasi goreng special tau untuk mama dengan baby. Sedap tau.”

“Wah,pandainya papa masak. Tapi kalau mama rasa tak sedap em…siaplah papa mama cubit-cubit pipi dia.”

“Ala,mama ni garang sangat lah. Tak kesian ke dengan papa? Harap-harap nanti anak kita pun tak garang macam mama nya.”

Zarith buat-buat merajuk. Dia mencebikkan mulut. Serta-merta tawa isterinya meletus.

“Papa ni…jangan lah merajuk. Mama gurau ajelah. Kan baby?”

Zarith ketawa lagi. Dia memegang perut isterinya. Diusapnya perlahan penuh kasih.

“Abang sayangkan Hani sangat-sangat. Begitu jugak dengan baby ni. Em,agak-agak ni baby boy ke girl?”
“Em,abang rasa?”

Zarith terdiam seketika. Sedang berfikir.

“Agaknya baby boy kot. Kalau kita dapat anak lelaki mesti dia handsome macam abang.”

“Eii…perasan. Tapi…abang memang handsome pun,”akui Nurin Hanani.

Zarith tersengih mendengar pujian isterinya itu.

“Tapi…kalau perempuan mesti macam mama nya. Cantik,manis,lemah lembut dan…paling abang suka bila tengok mata ni.”

Direnung mata bundar milik Nurin Hanani. Ada tarikan mempesona di situ. Betul-betul menggetarkan naluri lelaki nya. Nurin Hanani sudah tersipu-sipu malu.

“Thanks abang…err,cakap tadi nak breakfast?”

“Eh,ye tak ye jugak kan. Tapi…Hani dah gosok gigi ke belum lagi ni?”tegur Zarith.

“Ha’ah lah kan. Hani lupa pulak.”

Dia menepuk dahinya sebelum berlalu menuju ke bilik air.

**********

Dia meneliti lama di dalam peti ais. ‘Takkanlah satu jenis sayur pun dah takde?’ digaru pipinya itu. Habis,apa yang dia ingin masak untuk tengah hari nanti? Semalam langsung tidak teringat hendak membeli sayur. Ikan yang ada pun ikan selayang sahaja yang tinggal. Ini tidak boleh jadi ni. Sekarang baru sahaja pukul 8.30 pagi. Sempat lagi hendak ke pasar membeli barang-barang dapur bersama Zarith.

“Abang!”laung nya.

Tiada jawapan.

Dia melangkah ke ruang tamu mencari suaminya. Ada pun tetapi tengah bercakap dalam telefon. Dia mendekati Zarith yang masih leka berbual di telefonnya.

“Baik lah,kalau ada apa-apa hal lagi nanti Encik Risyam boleh contact saya balik. Nanti kita akan discuss lagi. Anyway, Encik Risyam nak jumpa dekat mana?”

Zarith terdiam lama. Kemudian terangguk-angguk lagi. Selepas menjawab salam dia memutuskan talian. Dia berpaling menghadap isterinya sambil tersenyum.

“Ada apa sayang panggil abang tadi?”

“Err,Hani ingat nak ajak abang temankan pergi pasar.”

Zarith terdiam seketika.

“Kalau sayang pergi sendiri boleh tak? Sebab kejap lagi abang nak keluar. Ada hal sikit nak discuss dengan client abang berkenaan kerja projek. Boleh?”

Nurin Hanani mengerutkan dahi. Tiba-tiba sahaja hatinya tersentuh dengan sikap Zarith yang dirasakan sambil lewa sahaja. Dia ingin menangis.

“La,kenapa pulak ni sayang?”

“Abang memang…lagi pentingkan kerja dari Hani kan.”

Zarith terkejut. Tidak menyangka isterinya menyalahkan dirinya pula. Padahal dia tidak berniat apa pun.
“Sayang,kenapa cakap macam tu? Abang takde niat pun nak lagi pentingkan kerja dari sayang. Bagi abang Hani lah segala-galanya. Dan juga anak kita ni. Masih tak percayakan abang lagi ke sayang?”pujuknya.
“Hani tak peduli. Hani tetap nak abang temankan Hani pergi pasar. Bukannya lama pun.”

Nurin Hanani memeluk tubuhnya. Masih tidak berpuas hati. Manakala Zarith pula semakin hairan dengan sikap isterinya yang makin sensitif. Perubahan mood pula secara mendadak. Sedangkan dia kenal isterinya itu macam mana.

“Abang tau sayang. Tapi abang dah janji dengan Encik Risyam nak jumpa sekarang. Dia kan client abang. Jadi abang kenalah jaga relation dengan client. Dan reputasi abang sekali. Ni semua untuk kebaikan syarikat juga sayang. Abang izinkan kalau sayang nak keluar pergi pasar okey?”

Tangannya membelai rambut isterinya yang lepas bebas itu.

“Yeke nak jumpa Encik Risyam? Jangan-jangan girlfriend abang tak…”tuduh Nurin Hanani.

“Sayang, apa pulak ni sayang? Kenapa cakap abang macam tu? Takkanlah abang nak tipu sayang pulak.”

Zarith sedikit terasa dengan tuduhan melulu isterinya itu. Tetapi dia cuba bertenang dan bersabar. Tahu yang keadaan isterinya sedang berbadan dua ketika ini. Memang sangat sensitif dan cepat terasa. Nurin Hanani sudah membatukan diri. Tidak menjawab pertanyaannya. Masam wajahnya.

“Sayang,janganlah macam ni,please…okey,abang janji yang abang pergi tak lama. Habis aje discussion dengan client abang terus balik. Okey? Rindukan abang ye…?”sengaja dia ingin mengusik.

Dengan berat hati, Nurin Hanani tersenyum hambar. Dia mengangguk perlahan.

**********

Tempat parkir sudah pun penuh. Jadi terpaksalah dia memarkir kereta di tempat yang agak jauh sedikit. Kedai  yang ingin ditujunya terletak di seberang jalan. Hai,jenuh juga lah dia hendak menapak. Tetapi tidak mengapalah. Sekali-sekala exercise tidak ada salahnya. Nurin Hanani melangkah keluar dari kereta kancil. Segera dia menutup pintu dan menekan kunci kereta.

“Hai Hani…”

Sapa seorang wanita. Dia pantas menoleh. Maya? Berderau darahnya. Mana mungkin dia boleh melupakan seraut wajah milik wanita itu memandangkan mereka pernah bertemu satu ketika dahulu. Tetapi dia tidak menyangka yang wanita ini masih lagi ingin bertemu dengannya. Apa pula niat wanita itu kali ini?

Dia berdiri tercegat di tepi jalanraya. Maya betul-betul berada di hadapannya kini. Sedang tersenyum sinis. Mereka berhadapan antara satu sama lain. Nurin Hanani sudah berasa tidak senang dengan situasi itu.

“Maaf,saya nak cepat.”

Dia sudah ingin melintas jalan. Tetapi suara Maya menahannya.

“Hani, ada sesuatu yang I nak beritahu ni.”

“Apa lagi yang awak nak Maya? Fitnah apa lagi yang awak nak taburkan kali ni? Saya dah malas nak percaya lagi cakap awak Maya. Tolong jangan buang masa saya.”

Dia bersuara tegas. Malas lagi hendak melayan kerenah wanita itu. Suka benar mengganggu ketenteraman rumahtangga orang lain. Dan kali ini dia tidak akan sesekali mempercayai kata-kata wanita itu. Dia lebih mempercayai Zarith,suaminya sendiri. Dan kepercayaan itulah yang makin membuatkan hubungan mereka bahagia hingga ke hari ini.

“I cuma nak you tau walau apa pun yang berlaku,I takkan sesekali give up. I tetap akan dapatkan Zarith semula. I akan make sure yang Zarith kembali pada I.”

“Apa?!”

“Yes, I pernah cakap dulu kan yang I dah lama ada hubungan dengan Zarith. Kami couple sejak dari kami sama-sama study kat US dulu lagi. Dan sejak you rampas dia dari I, musnah semua impian I nak hidup dengan dia. You lah punca segalanya Hani. Kalau tak kerana you, dah lama I hidup bahagia dengan dia.”

“Apa yang awak cakap ni? hei,Zarith suami saya tau tak. Tolong jangan ganggu kami lagi lepas ni!”

Dia ingin berlalu dari situ. Namun lengannya segera ditarik kasar oleh Maya. Nurin Hanani mengerutkan dahi.

“You dulu yang rampas Zarith dari I. Dasar perempuan sial! Tak tau malu rampas kekasih orang!”jerit Maya lantang. Dirinya dikuasai amarah dan dendam.

Nurin Hanani sudah hilang sabar. Terasa bengkak hatinya. Namun dia cuba untuk bertenang apalagi mengenangkan keadaan dirinya yang sedang berbadan dua itu.

“Maya,saya tak mahu cari gaduh dengan awak okey. Saya nak awak tolonglah jangan ganggu rumahtangga saya lagi lepas ni. Saya bahagia dengan Zarith sekarang. Dan tak lama lagi kami bakal menimang anak sulung kami. Jadi tolonglah saya mintak sangat-sangat…jangan ganggu saya lagi atau suami saya. Faham!”tegasnya.

“Huh, you kena sedar Hani. Dia hanya nak permainkan you aje. Dia tak cintakan you. Dia cuma nak ambil kesempatan aje. Dia hanya cintakan I aje. Hanya I aje!!”

Nurin Hanani menekup kedua telinganya. Terasa perit mendengar jeritan itu.

“Maya,awak yang kena sedar sebenarnya. Saya dan Zarith saling mencintai. Awak kena terima hakikat tu.”

“No, I tak percaya yang Zarith cintakan you. Pulangkan Zarith pada I balik. Pulangkan!!”

“Maya,tolonglah faham. Saya malas nak dengar apa-apa lagi okey. Awak balik lah Maya. Awak ada banyak lagi peluang lain dalam hidup awak. Awak ada segalanya cuma awak perlu mencarinya di tempat yang betul. Dah terlalu banyak masa yang awak buang begitu aje.”

“Hei, kau jangan cuba nak ajar aku ye perempuan tak guna. Kau ingat kau tu baik sangat ke hah? Berlagak macam ustazah konon!”

“Saya sedar siapa saya. Cuma saya kesiankan awak aje Maya. Masih tak sedar-sedar diri lagi. Agaknya sebab itulah hidup awak jadi tak tenang…”

Dia semakin geram dengan bahasa kesat yang digunakan Maya tadi. Hilang sudah kesabaran di hati. Kalau lah Zarith ada di sini. Mahunya ditampar mulut yang kurang ajar itu!

“Dasar perempuan sial!”

Satu tamparan hebat melekap ke pipi nya. Nurin Hanani terpana. Dia meraba pipinya yang terasa pedih. Ada kesan darah di bibirnya. Dia mengerutkan dahi. Terasa ingin menangis pun ada. Keterlaluan sekali tindakan Maya yang tidak diduga itu.

“Rasakan kau perempuan tak guna! Perampas! Kau patut mati Hani. Go to hell!!”jerit Maya.

Tetapi tiba-tiba kedengaran bunyi deruman enjin kereta Waja yang meluncur laju dari arah bertentangan. Maya yang ketika itu berada hampir di tengah jalan tergamam. Kereta Waja itu seperti ingin melanggarnya. Dia tidak sempat hendak mengelak dan berbuat apa-apa. Kenderaan itu terlalu laju. Dia memejamkan mata ketakutan.

“Maya!!”

Saat kereta itu semakin hampir hendak melanggarnya, terasa tubuhnya ditolak dengan kuat ke tepi jalan oleh seseorang. Dia terdorong ke hadapan lalu terjatuh di situ.

Tindakan itu begitu drastik sehingga dia sendiri tidak menyangka dan gagal mengimbangi badan. Tubuhnya kesakitan akibat tergesel pada jalan. Nyaris sahaja lagi dia hendak terjerumus masuk ke dalam longkang yang agak besar. Luka di lutut dan kedua belah sikunya terasa pedih dan perit. Tetapi…

Dumm!!!

Bunyi dentuman yang amat kuat kedengaran jelas di telinganya. Jelas di pandangan mata sekujur tubuh Nurin Hanani terpelanting dan rebah di atas jalan. Dia terkesima. Tubuhnya menggigil dan kaku di situ. Manakala kereta Waja yang ingin melanggarnya sebentar tadi telah pun melesap pergi dari situ. Nurin Hanani sudah terjelopok tidak sedarkan diri lagi.

‘App…apa yang aku dah buat ni?’dia terketar-ketar.

Dia cuba untuk bangun dan mendapatkan wanita yang sudah tidak sedarkan diri itu. Darah mengalir dengan banyaknya membasahi jalan. Dia makin menggigil ketakutan. Dia bangun dan rebah lagi. Perlahan-lahan dia merangkak dan mendapatkan Nurin Hanani yang telah kaku.

“Ha…aa…Hani!”jeritnya. Suaranya begitu lemah. Berjuraian air mata kekesalan di pipinya.

Orang ramai sudah pun berkerumun di situ. Masing-masing kelihatan cemas dan panik. Ada yang menghulurkan bantuan dengan menelefon ambulans. Mujurlah ada saksi yang sempat menyaksikan kejadian tersebut dan mengecam nombor plat kenderaan yang telah melanggar Nurin Hanani tadi.

Maya menangis teresak-esak. Tidak dipedulikan orang sekeliling lagi. Dia memangku kepala Nurin Hanani yang masih tidak sedarkan diri dan wajah yang berlumuran darah. Pakaiannya juga turut terpalit dengan darah pekat yang mengalir. Dilihatnya mata wanita itu yang terpejam rapat. Darah mengalir dengan banyak dari celah kelangkang nya. Dia makin panik. Dia meraung sekuat hati. Perasaan bersalah kian menerpa di hati.

“Hani! Bangun Hani!!”

Dia meraung lagi.

“Bukak mata kau Hani! Tolong lah jangan mati!!”

Raungan dan esakannya makin kuat.

“Hani…kenapa kau selamatkan aku? Kenapa kau tak biar aku mati aje hah?!!”jeritnya lagi.

Tubuhnya ditarik seseorang. Dia meronta-ronta minta dilepaskan.

“Lepaskan aku! Lepaskan aku! Aku tak bersalah!!”

“Maaf cik,kami perlu bawa dia ke hospital sekarang jugak,”seorang lelaki memberitahu.

Tubuh Nurin Hanani segera dibawa masuk ke dalam kereta dan dibantu insan yang prihatin. Mereka perlu cepat memandangkan ambulans masih belum tiba lagi. Nyawa Nurin Hanani perlu diselamatkan sementara masih berkesempatan.

Maya terduduk lemah. Longlai tubuhnya. Tidak percaya…yang Nurin Hanani sanggup menggadaikan nyawa sendiri dan anak yang dikandungnya semata-mata ingin menyelamatkan dirinya. Dia menumbuk-numbuk permukaan jalan dengan kesal. Kesal dengan kata makiannya tadi. Dengan perbuatannya terhadap wanita itu selama ini.

‘Maafkan aku Hani…maafkan aku!’

**********

Gagang telefon yang berada di dalam genggaman tangannya terlucut dan jatuh ke atas lantai. Dia terduduk di lemah di atas sofa empuk. Seakan tidak percaya dengan berita yang baru diterima. Apakah semua ini tipu belaka? Diraup wajahnya.

‘Ya Allah…’

Zarith masih sukar untuk menerima perkhabaran buruk itu. Nurin Hanani kemalangan? Dia kini sedang berada di dalam wad kecemasan di hospital. Patutlah sewaktu dia hendak melangkah keluar dari rumah untuk bertemu dengan Encik Risyam tadi, dia sudah berasa tidak sedap hati.

Tidak sanggup rasanya hendak membiarkan isterinya keluar seorang diri. Kerana sebelum ini dia telah terbiasa menemankan Nurin Hanani jika hendak keluar ke pasar atau pun ke mana sahaja. Berat sungguh hatinya.

Mengenangkan hal itu sangat penting jadi terpaksalah dia keluar juga untuk berbincang dengan Encik Risyam berkaitan hal pembangunan yang sedang dilaksanakan itu. Sungguh dia tidak menduga kata hatinya benar. Ada sesuatu yang buruk sedang berlaku. Cuma dia tidak pasti seteruk mana keadaan Nurin Hanani ketika ini.
Hatinya berlagu bimbang. Dia rasa menyesal tidak menemani isterinya tadi. Terbayang rajuk isterinya kerana dia tidak menemani wanita itu ke pasar tadi. Sedangkan dia perasan perubahan mendadak Nurin Hanani yang tiba-tiba sahaja menjadi terlalu sensitif. Dia berasa terkilan dan…bimbang. Takut menghadapi sebarang kemungkinan.

‘Ya Allah,Kau jauhkanlah sesuatu yang tidak elok pada isteri dan juga anakku Ya Allah. Selamatkanlah mereka. Hanya padaMu sahaja aku meminta pertolongan…’dia berdoa dengan linangan air mata.

Dirinya ketika ini sudah tidak keruan lagi.

‘Tidak. Aku yakin dia pasti akan selamat.’

Dan dia segera bingkas dari sofa mencapai kunci kereta untuk keluar menuju ke hospital sekarang juga. Setelah enjin dihidupkan, dia memecut laju keretanya tanpa berfikir apa-apa lagi. Dalam kepalanya hanya terbayangkan wajah Nurin Hanani dan mahukan anak isterinya selamat. Itu sahaja yang diharapkan.



Post a Comment

0 Comments