Bab 37

“Encik Zarith, diharapkan dapat bawa bertenang dan sabar. She is still in comma...Kami sedang dalam usaha untuk menyelamatkan dia.”

Lemah longlai tubuh Zarith tatkala mendengar kata-kata dari doktor muda yang berkaca mata itu. Berair matanya menahan sedih dan ketakutan yang teramat sangat. Kedua tangannya meraup wajahnya.

‘Allah,tolong jangan Kau ambil dia dariku…’

Dia menahan sendu dan tangis. ‘Hani…jangan tinggalkan abang sayang…’

“Tapi, nasib baik ada orang yang cepat hantar dia ke sini tadi. Jadi takdelah banyak sangat dia kehilangan darah. However…I have to tell this. Kandungannya telah keguguran. Implikasi dari kemalangan tadi. Banyak-banyakkan lah berdoa semoga dia sedar semula nanti,”ujar Dr. Kamal dengan tenang.

‘Hani keguguran?!’dia terpana.

Terkejut benar dia sebaik Dr. Kamal memberitahu bahawa kandungan isterinya telah gugur. Hiba sungguh hatinya. Benih hasil kasih sayang dan bukti cinta mereka berdua kini telah tiada. Telah pun diragut pergi.
Kejam sungguh orang yang telah melanggar isterinya itu. Sudah lah dilanggarnya,setelah itu terus sahaja melarikan diri. Dia menggenggam penumbuknya erat.

“Bersabarlah…”

Dr. Kamal menepuk perlahan bahunya. Kemudian berlalu pergi dari situ. Dia terus terjelepok di atas kerusi. Air mata lelakinya gugur jua membasahi pipi. Tersedu dia di situ menahan hiba. Berat sungguh dugaan ini. Sukar sekali untuk dia menerimanya. Apakah dosanya sehingga diuji sebegini berat sekali?

“Argghhh…!!”

Dia melepaskan satu tumbukan padu ke dinding. Sehingga kesan kemerahan pada tangannya jelas kelihatan. Dia melepaskan kesalnya yang bertambah. Kian bertambah kerana mengenangkan salahnya yang tidak menemani Nurin Hanani ke pasar. Walaupun dia bukanlah sengaja tetapi dia tetap berasa terkilan. Kesal yang amat sangat. Membuku di dada.

Bayangan wajah isteri tercinta terbayang di ingatan. Senda guraunya…tangis dan tawa manjanya…kian menjerut rasa. Esakannya kian bertambah. Apatah lagi mengingatkan harapan mereka bersama untuk menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Kini…impian itu telah hancur berkecai dan musnah sama sekali. Anak yang ingin ditatap itu telah pun pergi buat selama-lamanya.

Dia sama sekali tidak ingin kehilangan Nurin Hanani lagi. Cukuplah sekali dahulu sewaktu dia berpisah dengan isterinya walaupun hanya seketika. Mengenangkan keadaan Nurin Hanani yang masih lagi tidak sedarkan diri dari koma,dia jadi bertambah takut. Dia tidak mahu kehilangan isterinya buat selamanya.

Sungguh dia sangat mencintai isterinya…
Terlalu sayang…dan dia tidak mahu memikirkan sebarang kemungkinan!
Zarith kini hanya mampu berdoa ke hadrat Ilahi semoga Allah S.W.T tidak mengambil nyawa isterinya pergi darinya. Dia seboleh mungkin tidak mahu menyalahkan takdir yang menimpa. Sedaya upaya dia cuba untuk bersabar dan terus berdoa. Saat ini hanya itulah sahaja yang mampu dilakukannya. Dia lantas bersandar ke dinding. Matanya dipejamkan. Semoga igauan ngeri ini akan berlalu pergi nanti.

“Zarith…”

Mata yang sedari tadi dipejamkan dibukanya. Dia menoleh. Terkejut kerana tidak menyangka yang menegurnya itu adalah Maya. Maya…? Apa yang dia buat di sini? Dia hairan.

“Apa yang you buat kat sini Maya?”

Maya terketar-ketar. Tidak tahu apakah yang harus diucapkan. Makin bersalah melihatkan keadaan Zarith ketika ini. Bertambah yakin yang lelaki itu sangat menyayangi isterinya.

“I…err,I…”

Zarith bertambah terkejut apabila melihat pakaian Maya yang terpalit sedikit darah. Adakah dia turut terlibat dengan kes langgar lari tersebut?

“Kenapa dengan you ni Maya? Apa kaitan you dengan kemalangan tu?!”Zarith bingkas berdiri.

Maya menggigil. Dia tahu dia tidak bersalah. Dia dapat merasakan orang yang ingin melanggarnya tadi adalah Fredie kerana dia sangat kenal dengan kereta Waja milik lelaki itu. Malangnya, Nurin Hanani pula yang menjadi mangsa keadaan kerana ingin menyelamatkannya. Sepatutnya yang berada di dalam wad kecemasan sekarang adalah dirinya. Bukannya Nurin Hanani!

“Mm…maafkan I Zarith…I…”

“Tak guna! Jadi you pun terlibat sekali lah ye hah?!”jerkah Zarith.

Dia tersentak mendengar jerkahan itu. Zarith menggenggam penumbuknya. Dia sudah menggigil. Apakah yang akan dilakukan oleh lelaki itu? Ingin memukulnya kah?

Dia memejamkan mata. Dirinya sangat takut. Terdengar bunyi tumbukan yang kuat. Dia membuka mata. Ternyata Zarith sekali lagi melepaskan amarah dengan menumbuk dinding berdekatan dengannya. Ada darah yang menitis dari tangan lelaki itu.

“You patut bersyukur Maya sebab you ni perempuan. Bukan jenis I yang sesuka hati nak pukul perempuan. Kalau you ni lelaki…dah lama mati I kerjakan!”

Zarith terduduk semula di atas kerusi yang disediakan di situ. Dia berasa sungguh sakit hati hendak menatap wajah wanita itu.

“Zarith…I tau I dah banyak salah pada you dan Hani. Maafkan I tapi I cuma nak katakan yang I betul-betul tak bersalah…”

“Cukup Maya! I tak mahu dengar apa-apa pun dari you!!”

“Sepatutnya I yang kena langgar dengan kereta tu. Not your wife Zarith.”

Zarith terkesima.

“Apa maksud you?”

“Hani…dia yang selamatkan I dari kemalangan tu. I…betul-betul tak sangka. I rasa berdosa dengan dia Zarith…”

Maya tersedu-sedan. Dia menekup mukanya. Sesungguhnya kekesalan ini sudah tiada gunanya lagi. segalanya telahpun berlaku dengan ketetapan Ilahi.

“I yang sepatutnya mati Zarith. Fredie yang nak langgar I. Tapi Hani…dia…”

Dia tidak mampu lagi ingin berkata. Sememangnya dia masih lagi dalam keadaan trauma dengan apa yang berlaku tadi. Zarith sudah terpaku di situ. Betapa mulia sungguh hati Nurin Hanani yang telah menyelamatkannya. Sedangkan dia tahu yang rumahtangga mereka hampir sahaja musnah disebabkan fitnahnya sebelum ini. Dia betul-betul sudah insaf. Dia juga seperti Zarith yang mengharapkan agar wanita itu selamat jua akhirnya.

“I tak tau pulak pasal ni…”

“Maafkan I Zarith. I terlalu banyak silap pada you dan Hani. I rasa bersalah sangat-sangat.”

“You tak perlu nak minta maaf pada I. Tapi pada Hani. Sudah lah Maya. You balik lah…I nak bersendirian.”

Dia tertunduk merenung lantai. Diseka air matanya. Terlalu banyak dosanya pada mereka. Dia yakin yang Nurin Hanani pasti akan selamat. Itu doanya. Sebaik sahaja wanita itu sedar nanti dia mahu bertemu dengan wanita itu seterusnya memohon keampunan atas kesilapannya sebelum ini.

“Cik Maya,”tegur satu suara dari belakang.

Kelihatan seorang lelaki yang berpakaian kemas dengan uniform polis menegurnya. Manakala seorang lagi pegawai polis turut berada berhampiran mereka.

“Ye saya. Ada apa encik?”

“Ini memang betul ke cik Maya?”

Dia mengangguk dan mengiyakannya. Jantungnya berdegup kencang. Seperti dapat mengagak apa yang akan berlaku seterusnya.

“Saya Inspektor Azlan,”pegawai polis itu memperkenalkan diri.

“Kalau boleh saya nak ambil sedikit keterangan dari cik Maya berhubung dengan kes kemalangan ni. Kami dah ada seorang lagi saksi yang cam nombor plat kereta Waja yang dah langgar Puan Nurin Hanani.”
Maya membatukan dirinya.

“Cik Maya kenal dengan Puan Nurin Hanani?”soal pegawai itu.

Dia mengangguk lemah.

“Boleh saya tau sama ada cik kenal ke tidak dengan pemandu tu?”

“Ye,saya kenal.”

“Kalau macam tu, sila cik ikut kami ke balai sekarang untuk keterangan selanjutnya,”arah pegawai polis tersebut.

Dia mengangguk lagi. Sebelum melangkah pergi, sempat dia menoleh ke arah Zarith yang masih setia menanti di situ. Setitis mutiara mengalir lagi ke pipi lelaki itu. Hatinya makin tercarik.

**********

Fredie menumbuk-numbuk stereng keretanya dengan riak kesal. Dia berasa sungguh kecewa kerana telah tersalah melanggar Nurin Hanani tadi. Sedangkan perancangan awalnya hanya satu. Ingin membalas dendam terhadap Maya.

‘Argghhh…!!! Kenapa bukan Maya yang kena tadi? Kenapa pulak dia?!’

Segala dendam yang menghantuinya kini tidak berguna lagi. Dia memang telah lama merancang untuk membalas dendam terhadap perbuatan Maya itu. Maya telah memalukan dirinya sebelum ini. Mempermainkan maruahnya. Dan juga telah menolak cintanya terhadap wanita itu. Dirinya merasa tercabar.
Dalam diam dia telah memasang rencana jahat. Sewaktu Maya keluar dari apartmentnya tadi lagi dia telah mengekori wanita itu. Tujuannya hanya satu. Iaitu ingin melihat wanita itu menderita atau mati sahaja dari menyusahkan hidupnya. Seterusnya dia akan lari sejauh yang mungkin. Keluar dari negara ini lalu menyembunyikan diri di Thailand. Tempat asalnya di sana.

Yang penting dia ingin dendam nya itu terbalas. Tanpa menyedari kehadirannya di situ,Maya telah pergi bertemu dengan Nurin Hanani. Itupun setelah wanita itu mengekori kereta kancil Nurin Hanani sejak dari rumah lagi. Dia pula menunggu di satu persimpangan jalan.

Apabila melihatkan Maya yang berdiri di tengah jalan akhirnya dia terus bersiap sedia. Dia sudah bertekad untuk melanggar wanita itu. Dia terlalu ingin melihat wanita itu mati sahaja. Tetapi sewaktu kereta yang dipandunya itu semakin menghampiri dengan laju, tanpa diduga tiba-tiba sahaja Nurin Hanani yang sedang berada di tepi jalan serta-merta telah menolak tubuh Maya ke tepi.

Dia tidak sempat langsung hendak menekan brek kerana keretanya yang tengah laju ketika itu sehingga sukar untuk dikawalnya. Akhirnya Nurin Hanani yang tidak bersalah itu yang menjadi mangsa. Akibat terlalu takut dia terus melarikan diri.

‘Huh,perempuan bodoh. Yang kau baik sangat pergi tolong betina tu buat apa?’gumamnya.
Dia berasa sungguh kesal dengan segala yang terjadi. Tetapi kini segalanya telah terlambat. Apa lagi yang harus dilakukannya?

‘Shit!’
Dia harus cepat.
Dia akan melarikan diri.

Tahu kini yang dirinya sedang dalam buruan pihak polis. Maya pasti akan melaporkan hal itu kepada pihak polis kerana Maya cukup mengenali dirinya. Dia berasa sudah tidak selamat lagi berada di sekitar bandaraya Kuala Lumpur ketika ini. Seluruh tubuhnya menggigil dan berpeluh.

Aku harus keluar dari sini secepat yang mungkin!

Dia menukar ke gear satu dan menekan pedal minyak kereta Waja itu. Menuju ke arah pantai Timur dan merentasi sempadan Thailand malam itu juga.

**********

Lama dia berteleku di atas sejadah. Keheningan pagi itu menimbulkan suasana sepi di hatinya. Tanpa Nurin Hanani di sisi yang kebiasaannya sering menemani tidur malamnya. Dia merenung katil yang kosong. Fikirannya juga kosong. Dia tidak mampu lagi mengungkapkan betapa rindunya dia pada isterinya yang kini sedang terbaring kaku di katil hospital.

Jika diikutkan dia tidak mahu pulang ke rumah. Dia ingin terus menemani dan menanti sehingga Nurin Hanani sedar dari komanya. Biarlah berapa lama sekalipun. Dia mahu setia berada di samping isterinya yang dicintai sepenuh hati itu.

Tetapi papa dan mummy lah yang beria memujuknya supaya pulang dahulu dan merehatkan fikiran. Keluarga mertuanya pun turut ada di situ. Kasihan dia melihat Hajah Zaharah yang sangat bersedih hati dengan keadaan Nurin Hanani. Sehingga hampir hendak pengsan. Dia pula tidak mampu melakukan apa-apa. Yang mampu dilakukan kini hanyalah berdoa dan terus berdoa.

Air matanya menitis lagi. Sampai bengkak bawah matanya akibat terlalu banyak menangis. Biarlah…dia sudah tidak kisah lagi. Berapa banyak air mata yang hendak keluar pun.

Dia menadahkan tangan berdoa pada Yang Maha Esa dan Maha Mendengar rintihan hatinya ketika ini. Dengan air mata yang berlinangan, dia memohon supaya Nurin Hanani dapat diselamatkan. Dia masih belum puas lagi merasai cinta suci ini. Dia masih belum kuat untuk menghadapi kehilangan isterinya. Dia meminta agar diberikan kekuatan dan ketabahan agar dia mampu menghadapi dugaan ini.

Zarith menahan sendu.

Berulang-ulang kali dia menyebut kalimah Allah S.W.T bagi meredakan masalah yang membelenggu dirinya ini. Ingin sekali dia berlari semula mendapatkan isterinya yang terlantar di hospital. Seandainya ini merupakan balasan atas dosa-dosanya yang silam dia redha. Tetapi janganlah Nurin Hanani pula yang diragut pergi jauh dari hidupnya.

Bab 38

Zarith masih setia menanti di sebelah isterinya. Direnungnya wajah pucat Nurin Hanani yang masih tidak sedarkan diri itu. Hari ini sudah masuk hari kelima isterinya koma dan terlantar lesu di atas katil itu. Hampir saban hari dan setiap masa dia tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan terbaru keadaan isterinya yang dikasihi.

Setiap saat dia sabar menanti. Setiap detik dia terus menunggu. Andailah ada keajaiban yang akan berlaku…tetapi Nurin Hanani masih lagi begitu. Tidak menunjukkan sebarang tanda untuk sedar dari ‘tidur’ lenanya yang panjang. Barangkali dia ingin berehat sementara dari ujian dunia yang getir ini. Ataukah mungkin untuk selamanya?

Wajah yang dirindui sekian lama itu ditatapnya lagi. Dia mencapai tangan isterinya. Diramasnya lembut. Tangan inilah yang pasti akan membalas setiap kali dia memegang erat. Kini tangan ini masih lagi kaku. Tiada balasan seperti yang diharapkannya.

“Hani,bangunlah Hani…bangunlah sayang. Abang rindukan Hani sangat-sangat…”

Dia masih terus memujuk. Berharap Nurin Hanani mendengar suara sayunya itu. Suara yang penuh pengharapan. Siang dan malam dia berdoa agar wanita itu sihat seperti sediakala.

“Hani,abang rindu nak dengar suara Hani…gelak tawa dan gurau senda Hani…segala-galanya tentang Hani abang rindu. Bangunlah sayang.”

Dikucupnya tangan isterinya itu.

“Hani,please…jangan tinggalkan abang.”

Dia merayu lagi. Tetapi ternyata isterinya masih lagi belum sedar dari mimpi indahnya. Kehilangan ini merupakan yang paling besar dan perit sekali dalam hidupnya. Tidak pernah dia merasa seperit ini. Orang yang disayangi dan dikasihi sepenuh hati ada di depan mata. Namun masih tiada tanda ingin sedar seperti dahulu. Terkadang dia merasa seperti mahu berputus asa.

Tetapi bila memikirkan sokongan kaum keluarga mereka dan sahabat handai,dia jadi tenang sedikit. Malah kunjungan dari tuan pengetua dan beberapa orang guru di SMK Seri Budiman tidak putus-putus menziarahi isterinya itu. Begitu juga anak-anak didiknya terutama Yusra yang turut melawatnya. Yusra tidak pernah lupa bertanyakan khabar tentang gurunya itu setiap kali dia melawat Nurin Hanani di hospital. Kadang kala dia datang bersama dengan Puan Hakimah. Masing-masing mendoakan semoga Nurin Hanani akan sedar semula dari komanya.

Rizman dan Maya turut datang bertanyakan khabar. Melihatkan kesungguhan Maya yang begitu mengharapkan isterinya sembuh sedikit sebanyak mengurangkan rasa sakit hatinya dengan perbuatan Maya dahulu. Maya benar-benar telah insaf.

Maya jugalah yang memberitahunya bahawa Fredie telah pun berjaya diberkas oleh pihak polis. Dia ditahan ketika berada di Pahang. Ketika itu lelaki tersebut telah merancang untuk melarikan diri dan bersembunyi di Thailand. Dengan segala maklumat yang diberikan akhirnya lelaki itu berjaya dijejaki. Dia sangat berterima kasih atas kecekapan pihak polis yang akhirnya berjaya memberkas lelaki tersebut.

“Along,Rul harap Along tak putus asa ye doakan semoga Hani cepat sembuh.”

Zarul yang turut berada di situ tiba-tiba bersuara setelah agak lama mendiamkan diri. Zarith berpaling memandangnya. Dia mengangguk lemah. Dilihat keadaan abangnya yang betul-betul sudah berubah. Berat sungguh dugaan yang menimpa abangnya itu. Wajahnya begitu keruh dengan kumis yang tumbuh meliar dan tidak terurus. Tubuhnya pun nampak agak susut sedikit. Simpati dia dengan keadaan abangnya itu.

“Rul,Along nak buat macam mana lagi?”

“Along banyakkan lah sabar ye. Insya Allah, Rul yakin yang Hani akan sedar semula. Kita semua kena bersabar.”

Zarith membisu.

“Tapi Along kenalah jaga kesihatan jugak. Rul tengok dah lama Along tak makan nasi sejak dari Hani accident dulu lagi. Kalau Hani tau mesti dia sedih tengok Along macam ni.”

“Tapi selera Along dah lama mati Rul.”

“Along,janganlah macam ni. Rul risau tengok Along macam ni. Bukan Rul aje. Mummy dan papa pun risaukan Along. Along tak kesian ke dengan diorang yang hari-hari tanyakan keadaan Along. Rul yakin kalau Hani tau pun dia mesti jadi sedih.”

“Rul,Along cuma nak Hani sembuh balik macam dulu. Itu ajelah yang Along harapkan.”

“Rul tau…Rul pun sama macam Along. Semua orang harapkan yang sama. Nak dia sembuh macam dulu. Sebab tu lah kita jangan putus asa berdoa pada Tuhan.”

Zarith terdiam. Zarul tidak pernah berputus asa memujuk dirinya agar tabah. Setelah adiknya meminta diri untuk pulang,dia yang masih belum ingin balik itu terus mencapai Surah Yassin yang terletak di atas meja kecil bersebelahan dengan katil isterinya.

Seperti kebiasaan yang sering dilakukannya,dia akan membacakan Surah Yassin buat isterinya itu. Begitulah rutinnya saban hari.

**********

Zarith tersedar dari lenanya apabila dia merasakan sesuatu yang bergerak-gerak. Tangannya yang masih menggenggam tangan halus isterinya itu diperhatikan. Dia mengangkat muka dengan rasa mengantuk yang masih lagi dikuasai mamai. Digosokkan kedua matanya. Terasa letih benar.

Baru sahaja dia bermimpikan Nurin Hanani tadi. Mimpi yang indah sekali. Tetapi mimpinya diganggu pula dengan…dia menjadi hairan. Benda apakah yang menggerakkan tangannya tadi?
Dia terasa sesuatu. Pantas dia melihat ke arah Nurin Hanani yang matanya masih terpejam erat. Nampak sedikit bergerak-gerak. Begitu juga dengan jari jemari runcing isterinya. Satu kejutan yang teramat membahagiakannya. Dia yakin yang dia tidak bermimpi. Memang benar apa yang dilihatnya itu. Isterinya itu seperti menunjukkan tanda akan sedar dari koma.

Nurin Hanani telah sedar kah?

“Hani…”

“Hani, bangun sayang…”

Dia memanggil-manggil nama isterinya itu. Mengharapkan respons seperti tadi. Tetapi Nurin Hanani masih lagi tidak membuka matanya. Zarith tidak berhenti berharap. Melihatkan keadaan itu dia segera bangkit. Dia akan berjumpa dengan Dr. Kamal yang merawat isterinya itu.

Hatinya penuh pengharapan. Nurin Hanani akan sedar juga dari komanya tidak lama lagi.

**********

“Angie…”suara Encik Idham memanggilnya.

Angelica memandangnya sambil mengukir senyuman. Ketika itu,dia bersama Encik Idham sedang berehat di taman mini halaman rumah banglo itu. Sejak mereka hidup bersama semula segalanya telah kembali seperti sediakala.

Mereka yang sama-sama berkongsi minat berkebun sering menghabiskan masa di taman mini itu hampir setiap petang. Mereka berdua akan sama-sama membersihkan kawasan halaman itu,mencabut rumput yang panjang dan sebagainya. Encik Idham kini bahagia kerana Angelica akhirnya kembali ke pangkuannya semula.

“Apa yang you fikirkan tu?”

Angelica sedang merenung kolam ikan dengan pancutan air dikelilingi bunga hiasan di hadapannya. Begitu menarik perhatiannya. Tetapi dia sebenarnya sedang resah memikirkan keadaan anak menantunya.
Nurin Hanani,entah bilakah agaknya akan sedar dari koma. Sudah lah dia merasa sedih apabila mendapat tahu dalam masa yang sama dia turut kehilangan cucu sulungnya. Baru sahaja dia hendak berangan menimang cucu pertamanya itu. Manakala Zarith pula sejak dari hari Nurin Hanani ditimpa kecelakaan dia sudah jarang mendengar suara anaknya itu. Sepatah ditanya,sepatah jugalah yang dijawabnya. Apatah lagi hendak mendengar gelak tawa anaknya itu.

“I risaukan keadaan Zarith sekarang ni. Dia dah tak macam dulu sejak Hani koma.”

“I faham perasaan you Angie. I pun macam tu jugak. Tapi apa lagi yang kita boleh lakukan melainkan dengan berdoa aje pada Dia. Dia sahaja Yang Maha Kuasa yang menentukan segala qada’ dan qadar dalam hidup kita ni. Yang penting kita sama-sama ikhtiar dengan teruskan buat solat hajat. Minta-minta Hani sedar dan sembuh macam dulu balik.”

“Betul tu Idham. I teringin sangat nak tengok mereka bahagia macam dulu. I takut Idham…”

“Takut? Kenapa you takut Angie?”

Encik Idham menunjukkan riak hairan di wajahnya.

“Yelah, I ni hidup kan tak lama. Sakit I ni bila-bila masa aje akan serang I balik. Sekarang ni pun I bergantung pada rawatan rutin tu setiap masa. Every time I kena check kat doktor. I takut tak sempat nak tengok anak-anak I bahagia…”Angelica bersuara sebak.

Encik Idham turut berasa sedih. Dia meramas tangan Angelica dengan lembut. Tipulah jika dia tidak takut menghadapi kehilangan isterinya yang sekian lama dikasihi itu. Dia tahu kepahitan yang ditinggalkan Angelica dua puluh satu tahun yang lalu masih meninggalkan kesan yang dalam pada dirinya. Tetapi sekarang dia sudah tidak ambil kisah lagi dengan semua itu.

Kerana dia sudah cukup bahagia dengan sekembalinya Angelica dalam hidupnya kini. Dan menghabiskan sisa-sisa di usia senja ini bersama sehingga menunggu jemputan Ilahi ke alam seterusnya.

“Angie, jangan lah fikir macam tu. Memang kita kena sentiasa beringat pada kematian. Bila-bila masa Dia akan jemput kita menghadapNya tak kiralah siapa pun. Yang penting sekarang I nak you bahagia. Dan I pun bahagia dapat hidup bersama you semula. I yakin anak-anak kita dah cukup gembira tengok kita dah bersama balik.”

Angelica tersenyum. Dia berasa tenang dengan kata-kata pujukan suaminya. Setiap kata-kata yang dituturkan Encik Idham pasti ada terselit nasihat yang ingin disampaikan. Sebab itulah dia berasa sangat menyesal meninggalkan suaminya dahulu. Memanglah Encik Idham sudah memaafkan, tetapi tetap sahaja rasa kesal itu masih ada hingga kini.

“Idham, I rasa beruntung sangat dapat memiliki hati you semula. You masih sanggup terima I balik walaupun I sakit macam ni…”

“Janganlah fikir macam tu Angie. I sanggup lupakan segala kepahitan dulu asalkan I dapat menikmati kebahagiaan dengan you macam sekarang.”

Angelica berasa terharu. Dia membalas genggaman tangan suaminya dengan erat. Benar kata Encik Idham. Siapa kata apabila sudah semakin menginjak ke usia senja bermakna cinta suami isteri itu semakin pudar? Malah semakin lama perasaan sayang itu semakin bercambah. Segala yang dilakukan menjurus ke arah yang diredhai Ilahi.

“I sayangkan you Idham. Selamanya.”bisik Angelica.

“I pun Angie…”

**********

Zarul seperti tidak percaya sahaja dengan apa yang didengarinya sebentar tadi. Dia baru sahaja hendak melangkah keluar dan pergi ke taman mini di halaman rumahnya itu. Dia ingin bersama-sama kedua ibu bapanya beristirehat petang itu.

‘Mummy sakit? Tapi sakit apa? Teruk sangatkah sakit mummy tu?’

Hatinya tertanya-tanya. Jantungnya berdegup kencang. Adakah dia akan kehilangan mummy lagi seperti sebelum ini? Mungkin juga buat selama-lamanya. Tidak mungkin. Dia tidak ingin berfikir yang bukan-bukan. Tetapi hatinya juga tidak enak dirasakannya. Selagi dia tidak bertanya pada Angelica sendiri berkenaan hal itu. Fikirannya jadi berkecamuk.

Dia melangkah ke arah Angelica dan Encik Idham yang sedang leka memandang pemandangan landskap di situ. Kedua ibu bapanya itu masih tidak menyedari lagi kehadirannya di situ. Dia kian mendekati.

“Mummy…”

“Ye ada apa Rul?”

Zarul masih lagi tercegat di situ. Dia masih tidak bersuara. Reaksinya begitu muram. Pertanyaan Angelica tidak diendahkan. Encik Idham juga kehairanan melihat kelakuannya yang tiba-tiba sahaja seperti mempunyai masalah itu. Sebelum ini bukan main seronok lagi dia petah bercerita itu dan ini semasa mereka sekeluarga sedang menjamu selera.

“Mari sini Rul. Duduk kat sini sekali.”

Dia mengikut sahaja. Dia menarik sebuah kerusi dan melabuhkan punggung di situ. Mukanya masih keruh. Dia menundukkan muka.

“Kenapa Rul? Ada apa-apa ke nak beritahu mummy dan papa?”

“Err,Rul…”

Dia teragak-agak.

“Mummy, can I ask you something?”

Angelica tersenyum. Dia mengangguk sambil menanti persoalan yang bermain di fikiran Zarul.

“What is it honey?”

“Mummy err, mummy sakit apa?”

Sebaik mendengar pertanyaan itu, riak wajah Angelica serta-merta berubah. Begitu juga Encik Idham yang ternyata terkejut. Bagaimana Zarul boleh mendapat tahu perkara itu? Sebelum ini dia memang sengaja merahsiakan tentang penyakitnya itu. Dia tidak mahu anak-anaknya bersedih nanti. Dan seboleh mungkin dia tidak mahu Zarul ataupun Zarith mengetahuinya. Angelica melepaskan keluhan berat.

“Mummy tak sakit Rul. Mummy okey aje.”

“Please mum. Don’t lie to me. I am not a child anymore.”

Angelica tergamam. Dia memandang ke arah Encik Idham yang juga nampak serba salah.
“Mummy, sampai bila mummy nak sorok benda ni dari Rul? Rul dah dengar segalanya tadi. Masa mummy berborak dengan papa. Tell me mum. Please…I need to know.”

“Mummy tak nak Rul bersedih nanti.”

“Memang Rul akan sedih terpaksa terima hakikat ni. Tapi Rul akan lagi sedih kalau mummy lagi nak sorokkan something dari Rul. Rul pun berhak tau mummy.”

“Mummy…err, mummy ada barah otak Rul.”

Zarul terpana. Melongo mulutnya.

“Since when??”

“Taklah baru sangat, dalam tahun ni jugak mummy dapat tau sakit ni. Tapi Rul janganlah risau sebab mummy buat check every time dengan doktor pakar. Prevention is the best way right honey?”

Angelica memandang Encik Idham. Sedaya upaya dia tidak mahu Zarul terlalu risau. Encik Idham mengiyakan kata-kata isterinya itu.

“Betul tu. Yang penting mummy jaga kesihatan dia baik-baik. Selalu ikut nasihat doktor. Kita pun jangan lupa selalu doakan kesihatan mummy sepanjang masa,”ujar Encik Idham pula.

Mendengarkan kata-kata itu Zarul berasa sedikit lega. Tetapi dia tetap takut juga dengan sebarang kemungkinan nanti. Dia mengusir jauh-jauh segala yang tidak elok. Kalau boleh dia mahu berada di sisi mummy lebih lama lagi. Sudah terlalu lama dia berpisah dengan mummy. Dia tidak mahu kehilangan mummy lagi.

“I don’t want to lose you again mum…”

“Rul, apa yang Rul cakap ni? mummy kan ada kat sini.”

Angelica tergelak kecil. Cuba menutupi kesedihan di hatinya. Cuba untuk meredakan perasaan Zarul yang sedang dalam kerisauan itu.

“Rul…Rul tau tapi Rul takut. Rul tak nak mummy pergi.”

Sayu Encik Idham mendengar kata-kata anaknya. Dia memahami perasaan Zarul yang masih belum puas merasa kasih sayang Angelica,ibunya sendiri.

“That is never going to happen okay? Mummy tetap ada di sini. Mummy akan selalu bersama Rul. Bersama keluarga kita semua. Okay?”

Zarul menatap wajah Angelica lama. Dia dapat melihat mata mummy yang sudah berkaca itu. Seperti ada air mata yang ingin menitis. Dia tidak mahu air mata mummy mengalir lagi. Dia tidak mahu mummy bersedih lagi. Akhirnya dia pasrah. Lantas dia mengangguk juga dan mengukir senyuman hambar.