Bab 17

Masa begitu pantas berlalu. Sedar tidak sedar kini dia bakal memasuki ke alam baru dalam hidupnya esok. Esoklah penentu segalanya. Dan esok jugalah yang bakal mengubah status dirinya buat selamanya. Nurin Hanani jauh mengelamun di ruang kamar nan sepi itu. Walaupun kerabat keluarganya semakin ramai yang datang namun tidak sedikit pun mampu mengusik hatinya untuk turut sama merasai kemeriahan majlis pernikahan yang bakal dilangsungkan esok harinya.
Semua ini telah ditentukan olehNya. Dia sudah menerima segala ketentuan tersebut dengan hati yang redha. Asalkan mak dan abah bahagia dengan pilihan mereka. Mak dan abah cuma ingin melihat dia selamat sahaja apabila sudah mempunyai suami nanti.

Teringat sewaktu dia hendak pulang dari mengajar di SMK Seri Budiman tadi. Pertemuan antara dirinya dengan Shahrul. Lelaki itu entah bagaimana boleh terbuka pintu hatinya untuk bertemu setelah agak lama mengasingkan diri darinya.

“Maafkan Shah sangat-sangat. Shah tau Shah dah berdosa pada Hani. Maafkan Shah…”tutur Shahrul dengan suara penuh kekesalan.

Dia tahu dia telah melakukan kesalahan yang teramat besar. Dia juga telah melukakan hati Nurin Hanani. Bukan sahaja hati gadis itu malah kedua orang tua Nurin Hanani juga. Disebabkan sikapnya sendiri dia telah kehilangan seorang gadis yang begitu baik dan ikhlas hati mengasihinya sebelum ini.

Tetapi hal itu telah lama berlalu. Tidak ada gunanya untuk dia terus berdendam lagi. Untuk apa dikesalkan lagi sedangkan gadis itu bakal menjadi kepunyaan orang lain tidak lama lagi. Bukan lagi miliknya. Bahkan hubungan mereka yang pernah terjalin satu ketika dahulu telah lama terputus. Tiada guna untuk dikenang lagi.
“Entah lah Shah. Hani tak tau nak kata apa lagi…”

“Maafkan Shah Hani. Shah cuma pohon keampunan dari Hani. Itu aje yang Shah harapkan,”rayu lelaki itu.
“Hani mungkin dapat maafkan Shah. Tapi bukan senang Hani nak lupakan perbuatan Shah yang dulu tu. Kesakitan yang dah Shah bagi tu sampai sekarang lagi masih terasa.”

Nurin Hanani menundukkan wajahnya. Kesempatan yang ada ketika mereka berada di bilik guru tersebut digunakan sepenuhnya oleh Shahrul untuk memohon sejuta kemaafan dari Nurin Hanani. Dia tahu kesibukan antara mereka sebelum ini menyukarkan dia untuk bertemu dengan gadis itu. Tambahan pula sikap keterlaluannya sebelum ini memperlakukan gadis itu seperti tidak punya maruah.

 Betapa besar sungguh kesalahannya itu. Betapa bodoh betul dirinya. Jika tidak sudah lama karier nya sebagai guru hancur musnah begitu sahaja. Hanya disebabkan perasaan amarah yang dikuasai nafsu dan hasutan iblis.

“Shah tahu kesalahan Shah ni tak layak untuk dimaafkan. Shah tak minta banyak pun Hani. Kalau Hani tak maafkan Shah rasa tak tenang. Resah aje memikirkan pasal ni. Shah berdosa sangat pada Hani. Pada Tuhan. Shah dah sedar sekarang. Shah betul-betul kesal dengan apa yang Shah dah buat kat Hani sebelum ni,”kelihatan wajah lelaki itu yang keruh.

“Baiklah Shah. Hani dah maafkan. Lupakan aje yang berlaku selama ni,”dia tidak pasti dengan dirinya sendiri.
Benarkah dia mampu untuk melupakan apa yang terjadi?sungguh,dia tidak kuat. Tidak kuat lagi berdepan dengan bekas tunangnya.

‘Shahrul,pergilah kau jauh dari hidupku!’

“Betul ke Hani dah maafkan Shah?”

Nurin Hanani mengangguk. Dia rela memaafkan lelaki itu. Yang penting sengketa antara mereka harus  ditamatkan. Dia juga tidak tenang jika begitu. Setiap hari berdepan dengan Shahrul. Mereka pula mengajar di sekolah yang sama.

“Terima kasih ye Hani sudi maafkan Shah. Shah rasa tenang sikit sekarang ni. Shah janji lepas ni Shah takkan ganggu hidup Hani lagi. Err,Shah nak ucapkan selamat pengantin baru buat Hani tak lama lagi. Shah doakan Hani bahagia. Itu yang Shah harapkan.”

Lelaki itu berkata sayu. Dia tidak dapat menipu bahawa hatinya masih menyayangi gadis yang pernah menjadi tunangnya itu. Betapa mulia hati gadis itu kerana masih sudi memaafkan dirinya yang dipalit dosa itu. Sedangkan dia sedar yang dirinya tidak layak meminta ampun dari gadis tersebut. Tetapi apakan daya,disebabkan kesilapan lalu dia terpaksa menanggung kesakitan dan luka yang dicipta sendiri sampai bila-bila pun.

Nurin Hanani menahan rasa sebak sebaik mendengar kata-kata itu. “Terima kasih…”

Hanya itu yang mampu diucapkan. Dia tidak pasti adakah dia akan bahagia selepas ini ataupun tidak.

“Shah nak minta maaf sebab tak dapat hadir ke majlis Hani esok. Bukan sebab sengaja. Tapi Shah perlu berkemas untuk urusan pindah nanti,”beritahu Shahrul jujur.

Nurin Hanani sedikit terkejut. “Shah nak pindah ke mana?”

“Err,Shah dapat tukar sekolah. Dekat Kuching. Mungkin minggu ni last Shah mengajar kat sini.”

“Oh,maknanya pindah ke kampung Shah semula lah ye?”

Shahrul mengangguk. Nurin Hanani terdiam lama. Bermakna ini mungkin pertemuan terakhir mereka. Mereka tidak akan bertemu lagi selepas ini. Mungkin buat selamanya. Ternyata lelaki itu telah mengambil keputusan untuk berpindah ke kampung halamannya di Kuching,Sarawak.

“Walau apa pun Shah tetap takkan melupakan segala kenangan manis kita bersama dulu. Semuanya akan terpahat dalam ingatan Shah sampai bila-bila. Terima kasih sangat-sangat sebab Hani maafkan segala kesalahan Shah. Shah tau yang Shah dah gagal. Hani pernah membahagiakan Shah. Tapi Shah sendiri yang salah sebab tak hargainya.”

“Dah lah Shah. Tak guna nak kenang balik. Semuanya dah lama berlalu. Hani doakan Shah hidup gembira di sana nanti. Jangan lupa pohon keampunan dariNya juga. Hani ni pun ada salah jugak pada Dia. Banyak kekurangan yang Hani kena baiki lagi.”

“Shah tak pasti yang Shah akan bahagia ataupun tak nanti. Terlalu banyak dosa Shah…”bergenang matanya.

“Janganlah cakap macam tu. Walau macam mana pun yakinlah dengan diri Shah di tempat baru tu nanti. Hanya dengan keyakinan barulah kita boleh buat apa jua kerja dengan baik. Yang penting hati kita tu yang kena ikhlas.”

 Shahrul mengangguk lemah. Dia mengukir senyuman pahit. Hatinya terasa dengan kata-kata gadis itu. Adakah selepas ini dia akan mendengar lagi suara lembut itu? Dia tidak pasti kini. Apa yang pasti dia telah pun lama kehilangan sebutir permata yang paling berharga dalam hidupnya. Kehilangan itu memberikan kesan padanya hingga ke saat ini.

**********

“Eh,Hani kenapa menangis ni?”

Nurin Hanani cepat-cepat menyeka air matanya. Suara Kak Ros iaitu kakak iparnya kedengaran menyapa telinga. Dia terasa segan pula. Tidak sedar langsung yang Kak Ros berada di biliknya ketika itu. Wanita itu melabuhkan punggung di atas katil bersebelahan dengannya.

“Eh,mana ada. Hani sakit mata tiba-tiba ni,”dalih Nurin Hanani.

“Alasan lapuk. Tak pun mesti cakap mata masuk habuk lah,apa lah. Kak Ros tak percaya lah. Hani ingat Kak Ros ni budak lagi ke?”

Nurin Hanani tertawa kecil. Dia tertunduk.

“Pandang muka Kak Ros ni. Sebenarnya ada apa ni? Kak Ros dah lama perasan yang Hani macam ada masalah aje sejak dari Kak Ros sampai ke sini lagi. Cuba cerita sikit kat Kak Ros ni.”

Nurin Hanani kelihatan serba salah. Keberatan untuk bercerita. Tetapi fikirannya sangat kusut ketika itu. Dia perlukan seseorang juga yang bisa dipercayai bagi meluahkan apa yang terbuku di dada.

“Kak Ros dah tau yang Hani memang tak pernah kenal pun dengan siapa Hani nak kahwin nanti.”

“Kak Ros dah tau?”

Wanita itu mengangguk. Matanya memandang tepat ke wajah Nurin Hanani.

“Kenapa Hani buat macam tu? Hani memang tak nak ambil tahu langsung ke pasal ni?”

“Hani dah tak kisah Kak Ros. Hani redha andai ni ketentuanNya. Hani pasrah…”keluhnya.

“Atau…Hani dah ada seseorang yang istimewa?”

Tergamam dia mendengar pertanyaan Kak Ros itu. Lambat-lambat dia mengangguk dan mengakuinya jua. Tetapi segalanya sudah terlambat.

“Kenapa Hani tak terus terang aje dengan mak dan abah?”

“Hani tak nak hampakan harapan mak dengan abah. Biarlah Kak Ros semuanya dah terjadi. Lagipun mungkin perasaan ni Hani aje yang rasa. Ataupun Hani ni aje yang syok sendiri selama ni.”

Terasa air mata ingin menitis lagi. Dia cuba menahan perasaan.

 “Maksud Hani?”tanya Kak Ros lagi inginkan kepastian.

Nurin Hanani menarik nafas perlahan. “Sebenarnya Hani malu nak terus-terang. Tapi hati Hani dah mula sayangkan dia sejak dia mula selamatkan Hani dari Shahrul dulu. Perasaan tu tiba-tiba aje datang tanpa Hani duga. Tapi masa tu dia dah takde kat sini lagi. Dan sampai sekarang Hani dah tak pernah jumpa dia lagi. Hani tak tau dia ada di mana sekarang…”

Dia menangis teresak-esak. Dia telah gagal mengawal perasaan sendiri. Kak Ros mengusap perlahan rambut halusnya yang panjang mengurai itu. Dia memahami perasaan gadis itu.

“Kak Ros faham Hani apa yang Hani rasa. Susah kan nak terima semua ni. Tapi Kak Ros harap sangat Hani banyakkan sabar dan berdoa pada Tuhan. Itu aje yang kita termampu. Kalau jodoh Hani dengan dia kuat mesti dah tentu Hani dijodohkan dengan lelaki tu. Tapi kita hanya mampu merancang. Manalah tau bakal suami yang dah ditetapkan buat Hani ni seorang lelaki yang lebih baik untuk dijodohkan dengan Hani. Siapa tau kan.”

“Akak teringat ada satu firman Allah S.W.T dalam Al-Quran. Yang menyatakan,boleh jadi kamu membenci sesuatu. Padahal ia amat baik bagi kamu. Hani nak tau tak,kadang kala setiap apa yang Tuhan dah tetapkan pada kita sebenarnya adalah yang terbaik buat setiap hambaNya. Walaupun kita mungkin tak suka dengan sesuatu perkara tu tapi pasti ada hikmah di sebaliknya. Cuma kita aje yang tak tau apa yang Tuhan tu dah tentukan. Hani faham kan maksud akak?”

Nurin Hanani menahan sendu. Lirih hatinya. Dia sedar akan itu. Tetapi sekurang-kurangnya Kak Ros memahami apa yang dia rasa sekarang ni. sedikit sebanyak lega juga hatinya mendengar nasihat penuh hikmah dari Kak Ros itu. Dia menatap sayu wajah lembut Kak Ros yang bertudung litup itu.

“Hani tak tau lah Kak Ros. Dah puas Hani cuba lupakan dia. Tapi susah betul nak buang ingatan tu semua. Silap Hani ke agaknya sebab jatuh hati di tempat yang tak sepatutnya. Padahal dia anggap Hani ni kawan aje…”
“Hani…”

“Kak Ros tak nak Hani terus sedih macam ni. Tak elok kalau orang tengok. Lebih-lebih lagi kalau mak abah yang tengok. Mesti mereka lagi sedih. Tak salah Hani nak nangis sekalipun. Kadang-kadang kita perlu menangis kalau itu yang boleh buat hati kita jadi tenang. Tapi biarlah berpada-pada.”

Nurin Hanani menatap lama wajah Kak Ros.

“Kak Ros yakin ke yang lelaki tu terbaik untuk Hani?”

“Yup,akak yakin sangat dengan pilihan mak dan abah. Hani kenalah yakin okey. Takkan mak dan abah nak pilih lelaki yang buruk perangai untuk dijodohkan dengan Hani. Itulah,suruh kenal tak nak. Kan dah jadi masalah.”

Kak Ros mencuit hidung mancung gadis itu. Sengaja ingin menghiburkan hati adik iparnya itu. Nurin Hanani mengukir senyuman.

“Ha,kan elok kalau senyum macam tu. Takdelah masam aje muka. Tak elok tau bakal  pengantin baru masam-masam muka ni. Tapi tak sangka pulak lepas Kak Ros dengan Abang Man selamat aje,terus mak abah buat kenduri untuk Hani pulak.”

Kak Ros tergelak kecil. Nurin Hanani sekadar tersenyum sahaja.

“Kak Ros doakan Hani bahagia. Yang penting kita tak lupa pada Dia…”suara lembut Kak Ros menenteramkan jiwanya yang gundah sejak sekian lama.

**********

Malam itu Nurin Hanani sukar untuk melelapkan mata. Dipusing tubuhnya ke kiri. Tidak selesa. Kemudian dipusing ke kanan pula. Juga masih gagal melelapkan mata.

Akhirnya dia bangkit dari katil. Diraup wajahnya perlahan. Mengapa sukar sekali dia untuk tidur? Dikerling ke arah jam loceng di atas meja solek. Menunjukkan pukul 3 pagi. Suasana begitu sunyi dan sepi sekali. Seisi rumahnya telah pun lena dibuai mimpi.

Tiba-tiba dia tergerak hati untuk melihat telefon bimbitnya. Dicapainya telefon bimbit yang terletak di bawah bantal. Ada satu pesanan ringkas yang tertera pada skrin handphone nya. Dia membuka dan membacanya.

‘If I could fly and reach over you, I want to give my heart to you. Wish your happiness last longer and forever sweetheart…-Zarith’

Jantungnya berdegup kencang. Buat pertama kali sejak pemergian lelaki itu ke Amerika Syarikat barulah dia menerima mesej dari Zarith. Dua bulan lamanya dia menanti dan menanti. Seperti orang bodoh sahaja. Siang malam terbayangkan wajah lelaki itu ada di mana-mana setiap masa. Tetapi mengapa baru sekarang lelaki itu baru hendak mengirimkan mesej padanya?

Mutiara jernih mengalir lagi membasahi pipi mulusnya. Semuanya sudah terlambat. Impian yang diharapkan untuk bertemu lagi dengan pemuda yang telah lama mendapat tempat di hatinya kini hancur musnah. Kerana tidak berapa lama sahaja nanti,dia bakal menjadi milik orang. Seseorang yang tidak pernah dikenali pun sebelum ini.

Dia tidak ingin membalas mesej itu. Dibiarkan sahaja. Biarlah memori antara mereka menjadi satu kisah lama yang harus dilupakan terus dari ingatan. Mungkin dengan masa mampu melupuskan ingatan-ingatan itu yang satu ketika dulu pernah menjadi memori yang membahagiakan walau sebentar cuma.

Tetapi dia tidak sanggup membuang mesej itu. Terasa sayang sekali. Terhenjut-henjut bahunya menahan tangisan hiba. Dia menekup mukanya.

‘Ya Allah,dugaan apakah ini yang Kau berikan padaku? Aku ini sangat lemah untuk menghadapi dugaan ini. Sangat lemah…hanya dengan satu perasaan ini Ya Allah!’

Dengan lemah dia turun dari katil dan menuju ke bilik air. Dia ingin menunaikan solat sunat Tahajjud dan istikharah memohon petunjuk dari Ilahi. Agar diberikan kekuatan padanya menempuhi ujian ini. Agar dia bisa mengadu pada satu-satunya Tuhan Yang Maha Esa…

Bab 18

Majlis pernikahan yang diadakan secara sederhana di rumah pengantin perempuan kelihatan cukup meriah. Walaupun bukan secara besar-besaran tetapi kedatangan orang kampung,sahabat handai dan saudara mara terdekat sudah cukup memeriahkan lagi suasana. Tidak kurang juga rakan-rakannya yang terdiri dari kalangan pendidik turut hadir ke majlis itu.

Namun kemeriahan dan kegembiraan itu tidak langsung terlukis pada wajah Nurin Hanani. Semalaman dia berendam air mata. Dia menggenggam erat telefon bimbit di tangannya.

Mesej yang dikirim Zarith malam tadi cukup memedihkan jiwa. Hatinya remuk redam. Bercucuran air mata mengalir membasahi pipi. Tidak lagi menghiraukan Mak Long yang terus-terusan memujuk. Mak Long telah menyuruh Kak Zura untuk menjadi mak andamnya. Sampai kan Kak Zura sudah malas hendak menyolekkan wajahnya.

Dia tetap tidak peduli. Hatinya begitu hancur. Mengapa baru sekarang ini lelaki itu muncul dalam hidupnya setelah menghilang terlalu lama?

Dia ingin memadam mesej tersebut. Ingin dibuang sahaja terus sekaligus melenyapkan ingatan-ingatannya terhadap pertemuan antara mereka selama ini. Dia ingin melupakan janji lelaki itu sebelum pemergiannya. Tetapi diri ini degil sungguh. Makin cuba dilupakan makin kuat pula ingatan terhadap Zarith. Akhirnya dia lemah. Seolah mahu rebah di atas katil pengantin yang dihiasi indah.

“Dah lah tu Hani. Bersabar lah banyak-banyak. Akak pun dah tak tau nak buat macam mana lagi ni. Hani tak kesiankan akak ke penat make up cantik-cantik muka Hani ni,”Kak Zura mengeluh. Bercampur pula rasa simpati.

Nurin Hanani menangis teresak-esak. Perkahwinan ini telah terjadi. Dia telah pun selamat diijabkabulkan. Pengantin lelaki yang juga bakal suaminya sudah pun berada di rumahnya. Tetapi dia tidak sanggup menatap wajah suaminya itu. Jika pasangan mempelai lain mungkin merasakan hari tersebut adalah yang paling indah dan membahagiakan dalam hidup mereka. Tetapi dia tidak. Sudah lah dia tidak kenal lelaki tersebut. Main kahwin sahaja.

‘Ya Tuhanku,mengapa bukan dia?mengapa tidak Zarith yang menjadi pendamping hidupku?’

Sebelum ini dia bagai merelakan segalanya terjadi. Tetapi tidak pula hari ini. Sedangkan sebelum ini hatinya tenang sahaja  usai menunaikan solat istikharah dan berdoa memohon petunjuk yang Maha Esa. Hati ini bagai merelakan segalanya.

Tetapi mengapa jiwanya berasa tertekan dan gelisah pula pada hari yang sepatutnya menjadi hari paling bahagia buatnya? Dia ditebak duka dan lara.

“Hani tak nak kahwin…”dia akhirnya bersuara.

Beberapa orang saudaranya berserta Kak Zura kelihatan kaget. “Ya Allah Hani…istighfar Hani. Jangan buat macam ni. Kesian pada mak dan abah Hani. Susah payah mereka buat semua ni untuk Hani. Mereka nak tengok Hani bahagia aje dik,”Kak Zura masih berusaha memujuk.

Nurin Hanani geleng kepala. Tidak. Ini bukan hari bahagia buatnya. Ini merupakan mimpi paling buruk yang pernah dialaminya. Ini merupakan satu petaka. Satu musibah paling besar dalam hidupnya.

“Kak Zura cakaplah apa pun. Hani tetap tak suka dengan pernikahan ni.”

Kak Zura sudah putus asa hendak memujuk gadis yang degil dan keras kepala itu. Dia bukannya tidak mahu memahami. Juga bukannya tidak mengerti perasaan gadis itu. Tetapi pada saat ini adalah sangat mustahil untuk membatalkan majlis pernikahan ini. Apatah lagi pengantin lelaki sudah berada di situ. Air muka kedua belah pihak harus dijaga.

“Hani dah selamat menikah dengan dia pun. Kita tak boleh nak buat apa-apa lagi Hani. Hani kena terima semua ni dengan tabah tau.”

Nurin Hanani memejam mata. Dia menggeleng kepalanya.

“Hani,akak harap sangat Hani boleh terima semua ni dengan redha. Ini takdir ketentuan Ilahi. Sebagai hambaNya,kita takde kuasa nak halang. Akak tengok lelaki tu memang baik orangnya. Ada rupa pulak tu. Beruntung Hani dapat dia. Betul lah apa yang mak Hani cakap tu.”

Dua tiga orang sepupunya yang lain mengangguk mengiakan kata-kata Kak Zura. “Betul kata Kak Zura tu Hani. Sabar lah ye.”

Nurin Hanani akhirnya membisu seribu bahasa. Kak Zura kembali melakukan sentuhan solekan di wajahnya buat yang terakhir kali. Tiada lagi air mata yang mengalir membasahi wajah mulus dan menawan itu. Namun begitu,riak wajah itu masih hambar. Tiada langsung senyuman yang terukir di wajahnya. Hilang sudah seri pengantin. Dia benar-benar sudah pasrah.

Usai sudah akad nikah kini tiba pula upacara membatalkan air sembahyang. Tetapi suara pengantin lelaki tersebut yang sayup-sayup kedengaran menyapa lembut di pendengarannya. Membuatkan hatinya meronta-ronta ingin tahu siapakah gerangan lelaki yang telah sah menjadi suaminya itu.

Macam familiar sahaja suara itu. Dia hanya mampu berdoa agar suaminya itu tidak kiralah sama ada dia pernah mengenalinya sebelum ini ataupun tidak,berharap dapat menjadi pemimpin keluarga mereka nanti. Hanya itu sahaja yang diharapkan. Dia redha.

Dia menunggu di dalam kamar pengantin. Wajahnya yang sedari tadi ditundukkan menahan rasa gementar. Bagai nak pecah jantung dibuatnya. Keadaan itu ibarat sedang menunggu pembedahan yang bakal dilakukan oleh doktor di hospital.

Pucat lesi mukanya. Suaminya menghulurkan tangan. Dia masih menundukkan muka. Langsung tidak memandang wajah lelaki itu. Dia berasa takut-takut dan segan.

“Aii,tak nak tengok ke muka suami kau tu Hani?sikit punya handsome la…”

Kedengaran suara seorang wanita berbisik-bisik. Dia menjadi bertambah tidak keruan. Berdebar-debar. Tambah berdebar sewaktu perlahan-lahan dia mengangkat muka untuk memandang wajah suaminya.
Tatkala pandangan mereka bertemu dan menjadi satu. Dia terasa bagai hendak pengsan. Hampir pitam. Berderau darahnya.

‘Ya Allah!!’

Betapa terperanjatnya dia. Betapa dia tidak menyangka sama sekali. Rupanya lelaki yang telah sah menjadi suaminya itu adalah Zarith Idham Shah. Zarith kini berada betul-betul di hadapannya. Berpakaian pengantin warna sedondon dengannya. Warna biru muda yang menjadi kegemarannya selama ini. Kelihatan segak dan kacak sekali bak putera raja. Suaminya itu sedang melemparkan satu senyuman yang cukup manis buatnya.

‘Ya Allah Ya Tuhanku,adakah aku sedang bermimpi? Macam tak percaya aje…’

Senyuman yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila. Dia berasa canggung untuk membalas senyuman itu ataupun tidak.

Terketar-ketar dia menyambut huluran tangan Zarith. Kemudian dikucupnya tangan itu dengan penuh syahdu. Penuh keikhlasan dan kesyukuran di jiwa. Terasa air matanya ingin mengalir lagi.

Dia masih lagi terkejut sebenarnya dengan perancangan yang telah diaturkan ini. Seperti seolah-olah dia sedang bermimpi. Atau adakah secara kebetulan lelaki yang ingin menjadi suaminya telah bertukar?macam tak logik pula dirasakan.

Zarith menundukkan wajahnya. Dikucup dahi isterinya dengan lembut. Kedengaran suara beberapa orang di kalangan saudara mara mereka yang mengusik. Ada juga yang mengambil gambar sebagai tanda kenang-kenangan.  Nurin Hanani tersipu malu.

Pandangan mereka bertaut lama. Bagai mengerti perasaannya yang terlalu rindu. Perpisahan inilah yang telah menyatukan mereka berdua. Hanya dengan satu pertemuan unik. Hanya disebabkan oleh kemalangan itu suatu ketika dahulu. Dan sekali lagi mereka dipertemukan dengan satu ikatan perkahwinan yang juga unik. Siapa sangka doanya dimakbulkan Ilahi. Dia akhirnya redha dengan jodohnya itu. Dua hati akhirnya menjadi satu.

Entah kuasa apa air matanya gugur lagi. Tetapi bukan kerana bersedih dan kecewa seperti sebelum ini. Kerana hatinya berbunga bahagia dapat hidup bersama Zarith. Lelaki yang telah membuatnya jatuh cinta. Dia kini di ambang bahagia.

Seribu kesyukuran dipanjatkan pada Yang Maha Kuasa…

**********

“Rul tak sangka akhirnya Along kahwin jugak dengan dia.”        

Sayu sekali suara Zarul ketika itu. Dia hampa dan kecewa. Ternyata dia telah terlewat sekali lagi meluahkan isi hati betapa dia amat menyayangi Nurin Hanani yang kini telah menjadi kakak iparnya itu. Pedih sekali tatkala memikirkan yang wanita itu telah dimiliki oleh abangnya sendiri. Betapa kecewanya dia hanya Tuhan sahaja yang tahu.

“Nak buat macam mana. Dah memang jodoh Along dengan Hani.”

Selamba Zarith menutur kata. Ketika itu mereka sedang berada di luar rumah keluarga Nurin Hanani. Angin malam yang berhembus terasa begitu dingin menggigit tubuh keduanya. Dia membuang kegelisahan dari terlihat oleh Zarul. Sedaya upaya dia berpura-pura seolah dia sangat bahagia dengan perkahwinannya.

“Ya,betul tu. Rul tak dapat nak halang sebab ni semua dah tersurat begitu. Rul harap Along dapat bahagiakan Hani.”

Zarul masih lagi sukar untuk menerima. Hakikat ini sungguh pahit sekali untuk ditelan!

Zarith tidak sanggup memandang adiknya. Dia tahu yang Zarul sedang memendam rasa. Dia sudah tidak kisah lagi hendak dicop sebagai lelaki yang pentingkan diri sendiri ke atau apa sekali pun. Yang penting sekarang dia sudah berjaya memiliki Nurin Hanani. Yang penting papa bahagia melihat perkahwinan ini.

“Along akan jaga dia baik-baik…”

Hanya itu sahaja yang mampu terluah. Zarul meraup wajahnya. Tidak lama kemudian dia meminta diri untuk pulang bersama papa. Meninggalkan dirinya menjalani kehidupan baru bersama Nurin Hanani yang telah sah menjadi isterinya.

**********

Perlahan pintu kamar dibukanya. Ketika itu jam sudah menunjukkan hampir pukul 1 pagi. Kebanyakan penghuni rumah sudah pun melelapkan mata lebih awal akibat keletihan semasa kenduri kahwin tadi. Lama Zarith berada di luar rumah berbual dengan ayah mertuanya,Haji Harun. Sebenarnya dia memang sengaja berlama-lama di situ. Dia ingin membiarkan isterinya terus tidur daripada menunggunya lama.

Telahannya tepat sekali. Sekujur tubuh kaku isterinya sedang lena diulit mimpi. Mimpi nan indah barangkali. Perlahan dia menutup kembali pintu bilik mereka. Dia menghampiri Nurin Hanani yang tidak langsung menyedari kehadirannya. Lantas dia duduk di atas katil masih merenungi wajah isterinya yang lembut itu.

“Maafkan aku Hani. Aku tau aku tak mungkin akan membahagiakan kau…”

Tiada langsung keinginan di hatinya untuk membelai isterinya sepenuh kasih. Mana mungkin dia bisa melakukannya sedangkan tiada langsung cinta di hatinya buat Nurin Hanani. Dia dalam dilema. Dia terpaksa menerima perkahwinan ini. Sedikit sebanyak timbul juga rasa bersalah di sanubari. Ya,dia tahu yang dia telah terlanjur melakukan kesilapan dengan menikahi wanita ini. Semua gara-gara sikap pentingkan diri sendiri. Tidak langsung memikirkan akibat yang mungkin berlaku nanti. Tetapi tiada guna untuk disesalkan lagi. Pernikahan ini telahpun terjadi.

Sudah puas dia memaksa diri supaya belajar mencintai wanita di hadapannya ini. Bahkan dia sudah fikir beratus-ratus kali akan risiko yang diambilnya ini. Sebelum berangkat ke luar negara lagi.

Dia gagal memaksa hatinya untuk mencintai dan menyayangi Nurin Hanani seperti mana layaknya. Dia mengakui yang dia perlukan masa. Dia tahu yang dirinya begitu kejam kerana telah mempermainkan perasaan Nurin Hanani selama ini. Tetapi dia harus berusaha untuk terus mencuba. Itu tekadnya.“Maafkan aku…”bisiknya lagi.