Monday, January 28, 2019

BUKAN BIDADARI BUATMU 2 (TEASER PT. 2)



'Is this real life? Is this just fantasy? Caught in a landslide, no escape from reality, open your eyes, look up to the skies and see, I'm just a poor boy, I need no sympathy...'- Bohemian Rhapsody by Queen
SUASANA dalam pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH004 yang membawa kira-kira 180 penumpang ketika itu sunyi saja. Tidak ramai yang berjaga ketika itu. Waktu sudah menginjak tepat pukul sebelas malam. Ada kira-kira sembilan jam saja lagi destinasi yang hendak dituju itu sampai.
Isaac melihat jam di pergelangan tangannya. Ini merupakan kali entah ke berapa dia terbang ulang alik dari Kota London ke Malaysia. Earphonenya ditanggalkan sekaligus lagu 'Bohemian Rhapsody' yang dinyanyikan oleh Queen itu tidak lagi kedengaran iramanya.
Isaac terasa berserabut kerana memikirkan masalah yang tidak berkesudahan. Wajah emaknya kembali terlakar di ruang mata. Emak yang dirindui setelah sekian lama. Isaac terbayang lagi kisah silamnya yang telah merubah dirinya. Dia yang sekarang cukup dikenali bahkan namanya itu gah sebagai one of the 'most eligible bachelor'. Punyai karisma tersendiri dan digilai ramai wanita hingga ke saat ini. Baginya, itu semua tidak penting.
Sedangkan satu ketika dulu... he is just a lonely kid.
Isaac sedar yang dia masih 'berhutang' dengan Sofea. Ada banyak persoalan yang belum terungkai antara mereka berdua. Ibarat sebutir berlian yang tersembunyi di dalam sebuah kotak kaca yang harus dipecahkan agar dia bisa memperoleh berlian itu. Agar bisa dilihat kemilaunya. Kemilau yang mampu memancarkan kebahagiaan yang berkekalan.
Dia sebenarnya tidak berniat pun mahu menipu akan status dirinya kepada gadis itu. Isaac cuma tidak sanggup lagi menghadapi sebuah kehilangan. Memang dia akui yang dia salah kerana telah membohongi Sofea dengan mengatakan yang dia bukanlah anak Dato' sewaktu melamar gadis itu di Kota London.
Isaac masih tidak mengerti mengapa Sofea jadi begitu pesimis terhadap golongan anak Dato' sepertinya?
Sofea tidak langsung bercerita apatah lagi mahu berterus-terang. Sampai sekarang pelbagai tanda tanya bermain dalam benaknya. Sofea seolah sengaja mahu berahsia dengannya. Gadis itu mengatakan semua itu berkaitan dengan kisah silam. Hanya itu saja.
Isaac tidak juga menghalang cita-cita Sofea. Malah, dia siap menyokong lagi setiap impian Sofea. Mujurlah gadis itu bersetuju akhirnya untuk menyambung ikatan pertunangan. Sekurangnya, dia masih punya harapan.
'Nur Arissa Sofea...'
Nama indah itu disebutnya lagi. Bersama seraut wajah yang kerap terlayar di ruang mata. Cinta pertamanya. Mana mungkin dia lupa saat perkenalan antara mereka dan cinta yang baru berputik. Juga kali terakhir dia berjumpa dan menatap wajah itu. Ingatannya terlakar kembali di mana pertemuan mereka berdua yang terakhir itu.
Isaac meneruskan langkah di Hyde Park yang letaknya di Central London itu. Kawasan seluas 350 ekar itu dengan kehijauan tumbuhan yang cukup indah menghiasi panorama. Ketika itu sudah melewati musim luruh. Lagi bertambah cantik pemandangan.
Isaac tidak faham sebenarnya. Sofea seolah sedang bermain tarik tali dengannya. Adakah kerana Sofea merasakan yang dia cuma main-main sebaik dia menyatakan keinginan untuk mengenali gadis itu dengan lebih rapat? Isaac masih ingat perbualannya dengan Sofea baru-baru ini.
"Ikutkan masih ada cita-cita dan harapan yang ingin saya kejar, Isaac."
"Maksud Sofea?"
Isaac menghentikan langkahnya begitu juga Sofea. Mereka berbalas pandangan sebelum Sofea menundukkan muka. Satu keluhan dilepaskan gadis itu.
"Saya nak minta tarikh pernikahan kita ditangguhkan dulu ke tarikh yang akan ditetapkan nanti. Boleh tak Isaac?"
Isaac terkejut. Dia memandang Sofea bagaikan tidak percaya.
"Tapi kenapa Sofea? Saya ada buat salah apa-apa ke? Hm sayang?"
Sofea menggeleng.
"Tak... bukan maksud saya macam tu. Saya rancang nak sambung belajar lagi di sini ke peringkat PhD pula."
"Kalau dah macam tu, awak sambung ajelah. Saya tak halang pun impian awak tu Sofea. Saya lagi nak sokong cita-cita awak tu. Tapi kita akan tetap teruskan perkahwinan kita. Saya tak nak bertangguh lagi."
Sofea terdiam lama. Dia memejamkan mata sambil menarik nafas sedalamnya.
"Bukan ke awak ada syarikat sendiri di KL yang awak kena uruskan, Isaac Zulkarnain Bin Dato' Rahman... apa tak betul ke saya cakap ni?"
Sofea berkata dengan raut serius. Isaac tergamam. Mana Sofea tahu?
"Awak... tau mana yang saya ni... erm..."
"Anak Dato' Rahman?"
Sambung Sofea dengan sinisnya. Isaac pandang dengan degupan kencang di dada. Dia benar-benar tidak menyangka gadis itu mengetahui rahsianya yang cuba disembunyikan selama perkenalan mereka. Isaac bukannya tidak mahu berterus-terang. Tetapi dia tahu akan prinsip gadis itu. Dan juga persepsi yang dilemparkan terhadap golongan berpangkat sepertinya.
Isaac tidak mahu kehilangan Sofea.
Dia risau, jika dia berterus-terang lebih awal, gadis itu bertindak memutuskan hubungan dan pergi meninggalkan dirinya.
"Tak semua anak dato' tu sama Sofea."
"Kenapa awak tipu saya Isaac? Awak tau kan saya tak suka lelaki penipu! Awak cakap nak serius kenal rapat dengan saya. Tapi kenapa awak sorokkan identiti diri awak yang sebenarnya dari saya?"
"Sayang... please listen to me! Saya tak niat pun nak tipu awak. Saya memang bagitau awak yang saya ada bisnes sendiri di KL kan. Tapi saya tak rasa penting pun untuk saya bagitau awak tentang status saya yang..."
"Awak cakap tak penting?"
Potong Sofea. Berombak dadanya menahan sabar. Isaac merenungnya tajam.
"Saya tak nak kehilangan awak, Sofea. Saya cintakan awak."
Gadis itu terdiam. Namun wajahnya begitu kecewa sekali.
"Saya tak terus-terang dari awal dengan awak sebab awak pernah cakap yang awak tak suka dengan anak dato', Tan Sri dan sekutunya kan? Sebab kisah silam awak tu..."
Sofea menahan air matanya yang ingin menitis. Dia juga sebenarnya sayangkan lelaki itu. Tetapi kerisauan dan rasa tidak percayanya mengatasi segalanya. Sofea kini dalam dilema.
"Isaac, bagi saya masa untuk fikirkan arah tuju hubungan kita."
"Sofea..."
Gadis itu terus berlalu pergi meninggalkannya. Panggilannya sudah tidak diendahkan lagi.
"Sofea!"
Isaac meneruskan langkahnya. Dia yang merancang untuk bertemu juga dengan gadis itu. Sofea yang cukup dirinduinya. Isaac harus menemui Sofea sebelum dia berangkat pulang ke Malaysia lagi tiga hari sahaja lagi bagi menyelesaikan masalah keluarganya di sana. Sofea memberitahunya semalam yang gadis itu akhirnya bersetuju sekiranya mereka bertunang dahulu. Sekurangnya lega juga hati Isaac.
Ada satu lagi rahsia yang bermain dalam fikirannya saat ini. Bukan lagi soal adik lelaki yang sudah ditemuinya itu. Ini berkaitan soal arwah emaknya. Khabar yang baru diterimanya dari Kamarul semalam. Namun hal itu perlu dirahsiakan terlebih dulu. Disebabkan itu juga dia harus pulang ke Malaysia secepat mungkin.
Benar-benar menyesakkan jiwa!
Langkah Isaac terhenti di satu tempat. Bulat matanya, sebaik terpandangkan seorang lelaki yang sedang berbual mesra dengan Sofea di tepi sebuah bangunan berhampiran taman itu. Dadanya berdegup kencang. Dari gaya Sofea seolah sudah kenal lama dengan lelaki yang juga musuhnya itu. Bagaimana pula lelaki itu boleh berada di sini? Siap kenal lagi dengan bakal tunangnya itu.
Penumbuknya digenggam erat. Sekaligus segala memori hitam terlayar di ruang mata.
Terketar bibirnya menyebut nama lelaki itu...
"Rayyan..."
Menyebut nama itu saja pun sudah membuatnya terasa sungguh benci. Isaac sudah tidak sabar lagi hendak bertemu dengan Sofea sebaik mendapat tahu yang gadis itu kini berada di Malaysia setelah sekian lama tidak berjumpa. Isaac tidak menyangka alih-alih, Sofea mahu pulang ke tanah air atas urusan akademiknya itu. Dia juga mahu memberi kata putus.
Isaac mana pernah jatuh cinta. Tidak pernah walau sekali. Cinta yang dirasainya ini terlalu kuat dan begitu mendalam. Kerana apa yang dirasainya inilah menyebabkan dia jadi begini. Isaac benci dengan dirinya yang tidak keruan sepanjang masa. Selagi dia tidak berjaya memiliki Sofea, selagi itulah dia tidak akan senang duduk. Kalau sebelum ini pun, dia hanya sayangkan pada seorang saja iaitu Raysa. Sayangnya yang telah disalah ertikan dengan cinta.
***
SUDAH hampir dua bulan berlalu. Bermakna genap dua bulan jugalah Isaac telah berada di Malaysia. Syukurlah, segala masalah dan sengketa antara Sabrina dan keluarganya berjaya dileraikan.
Mengenangkan kebahagiaan yang sedang dikecapi Raysa bersama Alariq, membuatkan dirinya juga turut mahu merasa erti sebuah kebahagiaan bersama Sofea. Esok atau lusa, dia telah berjanji untuk menemui gadis itu.
Isaac tersenyum sendirian. Melayani rasa bahagianya itu. Tidak sabar rasanya hendak bertemu dengan kekasih hati yang dirindui.
Dia yang satu ketika dulu, seorang remaja lelaki yang kesepian tanpa kasih seorang ibu iaitu darah dagingnya sendiri. Kehadiran mama sedikit masa dulu tidak mampu lagi mengubah tanggapan Isaac ketika itu. Dirinya dilimpahi kemewahan harta yang dimiliki oleh daddynya. Namun... tiada sesiapa pun tahu apa yang dipendamnya selama ini. Dia hanya kesorangan.
Hinggalah, Sofea muncul dalam hidupnya. Dia tidak kesorangan lagi di dunia gelapnya itu.
Thank you for reading. 

0 ulasan:

Post a Comment